Hikayat Cendawan Putih


Cerita Hikayat Cendawan Putih
Genre : Prosa Melayu Tradisiona

Sinopsis

Raja Indera Kemala Putera gering setelah berperang dengan musuh. Raden Kesuma Wati menangis mengenangkan nasib ayahandanya. Menurut nujum, penyakit baginda itu hanya dapat disembuhkan setelah mendapat telur merpati putih yang bersarang di telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa. Raden Kesuma Wati menyuruh orang mencari telur itu namun tidak berjaya.

Raja Shah Dewa Alam di Melaka Pura pula mempunyai seorang puteri yang bernama Puteri Pelinggam Cahaya. Pada suatu malam, puteri bermimpi makan telur merpati putih. Baginda pun menyuruh orang-orangnya mencari telur tersebut. Malamnya baginda bermimpi didatangi oleh seorang nenek tua yang memberitahu tentang tempat telur itu berada. Puteri terbangun daripada tidur dan memerintahkan Mangkubumi mencari telur tersebut. Mangkubumi memerintahkan seluruh rakyat mencarinya tetapi tidak berjumpa.

Mereka telah kembali ke istana dan mengkhabarkan bahawa telur itu gagal ditemui. Puteri Pelinggam Cahaya begitu sedih dan berazam untuk mencari telur itu sendiri. Sepanjang pemergiannya baginda memerintahkan Mangkubumi menjaga ayahandanya. Baginda membawa sebahagian daripada rakyatnya. Sepanjang perjalanannya, ramai yang mati kelaparan dan kesakitan akibat perjalanan yang jauh. Puteri memerintahkan rakyat yang mengikutnya itu kembali sahaja ke negeri sedangkan dia sendiri yang akan meneruskan perjalanan seorang diri.

Tuan Puteri meneruskan perjalanannya, tiba-tiba dia ternampak sebatang pohon beringin. Di situ dia terlihat seorang pahlawan sedang tidur di atas batu lengkap dengan keris dan seekor kuda yang menunggu. Tuan Puteri mencabut keris dan membunuh hulubalang itu. Pakaiannya diambil dan dipakai lantas Puteri Pelinggam Cahaya meneruskan perjalanan dengan menunggang kuda yang dirampas itu.

Setelah empat hari empat malam, akhirnya Tuan Puteri sampai ke sebuah negeri iaitu Kesambi Pura. Menteri menegurnya dan dia memperkenalkan diri sebagai Bangbang Gajah Merta dari negeri Melaka Pura. Dia menyatakan tujuannya untuk mencari telur burung merpati putih. Menteri pun mempersembahkan hal itu kepada raja. Raja memerintahkan Bangbang Gajah Merta tinggal di situ sementara waktu.

Suatu hari, raja memerintahkan rakyatnya mengeluarkan sebiji buah limau nipis yang dimasukkan ke dalam lubang yang sempit tanpa menggunakan bilah atau kayu melainkan menggunakan tiga jari sahaja. Barang siapa yang berjaya akan dikahwinkan dengan anakanda baginda, iaitu Puteri Ratna Melur. Sekalian rakyat mencuba nasib tetapi tidak berjaya keran mereka dilarang memasukkan tangan ke dalam lubang tanah itu. Gajah Merta mencuba nasibnya dengan menuang kendi berisi air. Apabila limau itu timbul, dia mengambilnya dengan mudah. Sebagai memenuhi janji, Gajah Merta dinikahkan dengan anakanda baginda. Puteri Ratna Melur mencurigai suaminya yang bersikap seperti perempuan. Bambang Gajah Merta memohon izin baginda untuk meneruskan perjalanannya mencari telur burung itu.

