ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

19 Apr 2013

Ahmad Kamal Abdullah

DATO’ DR. AHMAD KAMAL ABDULLAH
SASTERAWAN NEGARA KE-11

Kemala atau yang dikenali juga sebagai Akmal Jiwa merupakan nama pena kepada Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Gombak, Selangor. Beliau merupakan anak ketiga daripada sepasang suami isteri, iaitu Abdullah bin Daud (meninggal pada tahun 1945) dengan Rukiyah binti Amir. Sebelum menikahi Rukiyah, Abdullah telah beristeri dengan seorang perempuan bernama Siti Hawa yang menetap di Rawang, Selangor. Daripada perkahwinan itu, mereka telah mendapat seorang puteri. Ahmad Kamal mempunyai empat orang adik beradik seibu sebapa. Abangnya yang sulung bernama Kamaruzzaman, meninggal semasa kecil. Selepas itu beliau mendapat seorang kakak perempuan bernama Narimah yang lahir pada tahun 1939. Pada 30Januari 1941lahir pula putera yang diberi nama Ahmad Kamal. Adik Kemala, Taufik meninggal semasa kecil.

Ahmad Kamal bin Abdullah lahir dalam keluarga terdidik pada masa itu. Ayahnya merupakan lulusan Junior Cambridge dari Malay College Kuala Kangsar, Perak, iaitu sebuah sekolah elit yang khusus didirikan oleh penjajah Inggeris untuk mendidik anak raja-raja dan elit baru Melayu. Datuknya Haji Daud bin Baginda Muda berasal dari Pariaman, Rao Minagkabau membawa diri ke Kolang dan terus menetap di Ketari, Bentong, Pahang dan menikahi Naimah iaitu anak perempuan kepada penghulu Setapak, bernama Khatib Koyan. Nama moyang Ahmad Kamal ini diabadikan pada nama sebatang Jalan di Kampung Baru, Kuala Lumpur iaitu Jalan Katib Koyan.

Rukiyah binti Amir (meninggal pada 15 Jun 1957), merupakan ibu yang penyayang dan sering bercerita serta membacakan syair-syair kepada si kecil Ahmad Kamal sebelum tidur. Kelembutan ibu dan dendangan syair serta cerita-cerita ini membekas dalam jiwa Ahmad Kamal. Lanjutan daripada itu, sejak Darjah 5 di Sekolah Melayu Kampung Batu, Kuala Lumpur lagi Ahmad Kamal sudah mula memupuk citarasa seninya dengan membaca buku yang terdapat di perpustakaan sekolah tersebut. Pada masa itu beliau sudah terdedah dengan Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hamlet dan bayak lagi karya yang terdapat dalam perpustakaan kecil di sekolah tersebut. Apabila dia berpindah ke Sekolah Melayu Prince’s Road, Jalan Raja Muda, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Maaruf Mahmud, Guru Besar sekolah tersebut yang terkenal sebagai pengarang sastera kanak-kanak, telah melantiknya menjadi Setiausaha Taman Bacaan iaitu perpustakaan sekolah tersebut. Apabila Ahmad Kamal mula berkeja di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1968 beliau bertugas dalam satu pejabat dengan Maaruf.

Pada tahun 1956, Ahmad Kamal terpilih menjadi guru Pelatih, mengajar di Sekolah Melayu Jeram, Kuala Selangor. Dia berulang alik setiap hari Sabtu menghadiri kelas Guru Pelatih di Sekolah Melayu Kampung Baru dan kemudian kelas itu berpindah pula ke Sekolah Melayu Tanjong Karang, Selangor berdekatan dengan tempat beliau bertugas. Pada tahun 1958 beliau terpilih melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak, dalam kelas A, iaitu kelas bagi guru pelatih yang terpandai yang mendapat markah tertinggi untuk memasuki maktab tersebut. Di sini dia terdidik dalam bidang akademik bagi membolehkan dia mengambil peperiksaan LCE Type, iaitu Sijil Rendah Pelajaran dalam Bahasa Melayu yang khas untuk pelajar –pelajar MPSI dan MWTC bagi membolehkan mereka mengikuti kursus Perguruan di maktab-maktab tersebut. Ketika ini MPSI sudah mula mengambil pelajar-pelajar daripada sekolah menengah Inggeris. Kelompok pelajar seangakatan dengan Kemala, dan kelompok pelajar setahun sebelumnya, terpakasa belajar lima tahun, tiga tahun untuk persediaan akademik dan dua tahun lagi untuk ilmu perguruan.

