ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

12 Jan 2023

Nik Safiah Karim : Bunga Bahasa Negara

 


Oleh Dr. Naza Sani Agus

Anugerah Profesor Emeritus kepada Nik Safiah Karim, iaitu gelaran paling berprestij yang diterima daripada Universiti Malaya pada tahun 2004 memang layak disandang oleh beliau.  Sumbangan yang telah beliau berikan sepanjang dan selepas bergelar penjawat awam bermula dari tahun 1963 hingga 1994 tidak terhitung terhadap pemartabatan bahasa Melayu dan perjuangan hak wanita.

Ibarat permata yang sentiasa menyinar, beliau antara wanita ulung yang menjadi Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari tahun 2006 hingga 2016. Malahan beliau juga antara wanita yang menduduki Kursi Pengajian Melayu di universiti ternama dunia.

Usia tidak pernah menoktahkan keghairahan menulis kerana pena dan kertas telah sebati dalam diri dan merupakan kebahagiaan buat beliau. Minat terhadap penulisan yang berputik sewaktu zaman kanak-kanak lagi dan terus mekar semarak sehingga kini. Buktinya selepas bersara pada tahun 1994, beliau menghasilkan tidak kurang daripada 10 buah buku karya asli dan beberapa buah buku yang diedit. Di samping itu, sebagai Profesor Emeritus, beliau turut menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah dan bertugas sebagai penasihat bahasa di beberapa buah kolej.

Ketokohan beliau dalam bidang Pengajian Melayu terutamanya Linguistik Melayu membuktikan jantina dan latar belakang pendidikan bukan penentu masa depan seseorang.  Benarlah kata pepatah Melayu di mana ada kemahuan, di sana ada jalan kerana usaha dan keinginan menjadi faktor penting dalam kejayaan beliau.

Beliau merupakan anak perempuan bongsu kepada Nik Mas dan Abdul Karim di kampung Banggol, Kota Bharu yang dilahirkan 82 tahun lalu pada era 30-an.  Sebagai anak desa, bergelumang dengan kebun getah dan kebun pisang adalah perkara biasa tetapi yang luar biasanya ialah membaca tetap merupakan hobi beliau.  Buku yang tersusun rapi di almari kepunyaan ayahnya Abdul Karim menjadi santapan beliau saban hari.

Personaliti beliau menyerlah dengan keindahan budi pekerti, santun peribadi dan pandai menghargai orang tua. Sebagai bukti, beliau tidak lupa mengirimkan sebahagian wang gaji kepada orang tuanya setiap bulan.  Maka slogan “Budi Bahasa Budaya Kita” yang dicipta beliau telah menjadi ikutan generasi kini dalam memupuk nilai-nilai murni serta semangat kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Melakar sejarah sebagai pengasas dan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia selama 18 tahun, Nik Safiah Karim telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah buku tentang bahasa Melayu dan menjadi rujukan sehingga kini. Kepakaran beliau dalam ilmu linguistik dan bahasa Melayu diiktiraf merentas negara. Pengiktirafan ini sangat bererti kerana beliau menjadi rujukan kepada negara Singapura dan Brunei dalam menghasilkan buku teks.

Bagaimanapun, sebelum menjadi individu yang hebat dan disegani dalam dunia akademik, Nik Safiah Karim mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk sampai ke tahap tersebut. Banyak pengorbanan dan kepayahan perlu ditempuhinya sebelum tugu kejayaan erat dalam genggaman.  Namun berbekalkan prinsip apa yang disemai itulah yang bakal dituai, beliau terus komited menabur bakti.

SUMBER INSPIRASI ALAM PENDIDIKAN

Berbeza dengan dunia artis yang nama mereka boleh meletup sekelip mata tanpa tahu dari mana asal-usulnya, Nama besar Nik Safiah Karim dalam dunia pendidikan tidak datang dengan serta-merta tetapi beliau bertatih dari bawah. Mantan pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya ini lahir dalam keluarga ulama yang mementingkan pendidikan. Hal tersebut merupakan anugerah yang amat disyukuri.  Beliau dibesarkan dalam suasana didikan agama tetapi menikmati alam persekolahan di sekolah aliran biasa, iaitu Government Girls English School yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Sekolah Rendah Zainab.

Daripada didikan ayahnya, Nik Safiah Karim banyak belajar tentang agama dan pandangan keislaman secara tidak formal dan sehingga saat ini beliau tetap dengan pandangan Islam. Lalu dari mana beliau belajar tentang ilmu pendidikan sehingga beliau menjadi seorang pendidik yang berprestasi?

