secebis

Blog Mimbar Kata

bahasa dalam puisi

blog mimbar kata

menatap kepayahan dalam denu

blog mimbar kata

kau ada

blog mimbar kata

23 May 2015

kau dan aku vi


meski tiada apa yang dapat kauberikan
tapi menghindari dari menyakiti
adalah kebahagiaan yang kauberikan buat orang lain
sepanjang usiamu


 kautak mampu membahagiakan semua orang
tetapi mendoakan mereka kebahagiaan kau bisa
perbuatkanlah semampumu


kadang-kadang kau perlu berada
amat berjauhan
di situ kau akan melihat
dengan lebih terang
apa yang kau inginkan


mungkin kau akan melupakan
orang-orang yang pernah tertawa denganmu
tetapi bagaimana dengan 
orang-orang yang pernah menangis denganmu
hatimu akan lebih tahu
menilainya

 
detik yang akan tiba adalah kehidupan
esok hari semua itu menjadi kenangan
kau tak mampu mengubah apa-apa lagi



menjaga bonda

Enam beradik sepakat jaga ibu lumpuh
Sanggup berhenti sekolah demi ibu
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI | 21 Mei 2015 1:57 PM

Nor Zarina Nasir hanya mampu terbaring kerana menghidap penyakit saraf, sambil ditemani anaknya, Mohd Zulhilmi ( kiri), Zuliana Tasha (tengah ) dan Nur Zulaikha (kanan).


Nur Zulaikha membantu kerja-kerja dapur sejak ibunya menghidap penyakit saraf.

Kita sering mendengar ungkapan seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu, sebagai menggambarkan besarnya kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak.

Namun, kisah enam beradik di Projek Perumahan Rakyat Kepong Setia, Kepong, Selangor, ini agak berbeza apabila masing-masing sanggup mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja mereka demi menjaga ibu yang lumpuh.

Itulah yang dilakukan enam anak Nur Zarina Nasir, 39, apabila nekad menjaga sendiri wanita itu yang menghidap penyakit sendi sejak sembilan tahun lalu, malah salah seorang daripadanya tidak bersekolah demi menguruskan ‘syurga’ mereka sepenuh masa.

Nur Zarina disahkan menghidap sakit sendi kronik selepas empat bulan melahirkan anak bongsunya, Mohd. Zulhilmi Zamri, yang kini berusia lapan tahun.

Itu pun setelah berulang-alik ke hospital selama beberapa bulan bagi mendapatkan rawatan, akhirnya baru dia disahkan mengalami masalah sendi yang menyebabkannya terlantar sehingga kini.

Berkunjung ke kediaman Nur Zarina baru-baru ini, sangat menyentuh hati saya apabila melihat seorang remaja berusia 17 tahun bersama adik-adiknya berumur 15 tahun, sembilan dan lapan tahun, sibuk menguruskan ibu mereka.


Saya sangkakan ada orang dewasa bersama mereka, namun rupanya empat beradik itu sahaja yang berada di rumah menguruskan ibu mereka.

Keadaan Nur Zarina yang terlantar dan tidak mampu bangun dari katil, menyebabkan segala urusan harian sebagai ibu diambil alih anak keempatnya, Nur Zulisha, 15, yang kini tidak lagi bersekolah.

Tanggungjawab mencari rezeki pula digalas anak sulungnya, Mohd. Zulfikar, 22, yang menjadi tempat bergantung seluruh ahli keluarga itu.

Menurut Nur Zarina, sejak ditinggalkan suaminya lima tahun lalu, hanya empat anaknya iaitu Mohd. Zulalif, 19, Nur Zulaikha, 17, Nur Zuliana Tasha, 9, dan Mohd. Zulhilmi bersekolah.

“Puas saya memaksa Nur Zulisha bersekolah tetapi dia enggan kerana mahu menjaga saya sepenuh masa. Katanya, biarlah abangnya bekerja dan adik-beradik lain bersekolah kerana jika semua keluar siapa akan menguruskan saya.

“Walaupun saya cakap saya boleh ditinggalkan bersendirian, dia tetap tidak mahu kerana tiada orang boleh menguruskan kerja-kerja harian seperti memandikan, menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam untuk ahli keluarga lain setiap hari,” katanya.

Menurut Nur Zarina, setiap hari Nur Zulisha akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk menyediakan sarapan untuk keluarga itu.

