Mak Yong : Muzikal, Drama dan Tari


mak yong


Mak Yong : Muzikal, drama dan tari

Sejarah Mak Yong

MAK YONG merupakan satu-satunya kesenian Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO se bagai warisan pada 25 November 2005. Makyong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalan dalam siri pertunjukkan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

Asal-Usul Mak Yong

Mak yong diasaskan di Kerajaan Pattani yang kini merupakan sebahagian daripada Thailand. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, usia sebenar Mak Yong tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi. Menurut Hikayat Patani Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.

Lagenda biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang tetapi yang lain mempercayai ia dicipta oleh makluk digelar Semar. Para sejarahwan tidak pasti samaada Mak Yong berasal dari tradisi rakyat atau teater istana. Sungguhpun begitu ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit.

Semasa di Patani, Mak Yong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 di mana ia sering dipertontonkan dikalangan orang biasa.

Pada awal abad ke-20, tarian Mak Yong mula berkembang ke merata-rata kampung tanpa naungan istana. Punca utamanya adalah kerana kedatangan British ke Kelantan telah mengurangkan kedudukan ekonomi raja-raja ini. Faktor inilah yang mengakibatkan kemerosotan mutu persembahan dalam generasi kedua, iaitu zaman selepas Bah Air Merah pada tahun 1926 hinggalah tahun-tahun 1950-an. Unsur-unsur komersil pertunjukan Mak Yong telah memperalatkan nilai-nilai estetik klasik yang ada dalam Mak Yong. Persembahan Mak Yong yang diadakan dengan cara pemajakan akan bermula dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.00 malam sahaja. Kemudian, persembahan diberhentikan dan alat-alat muzik biola dan akordion menggantikan rebab dan serunai untuk memainkan lagu-lagu joget. Penonton-penonton akan naik pentas untuk menari joget dengan penari-penari Mak Yong.


Nilai moral penari-penari Mak Yong juga mula merosot. Banyak sekali kisah-kisah sumbang di antara penari-penari Mak Yong dengan penonton-penonton selepas selesai persembahan Mak Yong, dan perceraian di kalangan suami isteri dan anak-anak Mak Yong merupakan satu perkara yang biasa sahaja. Malah ada di kalangan penari Mak Yong yang berasa bangga dengan jumlah bilangan suami yang dapat dikutip oleh mereka. Pandangan masyarakat terhadap penari-penari Mak Yong mula merosot dan mula hilang kepercayaan terhadap moral mereka. Keadaan ini mempercepatkan lagi kejatuhan imej Mak Yong.

Pada akhir-akhir 1960-an, sudah tidak banyak lagi kumpulan Mak Yong yang wujud, dan tidak banyak lagi orang yang berminat mempelajari seni tari ini. Kemasukan pengaruh-pengaruh kebudayaan Barat yang meluas menggelapkan lagi permainan Mak Yong. Kalau ada pun persembahan Mak Yong pada masa perayaan seperti Hari Keputeraan Sultan, persembahan itu hanya dikerumuni oleh orang-orang tua.

Kumpulan generasi ketiga tarian Mak Yong telah dipelopori oleh Kumpulan Seri Temenggung, sebuah kumpulan belia. Guru-guru Mak Yong yang terdiri daripada orang-orang lama dari generasi pertama telah diambil untuk melatih mereka dalam tarian-tarian dan nyanyian-nyanyian Mak Yong yang asli seperti yang terdapat pada masa generasi yang pertama dulu. Dengan latihan itu, unsur-unsur yang asli mula dihidupkan kembali.

Jenis-Jenis Mak yong

Terdapat 5 jenis persembahan Makyong yang pernah wujud. Tiga daripadanya terdapat di Malaysia. Setiap jenis persembahan Makyong mempunyai perbezaan yang membezakan di antara satu dengan yang lain. Jenis-jenis Makyong tersebut ialah:-
a. Makyong Patani - ditemui di Pattani, Yala dan Narathiwat, tiga buah wilayah di selatan Thailand yang dahulunya merupakan wilayah Kesultanan Melayu Patani.
b. Makyong Kelantan - ditemui di negeri Kelantan dan Terengganu, Malaysia.
c. Makyong Kedah - ditemui di negeri Kedah, Malaysia.
d. Makyong Laut - ditemui di negeri Perlis (Malaysia) dan wilayah Satun (Thailand).
e. Makyong Riau - ditemui di Wilayah Riau, Indonesia.