Bangbang Gajah Merta meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke sebuah gunung. Bangbang Gajah Merta pun mendaki gunung itu. Dia terjumpa dengan seekor singa yang besar dan di sisinya terdapat seekor landak hitam dan seekor landak putih. Singa itu menegurnya dan meminta agar tidak takut. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya (Bangbang Gajah Merta) pun memperkenalkan diri dan menyatakan tujuannya iaitu mencari telur merpati putih. Singa itu berkata, dia akan memperoleh juga telur itu dengan berkat Raden Kesuma Ningrat. Tuan Puteri hairan kerana dia tidak mengenali Raden Kesuma Ningrat. Singa itu memintanya tinggal di situ sepuluh hari kerana orang yang dapat mengambil telur itu hanyalah Raden Kesuma Ningrat anak Raja Kemala Putera. Singa itu menyuruh dia menunggu kedatangan Raden Kesuma Ningrat untuk bersama-sama pergi mengambil telur itu. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menyalin pakaian perempuan dan duduk menanti kedatangan Raden Kesuma Ningrat di dalam telinga singa itu.

Raden Kesuma Wati yang sudah memerintahkan orang-orangnya mencari telur burung merpati itu kecewa kerana mereka masih gagal mendapatkannya. Dia memberitahu mangkubumi bahawa dia ingin mencari telur itu sendiri. Setelah dua puluh hari perjalanan dalam keletihan dia sampai ke negeri Indera Buangan. Dia memasuki negeri itu dan terlihat sebuah gerai yang menjual pelbagai juadah yang tidak ditunggu orang kerana pemiliknya pergi ke sungai mengambil air ketika itu. Disebabkan kelaparan, dia pun makan juadah yang ada di kedai itu dengan lahap sekali. Setelah pemiliknya sampai, Raden Kesuma Wati ditangkap dan diikat tangannya. Pemilik kedai itu membawanya bertemu Raden Kesuma Ningrat untuk mengadukan hal itu. Pemilik kedai itu mendakwa Raden Kesuma Wati mencuri jualannya, sedangkan dia sendiri mendapat upah menjual juadah kepunyaan orang lain.

Raden Kesuma Wati menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk mencuri juadah tersebut, namun dia terlalu lapar. Raden Kesuma Wati menyatakan bahawa datang dari negeri Indera Kemala Putera, dia sudah tidak makan empat puluh hari. Setelah melihat kedai makanan yang tidak ada penjual, dia duduk menanti. Sagun yang menjadi bekalnya juga telah hilang. Dia bersedia menerima hukuman daripada Raden Kesuma Ningrat. Raden Kesuma Wati bertanya jumlah kerugiannya dan menyuruh pemilik kedai itu pulang. Dia bersedia menggantikan kerugiannya sebanyak sepuluh sen itu. Raden Kesuma Wati dihukum menjaga kambing. Pemilik kedai itu dibayar dua puluh sen atas kerugiannya.

Setelah beberapa lama duduk memelihara kambing di negeri Indera Buangan, Raden Kesuma Wati terlihat burung bayan dan merbah putih yang asyik berpantun seolah-olah sedang menyindirnya. Dia turut berpantun dan terkenangkan nasib malangnya. Sedang ia memandikan kambing, dia ditegur oleh Tuan Puteri Indera Maya, bonda Raden Kesuma Ningrat. Dia menceritakan asal usulnya dan tujuan perjalanannya itu untuk mencari penawar bagi penyakit ayahandanya. Tuan Puteri Indera Maya memberitahu Tuan Puteri Kesuma Ningrat bahawa, sebenarnya Raden Kesuma Wati ialah saudaranya, anak isteri pertama ayahandanya. Raden Kesuma Ningrat memohon ampun kepada bondanya kerana telah menghukum saudaranya sendiri. Raden Kesuma Ningrat mengatakan bahawa telur yang dicarinya itu sukar didapati. Raden Kesuma Wati berharap agak adindanya itu dapat membantunya.

