Buruh binaan terlebih pandai
Mohd Sabran Md Sani
Johor Bahru: Saya tertanya-tanya bagaimana lelaki ini boleh tahu nama ubat-ubatan, malah sebutannya juga sangat tepat,” kata Dr Goh Aik Ping berkongsi pengalamannya berdepan pesakit warga Bangladesh menerusi laman rasmi Facebook (FB) miliknya.
Kisah warga Bangladesh yang juga seorang pekerja buruh binaan itu mendapat perhatian doktor berkenaan berikutan keupayaannya mengenal pasti jenis ubat diperlukan ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di bandar ini.
Bahkan, kisah warga asing berkenaan yang dikongsi dalam bahasa Mandarin mendapat perhatian netizen termasuk laman rasmi Persatuan Bangsa Johor dengan memberikan tajuk ‘Buruh Binaan Bangladesh Rupanya Ahli Farmasi.’
Kisah itu dikongsikan dalam bahasa Mandarin pada jam 11.10 malam pada 28 Julai lalu dan sehingga jam 5 petang semalam, mendapat perkongsian 10,502 dan kira-kira 11,000 ‘like’.
Dr Goh menerusi laman FB miliknya dikongsikan itu menyatakan betapa beliau terkejut berdepan seorang lelaki asing berpakaian lusuh dengan kasut tapak binaan berwarna kuning ala ‘Phua Chu Kang’ dan muka yang kotor.
Paling mengejutkan doktor berkenaan apabila lelaki itu mengenal pasti rawatan untuk masalah kesihatannya selain nama ubat-ubatan menggunakan terma perubatan.
“Pesakit Bangladesh itu mengadu cirit-birit dan mengakui mengesyaki menghidap disentri, satu istilah perubatan untuk jangkitan usus.
“Saya terkejut dan berhenti merawatnya seketika, kemudian saya bertanya bagaimana dia tahu istilah itu, tetapi dia berdiam diri,” kata Goh dalam tulisannya itu.
Dr Goh dalam ulasannya berkata, lelaki itu menerangkan mengenai keradangan dalam perutnya, gastroenteritis sebagai punca cirit-biritnya.
“Sebelum sempat menerangkan preskripsinya, pesakit Bangladesh itu bertanya jika saya mempunyai ubat seperti ciprofloxacin, metronidazole dan azithromycin, nama-nama yang kompleks hanya digunakan oleh doktor atau pakar perubatan,” katanya.
Usaha Dr Goh mencari identiti sebenar warga Bangladesh itu berhasil apabila lelaki itu menceritakan mengenai latar belakangnya.
“Saya berjaya mengupas identiti sebenar buruh binaan Bangladesh itu dan dia sebenarnya seorang ahli farmasi dan memiliki farmasinya sendiri di negara asalnya.
“Dia (lelaki itu) memberitahu, dia belajar farmasi dan adik dia pula seorang doktor dan mengambil keputusan meninggalkan negara itu susulan ketidakstabilan politik.
“Selepas semuanya pulih, dia mendakwa akan kembali ke sana (Bangladesh),” kata Dr Goh seperti dialih bahasakan dalam sebuah portal.
Dalam tulisan berbahasa Mandarin, doktor berkenaan hanya dapat meluahkan perasaan sedih dengan kisah diceritakan di hadapannya.
“Saya berasa sedih untuknya. Dia meninggalkan negara dan kerjayanya datang ke bumi ini sebagai seorang pekerja binaan, sanggup bekerja keras di bawah matahari panas, menanggung persekitaran yang bertentangan dengan budayanya.
“Semuanya kerana kehidupan domestik di sini lebih baik dan saya tidak dapat membantunya, sekadar mengeluh sahaja,” katanya.
mymetro
Comments
Post a Comment