Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XI



Sulalatus Salatin Bab XI

Seri Wak Raja Dengan Gajah Pahang

Sultan Mahmud menitahkan Seri Wak Raja ke Pahang untuk merajakan Sultan Abdul Jamal. Di Pahang, beliau menunjukkan kepandaian menjinakkan gajah. Apabila pulang ke Melaka, Seri Wak Raja menceritakan tentang kecantikan rupa paras Tun Teja Ratna Menggala anak Bendahara Seri Amar Bangsa Diraja. Namun Tun Teja telah ditunangkan dengan Sultan Abdul Jamal, sekadar menunggu musim yang baik untuk melangsungkan perkahwinan.


Peri Cantiknya Partas Anak Bendahara Pahang

Sultan Mahmud berahi dan ingin memperisterikan Tun Teja, lalu Baginda mengeluarkan titah,’barang siapa membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa yang dikehendakinya kita anugerahi akan dia; umpamanya jika ia kehendakkan sekerat kerajaan kita sekali pun kita anugerahkan; dan apa pun dosanya tiada kita bunuh. Hang Nadim ada di bawah penghadapan dan berazam akan membawa lari Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan pada Sultan Mahmud agar dosanya akan diampunkan.


Hang Nadim menumpang kapal Nakhoda Saiyid Ahmad ke Pahang. Ketika berada di pahang, Hang Nadim mendapat pertolongan seorang perempuan tua pelulut dengan menyapu ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Sebelumnya, Hang Nadim memberi emas dan pakaian yang cantik-cantik kepada tukang pelulut. Setelah terkena ubat guna-guna, Tun Teja bersetuju untuk mengikut Hang Nadim lari ke Melaka.


Tun Teja Dilarikan Ke Melaka

Hang Nadim membawa lari Tun Teja ke Melaka dengan menumpang kapal Nakhoda Saiyid Ahmad. Banyak halangan terpaksa ditempuhi sepanjang merentasi Sungai Pahang.


Pertempuran Di Laut Pulau Keban

Setelah menyedari Tun Teja dilarikan, Sultan Abdul Jamal bertindak mengejar kapal Nahkoda Saiyid Ahmad. Sampai di Pulau Keban berlaku pertempuran hebat yang dimenangi oleh Hang Nadim dan meneruskan pelayaran ke Melaka. Tun Teja dipersembahkan kepada Sultan Mahmud dan kemudian mereka berkahwin. Sultan Mahmud amat menyayangi Hang Nadim yang telah berjasa.



Gajah Sultan Pahang Pula DiLarikan

Sultan Abdul Jamal sangat murka dan berhasrat untuk menyerang Melaka dengan Gajah Ai Kening. Baginda menitahkan Bendahara Pahang supaya berlengkap dengan angkatan perang untuk menyerang Melaka. Sambil menunggang gajah, dilanggarnya balairung istana Pahang hingga roboh. Di Melaka pula, Sultan Mahmud menitahkan hulubalangnya ke Pahang untuk mencuri gajah Sultan Abdul Jamal. Laksamana Khoja Hassan bersetuju melaksanakan tugas tersebut.

Laksamana Khoja Hassan ke Pahang membawa surat daripada Sultan Mahmud. Apabila ditanya cadangan raja Pahang untuk menyerang Melaka, Sultan Abdul Jamal menafikan khabar tersebut. Di Pahang, Laksamana menambat perahu dekat dengan gembala gajah raja memandikan gajah saban hari. Laksamana juga berbaik-baik dengan gembala gajah raja dengan memberi emas dan makanan. Setelah beberapa hari berada di Pahang, Laksamana mohon pulang ke Melaka. Gajah Ai Kening berjaya di bawa naik perahu oleh Laksamana Khoja Hassan dan dibawa belayar ke Melaka.


Bersyaikh Diri Di Lubuk Pelang

Sultan Abdul Jamal amat murka dengan kehilangan gajah Ai kening. Baginda menitahkan hulubalang Pahang yang diketuai Seri Akar Diraja dan Tun Aria mengejar perahu Laksamana Khoja Hassan. Berlaku peperangan hebat antara kedua-dua pihak dan akhirnya angkatan Pahang tewas. Lantara itu Sultan Abdul Jamal sangat kecewa lalu melepaskan jawatan dan lari dari istana. Anakanda baginda (Raja Mansur) dilantik sebagai raja Pahang bergelar Sultan Mansur Syah. Baginda kemudiannya menjadi syeikh di Lubuk Pelang, iaitu ditempat nobat tidak kedengaran lagi.

Rahsia Pembunuhan Raja Zainal

Ketampanan Raja Zainal (adinda Sultan Mahmud) tiada taranya, sehingga dapat menawan (menambat) hati setiap perempuan. Ini membuatkan Sultan Mahmud rasa cemburu. Lantaran itu, baginda menitahkan Hang Berkat penjaga pintu istana membunuh Raja Zainal. Hang Berkat telah melaksanakan titah tersebut ketika Raja Zainal sedang tidur.


Sultan Mahmud Serba Salah

Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud, banyak berlaku masalah keruntuhan moral seperti berzina yang dilakukan oleh sultan sendiri dan pembesar-pembesarnya. Contohnya, isteri Sang Sura telah berzina dengan Sang Guna. Setelah mendapat tahu isterinya berzina, Sang Sura ingin mengadang dan membunuh Sang Guna. Tetapi harsatnya dihalang oleh Sultan Mahmud kerana sayangnya kepada Sang Guna yang pandai menempa keris Melaka. Oleh itu, Sang Guna dikenakan hukuman tidak boleh keluar rumah oleh baginda, kecuali atas arahan sultan. Hal ini menyebabkan Sang Guna tertekan jiwanya dan berkata lebih baik ia dibunuh sahaja oleh Sang Sura daripada berkurung dalam rumah.

Comments