Kewajaran Cinta



Kewajaran cinta adalah kelangsungan romantisme yang bertakhta dari segenap penjuru hati, jiwa dan fizikal. Setujunya kita dengan kata-kata begitu? Cinta memiliki semangatnya yang membina roh perkasihan dan momen kasih sayang yang bermakna dan mendalam. Kedalaman cinta bukan pada rindu yang panjang kalau tidak bertemu atau kehilangan apabila ketiadaan. Cinta memiliki garis dan paksi yang istimewa di hati. Entah di sudut mana ia berada tetapi cinta adalah denyut jiwa yang memberi irama dan nada dalam lurah hidup.


Siapapun tak dapat melihat bagaimana cinta itu? Ia pasti ada mengemudi hati dan jiwa serta membuka gerak dan tenaga untuk tubuh dan fizikal. Bagaimana cinta bermula juga sukar untuk diberi tanda yang pasti. Ia akan melebat dan berbuah ranum sehingga kita memetiknya tanpa terduga.

Mampukah kita merancang cinta? Membuat peta tindakan dan menyusunnya dengan rapi untuk menumbuhkan biara cinta yang agung dan mistikal. Apakah Taj Mahal itu keagungan cinta atau ia hanyalah penada sedang cinta melebari apa yang mampu kita saksikan.

Apakah kita tahu bilakah cinta lahir? Kita hanya menanda tarikh perkahwinan atau pertunangan sedang adakah di situ bermula cinta?. Bagaimana pula ia hadir dan menembus ruang hati yang begitu jauh di dalam diri? Tidak ada kulit yang calar atau dada yang robek tetapi cinta  dapat bertakhta di sudut hati. Apakah sebenarnya cinta itu? Adalah ia sebuah garap perasaan atau emosi yang membuak dari dalam tubuh atau hati manusia?  Bagaimana cinta belayar dari hati ke sudut hati yang satu lagi dan berpadu serta merumpunkan ikatan kasih sayang  yang indah.

Benarkah romantika adalah suatu kaedah untuk membugar cinta dan kasih sayang? Semuanya diarcakan dengan segala bentuk dan tidak untuk membina warna-warna romantika yang segar dan manis. Segalanya perlu dilakukan dengan nyata dan dilihat atau dirasa dan difahami oleh yang satu lagi. Cinta tak membiak pada hanya satu hati tanpa ada tawaran dan balasan dari hati yang lagi satu. Kata orang bertepuk sebelah tangan tak berbunyi. Kalaulah begitu kenapa dalam segala ramah dan mesra yang berbunga segar tiba-tiba cinta menemui layu dan sugul?. Ada perkahwinan yang tak berlangsung lama dan berakhir dengan titik yang menjauhkan hati.


Ada orang memberi batas masa dan waku untuk cinta. Sedang cinta dapat terbang tanpa sayap atau dapat hinggap tanpa ranting. Masa bukan penentu keharuman cinta. Batas ruang bukan penanda cinta akan berkembang. Cinta ada terjadi pada titik ruang dan batas waktu yang tak tertentukan. Melalui facebook, google plus, dan segala jenama media sosial cinta mampu berakar dan tumbuh.

Apakah kewajaran cinta sebenarnya?

Cinta adalah kerapian, keserasian, kefahaman, saling mengerti, kepercayaan, pengorbanan dan segala macam catatan orang berbahasa tentang cinta. Apakah semua ini akan menjadikan cinta begitu ampuh dan berkembang segar. Apakah cinta harus lari dari realiti dan menjadikan manusia ideal untuk melangsungkan cinta sejati?. Sedang dalam hiruk pikuk hidup ini belati dan pisau sentiasa ada menghiris tali cinta. Sering berlaku pertelingkahan, pergaduhan segala yang memberikan gambaran kegawatan tetapi benarkah semua itu boleh mematikan nafas cinta? Ada cinta yang termati dalam diam dan senyap segalanya lenyap dan menghilang

Cinta di manaklah harus berada? Benarkah cinta berada di sanubari dan terlepas dari itu cinta tak bermakna lagi. Kita masih temui bagaimana cinta menyubur dan indah di depan mata. Bagaimana seorang suami yang sakit melarat tetapi ditemani isteri hingga hujung nyawanya. Bagaimana seorang suami yang tidak dapat melepaskan cinta pada sang isteri setelah isterinya pergi akan menziarahi perkuburan isteri dalam jangka masa yang lama.....

Begitu indah cinta itu sebenarnya. Ia tak tertakluk hitungan masa atau batasan ruangnya. Jangan membangun angan bahawa cinta adalah bahagia yang panjang. Dalam derita cinta tumbuh dan subur dan membiak kasih sayang yang tak terbandingkan. Begitu cinta dalam episod hidup manusia. Ia memiliki kewajarannya tersendiri tetapi bagaimana?


Cinta tidak berpengkalan hanya pada romantika semata-mata. Ada insan yang membisu dan tidak pandai menyatakan emosi romantiknya tetapi dapat menjaga cinta dengan lebih luhur dan setia. Bermakna cinta ada kalanya memiliki romantika, ada ketika ada dinamikanya dan cinta masih berpengkalan dalam tragedi.

Ketulusan dan keikhlasan barangkali menjadi ramuan untuk kewajaran cinta,. Berlapang dada dan menerima apa adanya mungkin pelengkap terbaik. Sedarilah cinta tidak pernah melebihkan seseorang itu dari apa kurangnya. Jika sikapnya pemarah cinta tidak mungkin menutup amarahnya untuk masa yang lama kerana itu kepura-puraan. Cinta harus berada pada landas yang betul dengan segala ikhlas dan tulus dan berani untuk menerima lemah dan kurang dengan terbuka. Egois adalah tali panjang yang boleh memerangkap cinta dan menjadikan segalanya sulit dan sukar. Egois melunturkan warna cinta yang ingin tumbuh menghijau.

Cinta tidak harus lahir hanya dalam puisi tetapi memasuki realiti dengan berani....
 
Raikanlah cintamu

Comments