Bibit kecemerlangan Nik Safiah Karim mulai terserlah apabila mendapat tawaran memasuki Malay Girls College di Kuala Lumpur pada tahun 1953. Senario ketika itu agak menakjubkan apabila pelajar dari Kelantan merantau ke negeri lain untuk melanjutkan pelajaran.  Pengajian diteruskan ke tingkatan enam di St. Francis Institution, Melaka dalam aliran sastera.  Kerana minat, beliau memilih mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris, Geografi dan Sejarah semasa menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1959.

Universiti Malaya merupakan pelabuhan ilmu seterusnya buat beliau pada tahun 1960 dalam bidang Ekonomi. Tahun kedua, beliau memilih untuk membuat pengkhususan dalam bidang Pengajian Melayu. Dari situlah minat beliau terhadap linguistik Melayu bercambah. Nik Safiah Karim menamatkan pengajiannya pada tahun 1963 dengan menggenggam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Melayu.

Majlis konvokesyen yang diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur merupakan saat indah dalam perjalanan ilmu beliau kerana menerima ijazah daripada Canselor Universiti Malaya ketika itu, iaitu Tunku Abdul Rahman. Jiwa terasa terbang, berbunga-bunga ketika graduan berarak ke pentas sambil lagu From Dawn to Darkness dialunkan. Seorang wanita yang menerima ijazah pada masa itu adalah sesuatu yang luar biasa dan dapat dibanggakan kerana tidak ramai mendapat pendidikan tinggi di universiti.

Kembara ilmu Nik Safiah Karim tidak terhenti setakat itu, beliau telah menerima tawaran menyambung pengajian pada peringkat sarjana. Seterusnya, beliau dilantik menjadi tutor di Universiti Malaya sebelum menjadi pensyarah. Sebaik selesai menyiapkan kajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera, beliau bertuah kerana terus dilantik sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

Menurut Nik Safiah Karim, sepanjang menjadi pensyarah di Universiti Malaya selama hampir 10 tahun, beliau mungkin sudah boleh berasa selesa dan tidak perlu menyambung pengajian ke peringkat kedoktoran. Namun, atas sebab cintakan ilmu, beliau berasa perlu memiliki gelaran doktor (PhD) dan Amerika Syarikat menjadi destinasi melanjutkan pengajian kerana ilmu linguistik di negara tersebut lebih maju berbanding dengan negara lain.

Aliran pemikiran yang berpengaruh pada tahun 1960-an dan 1970-an ialah transformasi-generatif. Aliran tersebut dimulakan seorang ahli bahasa di Massachussetts Institute of Technology bernama Noam Chomsky dan perkembangan aliran tersebut berlaku dengan pesat sehingga banyak sarjana yang ingin mendalami bidang tersebut dan berhijrah ke Amerika Syarikat.

Hasrat beliau untuk menyambung pengajian di negara orang disokong oleh suaminya, Mohd Zain Omar yang ketika itu berkhidmat sebagai pensyarah ITM Shah Alam (kini UiTM Shah Alam). Malahan suami beliau turut bersetuju untuk menyambung pendidikan peringkat sarjana dalam bidang pentadbiran pendidikan.

Akhirnya, Universiti Ohio menerima mereka suami isteri. Mereka berlepas ke Ohio pada tahun 1972 bersama-sama dua orang anak mereka. Pengalaman menimba ilmu di Amerika Syarikat tidak dapat dilupakan dan antara kenangan indah apabila kegembiraan menimba ilmu dan pulang membawa segulung ijazah kedoktoran Linguistik Transformasi Generatif.

Begitulah hebatnya liku-liku perjalanan hidup pejuang bahasa Profesor  Emeritus Dato’ Dr. Nik Safiah binti Haji Abdul Karim. Perjuangan beliau mendakap ilmu demi memartabatkan bahasa Melayu menjadi sumber inspirasi dalam dunia pendidikan yang penuh warna-warni. Namun begitu, beliau tetap kukuh ibarat karang di dasar lautan yang tidak pernah berubah walau diterjah gelombang gagah.

klikweb


11 Dec 2022

selepas solat

 

26 Nov 2022

hadiah sastera perdana malaysia 2019/2020

13 Sept 2022

A WAHAB ALI

 


A. Wahab Ali
 menulis puisi, cerpen, novel dan esei sastra. Namun beliau lebih dikenali sebagai seorang penyair yang kukuh ketika kemunculannya pada tahun 70-an. Nama beliau sebaris dengan Kemala, A. Latiff Mohiden, Muhamad Haji Salleh, Dharmawijaya dan lain-lain. Sajaknya yang terkenal ialah Bisikan di Kuala Terengganu. Beliau mempunyai gaya penciptaannya yang tersendiri iaitu romantik dan pemikiran yang bersesuaian.