Raden Kesuma Ningrat tersenyum dan meminta agar Raden Kesuma Wati tidak terlalu mengharapkannya. Dia menyuruh kakandanya itu tinggal di situ tiga lagi. Setelah genap tiga hari, mereka meneruskan perjalanan dengan diringi burung merbah putih. Apabila sampai di tengah hutan, mereka begitu dahaya kerana air tidak dijumpai. Burung merbah itu mematuk puncak dahan pohon beringin sehingga keluar air yang mencurah-curah. Perjalanan diteruskan, mereka berjumpa pula dengan harimau dan raksasa. Raden Kesuma Wati gementar dan berlindung di belakang adindanya. Raden Kesuma Ningrat menyuruh harimau dan raksasa itu berundur kerana saudaranya takut melihat mereka. Kata harimau dan raksasa, dia tidak perlu takut kerana haiwan itu akan turut mengiring mereka mencari telur merpati putih.

Setelah itu mereka pun sampai ke gunung itu. Raden Kesuma Ningrat meminta kakandanya tunggu di kaki gunung sementara dia mendaki gunung itu. Apabila tiba di puncak gunung, kelihatan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya yang amat cantik sedang menunggu. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya tunduk malu melihat Raden Kesuma Ningrat. Raden Kesuma Ningrat bertanya Tuan Puteri Pelinggam Cahaya asal usulnya. Singa yang menemaninya pun menceritakan asal usul dan tujuannya berada di atas gunung itu. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menangis apabila singa itu bercerita. Singa itu juga memberitahu bahawa pemuda yang datang itu merupakan Raden Kesuma Ningrat anak Raja Indera Kemala Putera.

Raden Kesuma Ningrat terasa dicabar kerana perempuan seperti Tuan Puteri Pelinggam Cahaya sanggup mencari telur itu, inikan pula mereka yang lelaki. Dia berazam untuk membantu Tuan Puteri Pelinggam Cahaya mencari telur bersama-sama. Mereka berjalan beriringan dan turun dari gunung itu. Raden Kesuma Wati hairan melihat kakandanya diiring seorang perempuan cantik. Dia jatuh cinta melihat paras cantik Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Apabila malam, Tuan Puteri mengeluarkan cembul yang diberi oleh singa lantas keluarlah makanan yang lazat-lazat. Setelah makan, Tuan Puteri Pelinggam Cahaya beradu di sebelah kanan Raden Kesuma Ningrat, tetapi Raden Kesuma Wati meminta izin untuk tidur di sebelah kanannya kerana konon di tempatnya banyak semut. Landak yang melihat kelakuan Raden Kesuma Wati pun mengaum seperti harimau.

Raden Kesuma Wati amat terkejut mendengar ngauman landak, manakala Tuan Puteri memeluk Raden Kesuma Ningrat kerana amat takut. Menurut Raden Kesuma Ningrat, landak itu mengawal tuan puteri sekiranya ada sesiapa yang ingin berbuat jahat kepadanya. Setelah siang hari mereka meneruskan perjalanannya. Puas Raden Kesuma Ningrat cuba memanjat gunung namun gagal. Dia memuja nama singa, seketika itu juga muncul singa yang amat besar sehingga landak boleh memasuki telinganya. Raden Kesuma Wati ketakutan melihat singa yang amat besar. Mulut singa itu menganga luas sehingga mampu sampai ke puncak gunung Meraksa Dewa manakala yang sebelah bawah mencecah kaki gunung. Raden Kesuma Ningrat meminta kakandanya jangan takut kerana singa itulah yang akan membantu mereka untuk tiba ke puncak gunung. Setelah menaikkan mereka ke puncak gunung, singa itu berpesan kepada landak agar memberitahunya jika hendak turun.