Menu utama yang menjadi kegemaran mereka ialah nasi goreng resipi ibu sejak dari dahulu lagi.

Jelas wanita itu, kesemua anaknya pandai menggoreng nasi termasuk anaknya yang berusia sembilan tahun kerana sudah terbiasa dengan rutin itu sejak daripada kecil.

Walaupun dia bangga mempunyai enam anak yang sanggup berkorban untuk menjaganya sehingga masa muda mereka tidak seperti kanak-kanak lain, jauh di sudut hati Nur Zarina terlalu sedih kerana tidak mampu menjadi ibu terbaik buat anak-anaknya.

Dalam nada sebak, wanita itu berharap dapat sembuh dan kembali membalas jasa anak-anak.

“Saya bersyukur mempunyai anak-anak yang sanggup menjaga saya dalam keadaan begini, malah mereka cuci berak dan kencing saya setiap hari tanpa rasa geli atau merungut termasuk anak yang paling bongsu.

“Saya tidak menggunakan lampin pakai buang kerana mahu menjimatkan wang, tetapi mereka tidak pernah merungut atau menyuruh saya pakai dan mereka sanggup membersihkan najis saya.

“Saya sangat sedih kerana zaman kanak-kanak mereka tidak seperti kanak-kanak lain yang dapat bermain dan keluar berjalan-jalan kerana terpaksa menjaga saya. Ampunkan mak ya anak-anak,” luahnya berlinangan air mata sambil membelai lembut tangan anak bongsu yang ada di sisi.

Tidak sanggup melihat kekesalan ibunya, Nur Zulaikha yang sentiasa duduk bersebelahan wanita itu sepanjang temu bual dijalankan, menyuarakan rasa hatinya yang mahu menjaga ibunya sehingga akhir hayat.

Biarpun terpaksa menguruskan najis ibunya setiap hari, dia tidak pernah berasa terbeban, malah menganggap itu adalah tanggungjawab mereka sebagai anak.

“Kadang-kadang ada juga hari saya tidak dapat ke sekolah kerana menjaga ibu sakit, tetapi kawan-kawan akan membantu meminjamkan nota pelajaran yang terlepas.

“Biasanya adik saya, Nur Zulisha akan melakukan semua tugas menjaga ibu tetapi jika berkesempatan saya dan adik-adik lain turut membantu,” katanya.

Ujar remaja yang bercita-cita mahu membawa seluruh keluarganya menunaikan umrah jika mempunyai wang yang banyak, dia yakin ibunya akan sembuh dan kembali menjaga mereka enam beradik.

“Ibu sangat kuat semangat dan tidak pernah kalah dengan kesakitan yang ditanggungnya. Semangat yang kuat itu membuatkan kami bangga dengannya. Suatu hari nanti apabila saya sudah bekerja dan memperoleh gaji yang tinggi, saya akan dapatkan rawatan terbaik untuk ibu,” jelasnya.

Buat masa ini, Nur Zarina dan enam anaknya menyewa rumah di kawasan perumahan berkenaan. Wang sewa kini ditanggung Baitulmal selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan dan mengharap pendapatan anak sulongnya yang bekerja di kilang dengan gajinya RM1,000 sebulan.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nur Zarina di nombor 1410029000491969.

utusan online

22 May 2015

cahaya di atas air


bukan mudah menemukan
garis-garis dan warna di ufuk jauh 
bersatu
di atas air
melebarkan figura indah
memintal alun jiwa
menusuk bahasa sukma
begitu indah
alam dan karyanya
tuhan dan kebesarannya
kita hanya hamba
bisa menikmati
dengan  syukur dan puji







dalam cahaya dalam warna






ia bukan puisi
ia bukan lukisan
ia hanyalah warna dan cahaya
yang terbit dari langsir langit
dari tabir awan 
dan garis alam yang diam

alam berbagi cerita
dengan kanvas luas saujana
dengan warna dan bancuh cahaya
dari gerak angin
dari putar awan
alam berpujangga
memberitahu dan bercerita
dalam diam


Kata Terakhir

Inilah kata-kata terakhir yang pernah diungkap oleh mereka yang ternama sebagai novelis, penyair, ahli falsafah dan sebagainya.


Salvado Dali (1904-1909)
- Di manakah jamku?


Pelukis berasal dari Sepanyol, Salvador Dali, terkenal dengan karyanya “The Persistence of Memory” (1931) dan “Swans Reflecting Elephants” (1937). Pada 23 Januari 1989, Dali mengalami masalah jantung dan meninggal dunia.


