KME : Kesusasteraan Melayu Elektif


KESUSASTERAAN MELAYU ELEKTIF

Bahagian Satu
[40 markah]

Jawab semua soalan

1. Kapal belayar menimbang arus,
 Patah kemudi menyusur pantai;
 Tuan laksana cindai yang halus,
Sama padan maka dipakai.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai;
Sudah jumpa songket yang bagus,
Kalah membeli menang memakai

a. Nyatakan satu gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas dan berikan contohnya. (2 markah)
b. Nyatakan rima bagi kedua-dua rangkap di atas. (2 markah)

2. Baca petikan di bawah dan jawab soalan berikut:

Kalakian, maka baginda pun menangis bercintakan Tuan Puteri Cenderawati itu seraya katanya, “Aduh, untungku mengapakah maka menjadi demikian, anak isteriku itu disangkakan orang hutan dan orang hutan disangkakan isteriku, terlalu sekali bebalku ini.”
(dipetik daripada Hikayat Indera Nata)

a. Berdasarkan petikan di atas, siapakah yang dimaksudkan dengan orang hutan? (2 markah)
b. Nyatakan dua perwatakan Raja Rom berdasarkan petikan di atas.(2 markah)


3. Maka segala tabib-tabib pun mengubatlah penyakit baginda itu, tiada sembuh, makin bertambah penyakit itu. Maka tatkala itu lalu ditanyalah Tuk Ca, tuk nujum apa hendak diubat penyakit baginda ini. Maka lalu Tuk Ca yang pandai dan tahu ilmu nujum itu lihatlah di dalam surat nujumnya itu serta dibilang-bilang kepada orang ramai-ramainya.
(Dipetik daripada Hikayat Seri Kelantan)

a. Petikan di atas menggambarkan baginda menghidapi penyakit.
Nyatakan nama penyakit yang dihidapi oleh baginda itu berdasarkan cerita itu. (2markah)

b. Apakah keputusan nujum Tuk Ca untuk mengubati penyakit baginda itu? (2markah)

4. Baca petikan sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya:

Semir sepatu, pak! Semir sepatu, bu!
dia lebih khuatir pada kulit dan harga
sepatu di kaki orang lain
daripada rabik selipar di kaki sendiri.

( Dipetik daripada sajak Penggilap Rezeki oleh Mohd. Hashim Osman )

Jelaskan dua unsur bunyi (4 markah)


5. GULAM RUSSEL : Kita bangunkan Kampung Melayu yang termoden di tengah Bandar raya. Satu-satunya di dunia Ada hotel, ada kawasan makan minum. Ada tempat kenduri- kendara, ada tempat tanaman ulam dan pokok-pokok ubat, ada kawasan perubatan tradisional lengkap dengan hospital, nak jual ubat kuat,ubat sihat,ubat tidur,ubat jaga pun boleh! Ada tempat Bakar lemang, bakar ikan,bakar jagung,bakar ubi. Hotelnya boleh tidur atas tilam dan bantal kekabu, boleh mandi pakai cebok di kolah atau perigi,cuma jamban tak boleh jamban gali. Boleh pakai kain pelekat dan kain sarung. Ada kereta lembu dan kereta kuda. Ada padang permainan kanak-kanak, boleh main tarik upih pinang,main congkak,main konda kondi, galah panjang dan macam-macam. Pendek kata inilah dunia Melayu yang paling Melayu dan tersangat Melayu. Kita buat laman web biar terkenal ke serata dunia. Ada muziknya,ada tari dan silatnya,ada kedai pakaian,batik,songket,tekad benang emas, dan lain-lain!
( Dipetik daripada drama Muzikal Kampung Baru, Karya Hatta Azad Khan

Nyatakan dua persoalan yang terdapat dalam petikan di atas (4 markah )

6. SERI NARA : Boleh jadi betul. Jangan lupa, tubuh badan tak ada kekuatan, tetapi semangat masih kukuh dan bertanggungjawab. Aku kenal Datuk Bendahara tua itu, nampak uzur tapi semangatnya terus berkobar-kobar. Tak kenal takut, tak gentar menentang lawan, membujur lalu melintang patah
(Dipetik dari drama Bendahara Tepok, )


Kemukakan empat watak dan perwatakan Datuk Bendahara (4 markah)