Mereka bertiga pun sampai ke tempat naga lalu naga itu pun menegur Raden Kesuma Ningrat. Raden Kesuma Ningrat pun menyatakan tujuannya. Naga itu menyuruh Raden Kesuma Ningrat mengambi telur yang terdapat di dalam sarang di telinganya. Dia mengambil dua biji telur, satu diberinya kepada Raden Kesuma Wati manakala sebiji lagi diberi kepada Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Raden Kesuma Ningrat memerintahkan landak putih memanggil singa kerana mereka bertiga hendak turun ke kaki gunung. Raden Kesuma Wati mengajak kekanda ke tepi gunung, konon untuk melihat keindahan alam, namun apabila berada di tepi gunung, dia menolak kekanda sehingga jatuh ke laut. Mujur sempat Raden Kesuma Ningrat berpaut pada daun selasih hitam. Raden Kesuma Ningrat pun dibawa arus ke sana sini.

Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menangis melihat Raden Kesuma Ningrat telah jatuh ke laut. Raden Kesuma Wati cuba memujuknya dan merayunya, tetapi dia Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menasihatinya agar tidak menderhaka kepada adidindanya. Raden Kesuma Ningrat merancang untuk meminta telur merpati putih yang dimiliki oleh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Jika wanita itu enggan memberi, dia akan merampasnya sahaka. Oleh sebab enggan menyerahkan telur itu, Raden Kesuma Wati menikam Tuan Puteri Pelinggam Cahaya sehingga mati. Telur itu dibawa terbang oleh merbah putih dan dibawa pulang ke negeri Indera Buangan. Raden Kesuma Wati meneruskan perjalanannya dan terjumpa seekor kera yang kemudiannya dijadikan haiwan peliharaan.

Burung merbah putih terserempak dengan landak dan singa gergasi yang dalam perjalanan untuk menjemput Raden Kesuma Ningrat turun daripada gunung. Merbah itu menceritakan segala perbuatan Raden Kesuma Wati terhadap Raden Kesuma Ningrat dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Singa menjadi marah dan terus mencari mayat Tuan Puteri Pelinggam Cahaya untuk dibawa pulang.

Merbah putih sampai ke negeri Indera Buangan dan menceritakan perkara yang terjadi ke atas Raden Kesuma Ningrat kepada Tuan Puteri Indera Maya dan Tuan Puteri Ratna Sari. Tuan Puteri Ratna Sari memerintahkan merbah memanggil para hulubalang dan menteri untuk masuk ke istana. Mereka diperintahkan mencari Raden Kesuma Ningrat yang terjatuh di laut pinggir Gunung Meraksa Dewa.

Ada sebuah negeri yang dikenali sebagai Agung Sari yang diperintah oleh Raja Paksi Dewa yang gagah perkasa. Mereka merancang untuk menyerang negeri Indera Buangan kerana khabarnya terdapat dua orang puteri yang cantik. Tuan Puteri Ratna Sari segera menyiapkan kelengkapan untuk berperang dengan tentera yang dipimpin oleh Raja Paksi Dewa. Mereka bertempur dengan sengit. Raja Paksi Dewa mengeluarkan naga berkepala sembilan untuk menelan tuan puteri. Tuan Puteri pula mengeluarkan serigala yang besar dan mengusir naga berkepala sembilan itu. Raja Paksi Dewa memanah ke udara dan turunlah hujan yang terlalu lebat. Tuan Puteri Ratna Sari kemudian menjelmakan dirinya sebagai burung rajawali lantas Raja Paksi Dewan ditangkap dan dipenjarakan.

Tuan Puteri Ratna Sari memerintahkan Demang Wira Jaya ke negeri Agung Sari untuk merampas segala harta dan rakyat di negeri tersebut. Segala harta rampasan itu kemudiannya dibahagikan kepada sekalian rakyat di negeri Indera Buangan.


Tema

Pengembaraan anak-anak raja yang bersemangat serta berusaha untuk mencapai sesuatu perkara. Ini dapat dilihat melalui pengembaraan Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Linggam Cahaya untuk mendapatkan telur Merpati Putih. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tujuan walaupun terdapat pelbagai halangan yang perlu dihadapi.