Jane Austen (1775-1817)
- Aku tiada apa-apa selain kematian


Karl Marx (1818-1883)
- Kata akhir itu untuk orang bodoh yang belum cukup bicara

Menghasilkan “The Communist Manifesto” (1848) dan “Das Kapital” (1867). Marx mengidap komplikasi radang selaput lendir hidung dan meninggal di tahun 1881.


Sir James Matthew "J.M" Barrie (1860-1937)
- Aku tak boleh tidur


Truman Capote (1924-1984)
- Ini aku, Aku Buddy... Aku kesejukan

Pengarang In Cold Blood meninggal dunia di rumah teman akrabnya, Joanne Carson, bekas isteri Johnny Carson, host the late-night talk-show. "Buddy" adalah nama samaran yang diberikan oleh saudaranya, Nanny Rumbley Faulk, sewaktu Capote masih kecil.

Charles Dickens (1812-1870)
- Di atas tanah

Pengarang "A Christmas Carol" dan Oliver Twist menyebut kata-kata ini kepada adik iparnya yang menyuruhnya berbaring selepas ia mengalami masalah stroke ketika mereka berjalan-jalan di luar rumah Dicken.

Emily Dickinson (1830-1886)
- Sepupu kecilku, panggil kembali Emily

Diungkapkan ketika beliau terbaring lemah akibat penyakit buah pinggangnya yang semakin teruk.

Johann Wolfgang von Goethe (1749-1832)
- Lebih Cahaya

Thomas Hobbes (1588-1679)
-Aku akan melakukan pelayaran terakhir, lonjakan besar dalam gelap


Henrik Johan Ibsen (1828-1906)
-Agak sebaliknya!

Ketika beliau menerima rawatan di rumahnya selepas mengalami beberapa masalah troke, kata-kata ini diucapkan selepas dia terdengar jururawat beliau cuba meyakinkan pengunjung bahawa dia semakin pulih. Ibsen meninggal dunia pada hari berikutnya.

Edgar Allan Poe (1809-1849)
-Tuhan, bantulah jiwaku ini



Eugene O'Neill (1888-1953)
- Aku tahu, aku tahu. Aku dilahirkan di bilik hotel dan mati di bilik hotel.

Penerima hadiah Nobel dan hadiah Pulitzer, seorang pengarang drama yang terkenal dilahirkan di sebuah bilik hotel Times Square di New York City, New York. Dia membisikkan kata-kata di atas kerana beliau merasakan kematiannya di sebuah bilik hotel di Boston, Massachusetts.


Mark Twain -- Samuel Langhorne Clemens (1835-1910)
Selamat tinggal. Jika kita bertemu...

Pengarang Tom Sawyer, Huckleberry Finn dan lain-lain karya sastera klasik melahirkan kata-kata ini kepada anaknya Clara ketika terbaring di katilnya..

Maaruf Mahmud


Maaruf tinggalkan khazanah sastera remaja

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI
7 Okt 2000


NAMA Maaruf Mahmud barangkali tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada ramai di kalangan kita tetapi tidak novel remaja Anak Din Biola tulisannya yang terbit pada tahun 1983.

Novel itu adalah salah satu karya sastera remaja terbaik, kalaupun tidak yang terbaik, pernah terbit di negara ini kerana pengalaman dan pengajaran yang terpercik dalamnya.

Ia mengisahkan seorang anak yatim, Budiman Budin yang sanggup berbuat apa saja pekerjaan untuk mendapatkan sebuah biola dan bertanding dalam satu pertandingan bintang remaja.

Begitu berkesannya karya yang menang Hadiah Pertama Novel Remaja Esso-Gapena 1983 itu, ia diangkat menjadi salah satu teks bacaan wajib bagi para pelajar tingkatan 1 pada tahun lalu.

Pagi Rabu, 27 September lalu, penulis novel Anak Din Biola itu telah dipanggil menghadap Ilahi kerana dise-rang sakit jantung, ketika usianya hampir menganjak ke 80 tahun. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Isteri kesayangannya, Zaleha Husin telah meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan enam anak lelaki yang semuanya sudah berjaya dalam hidup masing-masing.

Anak sulungnya, Datuk Adnan bekas Pengerusi MCIS Malaysia diikuti Datuk Annuar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian; Dr. Shaharuddin (Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura), Ahmad Mazlan (karyawan bebas) dan Ahmad Affendy (Eksekutif KUB Gas Sdn. Bhd.).