Mak Yong Kelantan : Cerita, Struktur dan Muzik

Cerita Mak Yong Kelantan

Cerita-cerita Mak Yong (asal abad ke 17, di zaman kegemilangan islam di Nusantara) diambil dari Menora(abad-abad terdahulu, mungkin zaman kedatangan ugama Buddha dari India/ Sri Lanka) atau dipinjamkan dari cerita-cerita Wayang Kulit (Hikayat Seri Rama dari Jawa dan Cerita Mahraja Jawa dari Kemboja) dan daripada cerita bangsawan(persembahan abad ke 19 dan 20) kerana ini merupakan rumpun genre teater tradisional. Bagi Makyong di Kelantan tajuk cerita adalah berkait dengan nama watak utama dalam cerita. Contohnya Dewa Muda, Anak Raja Gondang, Raja Bongsu Sakti, Raja Tangkai Hati dan lain-lain.

Satu cerita dalam persembahan Mak Yong adalah hasil dari gabungan gerak tari, nyanyian, muzik dan teks. Tema yang mendasari cerita-cerita Mak Yong adalah merupakan mitos percintaan anak-anak raja dan dewa-dewa, kisah pengembaraan dan juga kehidupan di istana, misalnya cerita Raja Tangkai Hati. Sungguhpun di tengah-tengah masyarakat petani dan nelayan mengatakan cerita-cerita Mak Yong juga berkaitan dengan dua alam iaitu alam dunia dan alam ghaib (alam kayangan Dewa-Dewi). Cerita-cerita Mak Yong membawa penonton untuk meneroka kehidupan di bumi, di laut dan di kayangan. Orang Kelantan berpendapat bahawa semua cerita Mak Yong mempunyai hubungan yang erat dengan dewa-dewa, tentang pengembaraan dewa-dewa atau anak-anak raja serta seringkali menyelitkan peristiwa-peristiwa ghaib. Oleh kerana itu cerita-cerita ini dianggap sebagai cerita roman dan saga. Sebagaimana yang dijelaskan tadi bahawa kisah dalam persembahan Mak Yong adalah berkisar kepada kisah raja-raja.

Mak yong sendiri telah mengalami proses Islamisasi sewaktu islam menyerap masuk ke nusantara dan istana-istana seawal 1028 di Champa, 1198 di Pattani. Pattani dan Kelantan pula adalah satu negeri sebelum Perjanjian Bangkok 1909. Cerita-cerita mak yong yang dikembangkan dan diperkemaskan oleh Tengku Temenggung Kelantan pada awal 1900 memang terpengaruh dengan cerita Ramayana, Cerita Panji dan cerita-cerita dari pelajaran Islamnya(tasauf) dan dekat dengan kitab Al-Ghazali yang membicarakan tentang penyakit-penyakit hati. Setiap cerita mempunyai watak baik dan jahat seperti semua cerita tradisional dan ada sebab dan akibat.

Mak Yong yang lengkap, asli dan autentik dipersembahkan dalam permainan Mak Yong. Perkara ini dibuktikan melalui senarai cerita yang direkodkan oleh Mubin Sheppard yang mencatatkan bahawa Cerita Makyong bermula dengan satu cerita Dewa Muda lalu berkembang kepada cerita Anak Raja Gondang, Bongsu Sakti, Raja Tangkai Hati, Indera Dewa-dewa Indera, Puteri Timun Muda, Raja Muda Laleng, Raja Muda Lembek, Gading Bertimang dan Raja Dua Serupa.


Sementara itu menurut kajian Mohamed Afandi Cerita Makyung terbahagi kepada 5 kumpulan cerita.

Kumpulan 1:
1. Cerita Anak Raja Gondang
2. Cerita Bongsu Sakti
3. Cerita Tuan Bijak Laksana.

Kumpulan 2 - Cerita DewaTujuh
1. Bisnu Dewa
2. Cerita Dewa Indera
3. Andera Dewa
4. Cerita Dewa Sakti
5. Cerita Dewa Pechil
6. Cerita Dewa Samar Daru
7. Cerita Dewa Muda

Kumpulan 3:
Cerita Raja Muda Laleng

Kumpulan 4:
Cerita Raja Muda Lembek

Kumpulan 5:
Cerita Raja Tangkai Hati


Dari sini jelas memperlihatkan kesinambungan cerita-cerita tersebut antara satu sama lain. Mak Yong yang lengkap dan autentik ialah: Dewa Muda, Dewa Pecil (dan Dewa Samadaru sebagai suatu versi lain), Dewa Sakti (Raja Sakti), Dewa Indera-Indera Dewa
Dewa Panah (Anak Raja Panah), Anak Raja Gondang (mengandungi Bongsu Sakti dan Bijak Laksana), Gading Bertimang, Raja Tangkai Hati, Raja Muda Lakleng, Raja Muda Lembek, Raja Besar dalam negeri Ho Gading, dan Bedara Muda