Persoalan

Persoalan bersemangat dalam mencapai matlamat 
Contohnya: Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Linggam Cahaya mengembara semata-mata hendak mencari telur Merpati Putih untuk ayahanda mereka. Walaupun terdapat pelbagai halangan, mereka tidak pernah berputus asa. 

Persoalan keberanian dalam menghadapi sesuatu perkara 
Contohnya: Tuan Puteri Linggam Cahaya berani mengembara seorang diri walaupun dirinya seorang perempuan. Beliau sanggup berdepan dengan risiko demi melihat ayahandanya sembuh dari penyakit yang dihidapi.

Persoalan kasih sayang terhadap bapa 
Contohnya: Tuan Puteri Linggam Cahaya sangat menyayangi ayahandanya. Kasih sayang itu terbukti apabila beliau sanggup mengembara seorang diri untuk mencari telur Merpati Putih bagi mengubati penyakit ayahandanya.

Persoalan perasaan dengki yang membawa kepada kejahatan 
Contohnya: Raden Kesuma Wati mempunyai perasaan hasad dengki kepada saudaranya Tuan Puteri Linggam Cahaya kerana tidak mahu beliau jatuh ke tangan Raden Kesuma Ningrat yang telah membunuh saudaranya itu.

Persoalan mahu mencapai sesuatu dengan melakukan kejahatan 
Contohnya: Raden Kesuma Wati telah membunuh Tuan Puteri Linggam Cahaya kerana Tuan Puteri tidak mahu mmemberikannya telur Merpati Putih. Beliau yang kehilangan telur telah cuba merampas telur milik Tuan Puteri dengan bertindak membunuhnya. 


Watak dan perwatakan

 Raja Indera Kemala Putera
 Jatuh sakit menyebabkan dia telah menjadi kurus-kering

Raden Kesuma Wati
Anak lelaki Raja Indera Kemala Putera
Mencuri memakan juadah orang di sebuah gerai di negeri Indera Buangan. (hal.67)
Telah dijadikan oleh Raden Kesuma Ningrat gembala kambing. (hal 69)
Abang tiri kepada Raden Kesuma Ningrat. (hal  70)

Seorang yang penakut dan kuat menangis. Beliau bersembunyi di belakang Raden Kesuma Ningrat apabila
bertemu dengan raksasa dan harimau kerana takut. Beliau juga menangis dengan kuat kerana takut dengan
raksasa dan harimau dan meminta Raden Kesuma Ningrat melindunginya. (hal.  72)

Raja Syah Dewa Alam
Beliau tinggal di negeri Melaka Pura. (hal 59)
Mempunyai seorang anak perempuan bernama Tuan Puteri Pelinggam Cahaya yang mempunyai paras wajah
yang sangat cantik. (hal 59)
Telah bermimpi memakan telur burung merpati putih. (hal 59)
Telah memerintahkan segala menteri dan hulubalangnya serta rakyat pergi mencari telur burung merpati putih.
(hal 59)

Tuan Puteri Pelinggam Cahaya / Bangbang Gajah Merta
Anak kepada Raja Syah Dewa Alam. (ms 59)
Seorang yang mempunyai paras wajah yang sangat cantik. (hal 59)

Seorang yang sangat mengambil berat kebajikan ayahandanya.  
Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  susah hati mendengarkan ayahandanya mahu memakan telur burung merpati
putih. Oleh yang demikian, beliau sendiri menawarkan diri untuk mencari telur burung merpati itu apabila
menteri, hulubalang-hulubalang dan rakyat tidak dapat mencari telur tersebut.