Dilahirkan di Hulu Yam Baru, Selangor pada 4 Disember 1920, Allahyarham membesar dalam lingkungan keluarga yang banyak membentuk peribadi dan mengasuh bakatnya.

Bapanya Mahmud Ujang adalah seorang tokoh pendidik yang keras dan tegas, sehingga mendapat gelaran 'Harimau Guru Melayu'.

Dalam autobiografinya, Berenang di Lautan Cetera, Allahyarham menceritakan bagaimana beliau terjun ke dunia penulisan iaitu untuk memenuhi wasiat bapanya supaya beliau jadi penulis.

Minat awal menulis timbul kerana Allahyarham lahir dalam keluarga pencerita dan sejak kecil terpukau mendengar cerita daripada sesiapa saja yang mahu bercerita kepadanya.

Kerana cintanya kepada penulisan, antara kerjaya awal Allahyarham ialah mengendalikan majalah Hiboran Kanak-Kanak' di bawah awasan Lady Templer iaitu antara tahun 1957-59.

Di situ Allahyarham mengesan penulis-penulis muda dan baru yang dilihatnya berbakat. Salah seorang daripadanya ialah penyair Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala yang ketika itu belajar di Sekolah Melayu Prince's Road, Kuala Lumpur.

''Allahyarham banyak menggalakkan saya supaya terus menulis,'' kata Kemala mengenang zaman manis ketika beliau turut membantu penerbitan majalah Hiboran Kanak-Kanak itu.

Allahyarham mengabadikan hampir 30 tahun umurnya menjadi guru. Berkat pengalamannya yang luas dalam bidang pendidikan dan terlibat secara langsung dengan rencam dunia kanak-kanak, Allahyarham menumpahkan pengamatannya ke dalam karya sastera.

Sehingga hari ini, Allahyarham kekal menjadi penulis cerita kanak-kanak yang paling prolifik dan tersohor.

Allahyarham menulis 152 buku kebanyakannya novel dengan hampir 30 karyanya menang pelbagai anugerah.

Antaranya termasuk Hadiah Penghargaan Novel Sejarah 1982 melalui Pelita Yang Menyala dan Hadiah Istimewa Esso-Gapena 1996 melalui biografi tentang bapanya, Mahmud Ujang: Harimau Guru Melayu 1898-1950.

Pada 1993, Allahyarham dilantik sebagai Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain; penyair Indonesia, Taufiq Ismail dan Dr. EU Kratz dari University of London.

Salah satu cerita menarik tentang Allahyarham ialah semua karyanya ditulis dalam buku latihan menggunakan pensil sebelum diupah orang lain menaip untuknya.

Hari ini, pensil sebatang itu tidak akan diasah lagi kerana tangan itu telah berhenti menulis. Tetapi khazanah yang ditinggalkannya akan terus dibaca oleh generasi hari ini dan akan da-tang.

utusan online

Biodata Maaruf Mahmud


Maaruf Mahmud merupakan seorang penulis yang berasal dari Ulu Yam Baru, Hulu Selangor, Selangor, Malaysia. Beliau telah banyak menghasilkan buku untuk kanak-kanak.

Beliau dilahirkan di Ulu Yam Baru pada 4 Disember 1920.Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu di Ulu Yam. Beliau kemudian berpeluang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Setelah itu, beliau bertugas sebagai seorang guru dan kemudian beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pembantu Penyelidik sehinggalah beliau bersara pada tahun 1977.

Semenjak 1955 lagi beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan sehinggalah sekarang.Buku-buku beliau pernah beberapa kali memenangi hadiah dalam Peraduan Menulis Cerita Kanak-Kanak anjuran Jabatan Pelajaran Negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia;dan hadiah penghargaan Peraduan Menulis Novel Sejarah (Kanak-kanak)DBP 1981.