Cerita Mak Yong sebagai sebuah hasil sastera rakyat, cerita-cerita Mak Yong diperturunkan secara lisan. Dalam proses penyebarannya ia mengalami pindaan dan tokok tambah pada jalan cerita, teks dan juga tajuk. Sehingga kini masih belum dapat dikenal pasti berapa lamakah cerita-cerita Mak Yong yang dipersembahkan telah wujud. Kesukaran juga dihadapi dalam usaha menyenaraikan tajuk cerita-cerita Mak Yong kerana terdapat tajuk yang berlainan tetapi mempunyai isi cerita yang sama. Walaubagaimanapun cerita-cerita Mak Yong adalah sebenarnya berada dalam lingkungan atau rumpun yang sama. Persembahan Mak Yong biasanya berlanjutan tiga hingga lima malam. Ini menepati salah satu ciri sastera rakyat. Ia juga boleh dianggap sebagai penglipur lara.

Cerita Mak Yong mempunyai struktur yang tersendiri dan bentuknya. Walaupun cerita berbeza sekalipun strukturnya adalah sama. Di antara Strukturnya ialah:


Struktur dalam cerita Mak Yong

1. Bertabuh
2. Mengadap rebab
3. Raja atau Pak Yong keluar dan berdialog dengan Mak Yong.
4. Pak Yong Muda atau Puteri Mak Yong akan menyanyi.
5. Dialog Pak Yong memanggil pengasuh.
6. Yanyian Pak Yong Tua- Sendayong Pak Yong.
7. Dialog
8. Nyanyian Peran
9. Dialog antara Pak Yong dengan Peran
10. Pak Yong menyanyi lagu berkhabar.
11. Dialog
12. Nyanyian Peran
13. Dialog
14. Nyanyian Peran
15. Dialog
16. Lagu barat cepat
17. Dialog Peran 1 dan 2
18. Lagu Tok wak
19. Dialog Pak Yong
20. Lagu Ela oleh Pak Yong membawa cerita yang akan di persembahkan.

Selepas dengan persembahan Rebab, segmen memperkenalkan diri disembahkan sebelum pecah cerita . Segmen ini merupakan satu segmen yang memberi penjelasan dan pemahaman kepada khalayak agar dapat memahami dan mengenali watak bagi menghayati segmen-segmen berikutnya.

Pak Yong selaku watak utama atau teraju dalam persembahan akan memperkenalkan dirinya, negaranya, asal usulnya, istananya dan mimpinya melalui ‘Lagu Ela’.Ini merupakan satu cara bagi mendekatkan penonton dengan watak dan memudahkan penonton memahami jalan cerita. Dengan cara ini penonton dapat menghayati cerita yang dipersembahkan dengan mudah.


Sinopsis Cerita Wak Raja Gondang

Cerita Wak Raja Gondang Anak Raja Gondang adalah sebuah kisah di dalam negeri Serendah Sepagar Ruyung yang diperintah oleh Raja Besar. Kisah bermula dengan Permaisuri Raja Besar iaitu Puteri Gerak Petera sedang hamil anak sulung mereka. Sebagai persiapan Sekiranya menimang seorang putera maka baginda, Raja Besar keluar berburu ke hutan untuk mencari Gajah Putih Bergading Hitam.

Ketika dalam perburuan, Puteri Gerak Petera bersalin, baginda tidak melahirkan seorang putera tetapi seekor siput gondang. Apabila Raja Besar pulang ke istana, baginda terkejut dan amat murka kerana melihatkan anaknya bukan manusia. Maka, baginda menuduh Puteri Gerak Petera membuat hubungan sulit lalu menghalau Puteri Gerak Petera dari istana. Puteri Gerak Petera bersama anak gondangnya membawa diri dan mendapatkan perlindungan dari Wak Pakil Jenang, seorang bekas pekerja istana. Baginda juga mengarahkan anak gondangnya untuk dijaga oleh Wak Pakil Jenang semasa bekerja.