Seorang yang menghormati ibu bapa. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  sujud pada kaki ayahanda dan
bondanya meminta restu sebelum berangkat mencari telur burung merapti putih di Gunung Meraksa Dewa.
(hal  60)

Seorang yang tabah menghadapi cabaran.  
Contohnya, Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  meneruskan pencarian mencari telur merpati putih walaupun
hanya seorang diri tanpa menteri, hulubalang dan rakyat. Menteri, hulubalang dan rakyat dalam cerita
dipaparkan ramai yang mati disebabkan kelaparan dan telah lari disebabkan tidak larat untuk meneruskan
perjalanan yang begitu jauh. (hal 61 )

Seorang yang sensitif. Contoh: Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  menangis terkenangkan ayah bondanya
semasa berada di hutan seorang diri setelah ditinggalkan menteri, hulubalang dan rakyat. (hal 60)

Seorang yang berani. Contoh: Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  dengan berani menikam leher hulubalang yang
sedang tidur di atas batu di selatan pohon beringin sehingga putus menyebabkannya mati. Tuan Puteri
Pelinggam Cahaya  kemudian telah mengambil pakaian dan mahkota hulubalang tersebut dan telah naik di
atas belakang kuda hitam. (hal 61)

Seorang yang melakukan penyamaran. 
Contohnya,  Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  menukarkan namanya kepada Bangbang Gajah Merta setelah
berada di negeri Kesambi Pura. (hal 62)

Seorang yang pintar dan bijaksana. Cth: Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  Bangbang Gajah Merta telah
berjaya dalam pertandingan mengambil limau nipis di dalam lubang tanah yang kecil dengan menggunakan
hanya 3 jari tanpa menggunakan bilah atau kayu.

Perempuan Tua 
Seorang yang telah memberitahu Tuan Puteri Pelinggam Cahaya tempat terletaknya telur burung merpati
Putih. (hal 59)

Mangkubumi
Seorang yang bertanggungjawab memerintahkan supaya semua menteri, hulubalang serta rakyat di negeri
Melaka Pura mencari telur burung merpati putih seperti yang diarahkan oleh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya.
(hal  59 – 60)
Seorang yang bertanggungjawab menyediakan kelengkapan senjata, menteri, hulubalang dan rakyat untuk
persiapan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya mencari telur burung merpati putih. (hal  60 )

Tuanku Si Alam
Seorang raja pemerintah negeri Kesambi Pura. (hal  63)

Berjanji akan mengahwinkan anaknya iaitu Tuan Puteri Ratna Telur kepada sesiapa yang berjaya mengambil
limau nipis di dalam lubang tanah kecil dengan menggunakan 3 jari tanpa menggunakan bilah atau kayu. (hal
63)

Khatib Abdul Salam
Orang yang telah diarahkan oleh Tuanku Si Alam untuk menikahkan antara Bangbang Gajah Merta dan
Tuan Puteri Ratna Melur. (hal 63)\

 Raden Kesuma Ningrat
Anak Raja Indera Kemala Putera dengan Tuan Puteri Indera Maya (hal 66)
Adik tiri kepada Raden Indera Kesuma Wati. (hal  70)

 Seorang yang memiliki kesaktian.  
Contoh: Puncak daun beringin yang dipagut oleh merbah kepunyaan Raden Kesemua Ningrat  menyebabkan
batang beringin tersebut mengeluarkan air. (hal 72)

Watak-watak BinatangSinga 
Telinga singa tempat tinggal Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  sementera menantikan Raden Kesuma Ningrat datang.

Landak dua ekor (1 putih dan 1 hitam)
merupakan pengawal Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  (hal  76)

Merbah Putih
Bintang yang mengiringi Raden Kesemua Ningrat ke gunung Meraksa Dewa

Raksasa

 Harimau

Naga

Tuan Puteri Indera Maya
Ibu kepada Raden Kesuma Ningrat dan ibu tiri kepada Raden Kesuma Wati (hal 70)

Seorang yang penyayang.  
Cth: Puteri Indera Maya melayan Raden Kesuma Wati  seperti anaknya sendiri (hal 70)

Tuan Puteri Ratna Telur
Anak kepada Raja di negeri Kesambi Pura.