Ahmad Kamal berjaya memperoleh sijil tersebut dan seterus mengikut kursus perguruan dan tamat pada tahun 1963 dengan dianugerahkna Sijil Perguruan Sekolah Rendah Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dengan ditauliahkan mengajar dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Pendidikan akademik beliau berikutnya, bersifat autodidik, iaitu belajar sambil bekerja, melalui pos dan pengajian luar kampus. Dengan cara ini beliau berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (1963), Sijil Tinggi Persekolahan (1974), Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Universiti Sains Malaysia, 1980), Sarjana Sastera (Universiti Sains Malaysia,1985) dan Doktor Falsafah (Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000). Di celah-celah kesibukan kerja dan belajar sambil bekerja itu, beliau sempat pula berkursus BMP, di Makati, Filipina (1990) dan menyertai International Writing Program, Universiti Iowa, Iowa City, U.S.A. (1993), sebuah institusi akademik dan penulisan yang tersohor di dunia, di bawah pimpinan profesor dan penyair Amerika yang terkenal iaitu Dr. Paul Engle.

Ahmad Kamal bin Abdullah telah memulakan kerjaya penulisannya sejak tahun 1954 lagi, iaitu sejak di bangku sekolah Melayu. Sehingga kini, selama 57 tahun, dia terus menerus berkarya tanpa mengenal jemu. Bakatnya diserlahkan semasa beliau belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris. Sewaktu itu karya-karyanya telah menjengah di dada-dada akhbar dan majalah tanah air, antaranya Utusan Pamuda, Waktu, Hiburan, Mutiara, Mastika, Bulanan Malaya, Utusan Zaman, dan Berita Minggu. Beliau juga mementaskan dramanya berjudul “Lembayung Senja” di Dewan Suluh Budiman, di MPSI. Seterusnya, beliau tidak jemu-jemu menulis hatta apabila beliau ditukarkan mengajar di daerah pedalaman di Selangor pada masa itu, seperti di Sekolah Melayu Tiram Buruk, Tanjong Karang (1963-1967) dan di Sekolah Teluk Gong, Kelang (1968). Di situ beliau bergaul bersama petani dan mereka yang kelaparan tanah. Jerit derita, dan sumsum sengsara para petani dan para marhain Tanjong Karang dan Teluk Gong itu terungkap tajam dalam sajak-sajak yang sebahagiannya termuat dalam kumpulan puisinya Timbang Terima (1970).

Korpus karya Kemala terdiri daripada genre puisi, sedikit dalam genre cerpen, drama dan cerita kanak-kanak, tetapi banyak dalam penulisan esei dan buku ilmiah. Bakatnya merendang dan namanya menjulang, apbila beliau berkeja di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1968, bermula sebagai penolong penyunting, menjadi edior majalah-majalah sastera dan berbagai lagi, akhirnya bersara pada tahun 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Jumlah puisi yang dihasilkan Kemala banyak sekali, dan ini terbukti daripada kumpulan puisi perseorangannya yang sudah terbit yang berjumlah 10 buah dan sebuah lagi menunggu kelahirannya daripada penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judul-judul puisi perseorangannya ialah Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktuskaktus (1976), A’yn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), Syurga ke Sembilan (2009) dan Sumsum Bulan Rawan yang akan segera terbit. Puisinya juga termuat sekurang-kurangnya dalam 25 antologi. Kumpulan cerpennya yang telah terbit berjumlah 3 buah, cerpen dalam antologi sebanyak 8 buah. Kumpulan cerpen perseorangannya ialah Anasir (1983), Firuzia, Firuzia (1990) dan Laut Takjub 25 Cerpen Pilihan (2010). Dramanya sebanyak 4 buah iaitu Di Bumi Lain (1976), Malam Perhitongan (1966), Anna (1972) dan Kelonsong (1985). Buku kanak-kanak 2 buah iaitu Melor, Melur Si Bunga Melur (1974) dan Lani Anak Tani (1977). Jumlah kajian ilmiah dan esei yang dihasilkannya banyak sekali.

