S.M. Salim meninggal dunia
MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
29 Disember 2016
KUALA LUMPUR 29 Dis. – Biduan negara, Tan Sri SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.44 petang tadi.
Dia meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anaknya yang terletak di Sering Ukay, Ulu Klang, Ampang.
Menurut anak kedua daripada tujuh adik beradik, Sheikh Shamsul, 52, mereka sudah bersedia untuk menerima kehilangan ayahnya itu.
“Kami adik beradik memang redha dengan pemergiannya apatah lagi sudah lima tahun dia terlantar selama ini.
"Penderitaan yang dihadapi oleh ayah memang sakit untuk kami lihat dan sebab itu kami redha dengan pemergiannya,” katanya.
Tambahnya lagi, S.M. Salim sebelum meninggal berada dalam keadaan tidak stabil dan ada kalanya terpaksa bergantung pada bantuan pernafasan.
Doktor juga telah memberi tahu lebih awal lagi bahawa S.M. Salim sudah tidak mempunyai kekuatan untuk kembali pulih seperti sebelum ini.
SM Salim meninggalkan isterinya, Puan Sri Aishah Abdul Ghani dan tujuh orang anak.
Anak pertamanya Siti Nuraishah, 60; Sheikh Samsuddin, 68; Siti Nur Huda, 56; Siti Maheran, 54; Siti Huzayah, 53; Sheikh Shamsul, 51 dan Siti Zubaidah, 35.
S.M.Salim sebelum ini pernah tampil secara duet bersama penyanyi terkenal negara antaranya Datuk Yusni Hamid, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza.
Antara lagu popularnya termasuklah lagu berjudul Satu (bersama Zainal Abidin), Entahkan Jadi Entahkan Tidak (bersama Datuk Sheila Majid) dan Pandang Pandang Jeling Jeling (bersama Datuk Siti Nurhaliza).
Sementara itu, anaknya, Shamsul Salim berkata, jenazah S.M. Salim akan dibawa ke Masjid Kg Baru pada pukul 10.30 pagi untuk dimandi dan dikapankan sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat, esok. - UTUSAN ONLINE
utusanonlne
Biduan Negara, SM Salim Meninggal Dunia
29 Disember 2016
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
Allahyarham SM Salim semasa hayatnya.
PETALING JAYA: Selepas dua hari berada dalam keadaan tenat, bintang legenda negara, Tan Sri SM Salim akhirnya menghembuskan nafas terkahir akibat sakit tua kira-kira pukul 5.44 petang Khamis.
Berita itu disahkan oleh anaknya, Sheikh Shamsul Salim, 51, ketika dihubungi mStar Online petang ini.
Jenazah dijangka dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas solat Jumaat.
Sejak berita Allahyarham nazak tersebar menerusi aplikasi WhastApp, keluarga Allahyarham tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu termasuklah wakil persatuan seni dan rakan-rakan artis.
Beginilah suasana di rumah anak SM Salim di Ukay Perdana yang dikunjungi orang ramai. Foto BERNAMA
Antara yang menziarahi Allahyarham ialah Datuk Jamal Abdillah, Fauziah Nawi, Fazli Zainal, Datuk Ramli MS dan Datuk A Rahman Hassan.
Jenazah Allahyarham kini ditempatkan di rumah anaknya di Sering Ukay, Ampang dekat sini.
SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, mengalami lumpuh sejak 17 tahun lalu dan hanya mengharapkan kerusi roda untuk bergerak.
Namun sejak akhir-akhir ini keadaan kesihatannya semakin merosot sehinggalah dia sukar bernafas pada malam Selasa lalu.
Gambar kenangan SM Salim bersama Siti Nurhaliza kertika menyanyikan lagu 'Pandang-Pandang, Jeling-Jeling.'
Sepanjang hayatnya, bekas juruhebah RTM bermula tahun 1957 ini banyak menyanyikan lagu-lagu klasik.
Antara lagu yang turut popular ialah ialah Pandang-Pandang Jeling-Jeling nyanyian bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Satu bersama Zainal Abidin.
Lagu lain yang popular ialah Apa Dah Jadi.
Semasa hayatnya, beliau pernah menerima Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 68, Siti Nur Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51, dan Siti Zubaidah, 35.
mstar
Comments
Post a Comment