Akhinya apabila tiba saat dan ketikanya, gendang menetas dan keluarlah seorang putera dari gondang. Pada awalnya Wak Pakil Jenang tidak mempercayai kejadian itu. Apabila Puteri Gerak Petera pulang, didapati gondangnya kosong, berlaku salah faham antara Puteri dengan Wak Pakil Jenang. Anak Raja Gondang menceritakan hal yang sebenar, maka Puteri menyumpah akan sesiapa yang mengganggu gondangnya. Anak Raja Gondang memohon izin untuk memulakan pengembaraan menemui ayahandanya lalu berangkat ke Padang Luas Saujana padang. Di sinilah bermulanya pengembaraan Anak Raja Gondang yang melalui pelbagai halangan, namun atas kebijaksanaannya maka baginda dapat mengatasi anak-anak Mak Inang Kurang Sa Empat Puluh dan Wak Juara Pemikat. Kerana kesengajaannya menganiaya Wak Juara Pemikat maka baginda telah ditangkap o!eh Wak Pertanda Raja lalu membawanya masuk ke istana. Helahnya telah berjaya menemukannya dengan Raja Besar.

Raja Besar terpikat dengan Anak Raja Gondang, lantas mengambil Anak Raja Gondang sebagai anak angkat baginda. Baginda tidak menyangka bahawa Gondang adalah anak kandungnya.




Sinopsis Cerita Hikayat Dewa Muda

Bahagian 1 - Dewa Muda bermimpi didatangi seorang lelaki tua memintanya memburu kijang ucana (emas). Jika tidak tertunai, negeri Selindungan Bulan akan ditimpa bencana. Setelah terjaga, Dewa Muda memanggil pengasuh antara kedua iaitu Peran Tua & Peran Muda bertanyakan maksud mimpinya. Kedua peran sukar menfsirnya lalu memanggil Tok Nujum & menurutnya Dewa Muda perlu mematuhi arahan mimpinya. Dewa Muda & pengasuh keduanya berangkat ke hutan lalu terpandang kijang ucana namun ghaib tiba-tiba namun diteruskan perburuan hingga tersesat di sebuah tasik yang indah. Sewaktu Dewa Muda membasuh muka, muncul wajah Puteri Ratna Emas dalam bayangan air dan mengarahkan agar semua syarat dipatuhi jika ingin bertemu dengannya seperti bermain wau beremas. Dewa Muda lantas pulang menemui bonda & menyatakan hasrat lalu diberitahu bahawa wau tersebut di Tanah Jawa.



Bahagian 2 - Wau berjaya ditemui, malangnya tersangkut atas dahan (bumbung istana bota). Awang Sejambul Lebat dipanggil membantu Dewa Muda untuk meneruskan niat menemui Puteri Ratna Emas dengan meniti tali yang diikat pada busut rumput. Di pertengahan jalan, Dewa Muda ditakuti oleh suara Bota yang garang dan Dewa Muda berasa takut, lantas Dewa Muda turun ke bumi tetapi telah dipukul oleh Awang Si Jambul Lebat dengan Lintang 40 membujur 40 sehingga Dewa Muda sanggup mendaki semula. Mereka berasa amat penat lalu menjamah sedikit makanan dan tertidur di situ. Pada waktu itu, Puteri Ratna Emas dan Inang Bongsu sedang bermain di taman istana. Mereka terkejut melihat tanaman di makan orang. Namun apabila ternampak Dewa Muda dan Awang Sejambul Lebat mereka pun berkenalan. Berputiklah cinta antara Dewa Muda dan Puteri Ratna Emas. Sewaktu hendak di bawa ke dalam istana, Dewa Muda telah ditukarkan rupanya oleh Puteri Ratna Emas menjadi sekuntum Bunga Putih bagi mengelak diketahui asal usul kekasihnya itu oleh ayahanda Raja Bota dan Inang Bongsu yang curiga.


Alat Muzik Mak Yong

Alat-alat Muzik Dalam Mak Yong Muzik adalah begitu penting dalam persembahan Mak Yong. Tanpa muzik, maka sesuatu tarian ibarat tidak mempunyai nyawa. Maka, dalam persembahan Mak Yong, muzik adalah begitu pentingnya. Alat muzik utama yang dimainkan dalam persembahan Mak Yong adalah rebab tiga tali, sepasang gendang, dan sepasang tetawak. Namun, terdapat alat tambahan juga dimainkan dalam muzik Mak Yong untuk menambahkan kesedapan alunan melodinya. Antara alat-alat tersebut adalah canang, kesi, serunai.

Serunai selalunya lebih sinonim dengan persembahan wayang kulit dan Rebab sinonim dengan mak yong. Walubagaimanapun, mungkin ada kumpulan dan persembahan yang menggunakan serunai dalam mempelbagaikan kreativiti.

