GAPENA



AGENDA GAPENA

Membina dan memperluas khalayak sastera menjadi agenda utama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bagi memastikan arena kesusasteraan kekal relevan dalam masyarakat, malahan membantu golongan penulis untuk terus hidup.

Hasrat itu diluahkan Ketua l GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Baka, ketika ditemui pada majlis perasmian Simposium Cerpen Antarabangsa Negeri Sabah 2013, di Dewan Besar, Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Selain menerangkan peranan dan tanggungjawab GAPENA terhadap badan penulis yang bernaung di bawahnya, Prof Datuk Dr Abdul Latiff turut berkongsi pandangan mengenai kaedah terbaik menarik khalayak, sekaligus menghidupkan kembali nadi sastera yang semakin tenggelam punca.

"GAPENA banyak mendengar rintihan penulis yang mendakwa karya mereka tidak laku, sedangkan ia sebuah karya bermutu. Lebih menyedihkan, karya sastera popular dan bertema cinta saja yang terus menjadi perhatian masyarakat.

"Ramai yang mendakwa golongan penulis hanya syok sendiri kerana apa juga acara berkaitan sastera cuma dihadiri kelompok mereka dan khalayak tidak ramai. Jelas dapat dilihat sokongan terhadap sastera semakin berkurangan.

"Kita sepatutnya mengubah tanggapan masyarakat dan yakinkan kepada mereka kepentingannya dalam menjana daya intelektual, pembangunan modal insan dan penghargaan terhadap bahasa Melayu," katanya.



Program GAPENA

Justeru, GAPENA kini memperkenalkan slogan 'Pewaris Sastera' dalam usaha menarik masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dari sekolah rendah, menengah, pengajian tinggi, dewasa dan veteran, kembali mengenali dan mencintai kesusasteraan secara serius.

Di samping itu, Prof Datuk Dr Abdul Latiff turut memberitahu, GAPENA merancang pelbagai program sastera yang berkemungkinan diusahakan secara kerjasama dengan DBP, selain berharap dapat mengadakan acara penganugerahan untuk golongan penulis bagi menghargai jasa mereka.

"GAPENA berharap projek induk kami, Perhimpunan Penulis Malaysia, meskipun masih dalam peringkat perbincangan dapat dilaksanakan. Kami juga merancang untuk mengadakan Perhimpunan Penulis Negeri.

"Program ini dijangka turut membabitkan DBP sebagai rakan kerjasama, malahan kami juga memikirkan cara untuk menghargai sumbangan penulis dan karya hebat mereka dengan mengadakan anugerah khusus memartabatkan naskhah sastera terbaik dan mengiktiraf tokoh," katanya.

Beliau turut memberitahu, GAPENA juga akan terus mendesak Kementerian Pelajaran bagi menyediakan peruntukan membeli buku sastera dan diletakkan di perpustakaan setiap sekolah di seluruh negara.

"GAPENA akan lebih cergas dalam memastikan Kementerian Pelajaran bertindak terutama membeli buku sastera untuk diletakkan di perpustakaan. Saya percaya dengan cara ini pelajar akan lebih terdedah karya sastera, berminat dan akhirnya mencari naskhah sastera di kedai buku.

"Saya percaya perancangan GAPENA ini sekiranya berjalan lancar akan memberi perubahan positif kepada sistem pendidikan kebangsaan dan tidak mustahil subjek Kesusasteraan Melayu diangkat sebagai mata pelajaran wajib di sekolah menengah," katanya.

Berita Harian 14 Mei 2013


Ahli Jawatankuasa GAPENA 2012 -2014


GAPENA boleh dicapai di sini

Comments