7. “ Dia perempuan yang baik.” Seremaia Vakarusa melucutkan gugus keluhan.
(Dipetik daripada cerpen Rindu Tanah Malaya karya Hashim Latiff)

a. Siapakah perempuan dalam petikan di atas. ( 2 markah )

b. Nyatakan satu peristiwa yang menggambarkan kebaikan perempuan
itu berdasarkan cerpen tersebut. (2 markah )

8. “Oh, Julie, kau pergi jua rupanya! Sekarang aku sedar bahawa selama ini aku hanya membina istana di atas pasir.Aku hanya mengejar bebayangku sendiri,” keluh Hardi dalam-dalam sambil menumpukan pandangan ke arah laut yang sentiasa luas terbentang.
(Dipetik daripada cerpen Bagai Hembusan Bayu Senja, karya Juri Durabi)

Huraikan dua teknik penceritaan yang terdapat dalam petikan di atas. ( 4 markah )


9. Pagi masih begitu awal, hujan yang menggila malam tadi meninggalkan rasa sejuk. Meskipun matahari senyum mengintai, namun kehadirannya belum bersedia mengirim bahang. Angin berhembus tenang berbisik segar dan indah, mesra dan sentosa. Kurniaan Illahi tiada siapa berdaya mengekangnya. Segala-galanya berlainan dalam sekelip mata. Semalam hujan, paginya cerah. Entahkan panas sampai ke petang atau hujan di tengah hari, sukar diramal oleh kekuatan minda manusia. Itu yang difikirkan Anuariza.
(Dipetik daripada novel Jeriji Kasih, oleh Ramlah Abd Rashid)

a. Apakah maksud gaya bahasa personifikasi? (2 markah)

b. Berikan dua contoh gaya bahasa tersebut dalam petikan di atas. (2 markah)


10. Anuariza tiada jalan lain selain bersetuju dengan cadangan Syed Mustafa untuk memberi tuisyen kepada Syed Fariz. Selain membalas budi Nek Siah yang sudah dianggapnya nenek sendiri, dapat juga dia menambah pendapatan keluarga sementara menunggu masa keputusan STPM diumumkan. Sekiranya dia berjaya terpilih ke IPTA, banyak wang diperlukan. Dia tidak boleh hanya bergantung pada hasil getah yang ditoreh setiap pagi kerana harga getah tidak menentu, ditambah pula dengan iklim yang juga sukar dirama

(Dipetik daripada novel Jeriji Kasih, oleh Ramlah Abd Rashid)

Nyatakan empat nilai murni yang terdapat dalam petikan novel di atas. (4 markah)

Bahagian Dua

[60 markah]

Bahagian A
( Puisi tradisional dan Prosa Klasik )

Jawab sama ada Soalan 1 atau Soalan 2


1. Baca petikan puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya;

Gurindam Dua Belas- Fasal yang Kesembilan

Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan,
Bukannya manusia iaitulah syaitan.

Kejahatan seorang perempuan tua,
Itulah iblis punya penggawa.

Kepada segala hamba-hamba raja,
Di situlah syaitan tempatnya manja.

Kebanyakan orang yang muda-muda,
Disitulah syaitan tempat berkuda.

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
Di situlah syaitan punya jamuan.

Adapun orang tua yang hemat,
Syaitan tak suka membuat sahabat.

Jika orang muda kuat berguru,
Dengan syaitan jadi seteru.
(Dipetik daripada Seuntai Kasih Secebis harapan)
a. Huraikan maksud rangkap pertama dan terakhir puisi ini. (6 markah)

b. Jelaskan tiga gaya bahasa bagi puisi ini. (6 markah)

c. Huraikan empat pengajaran puisi ini. (8 markah)


2. Berdasarkan cerita Hikayat Nakhoda Muda, huraikan;

a. Lima unsur Islam yang terdapat dalam cerita Hikayat Nakhoda Muda. (10 markah)

b. Lima perwatakan Tuan Puteri Rakna Kemala (Nakhoda Muda). (10 markah)


Bahagian B
(Puisi Moden dan Drama)

Jawab sama ada Soalan 3 atau Soalan 4


3. Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Keberangkatan Ayah

Saat itu ayah pun berangkat
dengan mata pejam dan wajah tenang
meski selaut sedih bergelombang di dada
kami akur juga akhirnya
kecintaan-Nya melebihi segala cinta.

Setiap subuh rindu kami bergetar
pada bunyi telapak kasut ayah
mengejar subuh di surau sepi di kampung kami
pun kami akhirnya mengerti
kerinduan ayah pada-Nya melebihi
segala rindu.