Rebab merupakan alat yang paling penting dalam muzik Mak Yong. Rebab mempunyai 3 bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka dibuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutupi dengan kulit lembu. Terdapat susu pada muka di penjuru kiri. Fungsinya adalah untuk mengimbangkan tekanan udara dalam dan luar. Masa dahulu, tali rebab diperbuat daripada benang besar dan kemudian menggunakan benang kasar. Sekarang pula mengunakan tali gitar, tali gambus atau tali biola. Penggesek rebab diperbuat daripada kayu dan tali tangsi. Ahli muzik yang terpenting dalam kumpulan muzik Mak Yong ialah pemain rebab dan juga dikenali sebagai Tok Minduk. Beliau adalah ketua dan juga "pemimpin" kumpulan muzik itu. Beliau memulakan semua lagu sepanjang 8 hingga 16 bar dan selepas itu diikuti oleh gendang, gong, suara penyanyi solo dan korus.

Unsur nyanyian dalam Mak Yong diselenggarakan oleh kesemua pelakon dan juga ahli-ahli muzik. Pelakon utama akan mula menyanyi empat atau lapan bar selepas pendahuluan dilakukan oleh tok minduk. Rangkap ini akan dinyanyikan semula oleh korus dan juga ahli-ahli muzik. Biasanya melodi pendek akan digunakan berkali-kali.
Rebab -  alat muzik utama dalam Mak Yong
Beliau juga memberi isyarat memulakan lagu, menukar rentak dan hal-hal lain mengenai aspek muzik. Tok minduk dan ahli muzik lain menghafal kesemua lagu-lagu Mak Yong. Ia juga menjalankan istiadat buka panggung. Ahli-ahli muzik ditempatkan di sudut kiri pentas dan tok minduk duduk mengarah barat.

Gong atau tetawak turut memainkan peranan yang penting. Gong ibu adalah lebih besar dari gong anak yang diperbuat dari tembaga. Bunyian gong ibu lebih rendah dari bunyian gong anak. Kedua-dua digantung dan dipisahkan oleh 2 batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukul diperbuat daripada kayu yang dinamakan mengembang. Pemukulnya diperbuat dari kayu yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah Gong besar akan berbunyi pada setiap bit terakhir sesuatu lagu manakala gong anak akan menentukan bit-bit tertentu. Pic gong yang menentukan form dalam muzik Mak Yong.

Gendang anak dan gendang ibu diperbuat dari kayu nangka dan muka gendang ditutupi dengan kulit lembu dan kulit kambing. Pemukulnya diperbuat dari rotan dan kayu. Gendang digunakan untuk mengawal tempo sesuatu lagu.

Kesi juga merupakan alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat dua bahagian pada kesi iaitu empat piring dan dua kicah dan diperbuat dari besi ataupun tembaga. Suara yang dihasilkan oleh kesi adalah memecah dan gemersik.

Canang merupakan suatu alat tambahan dalam muzik Mak Yong. Terdapat canang ibu dan canang anak. Perbezaaan canang boleh didengar melalui bunyi. Jika bunyinya adalah kuat maka itu adalah canang ibu dan sebaliknya. Canang digunakan untuk mengawal bit sesuatu lagu.

Repertoire muzik Mak Yong terdiri daripada lagu-lagu paluan dan lagu-lagu nyanyian. Lagu - lagu paluan dimainkan untuk beberapa kegiatan tertentu, termasuk lagu yang bertajuk Pak Yong Turun untuk mengiringi pelakon-pelakon ke atas panggung pada permulaan persembahan, lagu Barat yang biasanya perjalanan dalam cerita, dan lagu yang bertajuk Sang atau Penyudah untuk menyudahi sesuatu persembahan. Walau bagaimanapun, kebanyakkan muzik Mak Yong adalah muzik vokal yang dimainkan dengan tujuan tertentu berasas kepada keadaan cerita tertentu.