Karya 

Anak Din Biola
Rahsia Sebuah Lori
Rahsia Penjual Senjata
Pancing Kasut dan Panjang Tangan
Hari Jadi Si Intan

21 May 2015

Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-15 (PPA-15)


PERSIDANGAN PENTERJEMAHAN ANTARABANGSA ke-15 (PPA-15)
Sinergi Komuniti Terjemahan : Akademia, Industri dan Amalan Profesional

TARIKH
25 – 27 Ogos 2015 (Selasa – Khamis)

LOKASI
Hotel Premiera Kuala Lumpur

PENGANJUR
• Persatuan Penterjemah Malaysia
Dengan kerjasama :
• Dewan Bahasa dan Pustaka
• Institut Terjemahan & Buku Malaysia
• Perbadanan Kota Buku

LATAR BELAKANG PERSIDANGAN

Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) adalah mercu tanda yang dikenali oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang terjemahan, bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa. Persidangan dwitahunan ini mempunyai kebitaraannya yang tersendiri; iaitu ia adalah satu-satunya persidangan terjemahan yang dianjurkan di Malaysia untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang dan industri terjemahan mencakupi para akademik dan pelajar, penyelidik dan pengkaji, pengamal dan penggiat serta penyumbang dalam bidang dan industri terjemahan seperti penerbit. PPA juga secara uniknya dianjurkan secara bersama oleh beberapa pihak yang mempunyai kekuatan dan kepentingan masing-masing bagi menyumbang kepada persidangan penterjemahan ini.

Berdasarkan susur galur latar belakangnya, PPA diterajui oleh penganjur bersama iaitu Persatuan Penterjemah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan & Buku Malaysia dan sebuah universiti tempatan sebagai tuan rumah. PPA telah mencapai kejayaan tersendiri dengan penganjuran 14 buah persidangan semenjak 1984. Persidangan akhir iaitu PPA-14, juga diadakan pada 2013 di Pulau Pinang bersama-sama dengan Forum Penterjemah Asia ke-7 (FIT 7th Asian Translator’s Forum). PPA-15 pada kali ini turut disertai oleh Perbadanan Kota Buku sebagai penganjur bersama. Perbadanan Kota Buku mempunyai banyak kepentingan daripada segi perniagaan kandungan buku, sekali gus perniagaan kandungan ini melibatkan aktiviti menterjemah dengan lebih langsung.

OBJEKTIF PERSIDANGAN


• Mewujudkan arena sejagat untuk wacana intelektual dan profesional mengenai teori terkini, pendekatan isu, perspektif, amalan, penyelidikan dan akreditasi dalam bidang penterjemahan dan interpretasi;
• Menggalakkan pertukaran gagasan, pendapat dan pengalaman dalam bidang penterjemahan dan interpretasi, demi mencapai kecemerlangan akademik dan peri relevannya dalam industri;
• Membuka peluang kepada penemuan baharu dan pendekatan alternatif dalam teori dan aplikasinya dalam bidang penterjemahan dan interpretasi;
• Memperkukuhkan kerjasama antara pihak akademik dan industri dalam bidang penterjemahan dan interpretasi.

PESERTA PERSIDANGAN


• Mensasarkan seramai 300 peserta, bayaran penyertaan bagi persidangan ini adalah seperti berikut:Pembentang kertas kerja/peserta antarabangsa USD$550.00Pembentang kertas kerja/peserta antarabangsa (Pendaftaran awal - bayaran sebelum 1 Julai 2015) USD$470.00Pembentang kertas kerja/ peserta ASEAN RM800.00Pembentang kertas kerja / peserta MalaysiaRM800.00Ahli/warga kerja PPM, DBP, ITBM, PKB dan KPM RM700.00Pelajar universiti di Malaysia (dengan kad pelajar) RM700.00.
Nota: Bayaran termasuk buku prosiding, makan tengah hari dan minum pagi/petang


• Kumpulan peserta terdiri daripada para akademik, penyelidik dan pengkaji bidang, pengamal dan penggiat industri, syarikat/organisasi penerbitan serta pelajar universiti awam dan swasta
• Pihak penganjur menyasarkan kumpulan peserta berusia antara 18 tahun dan ke atas sebagai kelompok peserta persidangan ini, khususnya mereka yang bergiat dalam industri penterjemahan dan kejurubahasaan di Malaysia.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut sila layari http://www.ict-ppa.my atau menghubungi Sekretariat Persidangan melalui Persatuan Penterjemah Malaysia di talian 03-9226 2506 / 03-2142 4381 (faksimile) atau e-mel di terjemah1@gmail.com


itbm

Tema Novel

Tema mengangkat sesebuah novel
DR. AMINUDIN MANSOR
10 Mei 2015


Jika dikaji dan diteliti tema dan persoalan yang besar mampu mengangkat sesebuah novel ke tahap menguji pemikiran pembaca dan memberikan erti dan menyerapkan unsur-unsur kesusasteraan yang tinggi nilai seninya.