Pada saat keberangkatan itu
kami yakin perjalanan ayah lebih mudah
kerana ayah punya isteri tabah
dan anak menantu yang pasrah
mengiringi ayah kebaikan yang mewangi
di setiap cebisan pandan bertaburan
di atas pusara.

Meski ayah telah berangkat pulang
dia tetap hidup di hati kami
dingin dahi ayah waktu kukucup
mudah-mudahan sesejuk itulah pusara ayah
penuh lapang dan bercahaya indah.

Ayah, selamat bertemu Allah
semoga bertemu di syurga-Nya.

Ratna Laila Shahidin.

a. Huraikan temanya. (4 markah)

b. Jelaskan lima ciri bentuk sajak di atas. (10 markah)

c. Nyatakan tiga nilai murni beserta contoh. (6 markah)


4. Berdasarkan drama Lima Perwira ,karya Kala Dewata, jawab soalan-soalan di bawah ini:

a. Bincangkan lima latar masyarakat dalam drama (10 markah)

b. Jelaskan lima persoalan dalam drama (10 markah)


Bahagian c
(Cerpen dan Novel)

Jawab sama ada Soalan 5 atau Soalan 6


5. Berdasarkan cerpen Sidang Para Dukun dan Sindrom, karya Hasan Ali.


a. Sindrom merupakan salah satu persoalan dalam cerpen ini.
Nyatakan tiga jenis sindrom yang dihadapi oleh masyarakat dunia. ( 6 markah)

b. Huraikan empat perwatakan Dukun Pak Badin. ( 8 markah)

c. Jelaskan tiga nilai murni yang terdapat dalam cerpen tersebut. ( 6 markah)


6. Tema novel Dari Lembah ke Puncak karya Gazali Lateh memaparkan kegigihan seorang remaja menghadapi pelbagai cabaran hidup yang akhirnya membawa kejayaan.

a. Nyatakan lima peristiwa menggambarkan kegigihan remaja tersebut. (10 markah)

b. Nyatakan lima cabaran yang dihadapi oleh remaja tersebut. (10 markah)



JAWAPAN

BAHAGIAN SATU

 Soalan 1


a. Gaya bahasa
i. Simile
contoh: Tuan laksana cindai yang halus
ii. Peribahasa
contoh: Kalah membeli menang memakai
iii. Perulangan baris: Rangkap 1 dan 2, Baris 1 dan 2
Contoh: Patah kemudi menyusur pantai
Kapal belayar menimbang arus

b. Rima akhir: abab
Mak: 4m

Soalan 2

a. Tuan Puteri Cenderawati

b. Perwatakan Raja Rom
i. penyayang
ii. mudah insaf
Mak: 4m

Soalan 3

a. Penyakit kayap

b. Tuan Puteri Sa’dung tidak boleh tinggal di dalam istana baginda.
Mak: 4m

Soalan 4

Unsur bunyi

i. Asonansi
Contoh: semir sepatu, pak! Semir sepatu, bu! ( Pengulangan vokal e )
ii. Aliterasi
Contoh: daripada rabik selipar di kaki sendiri ( Pengulangan konsonan r )
iii. Rima akhir rangkap bebas
Contoh: abcd
Mak: 4m

Soalan 5

Persoalan

i. Persoalan mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dalam usaha pembangunan.
Contoh : “ Pendek kata inilah dunia Melayu yang paling Melayu dan tersangat Melayu.”
ii. Persoalan penggunaan teknologi moden dalam penyebaran maklumat.
Contoh : “ Kita buat laman web biar terkenal ke serata dunia.”
iii. Persoalan kepentingan kemudahan awam
Contoh : Kampung Baru dimajukan dengan kemudahan hotel, hospital, padang permainan
kanak-kanak, tempat makan-minum dan kedai
iv. Persoalan kepentingan pembangunan,
contoh; Kampung akan dibangunkan sebagai sebuah perkampungan moden di
bandaraya/Kuala Lumpur
Mak: 4m

Soalan 6

Watak dan perwatakan Datuk Bendahara :
i. Tua
ii. Uzur
iii. Bersemangat menentang musuh/ semangat berkobar-kobar
iv. Berani/ tidak kenal takut/ tidak gentar menentang lawan
v. Bertanggungjawab
vi. Sanggup menghadapi apa saja rintangan/ cabaran
vii. Cinta akan tanahair/ negara

