barangkali kau selalu berfikir
jalan itu begitu mudah
membawamu pergi mencari harapan
atau memiliki apa yang kauinginkan
tidak selamanya ia begitu
ada ketika kauharus berani mendaki
membuang ketakutan menyingkir gelisah
kau akan sendirian meredah
tak ada siapa membantu
atau memberi dorong
hanya itu jalan yang ada
untuk tiba ke dalam mimpimu
kesakitan akan memelukmu
kelelahan akan membelitmu
kepayahan akan menemanimu
hanya itu jalan yang ada
kau harus terus mendaki atau menuruni
usah berhenti kerana telapakmu hanya akan terisi
bekas-bekas luka dan kasar sejarah
penuh debu di jemarimu
tapi mimpi dan harapmu
tak pernah kaujamaah
usah berhenti setip kali senja pergi
kerana di dalam malam
kaupetakan perjuangan dalam mimpi-mimpimu
kerana senja akan mengajarmu
menghargai detik yang kaumiliki
matahari akan melayarkan masa
pabila senja tiba
lihatlah di telapakmu
apakah yang pernah kaumiliki
begitu kehidupan pada penghujung waktu
penat dan sarat dengan kekosongan
merah dan gelap dengan ketiadaan
jalan itukah yang mahu kaudekati
sebelum malam berganti
jalan itu
hanya padamu pilihan
selamat bercuti
ReplyDelete