Pada permulaan persembahan dramatari Mak Yong, lagu (serta tarian) yang sangat penting ialah lagu yang bertajuk Menghadap Rebab apabila semua pelakon member hormat kepada alat muzik rebab. Lagu khas ini memberi aspek ritual yang penting kepada pelakon-pelakon dan pemain-pemain muzik dalam rombongan Mak Yong. Tetapi dalam konteks cerita, lagu yang bertajuk Ela dinyanyikan untuk menyampaikan berita, manakala lagu Mengulit Raja Nak Tidur dimainkan untuk masa tidur atau untuk membangkitkan perasaan yang halus.
Untuk suasana sedih lagu Jembar atau Mengambul biasanya dimainkan, manakala untuk kegiatan berjalan lagu yang sesuai ialah Timang Welu dan Kijang Emas. Lagu-lagu yang bertajuk Sedayung Mak Yong dan Sedayung Pakyung kerapkali digunakan untuk berbagai tujuan. Adalah dipercayai bahawa lagu Sedayung Pakyung dikaitkan dengan kuasa yang luar biasa terutama kuasa yang bersifat sakti dan lagu ini digunakan khususnya untuk mengubah atau menjelma rupa atau bentuk watak atau sesuatu yang lain dalam cerita. (dipetik dari buku Muzik Malaysia: Tradisi Klasik Rakyat dan Sinkretik oleh Patricia Matursky dan Tan Sooi Beng m.s 29)


Watak Dalam Mak Yong

Watak-watak yang dimainkan

Watak - watak penting dalam sesebuah cerita makyung :-


1. Pak Yong - Menjadi raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita makyung


2. Pak Yong Muda - Walak utama atau hero dalam cerita makyung. Watak inilah yang mengalami berbagai-bagai peristiwa dari saat ia dilahirkan hingga dewasa semasa cerita berkisar di sekitar kehidupan Pak Yung Muda.


3. Mak Yong - Juga permaisuri dan dalam setengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.


4. Puteri Mak Yong - Sebagai heroin dalam cerita makyung


5. Peran - Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita makyung. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan raja. Lain-lain peran adalah watak kelakar.


6. Dayang - dayang - Terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Mak Yung atau Puteri Mak Yung.



Selain daripada watak-watak yang tersebut di atas, watak-watak jahat tidak ketinggalan, seperti raja jin dan sebagainya yang merupakan pihak lawan kepada watak-watak baik di atas.



Struktur Mak Yong
Cerita makyung mempunyai struktur yang tersendiri. Bentuknya adalah sama dalam semua cerita Tang dimainkan. Setiap cerita bermula dengan upacara mengadap rebab di mana watak utama akan menyanyi solo dan diikuti oleh korus. Pelakon-pelakon akan membuat gerak seni jari, bahu dan badan sambil menyanyi. Akhimya mereka bangun secara perlahan dan berdiri tegak sebaik sahaja habis nyanyian solo. Mereka kemudian mengelilingi pentas dengan tarian perlahan dan salah seorang akan memulakan nyanyian solo. Nyanyian di sini adalah 'sedayong Makyung'.



Contoh lagu mengadap rebab:



Bong wei... membalik tipo gak
Dage membue silolah cik wei
Dage membue silolah cik wei
Ayuhlah cik wei
Seperti suloh memain angin la...
Eh... bemban gugor di tapok
Selude cik wei... meningga maye la...
Ayuh tue wei
Seperti aur menarik suse Ia
Eh.., sawo kami menggorok likaghe
Aur cik wei menarik suse la...
Ayuh tue wei
Liuk litok tekula blalai la...

Eh... liuk ko kiri
Luk ko kane
Liuk ko kiri kulai ko kane la
Ayuh tue wei
Seperti denok menanti la...
Eh... berdiri kami tapok tigo
Kami nok adap ke timor
Jagolah...
Ayuh tue wei
Kami nok pecah lakoh lima la...