Beliau dilahirkan pada 2 Maret 1941 di Kampung Sungai Kembung, Bangi, Selangor, Malaysia. Anak kepada seorang penoreh getah ( karet ) yang mengikuti Tarekat Ahmadiah. Pendidikan awal beliau dimulai di Sekolah Melayu Bangi pada tahun 1948 dan ke Sekolah Melayu Pulau Meranti.  Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim ( 1958-1962 ) Kerjaya pertamanya ialah menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Dato' Keramat, Kuala Lumpur. Kemudian beliau berkhidmat sebagai penyunting di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pada tahun 1968, beliau memasuki Universiti Malaya dan menamatkan Ijazah B.A. Hons pada tahun 1971. Beliau kemudian mengajar di Sekolah Menengah Dato' Harun Tanjung Karang, Selangor. Pada tahun berikutnya beliau ke Universiti Malaya sekali lagi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera yang diperolehi pada tahun 1974. Beliau kemudiannya menjadi dosen ( penyarah ) di universitas yang sama.

Pada tahun 1979, A. Wahab Ali ke University National Australia untuk peringkat kedoktorannya. Beliau pulang dengan Ph.dnya pada tahun 1985. Beliau juga ke Program Penulisan Antarabangsa di University of Iowa, Amerika Serikat ( 1983 ) Pada tahun 1973, beliau ke Kongres ke Dua Penyair dunia di Taipei.

Kumpulan puisi yang telah diterbitkan ialah Penemuan ( DBP. Kuala Lumpur, 1975 )  Sajak-Sajak Orang Berdosa ( Utusan, Kuala Lumpur, 1977 )  Novelnya pula ialah Angin Hitam ( Utusan, Kuala Lumpur, 1968 ) dan Pemburu ( Penerbit Karyawan Kuala Lumpur, 1968 ) Buku ilmiahnya pula ialah Kritikan Estatik Sastera ( DBP, Kuala Lumpur, 2000 )  Puisinya Setelah Menjangkau Empat Puluh mendapat Hadiah Karya Sastra 1984. Pada tahun 1994 pula, beliau mendapat S.E.A Write Award. Pada tahun 1996-1997, beliau menyandang Kerusi Pengajian Melayu di University of Leiden, Holland.

Jawatan terakhirnya ialah profesor di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Setelah pensiun beliau menyumbangkan tenaga akademianya di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Namun di bidang sastra, beliau tetap sebagai penyair dan ilmuan yang besar sumbangannya dalam dunia sastra Malaysia hingga ke hari ini.

Puisinya yang sangat terkenal ialah Bisikan di Kuala Terengganu.

apakah aku ini pendatang
di rumah yang pernah kukenal
atau cuma seorang semenda
meraba-raba
di bawah baju kurung hijau

semacam inderaku ini berbohong
aku terpinga-pinga
pelancungan menerobos
wanita berseluar dan berblaus
teman-teman bekas mahasiswa nasionalis
berpindah rumah dan kereta
melayani kenalan baru dengan cap rasmi
atau ke dot merasa hangatnya gadis tempatan
atau lebih baik menyepi
dari bicara sehangat dulu

atau aku yang asing
terpukau oleh cerita
penarik teksi dan teman-teman beku
tentang kebuluran keluarga terpencil
tertangkap mencuri ubi kayu di Kuala Brang
dan orang tua sakit tak cukup nafkah di balik bukit
runsingkan lepas laku anak-anak gadisnya

apakah universiti ini terlalu beku
menimbus aku dengan buku-buku
sedang di luar kehidupan membiak ular
kepala berputar dengan kebendaan
perempuan dan pembangunan
memaafkan diri dan keadaan
menerimanya secara intelektual:
pemodenan itu anti tradisi
dan kita bena selektif moral


rujukan

1. Pilihan Puisi baru Malaysia-Indonesia ( DBP, 1980 )
2. Wajah: Biografi Penulis ( DBP, 2005 )








29 Aug 2022

begitu perlahan

 


baris puisi


 

8 Mar 2022

doa

 


