warna-warna yang kaubiarkan

warna-warna yang kaubiarkan


warna-warna itu akan selalu ada
mengitarimu dalam diam 
tak pernah ingin pergi
kerana warna-warna itu selalu ingin bersamamu
memberitahu tentang apa yang tak pernah kaupedulikan
apakah kaumasih membiarkannya ia di situ?


pernahkah kaubertanya lagi
untuk apa biru langit dan gunung berbalam jauh
kebiruan menyambutmu ketika siang terang matahari
dan ketika senja melilitkan hijabnya
begitu suram cahaya merah dan jingga bertautan
hitam dan kelabu berapungan
dan malam mengurungmu dalam
kehitaman panjang


masihkah kaubiarkan
warna-warna itu berlalu tanpa mencari jawab dan pedoman
hijau daun yang rimbun bergoyangan dihembus angin
memutih pasir terbentang mengumpul jejakmu
bulan putih menebar sinar bersama dingin malam
bukakan perlahan segenap pintu kalbumu
carilah makna dari kerlip cahaya bintang
 bukan kosong tanpa tanda
semua itu tercipta


gelap atau terang
putih atau hitam
semuanya menjelma di depanmu
usah lagi kaubiarkan warna-warna itu tanpa sapamu
berbicaralah 
kerana kau mampu belajar
apa yang jauh tersembunyi
dalam kehidupan ini
dari warna-warna begitu


Comments

  1. Kata-kata dan gambar memang sesuatu yg perlu di hayati.. thanks :D

    ReplyDelete

Post a Comment