Mak: 4m

Soalan 7

a. Salmah

b. Satu peristiwa yang menggambarkan kebaikan Salmah
i. Peristiwa Salmah merawat luka yang dialami Seremaia Vakarusa
ii. Peristiwa Salmah melayani kedatangan Seremaia Vakarusa ke rumahnya dengan mesra.
Mak: 4m

Soalan 8

Teknik penceritaan
i. Teknik monolog cth: Oh Julie, kau pergi jua rupanya!...........Aku hanya mengejar
bebayangku sendiri,.
ii. Teknik pemerian/deskriptif cth: keluh Hardi dalam-dalam.......... yang sentiasa luas terbentang. Mak: 4m

Soalan 9

a. Maksud Personifikasi:
- Pemberian sifat manusia kepada benda lain selain manusia.
b. Dua contoh:
i. hujan yang menggila malam tadi meninggalkan rasa sejuk
ii. Meskipun matahari senyum mengintai…..
iii. Angin berhembus tenang berbisik segar dan indah, mesra dan sentosa
Mak: 4m

Soalan 10

Empat nilai murni:
i. Kerajinan
ii. Membalas budi
iii. Berdikari
iv.Tolong-menolong

Mak: 4m



BAHAGIAN 2

Soalan 1

a. Maksud rangkap:
i. Rangkap pertama: Mengetahui keburukan sesuatu perkara namun tetap melakukan perkara itu.
ii. Rangkap akhir: Sekiranya orang muda mengutamakan ilmu, syaitan tidak menghampirinya.
Mak: 6m

b. Tiga gaya bahasa:
i. Repitasi: Perkataan ‘di situlah’ dan ‘syaitan’
ii. Sinkof:Contoh tak
iii. Kata Ganda: Contoh laki-laki, hamba-hamba
iv. Perlambangan: contoh syaitan, iblis, penggawa, berkuda
Mak: 6m

c. Empat pengajaran:
i. Kita perlulah menggunakan ilmu untuk kebaikan
ii. Kita patut menghargai masa muda agar masa tua tidak sia-sia
iii. Kita perlu berhati-hati dalam sesuatu majlis yang bercampur lelaki dan perempuan
iv. Orang yang berilmu perlu memberi tunjuk ajar kepada masyarakat lain.
Mak: 8m

Soalan 2

a. Lima Unsur Islam
i. Terdapat penggunaana ayat al-Quran/ ‘Bismillahirrahmanirrahim’
Cth. Pada permulaan cerita dimulakan dengan bismillahirrahmanirrahim.
ii. Penggunaan nama Allah
Cth; Permulaan cerita dipuji nama Allah/PM minta semoga pemergian TP Rakna Kemala
diselamatkan Allah.
iii. Penyebutan nama Nabi
Cth; Nabi Muhammad SAW/Nabi Sulaiman
iv. Percaya kepada Takdir Allah
Cth;Dengan takdir Allah Maharaja Bikrama Sakti meninggal dunia.
v. Penggunaan perkataan berunsur Islam
Cth; rahmatullah
vi. Menguruskan jenazah secara Islam
Cth; TP Sinaran Bulan dimandi, dikafan dan dikebumikan. Mak:10m

b. Perwatakan Tuan Puteri Rakna Kemala (Nakhoda Muda)
i. Seorang yang penyayang
Cth; menangis/meratapi kematian ayahanda dan bondanya kerana tidak mahu berpisah.
ii. Menghormati kekandanya
Cth; hormat kepada maharaja Johan Syah yang datang ke istananya.
iii. Seorang yang bertanggungjawab
Cth; menyuruh dayang-dayang menyediakan makanan dan pakaian sebagai bekalan
kekandanya yang mahu belayar.
iv. Seorang yang suka bertindak mengikut perasaan
Cth; cuba membunuh diri apabila ditegah daripada belayar oleh Perdana Menteri.
v. Seorang yang berani
Cth belayar mencari kakandanya walaupun seorang perempuan.

vi. Seorang yang bijaksana
Cth; menyamar sebagai Nakhoda Muda supaya tidak dikenali/menabur tanah pulau sebelum
bertanding dengan Maharaja Digar Alam
vii. Seorang yang berpandangan jauh
Cth; mengambil tanah di Pulau Rumbnia sebagai persediaan untuk bertanding dengan
Maharaja Digar Alam.
Mak: 10m
Soalan 3

a. Tema sajak ini ialah perasaan seorang anak terhadap kematian ayahnya. Si anak terkenang
amalan baik semasa hidup ayahnya dan ahli keluarga redha dengan pemergiannya.
Mak: 4m