Fungsi kesusasteraan untuk memberi pelajaran dan hiburan yang berkesan. Iaitu mentafsirkan perkara-perkara yang sudah sedia diketahui umum, tetapi tidak begitu difahami oleh pembaca. Novel juga menghidupkan daya imaginasi pembaca, menghidupkan semangat pembaca ke arah inspirasi moral.

foto hiasan

Tema yang besar yang diadun dengan baik juga memberikan ketenangan atau kerehatan fikiran, iaitu menghilangkan rasa penat lelah selepas bekerja dan memberikan kepuasan intelektual yang berpanjangan melalui pembacaan dengan fikiran bijaksana dalam bentuk fantasi atau melalui cerita rekaan. Penulis novel seperti Keris Mas, Shahnon Ahmad, Pak Sako, Abdullah Hussein dan Arenawati selalu mengambil tema dan persoalan besar dalam penulisannya.

Kajian menunjukkan bahawa pelbagai jenis novel antaranya novel perwatakan, psikologi, peristiwa, cinta, kemasyarakatan, resaman, sejarah, sosial, politik dan novel lawan alam. Melalui pembacaan para pembaca dapat mengetahui penulis sama ada berjaya atau tidak mengangkat sesebuah novel

Antara novel tersebut …Hujan Pun Menari dan Biarkan Aku Menangis karya Norhayati Berahim yang juga telah menghasilkan lebih 16 buah novel di bawah penerbitannya NB Kara. Kisah cinta dan masyarakat yang diadun dengan gaya bahasa yang baik menjadikan novel-novelnya menarik dibaca dan memberikan inspirasi moral dengan penuh bijaksana. Keikhlasan watak diceritakan dengan menarik.

Beberapa buah novel lain juga mengekalkan tema cinta dan kisah masyarakat yang berjejak di bumi nyata dan menceritakan berbagai-bagai-bagai perkara tentang kehidupan manusia masa kini dan masa akan datang dengan cara dan gaya tertentu.

Antaranya, novel Bungalina karya Chacho Haji Bulah yang mengungkapkan tema tentang pengorbanan yang dapat dijadikan pengajaran dan nilai pendidikan. Aspek integrasi sosial diutamakan menjadikan novel ini amat menarik dan berwawasan. Pendedahan tempat menarik di Sabah, kehidupan masyarakat Bajau Laut, dan kehidupan dalam lepa, tentunya akan dapat memberi gambaran budaya masyarakat di Malaysia yang pelbagai kaum.

Selain itu, novel Hujan Di Hati karya Fateen Najwa, Dua Syurga Dalam Hatiku, karya Norfadzillah Omar dan Janji Julia karya Maria Kajiwa yang membawa tema dan mengisahkan pada tahun 2050, Malaysia telah dilanda wabak yang disebabkan oleh virus Rhyto F99. Wabak ini membunuh hampir kesemua rakyat negara ini dan melumpuhkan sistem ekonomi dan pertahanan negara.

Sementara itu, kisah cinta dan kemasyarakatan masih menjadi pilihan penulis disebabkan permintaan daripada pembaca yang menggemari novel kisah cinta dan masyarakat. Antara novel tersebut ialah Bubur Kacang & Kopi O karya Hasrudi Jawawi, Damai kasihku karya Iris Ixora dan Dia Yang Ku Sayang karya Diya Elora yang masih membawa tema dan persoalan biasa dalam soal cinta dan juga kisah masyarakat.

Dengan gaya penggunaan bahasa yang lincah dan lancar serta dipenuhi dengan dialog, monolog serta humor dan memasukkan unsur ilmu menjadikan novel-novel ini seronok dibaca. Tetapi apa yang lebih penting penulis mestilah juga mengutarakan kisah cinta yang hebat dan luar biasa yang mengambil sudut pandangan yang berbeza tetapi masih tema dan persoalan cinta dengan berlandaskan Islam.

Berkesan

foto hiasan

Keindahan gaya bahasa dan paduan tema dan persoalan yang besar mampu menjadikan sesebuah novel itu novel yang berkesan di hati pembaca. Beberapa buah novel lain seperti Bahagia Itu Miliknya karya Rozita Abd Wahab, Bukan Pungguk Rindukan Bulan karya Wanis Soffya, Terucap Syahadah karya Lidya Nazura, Fantasi Cintaku karya Fatinilam Sari Ahmad adalah beberapa nama novelis yang mempunyai harapan cerah dalam penulisan novel.