Lagu Mengadap Rebab

Repertoire Lagu Dalam Mak Yong

1. Lagu Menghadap Rebab - terpanjang & terpenting, simbol penghormatan kepada rebab.
2. Lagu Kijang Mas - dimainkan sebagai lagu instrumental sebelum bermula persembahan Mak yong.
3. Lagu Sindung - dinyanyi oleh Pak Yung semasa hendak memberi arahan dan mendedahkan emosinya, juga dinyanyi oleh peran tua dan dimain sebagai lagu selingan sebelum persembahan.
4. Lagu Sedayung - lagu yang menyampaikan maklumat @ arahan kepada peran @ watak lain.
5. Lagu Mengambul - dinyanyi oleh watak utama dalam adegan sedih untuk menyampaikan berita sedih.
6. Lagu Saudara - dinyanyi berselang-seli dengan lagu Kijang Mas oleh seorang inang.
7. Lagu Pak Yong Muda - dinyanyi oleh Pak Yong menyampaikan berita negeri semasa adegan sedih.
8. Lagu Mak Yong Muda - dinyanyi oleh Mak Yong pada pertengahan cerita dalam adegan sedih.
9. Lagu Tuk Wok - dinyanyi oleh peran tua semasa menyampaikan berita @ meluah perasaan.
10. Lagu Barat - terdapat 4 versi iaitu Barat Anjur, Kisah Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat.
11. Lagu Pikir - dinyanyi oleh watak untuk meluahkan perasaan dan mengiringi tarian.
12. Lagu Yur - dinyanyi oleh peran @ Pak Yong untuk menyampaikan berita.
13. Lagu Balik Padi - dinyanyi ketika gembira semasa dalam perjalanan.
14. Lagu Berkhabar - dinyanyi Pak Yong @ peran untuk menyampaikan berita.
15. Lagu Gading Timah - dinyanyi Pak Yong dalam cerita Tuan Puteri Bergading Timah.
16. Lagu Kojol - dinyanyi oleh peran untuk mengambarkan aksi fizikal seperti mendayung sampan.
17. Lagu Buluh Seruas - menggambarkan suasana.
18. Lagu Jamba (Gembal) - menggambarkan suasana.
19. Lagu Yo Peran - dinyanyi Pak Yong untuk memanggil peran tua pada permulaan cerita, peran juga menyanyi lagu ini.
20. Lagu Anak Kumbang - dinyanyi semasa gembira oleh Pak Yong, Mak Yong, Puteri dan Putera.
21. Lagu Sri Gunung - dinyanyi Peran @ Pak Yong untuk menyampaikan berita. juga dinyanyi semasa selingan sebelum persembahan cerita.
22. Lagu Menguli - lagu timang-timagan untuk kanak-kanak dewasa.
23. Lagu Dayung Sampan - dinyanyi semasa melakukan aksi mendayung sampan.
24. Lagu Mak Puyuh - dinyanyi oleh Peran semasa bergurau.
25. Lagu Tari Inai - mengiringi tarian inai.
26. Lagu Kisah Puteri Mak Yong - dinyanyi oleh Puteri @ Mak Yong untuk meluahkan perasaan.
27. Lagu Menghadap Raja - dinyanyi peran dalam perjalanan menghadap raja.
28. Lagu Sabar - dinyanyi semasa melakukan aksi seperti membaca surat untuk mendedahkan maklumat.
29. Lagu Berlari Hambat Rusa (Lagu Berjalan) - mengiringi dalam perjalanan @ semasa memburu.

Persembahan Mak Yong Puteri Jerijit Emas

Catatan Kedua

 Pewaris seni tari Mak Yong 



Guru dan pelajar yang terlibat dalam kumpulan Putri Ratna Mas Sekolah Kebangsaan Long Ghafar di Kota Bharu, baru-baru ini. - utusan/Aizzul A.Majid


KOTA BHARU 16 April - Persembahan Mak Yong merupakan satu bentuk tarian Melayu yang merangkumi kombinasi tarian, muzik dan drama yang sangat popular satu ketika dahulu.
Tarian Mak Yong telah mula bertapak sejak 400 tahun dahulu bermula di Pattani kemudiannya tersebar luas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, khususnya Kelantan.

Melalui penggunaan kostum menarik, tarian yang unik serta diserikan dengan alunan muzik seperti rebab, tawak, gendang, canang, kesi dan serunai tidak hairanlah tarian ini menjadi kegilaan masyarakat dahulu.
Selain itu, Mak Yong juga telah menjadi antara medium hiburan utama kepada masyarakat dan seringkali mendapat tempat untuk dipersembahkan pada sesuatu majlis.

Namun, zaman silih berganti warisan tarian tersebut kini dilihat semakin tenggelam dan kurang mendapat tempat di hati masyarakat.

Jika tarian berkenaan tidak dipertahankan dan tidak ada usaha-usaha dilakukan untuk mengembangkannya, tidak mustahil satu hari nanti ia akan terus lenyap dan bakal pupus begitu sahaja.
Menyedari hakikat tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Long Ghafar di sini telah tampil menghidupkan semula tarian Mak Yong ini.

Dengan usaha beberapa orang guru di sekolah berkenaan yang sangat menjiwai tarian tersebut, sebuah kumpulan Mak Yong yang melibatkan murid sekolah itu telah berjaya ditubuhkan.

