Sinopsis Sulalatus Salatin Bab Akhir

Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XV


Sultan Mahmud Mangkat Di Kampar

Sebelum mangkat, Sultan Mahmud berwasiat kepada Bendahara dan segala Orang Besar-besar agar menjaga anakandanya Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah. Baginda juga berwasiat kepada anakandanya agar sentiasa bermuafakat dengan Bendahara dan segala menteri, adil dalam pemerintahan dan menjaga kebajikan rakyat. Selepas ditabalkan sebagai raja, Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah meninggalkan Kampar dan beranglkat ke Pahang.

Bertapak Semula Di Bumi Semenanjung

Sultan Alau’d-Din (anak Sultan Mahmud mangkat di Kampar) disambut dengan penuh adat istiadat di Pahang. Kemudian Sultan Alau’d-Din berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi anak Sultan Mansur Syah dan akhirnya Sultan Alau’d-Din membawa isterinya ke Johor.


Berbuat Negeri Di Kuala Johor

Sultan Alau’d-Din menitahkan Bendahara dan Seri Nara Diraja membersihkan kawasan di Kuala Johor untuk dibuat negeri. Baginda dikurniakan dua orang anak, iaitu Raja Muzaffar dan Raja Fatimah. Apabila diketahui oleh Sultan Mansur Syah Pahang, Sultan Alau’d-Din memperolehi anak perempuan, baginda berhasrat untuk menjodohkan Raja Fatimah dengan cucunya Raja Omar.

Surat Meminang Dari Pahang

Seri Akar Diraja dan Seri Nara Wangsa diutuskan ke Johor oleh Sultan Mansur meminang Raja Fatimah untuk dijodohkan dengan Raja Omar. Setelah berbincang dengan Bendahara, hasrat Sultan Mansur Pahang diperkenankan oleh Sultan Alau’d-Din dan menerima peminangan tersebut.

Hasrat Sultan Pahang Tercapai

Sultan Mansur Syah Pahang gembira menerima utusan daripada Sultan Alau’d-Din Johor yang meminta agar menghantar cucunda baginda Raja Omar ke Johor. Baginda kemudiannya melaksanakan permintaan Raja Johor. Kehadiran Raja Omar ke Johor disambut dengan penuh kemeriahan. Sultan Alau’d-Din kemudiannya telah menganugerahkan sebuah istana kepada Sultan Pahang sebagai tempat bersemayam bersama cucunda baginda Raja Omar.

Istiadat Perkahwinan Diraja Johor-Pahang

Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah mengahwinkan anakanda baginda Raja Fatimah dengan Raja Omar Pahang. Majlis perkahwinan berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan yang berlangsung selama empat puluh hari empat puluh malam.

Selepas Mangkat Sultan Alau’d-Din

Selepas Sultan Alau’d-Din mangkat, Sultan Muzaffar Syah (anakanda) dilantik sebagai pengganti. Baginda telah membina negeri di Seluyud. Diceritakan pula tentang Raja Omar telah menceraikan isterinya di Pahang (bonda Raja Mangsur), yang hanya diketahui oleh Seri Nara Diraja.

Nikah Dalam Sunyi

Sultan Muzaffar terpikat kepada bonda Raja Mangsur, janda Raja Omar. Kemudian mereka berkahwin secara senyap-senyap dan memperolehi seorang anak laki-laki dinamakan Raja Abdullah. Manakala Raja Omar yang berkahwin dengan Raja Fatimah pula dikurniakan seorang anak laki-laki dinamakan Raja Abdul Jalil.

Wasiat Sultan Muzaffar Syah

Sultan Muzaffar Syah telah mewasiatkan kepada Bendahara dan para pembesar agar melantik Sultan Abdul Jalil (anakanda) sebagai sultan bergelar Sultan Abdul Jalil Syah.

Wasiat Sultan Abdul Jalil DiKetepikan

Ketika gering, Sultan Abdul Jalil mewasiatkan kepada ayahanda dan bondanya (Raja Omar dan Raja Fatimah) agar melantik anakandanya Raja Abdullah sebagai raja selepas baginda mangkat kelak. Tetapi wasiat tersebut tidak dipenuhi kerana tidak dipersetujui oleh Raja Fatimah. Sebaliknya Raja Omar dilantik menjadi raja bergelar Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah.

Tun Seri Lanang Jadi Bendahara

Setelah Bendahara Paduka Raja mati, Tun Seri lanang dilantik sebagai Bendahara bergelar Paduka Raja. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana diancam serangan Peringgi. Dari Seluyud baginda berpindah ke Tanah Putih. Kemudian berpindah pula ke Hulu Sungai Damar dan membuka negeri Makam Tauhid. Setelah Ala Jalla Abdul Jalil mangkat, Raja Mangsur dilantik sebagai raja dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah, tetapi tampuk pemerintahan dipegang oleh Raja Abdullah.


Catatan Akhir

Sempurnalah siri ini semoga ia menjadi bahan berguna buat semua. Sebuah nukil dari sejarah dan silsilah bangsa yang berguna untuk pedoman dan iktibar. Sebuah rakaman bermakna  buat menyuluh ke masa hadapan. Bacalah Sulalatus Salatin dengan sempurna barulah kita dapat dengan lebih sempurna menilai dan menafsir sumpah bangsa, citra nusa. 

Terima kasih kepada yang mengikuti siri ini dengan tekun. Ikhlas dari Mimbar Kata
 

Comments