animasi malaysia

Karya tempatan di persada dunia
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK


PARA ahli panel berkongsi ilmu bersama para peserta seminar.


KEJAYAAN pereka animasi tempatan menggondol anugerah Oscar 2012 dalam kategori Kesan Visual Terbaik menerusi The Life of Pi terbitan Tau Films membuktikan tenaga kerja kreatif di negara ini mampu menghasilkan kualiti bertaraf dunia.

Ia juga sekali gus membuktikan negara ini mempunyai tenaga kerja mahir yang mampu memberi impak terbaik terhadap industri animasi antarabangsa secara lebih kreatif dan inovatif.

Presiden dan Pengasas Tau Films, John Hughes berkata, Malaysia mampu terus menghasilkan animasi dengan kualiti terbaik secara lebih aktif sekiranya tenaga mahir diberi latihan profesional secukupnya.

“Saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tenaga mahir dalam penghasilan animasi, mereka sudah sedia terlatih dan bakat itu wajar terus digilap.

“Selain itu, saya juga percaya kemampuan mereka (tenaga terlatih tempatan) untuk terus bersinar di peringkat antarabangsa melalui penghasilan animasi inovatif dan kreatif.

“Sejak itu, syarikat-syarikat penerbitan dari seluruh dunia kini tertumpu untuk bekerjasama dengan tenaga mahir di Malaysia,” kata Hughes.


PESERTA didedahkan kepada persembahan pentas kreatif wayang kulit moden.

Bekerjasama

Mengulas lanjut, Hughes menambah, pihaknya akan terus bekerjasama dengan tenaga mahir di negara ini untuk menghasilkan lebih banyak filem animasi bertaraf antarabangsa.

“Pada 2013, Life of Pi juga mendapat tiga pencalonan Golden Globe Awards ke-85 dan memenangi kategori Skor Asal Terbaik. Bagi Anugerah Academy pula, ia memenangi empat kategori termasuk Pengarah Terbaik.

“Kejayaan itu diperoleh daripada hasil kerja inovasi tenaga mahir di sini. Ia juga membuka mata lebih banyak pihak di peringkat antarabangsa untuk bekerjasama dengan tenaga-tenaga mahir animasi yang ada di negara ini.

“Tenaga mahir di sini hanya memerlukan beberapa latihan minimum daripada profesional dalam tempoh kira-kira sembilan bulan. Kita yakin mereka mampu memberikan hasil menakjubkan selepas digilap,” ujar Hughes.

Hughes berkata demikian pada sidang akhbar Seminar Kreatif 2014 yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery di Pusat Seni Damansara, Damansara Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC) Berhad, Datuk Badlisham Ghazali.


Animasi Bola Kampung juga semakin meningkat popular.

Pendedahan

Seramai 18 pakar animasi antarabangsa dan tempatan terlibat dalam seminar tersebut bagi memberi pendedahan serta panduan terhadap para peserta yang terdiri daripada penggiat animasi di negara ini.

Dalam seminar dua hari berakhir pada 16 Mac itu, para peserta didedahkan mengenai kaedah penghasilan filem animasi mengikut standard kualiti Hollywood tanpa mengira genre, reka cipta serta pengembangan watak, penulisan skrip dan masa depan karya animasi di Malaysia.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Global Business Development (GBD) yang berpangkalan di Tokyo, Yoshi Okamoto pula berkata, para penggiat animasi di Malaysia dilihat memerlukan pendedahan lebih jelas mengenai perubahan-perubahan dalam industri penerbitan animasi.

Ujar Okamoto, karya animasi yang dihasilkan rakyat Malaysia mampu mengorak langkah lebih jauh sekiranya mereka memahami perubahan-perubahan tersebut.

“Pasaran (karya animasi) sentiasa berubah-ubah dan ia memerlukan pendekatan yang berbeza setiap kali perubahan itu berlaku.

“Animasi yang dihasilkan wajar fleksibel terhadap sebarang perubahan dalam situasi permintaan dan ia memerlukan kreativiti serta daya inovasi yang mampu memenuhi kehendak pasaran.

“Paling baik ialah mereka mendapatkan pasaran peminat (bagi penerbitan animasi) di sesebuah wilayah atau negara yang kecil terlebih dahulu sebelum pergi ke wilayah antarabangsa yang lebih besar,” kata Okamoto.


SIRI animasi tempatan, Upin dan Ipin antara paling berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Indonesia.

Bergiat aktif

GBD bergiat aktif di Jepun dan rantau Asia Tenggara dalam penggunaan teknologi media bagi merangsang pertumbuhan potensi pasaran bagi sesebuah industri termasuk menggunakan teknologi animasi.

Okamoto menambah, apabila semua keperluan bagi penghasilan sesebuah karya itu diambil kira secara menyeluruh dan kritis, tidak mustahil untuk para pereka animasi di negara ini mampu berdiri sama tinggi dengan pembikin filem atau siri animasi di Hollywood.

Kenyataan Okamoto itu disokong pengasas Anima Point Malaysia, Jani Kuronen yang berpendapat bahawa para penggiat seni animasi di negara ini mempunyai peluang cerah untuk terlibat secara aktif di peringkat global.

Anima Vitae merupakan antara studio animasi terbaik di Eropah dan sedang membangunkan teknologi animasi yang mantap di negara ini.

“Mereka (pereka animasi tempatan) wajar menentukan destinasi pasaran yang mahu dan mampu ditembusi. Bagi menembusi destinasi pasaran, ia memerlukan inovasi yang berupaya memenuhi kehendak serta minat orang ramai.

“Malah, sebagaimana yang diberitahu Hughes pula, kebanyakan studio penerbitan animasi antarabangsa sedang melihat ke arah kemampuan pereka animasi Malaysia.

“Optimis dengan kemampuan tenaga mahir animasi di Malaysia, Anima Vitae yang berpangkalan di Finland membuka studio animasi di sini dan kita akan sama-sama mengorak langkah lebih jauh,” kata Kuronen.

Serentak dengan itu, Hughes, Yoshi dan Kuronen turut optimis kemampuan tenaga mahir Malaysia untuk menghasilkan animasi yang lebih baik di peringkat antarabangsa termasuk mereka cipta permainan video berkualiti tinggi.

kosmo

Comments