Namun dengan syarat mampu mengetengahkan tema dan persoalan cinta yang lebih besar dalam karya mereka.

Dalam novel Fantasi Cintaku karya Fatinilam Sari Ahmad, penulis cuba memasukkan elemen mistik, fantasi, kasih sayang dan cinta dalam novel menjadikan cereka yang menarik kepada pembaca.

Penulis juga mengakhirkan kisahnya dengan misteri. “ Riya mengakui fantasi cintanya memang indah dan kehidupan amat pahit untuk dilalui. Suatu saat dahulu lelaki impiannya terperangkap dalam dunia penuh misteri tetapi kini lelaki itu telah hadir dalam realiti. Lalu dia terus bahagia.” (Halaman 485).

Justeru, hubungan budaya dalam kehidupan dan sejarah orang Melayu. hal ini menjadikan novel ini mengisahkan peristiwa dan tindakan iaitu hal-hal yang dialami dan dilakukan oleh manusia dalam kehidupannya. Kejadian-kejadian yang dipusatkan melingkungi seluruh kehidupan.

Lantaran itu, keindahan dan kekuatan sesebuah novel biasanya bermula daripada tema dan persoalan yang besar, gaya penceritaan yang menarik, latar masa, masyarakat dan tempat yang bersesuaian dengan penceritaan.

Keistimewaan pengarang biasanya terletak pada gaya bahasa dan isi cerita novel daripada hasil karya penulis baharu menampakkan pelbagai bentuk keindahan bahasa dengan memadukan gaya dan isi cerita yang menarik.

Ini sekali gus memerlukan pembaca berfikir dan merenung tentang kehidupan masa lalu dan masa depan yang penuh dengan pelbagai cabaran sebagai pengajaran dan hiburan yang mengasyikkan.

utusan online

Sadaqah

16 May 2015

Hari Muzium Antarabangsa


RASIONAL LOGO HARI MUZIUM ANTARABANGSA

Negeri Perak sebagai tuan rumah Hari Muzium Antarabangsa peringkat Kebangsaan 2015 sememangnya mempunyai sejarah panjang dan gemilang. Selain beberapa peristiwa dan perkara pertama berlaku di Malaysia ini terjadi di Negeri Perak, kegemilangan ini juga diwarisi melalui sejarah Kesultanan Melayu yang terus didaulatkan. Justeru dengan mengambil inspirasi dari kegemilangan sejarah kesultanan dan warisan Melayu, citra Bunga Kelumpang diangkat menjadi logo perayaan kali ini.

Bunga Kelumpang adalah bunga tradisional negeri Perak. Motif-motif bunga ini digunakan kebanyakkan bangunan utama terutamanya di Istana Iskandariah. Motif Bunga Kelumpang juga digunakan sebagai motif pada tenunan songket bagi pakaian rasmi orang-orang besar negeri Perak.
Motif ini dipilih sebagai tema hari muzium Antarabangsa kerana dari bentuk asal bunga ini keluarlah salur-salur subur berbunga dan berbuah lebat seolah-olah menyerupai tangan terbuka dan melambai-lambai mesra mempersilakan tetamu dari semua muzium ke negeri Perak.

Bunga ini direka sedang kembang bagi menggambarkan keceriaan dan semangat warga Muzium bagi menyambut peristiwa ini. Ianya di warna-warnikan bagi menunjukkan kepelbagaian aktiviti yang diadakan sempena Hari Muzium ini.

Bulatan putih di tengah bunga mewakili aspirasi Muzium sebagai wadah pendokumentasi, penerangan dan penyampaian ilmu kepada masyarakat. Jurai putih dari bulatan itu ada 14 jurai yang mewakili Negeri-negeri di Malaysia.



Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2015, semua muzium di peringkat Persekutuan dan Muzium Negeri dibuka secara PERCUMA pada 18 Mei 2015.





Pameran dan Program Utama Jabatan Muzium Malaysia 2015. 

Festival Hari Guru


persembahan kebudayaan asean

mewarna

jualan dan pameran




sukaneka tadika KEMAS

Ceramah  YBhg. Dato' Ustaz Kazim Elias 
Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar,
9.00 malam 16 Mei 2015



Majlis Malam Cinta Rasul 
bersama kumpulan Al- Mawlid
 pada 14 Mei 2015 
di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar, Kedah


STATUS

Search This Blog

DAUN