26 Sept 2021

sastera dan kuasa

 Sastera di tengah-tengah konflik kekuasaan

MANA SIKANA




ayahanda

 Makna merdeka karya sastera
KAMARIAH KAMARUDIN 
26 September 2021

SETELAH 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, bagaimana wajah sastera kita?
Masihkah terbelenggu dengan isu wanita yang menjadi mangsa penindasan, masyarakat yang dihimpit kemiskinan dan kisah berantakan dalam rumah tangga sebagaimana era penjajah?
Rata-rata kisah yang dibentang dalam novel pada era 1930-an dan 1940-an berlegar tentang isu-isu tersebut.
Kisah persahabatan, hubungan kekeluargaan dan konflik alam rumah tangga banyak dituang dalam pengkaryaan.
Berbanding selepas negara mencapai kemerdekaan, kisah yang diungkap pengarang mewakili banyak dimensi kehidupan.
Persoalan tentang agama, ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial mula diberikan perhatian oleh pengarang.
Antara novel yang terserlah adalah Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah yang telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen baharu-baharu ini.
Sebuah novel malar segar (evergreen) lantaran kisah tentang sosok yang bernama “ayah” merupakan persoalan kemanusiaan sejagat.
Dengan ungkapan tajuk yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat, novel Ayahanda wajar dimiliki, dihadam dan difahami pembaca.
Novel ini memperihalkan keperibadian seorang ayah yang sarat dengan nilai kasih sayang walaupun tidak diperaga secara tersurat.
Watak ayah digembleng dengan perwatakan yang sukar dimengertikan oleh generasi muda tentang selok-belok nurani warga tua, namun unsur pengajarannya jelas mendidik khalayak dengan nilai keagamaan yang tinggi.
Setelah diadaptasi menjadi sebuah drama, novel ini dapat meruntun perasaan ramai penonton sementelah tatkala musim pandemik yang menyebabkan orang ramai terkurung di rumah.
Hidangan drama bersiri Ayahanda telah membawa masyarakat mulai menghargai makna sesebuah ikatan kekeluargaan dengan lebih akrab.
Lantaran sebelum ini masyarakat terlalu dimomokkan dengan rantaian drama televisyen yang diadaptasi daripada novel popular yang sangat menjengkelkan.
Elemen hedonisme yang dijejerkan dalam novel popular seterusnya diadaptasi menjadi drama televisyen begitu membimbangkan apabila ditonton oleh anak-anak.
Tajuk novel yang menjadi drama kebanyakannya mempamerkan kerancuan bahasa yang begitu ketara.
Wajah sastera yang indah dengan gaya bahasa yang menawan hilang angkara tajuk novel seperti Love You Mr. Arrogant, Rindu Awak 200%, Suri Hati Mr. Pilot, Cinta Si Wedding Planner, Kampung Girl, Bukan Cinta Monyet, Playboy Itu Suami Aku?, Yes, Boss Raya, Projek Memikat Suami dan lain-lain yang menampilkan kepunahan bahasa dan sastera Melayu tanah air.
Kesemua novel terbabit telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen yang ditonton dengan keghairahan masyarakat.

Cintai khazanah bahasa

Berbanding dengan drama Ayahanda yang menawarkan tajuk yang berhemah dan berhikmah sejajar dengan judul novelnya yang digarap oleh salah seorang Pemenang SEA Write Award negara. Ungkapan dialog yang ditutur pelakon disaring terlebih dahulu telah menyuntik semangat penonton khasnya anak muda untuk mencintai khazanah bahasa dan sastera Melayu.
Kemasukan dialek utara turut memberikan penanda bahawa tanah air sarat dengan nilai sejarah dan falsafah yang dapat membangun tamadun dan peradaban bangsa.
Generasi muda wajar diberikan pendedahan tentang rumpun leluhur nenek moyang yang kini kian terpinggir lantaran kerakusan teknologi dan modenisasi.
Petikan kata-kata nasihat, pujangga, terjemahan ayat al-Quran dan hadis yang dikemukakan dalam tulisan jawi di setiap pengakhiran episod drama Ayahanda turut merakamkan keindahan warisan bangsa yang harus dipertahankan.
Malahan tajuk drama Ayahanda yang turut menyerlahkan tulisan Jawi telah menumbuhkan kesedaran kepada penonton tentang keistimewaan keindahan warisan Melayu nusantara yang tidak dimiliki Barat.
Drama ini turut memancing penonton dengan babak yang mengasyikkan di sebuah perkampungan yang sarat dengan nilai tradisi Melayu.
Latar tempat Kedah yang kaya dengan sawah padi dibangunkan pengarang dalam novel Ayahanda jelas menunjukkan tanah air kaya dengan panorama yang mempesona.
Unsur alam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Melayu tanah air telah disuguhkan dengan menarik dalam novel seterusnya drama yang telah diadaptasi.
Drama ini mengajak penonton untuk menghargai institusi kekeluargaan secara hemah dan hikmah kasih sayang.
Hubungan antara manusia dengan Tuhan (habl min Allah), hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan manusia dengan alam (habl min al-alam) jelas dikesani dalam novel dan drama ini.
Nilai keagamaan terpancar dalam setiap babak dan episod yang mengajak pembaca dan penonton bermuhasabah.