Kumpulan tersebut telah dibarisi oleh murid-murid SK Long Ghafar dan ia turut dibantu oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar yang rata-ratanya berumur di antara 9 hingga 17 tahun.
Paling menarik perhatian, kumpulan yang diberi nama Putri Ratna Mas SK Long Ghafar itu merupakan satu-satunya kumpulan Mak Yong di Malaysia yang dibarisi oleh murid-murid sekolah rendah.
Penyelaras Mak Yong sekolah berkenaan, Farah Wahida Mohamad, 41, berkata, nama kumpulan Putri Ratna Mas ini telah diilhamkan oleh bekas Pengarah Warisan Tak Ketara, Siri Neng Buah.

Katanya, kumpulan tersebut telah ditubuhkan pada 2009 dan sehingga kini mempunyai seramai 40 ahli.
"Seramai empat orang guru bertanggungjawab menyelaras kumpulan berkenaan, antara yang terlibat adalah Tee Hasanah Mazlina Mohd. Zain, Zakina Abd Aziz, Zarinah Zainal Abidin dan Norhayati Mohd," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mengimbas kembali bagaimana tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah pasukan Mak Yong peringkat sekolah, Farah Wahida menjelaskan, dia sebenarnya sangat meminati seni terutamanya tarian Mak Yong dan mahu warisan itu kekal sepanjang zaman.

Katanya, dia juga mahu memupuk minat dalam kalangan kanak-kanak agar mencintai warisan tarian yang unik ini.

"Alhamdullilah sejak ditubuhkan ia mendapat sambutan yang hangat daripada murid-murid dan ibu bapa juga sangat menyokong anak-anak mereka terlibat dengan aktiviti berkenaan.
"Mereka ini juga sangat berminat dengan seni tarian ini jadi tidak sukar untuk tenaga pengajar mendidik mereka," katanya.

Katanya lagi, kumpulan tersebut telah mendapat sokongan daripada Jabatan Warisan Negara dengan tampil memberikan dana untuk menjalani latihan serta mengadakan persembahan.

Ujarnya, Jabatan Warisan Negara sentiasa menyokong usaha murni sekolah untuk mempertahankan seni warisan ini, selain memupuk kanak-kanak ini agar mendalami seni tarian warisan tersebut.
"Kami mengadakan latihan seminggu dua kali iaitu hari Jumaat dan Sabtu selama tiga jam.
"Walaupun mereka ini menghadiri latihan, apa yang membanggakan saya ia tidak mengganggu pelajaran mereka, malah mereka juga merupakan pelajar yang cemerlang dalam akademik," katanya.

Sementara itu, tambahnya, sejak tiga tahun penubuhan kumpulan terbabit, pelbagai kejayaan telah ditempa.
"Kami juga telah banyak melakukan persembahan khususnya pada majlis-majlis penting di negeri ini, selain turut giat mengadakan persembahan di seluruh negara.
"Kami turut dijemput mengadakan persembahan di luar negara, antaranya di Medan, Indonesia dan Bangkok, Thailand.

"Putri Ratna Mas akan terus mengorak langkah ke depan dalam memperjuangkan tarian Mak Yong ini agar ia kembali mendapat tempat di hati masyarakat dalam dan luar negara," katanya.

Salah seorang ahli kumpulan Putri Ratna Mas, Yanis Saira Muhamad Yasin, 17, berkata, dia memegang watak utama iaitu sebagai raja setiap kali persembahan.

Katanya, sudah lima tahun dia memegang watak utama yang bertanggungjawab menghidupkan jalan cerita.
Berbekalkan wajah yang cantik serta bakat yang unik, Yanis Saira sudah berkecimpung dalam seni tarian ini sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Tambahnya, dia sangat meminati tarian ini dan pembabitannya juga banyak didorong oleh ibunya yang juga merupakan bekas penari Mak Yong.
"Saya rasa darah seni emak telah mengalir dalam diri sehingga membuatkan saya begitu teruja dengan tarian berkenaan.
"Setiap kali mengadakan persembahan di dalam ataupun luar negara saya menjiwai watak yang ditugaskan seterusnya mampu memberi kepuasan kepada setiap penonton yang hadir," katanya.

Bagi Mohd. Zulfitri Hafiz, 14, pula, berbekalkan minat yang mendalam terhadap tarian tersebut dia telah menyertai kumpulan berkenaan pada 2009.

Katanya, mula-mula menyertai kumpulan ini dia merasakan sangat sukar, namun dengan komitmen yang jitu semasa latihan, semuanya kini menjadi mudah.

"Dalam setiap persembahan, dialog yang dilafazkan adalah spontan, itulah cabaran menguji kreativiti setiap ahli kumpulan ini. Saya sudah biasa jadi tidak menjadi masalah setiap kali membuat persembahan di depan orang ramai," akuinya.

Comments

Post a Comment