b. Ciri-ciri bentuk
i. Berangkap
Contoh: Terdiri daripada lima rangkap
ii. Jumlah baris setiap rangkap tidak sama banyak/di antara dua hingga tujuh
Contoh: R5: 2 baris, R3: 7 baris
iii. Rima akhir sajak bebas/tidak sama di antara satu rangkap dengan rangkap lain
Contoh: R1: abccc, R2: abcccd
iv. Panjang pendek baris tidak sama
Contoh: mengejar subuh di surau sepi di kampung kami ( baris terpanjang )
segala rindu ( baris terpendek )
v. Jumlah perkataan sebaris tidak sama banyak/di antara dua hingga lapan
Contoh: segala rindu ( dua perkataan )
mengejar subuh di surau sepi di kampung kami ( lapan perkataan )
vi. Jumlah suku kata sebaris tidak sama banyak/di antara lima hingga enam belas
Contoh: segala rindu ( lima suku kata )
Mudah-mudahan sesejuk itulah pusara ayah ( enam belas suku kata )
vii. Berbentuk bebas
Mak: 10m

c. Nilai murni
i. Keredhaan
Contoh: kami akur juga akhirnya.
ii. Keyakinan/Menyakini kekuasaan/kebesaran Allah
Contoh: kecintaan-Nya melebihi segala cinta
iii. Taat/patuh/rajin beramal ibadat kepada Tuhan
Contoh: mengejar subuh di surau sepi di kampung kami
iv. Mencintai Allah SWT
Contoh: kerinduan ayah pada-Nya melebihi segala rindu
v. Ketabahan/kesabaran
Contoh: kerana ayah punyai isteri tabah
vi. Pasrah/menyerah diri kepada Allah SWT
Contoh: dan anak menantu yang pasrah
vii. Kasih sayang
Contoh: dingin dahi ayah waktu kukucup/dia tetap hidup di hati kami
Mak:6m

Soalan 4

a. Latar masyarakat dalam drama :
i. Masyarakat yang patuh dan setia kepada raja.
Contoh: Kesetiaan Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya mewakili masyarakat yang sentiasa
taat kepada raja dan menghormati kedaulatan sesebuah negara.
ii. Masyarakat yang berani menegakkan keadilan dalam hidup.
Contoh: Hang Tuah serta semua sahabatnya memperlihatkan masyarakat yang berani
menegakkan keadilan walaupun menghadapi tentangan musuh yang mencabar.
iii. Masyarakat yang mempunyai nilai tanggungjawab yang tinggi.
Contoh: Hang Tuah serta semua sahabatnya yang bertanggungjawab
membantu negeri Melaka menghapuskan lanun-lanun yang berleluasa di lautan tanpa mengikut undang-undang.
iv. Masyarakat yang kejam/ tidak berperikemanusiaan.
Contoh: Juragan Kilat Bersiung bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila dia sanggup menyeksa Hang Tuah serta semua sahabatnya.
v. Masyarakat yang berpendirian teguh.
Contoh: Hang Tuah berpendirian teguh tidak menerima pelawaan Nakhoda Antah Berantah.
Mak:10m

b. Persoalan dalam drama
i. Persoalan ketaatan kepada raja
Contoh : Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya telah mempamerkan ketaatan kepada raja yang tidak berbelah bahagi biarpun nyawa mereka dalam keadaan yang berbahaya.
ii. Persoalan berani menegakkan keadilan
Contoh : Hang Tuah serta semua sahabatnya sanggup untuk mempertaruhkan nyawa demi menegakkan keadilan melawan lanun-lanun.
iii. Persoalan kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan
Contoh : keinsafan Nakhoda Antah Berantah telah menukar pendiriannya untuk tunduk menghadap raja dan sedia mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
iv. Persoalan bersatu padu / bekerjasama
Contoh : Nakhoda Antah Berantah sanggup bekerjasama dengan Hang Tuah untuk mentaati raja.
v. Persoalan cinta akan tanah air
Hang Tuah dan rakan-rakannya tidak tunduk terhadap ancaman Nakhoda Antah Berantah demi mempertahankan Melaka
Mak:10m