Mendidik nurani

Sekalung tahniah untuk penulis novel, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, penulis skrip drama, Maizura Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan, penerbit novel Dewan Bahasa dan Pustaka seterusnya produksi televisyen dan TV3 Berhad.
Ayahanda telah memberi peluang warga Malaysia menyaksikan hidangan yang bukan sahaja dapat mengasuh peribadi mulia bahkan dapat mendidik nurani untuk menyantuni warga tua dengan sebaik-baik budi dan bahasa.
Sementelah “Ayahanda” juga sesuai untuk tontonan lapisan masyarakat yang mempertaruhkan perutusan yang sangat bermakna selain bauran perasaan yang meruntun jiwa.
Kala rakyat resah gelisah berdepan dengan corona yang masih mengganas, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan dan percakaran politik yang merusuhkan, Ayahanda bertandang merawat segala kegalauan itu.
Setelah 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, ternyata wajah karya sastera tanah air masih dapat menyumbang makna yang besar kepada masyarakatnya.
Malaysia memiliki deretan karya sastera dengan judul dan gaya bahasa yang indah untuk dijadikan hidangan kepada khalayak.
Misalnya novel Delima Ranting Senja (Siti Zainon Ismail), Sudara (Arena Wati), Tunggul-Tunggul Gerigis (Shahnon Ahmad), Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan), Pujangga Melayu (Mohd Affandi Hassan), Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani), Dinihari (SM Noor), Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd Yusop) dan banyak lagi bersiap siaga menanti para penulis skrip drama untuk dibawa ke skrin layar televisyen.
Lambakan karya sastera popular wajar digantikan dengan wajah sastera Melayu yang lebih bermakna untuk kesempurnaan sahsiah anak bangsa.
Dibimbangi generasi muda sudah tidak mengenali budaya bangsa dengan bahasa yang indah dan berseni.
Barangkali ungkapan Tenas Effendy dalam buku Kesantunan Melayu (2001) ini perlu dijadikan renungan: “berbuah kayu rindang daunnya,-bertuah Melayu terbilang santunnya, elok kayu karena daunnya-elok Melayu karena santunnya”.
Ayuh, bebaskan diri daripada belenggu penjajahan dengan wangian merdeka karya sastera yang berhemah, dan berhikmah menjulang angkasa!

* Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia







18 Sept 2021

KEINDAHAN NEGERI

KEINDAHAN NEGERI


awak tua bandar terbuka
emas habis,dagangan mudah
kerbau kambing sesak di padang
itik angsa tenang kuala
merpati lindungan langit
rengkiang tujuh sejanjar
teman dengan sekerat kota
emas perak penuh di rumah
tangga rumah emas bertuang
ibu tangga emas bertitik
batuan sawa mengulur
penuh sesak hamba sahaya
ada yang empat senama
ada yang lima senama
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut
Digurindamkan kemakmuran, kemewahan dan kehebatan negeri bandar Muar. Negeri diperintah oleh Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri baginda bernama Tuan Puteri Lindungan Bulan. Baginda sultan dan permaisuri memiliki seorang putera bernama Tuanku Malim Deman.
Tidak ada kata-kata puja sanjung pada duli baginda. Tiada ungkap untuk melonjak nama paduka pemerintah negara. Tetapi ungkap kata tentang mewah dan
hebat
Kata-kata emas habis dagangan mudah sudah menggambarkan daulat dan
hebat
pemerintahan paduka raja. Kemakmuran dirasakan oleh rakyat jelata, kehebatan negeri terasa oleh penghuni negeri. Setiap rakyat terasa mereka memiliki negeri terindah itu

penuh sesak hamba sahaya
ada yang empat senama
ada yang lima senama
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut

Bandar Muar sebuah negeri yang aman makmur serta penuh dengan kekayaan flora dan faunanya. Selain itu bandar Muar juga memiliki bilangan penduduk yang ramai disebut penuh sesak hamba sahaya.

Citra nama yang senama adalah gambaran ramai dan makmurnya negeri. Sebuah negeri yang memiliki serba kekayaan dan segala kemewahan serta rakyatnya dalam kesatuan dan perpaduan. Yang utama adalah kesetiaan dan kepatuhan rakyat. Bila saja ada panggilan untuk pertiwi mereka akan sentiasa bersedia demi negara :
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut
Ungkap cinta negara adalah paparan kemakmuran kemewahan dan kedamaian negeri. Kita pun diajak sama cintailah negeri ini




selamat tinggal suria

 


STATUS

Search This Blog

DAUN