Telah berkahwin dengan Bangbang Gajah Merta. (hal 63)



Latar Tempat

Gunung Meraksa Dewa  
Merupakan tempat seekor naga. Di telinga naga tersebut letaknya telur burung merpati putih yang bersarang
di situ.

Negeri Melaka Pura 
Negeri pemerintahan Raja Syah Dewa Alam. (hal 59)

Padang, gunung dan hutan 
Tempat-tempat yang dilalui oleh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya, menteri, hulubalang dan rakyat untuk
mencari telur burung merpati putih. (hal  61)

 Pokok Beringin 
Digambarkan di Selatan beringin tersebut ada satu kuda dan seorang hulubalang yang gagah tidur di atas
batu dengan kerisnya mempunyai panjang 4 hasta. (hal 61)

Negeri Kesambi Pura 
Negeri pemerintahan Tuanku Si Alam iaitu ayahanda Tuan Puteri Ratna Telur.

Negeri Indera Buangan 
Negeri Raden Kessuma Ningrat. (hal 67)


Latar Masa

Empat puluh hari dan Empat puluh Malam
Raja Dewa Shah Alam digambarkan tidak makan dan tidak minum. (hal  59) Rakyat di negeri Kesambi Pura
telah diarahkan oleh Tuanku Si Alam untuk berjaga-jaga selama 40 hari 40 malam untuk persediaan
perkahwinan antara Bangbang Gajah Merta dan Tuan Puteri Ratna Melur. (hal  63)
Raden Kesuma Wati dikatakan tiada makan dan minum. (hal  67)

Tujuh hari tujuh malam
Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  bertemu dengan satu pohon beringin. Di Selatan beringin tersebut ada satu
kuda dan seorang hulubalang yang gagah tidur di atas batu dengan kerisnya mempunyai panjang 4 hasta.

Empat hari empat malam 
Jangka masa perjalanan yang diambil oleh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  untuk sampai ke negeri Kesambi
Pura.

Latar Masyarakat

Masyarakat yang mempercayai sesuatu ramalan / tilikan nujum. 
Contohnya: Raden Kesuma Wati meminta ahlul nujum menilik punca dan cara mengubati penyakit Raja
Indera Kemala Putera. (hal  57)

Masyarakat istana 
Contoh ada jawatan-jawatan pembesar istana seperti mangkubumi, menteri, dan hulubalang

 Masyarakat feudal 
Contoh Raja Indera Kemala Putera merupakan  pemerintah negeri Melaka Pura

 Masyarakat yang suka berperang 
Contoh Raja Indera Kemala Putera jatuh sakit tenat selepas berperang

Masyarakat yang percaya kepada mimpi 
Contoh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya bermimpi bertemu dengan seorang perempuan tua yang memberitahu kepadanya telur burung merpati putih boleh didapati dari dalam telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa.

Masyarakat yang patuh kepada pemimpin. 
Rakyat negeri Indera Buangan  patuh kepada Tuan Puteri Indera Maya dan Tuan Puteri Ratna Sari yang memerintah supaya pergi ke laut Gunung Meraksa Dewa mencari Raden Kesuma Ningrat yang jatuh ke laut kerana ditolak oleh Raden Kesuma Wati.

Masyarakat yang berani  
Contoh Raden Kesuma  Ningrat berani mengembara di dalam hutan rimba untuk pergi ke Gunung Meraksa Dewa mengambil telur burung merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga.

Masyarakat yang zalim 
Contoh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya zalim kerana membunuh hulubalang pahlawan yang sedang tidur di dalam hutan

Masyarakat yang suka menolong  orang lain.  
Ccontoh Raden Kesuma Ningrat telah menolong Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya mendapatkan telur burung merpati putih dari dalam telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa.


Masyarakat yang penyayang 
Raden Kesuma Wati susah hati dan menangis kerana kasih dan sayang kepada ayahandanya Raja Indera Kemala Putera yang sedang sakit tenat selepas berperang.