Soalan 5

a. Tiga jenis sindrom
i. Sindrom takut bayang-bayang dialami orang Barat.
ii. Sindrom suka perang dialami orang Asia Barat
iii. Sindrom mengumpul harta dunia dialami penduduk /orang negara Matahari
iv. Sindrom tak boleh tengok kulit hitam dialami penduduk negara Intan Terpilih
v. Sindrom subsidi dialami orang Melayu
vi. Sindrom cinta akan Barat dialami orang Melayu
vii. Sindrom suka mengadu ke mahkamah apabila tidak puas hati dialami orangMelayu
Mak:6m

b. Perwatakan Dukun Pak Badin
i. Seorang yang beriman.
Contoh : Pak Badin menunaikan solat Tahajud.
ii. Seorang yang bijaksana.
Contoh: Pak Badin bijak memberi idea untuk menyelesaikan masalah dukun sedunia.
iii. Seorang mempunyai jati diri yang tinggi /cintakan bangsanya.
Contoh: Pak Badin tidak mahu keturunan bangsa Melayu hilang di dunia.
iv. Seorang yang tidak mudah berkecil hati.
Contoh: Pak Badin tidak berkecil hati apabila cadangannya ditolak mentah-mentah oleh
Ketua Satu Sidang Kampung Melayu.
v. Seorang yang tidak suka mengadu.
Contoh: Pak Badin tidak suka mengadu ke mahkamah apabila tidak berpuas hati.
Mak:8m

c. Nilai
i. Nilai tanggungjawab.
Contoh: Pak Badin mempunyai nilai tanggungjawab yan g tinggi terhadap masalah yang
berlaku dalam masyarakat di kampungnya.
ii. Nilai kerjasama.
Contoh: Para dukun bersidang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di negara masing-masing.
iii. Nilai cintakan bangsa.
Contoh: Pak Badin tidak mahu budaya barat menghakis budaya ketimuran di kampungnya.
iv. Nilai kesabaran.
Contoh: Pak Badin tidak cepat melenting apabila cadangannya ditolak.

v. Nilai kebijaksanaan.
Contoh: Pak Badin dapat memberikan pendapat yang bernas bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh dukun-dukun luar negara.
Mak:6m

Soalan 6

a. Kegigihan Jalil
i. Kegigihan menebus kembali tanah pusaka ayahnya.
Contoh Jalil berusaha dengan gigih untuk menebus semula tanah tersebut.
ii. Kegigihan Jalil dalam menuntut ilmu.
Contoh Jalil terpaksa berusaha gigih untuk meneruskan pelajarannya sehingga terpaksa
meminta wang baki bayaran tanah daripada pak cik Jid untuk membayar yuran pendaftaran
sekolah.
iii. Kegigihan mencari rezeki bagi menyara hidupnya.
Contoh terpaksa turun kesawah walaupun kakinya luka.
iv. Kegigihan berusaha mengubah nasib.
Contoh setelah tamat belajar dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkerja sebagai pelukis
seterusnya menyambung pelajaran dan berjaya membuka syarikat Alam Hijau.
v. Kegigihan mempertahankan hak.
Contoh berusaha dengan gigih mengumpul wang dan bersabar dengan kerenah Pak Amat
yang mungkir janji sehingga dia berjaya menebus semula tanahnya.
vi. Kegigihan mencapai cita – cita
Contoh Jalil gigih bekerja dan megembangkan syarikat perniagaannya hingga berjaya
membina teman tema di kampungnya.
vii. Kegigihan untuk memajukan kampungnya.
Contoh: Jalil berusaha membina Taman Tema untuk membangunkan kampunngnya
Mak:10m

b. Cabaran yang dihadapi
i. Abangnya/ Muhsin dituduh bawa lari Biah ke Kuala Lumpur
ii. Hidup bersendirian selepas ibunya meninggalkan kampong
iii. Tanah ayahnya digadai oleh Mak Teh
iv. Terpaksa tidur di dalam reban ayam selepas rumahnya dirobohkan setelah ibunya menjual
tanah tersebut.
v. Kehilangan tanah yang merupakan satu – satunya harta peninggalan ayahnya dan terpaksa
berusaha dengan gigih menebus kembali tanah tersebut.
vi. Kesusuhan ketiadaan wang untuk meneruskan pelajarannya sehingga terpaksa meminta
wang baki bayaran tanah yang pernah dijual oleh ibunya semasa arwah ayahnya masih ada
daripada Pak Jid.
vi. Semasa kecil lagi Jalil hidup susah tak pernah membawa wang saku ke sekolah.
vii. Mendapat tentangan daripada Kudin semasa ingin membeli tanah di kampong Bukit Nibung
untuk membina Taman tema.
viii. Dipulau oleh masyarakat kampung/tidak diajak ke kenduri rumah Pak Ngah Kadir
Mak:10m

Comments