Teknik Penceritaan

 Teknik Pemerian / Deskriptif  
Contoh: Alkisah, maka tersebutlah perkataan Raja Dewa Syah Alam di negeri Melaka Pura. Maka baginda
itu ada beranak seorang perempuan terlalu elok parasnya. Maka dinamai oleh baginda Tuan Puteri
Pelinggam Cahaya, telah besarlah. Maka negeri itu terlalu ramai orang bermain-main siang dan malam, tiada
berhenti lagi. (hal 59)

Teknik Dialog 
Contoh: “Segeralah ayahanda beroleh burung itu, apalah jadinya yang demikian ini yang menanggung
percintaan siang dan malam.” Maka kata tuan puteri, Jikalau demikian baiklah pergi sendiri mencari burung
itu.” (hal 60)

Teknik Imbas Kembali/ Mimpi
Contoh: Raja Syah Dewa Alam bermimpi memakan telur merpati putih. (hal  59)
Contoh: Tuan Puteri Pelinggam Cahaya  bermimpi didatangi seorang perempuan tua yang memberitahunya
tempat terletaknya telur burung merpati putih.


Gaya bahasa

Simpulan Bahasa
Buah hati (hal  64)

Penggunaan Puisi 
Pantun (hal 65)
Ikan ruan mudik ke hulu,
Makan senduduk berduri-duri;
Tinggallah tuan ini dahulu,
Tinggallah duduk peliharalah diri.

Simile 
Maka dipagutnya puncak daun beringin itu, maka dengan seketika itu juga keluarlah airnya seperti cucur
daripada sungai rupanya. (hal 72)



Nilai Kemanusiaan

Kasih sayang 
Contoh Raden Kesuma Wati kasih dan sayang kepada ayahandanya Raja Indera Kemala Putera yang sakit
\tenat selepas berperang

Kesetiaan 
Menteri, mangkubumi, hulubalang dan rakyat negeri Kesambi Pura setia kepada perintah Tuan Puteri Pelinggam Cayaha supaya pergi ke hutan rimba mencari telur burung merpati putih yang bersarang  di dalam telinga naga

 Keberanian 
Contoh Raden Kesuma Wati  berani mengembara di dalam hutan rimba untuk pergi ke Gunung Meraksa Dewa bagi mendapatkan telur burung merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga.

Ketabahan 
Raden Kesuma gigih mengembara di dalam hutan rimba untuk  pergi ke Gunung Meraksa Dewa bagi
mendapatkan telur burung merpati putih yang bersarang  di dalam telinga naga.

Kebijaksanaan 
Contoh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya bijak berusaha mengambil buah limau nipis di dalam lubang tanah
 menggunakan tiga jari dengan menuangkan air ke dalam lubang tanah tersebut sehingga buah limau nipis
timbul di permukaan lubang tanah.

Cintakan tanah air 
Tuan Puteri Indera Maya dan Tuan Puteri Ratna Sari berperang menentang Raja Paksi Dewa dari Negeri Agung Sari yang menyerang negerinya

Keadilan 
Contoh Raden Kesuma Ningrat adil dengan membahagikan sebiji seorang telur burung merpati putih yang diambil dari dalam telinga naga kepada Tuan Puteri Pelinggam Cahaya dan Raden Kesuma Wati.

Tolong-menolong 
Raden Kesuma Ningrat menolong atau membantu Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya
mengambil telur burung merpati putih yang bersarang dalam telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa.

Kejujuran 
Raden Kesuma Ningrat jujur  membantu Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya mendapatkan telur burung merpati putih yang bersarang dalam telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa.

Baik hati 
Raden Kesuma Ningrat baik hati dengan tolong membayar hutang makanan kuih-muih yang
dicuri dan dimakan oleh Raden Kesuma Wati dari kedai


Comments

Post a Comment