Sejak tahun-tahun 1960-an Kemala telah menjadikan “Kebenaran, kejujuran, keindahan, ketuhanan dan kemanusiaan” sebagai landasan falsafah penulisannya. Semua itu dimantapkannya apabila beliau menjadikan “Cinta” sebagai inti dalam koleksi puisi Meditasinya. Meditasi menyorot hakikat kehidupan yang tidak dapat dipisahkan daripada cinta. Cinta yang luas dan universal, yang semuanya berasal daripada cinta Ilahi meman sesuai dengan ajaran Islam seperti yang difahami Kemala, yang dalamnya manusia dilahirkan sebagai khalifah Allah di dunia yang fana.
Sepanjang lebih setengah abad berkarya, Ahmad Kamal Abdullah telah mendapat banyak anugerah dan penghargaan daripada dalam dan luar negara. Antaranya ialah Anugerah S.E.A Write Awards daripada Thailand (1986), Augerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002), Hadiah Sastera Malaysia (1972,1975,1976,1992/93,1995), dan Hadiah Sastera Perdana (1997, 1998/99). Pada tahun 1986, beliau dianugerahkan pingat AMN oleh Baginda Yang DiPertuan Agong dan pada 13 Mac 2001, DYMM Sultan Selangor menganugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dengan gelaran Dato’. Kini beliau bertugas sebagai Sarjana Tamu di Univeriti Putra Malaysia.

Di samping pengharagaan tersebut, dunia akademik turut memberi perhatian terhadap karya-karya beliau dengan mengkajinya secara mendalam. Setakat ini didapati 8 kajian yang terdiri daripada latihan ilmiah, desertasi dan tesis Ph.D telah menjadikan karya-karya Kemala sebagai bahan penelitian. Sejumlah 46 esei menanggapi karya beliau telah pula terhasil oleh berbagai kalangan, daripada para sarjana hinggalah kepada wartawan dan pengkagum keindahan seni sastera ciptaan beliau.

Sesungguhnya, karya-karya Kemala mempunyai mutu yang tinggi, dengan daya renung yang dalam, daya cipta yang menarik dan nilai estetik yang mengkagumkan. Tidak hairanlah karya-karyanya, terutama puisi, bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada genarasi baru, malah diminati oleh para sarjana dalam dan luar negara. Hal ini terbukti dengan jumlah hadiah, anugerah dan penghargaan yang diterimanya serta kajian-kajian dan tanggapan-tanggapan pencnita karya seninya seperti yang disebutkan di atas. Lebih jauh daripada itu, karya-karyanya, terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Inggeris, China, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatia.

Ahmad Kamal Abdullah juga terkenal sebagai peneroka bermacam jenis acara dan aktiviti yang dapat memberi kehidupan kepada sastera. Antaranya beliaulah tokoh yang bertanggungjawab mengasaskan tradisi baca puisi pada peringkat antarabangsa di Malaysia, iaitu Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur yang bermula pada tahun 1986. Dalam dunia pergerakan sastera, beliau telah mengasaskan penubuhan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia pada tahun 1993. Tidak kurang pula pentingnya, pada tahun 1989 beliau menjadi utusan Dewan Bahasa dan Pustaka ke Eropah menemui para profesor di sana dengan membawa idea bagi penubuhan Kerusi Pengajian Melayu. Beberapa tahun kemudian, tertubuhlah Kursi Pengajian Melayu di Universiti Leiden, Belanda.Tambahan daripada itu, beliau sendiri amat aktif membaca puisi, bukan sahaja dengan menjelajah ke pelosok tanah air, malah ke merata kota besar di dunia, termasuk Sydney,Canberra, Melbourne, Perth, Jakarta, Den Pasar, Seoul, Sturga, Hongkong, Tokyo, Koln, Paris, Santa Cruz, London, Iowa City, Sarajevo, Solo dan Bandung. Yang amat menonjol daripada tradisi baca puisi ini ialah gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya yang lunak yang menjadi ikutan dalam kalangan generasi muda. Bagitu pula, Kemala amat aktif membentangkan kertas kerja memasyhurkan sastera Melayu moden, terutama puisi, pada pelbagai seminar kebangsaan dan antarabangsa, di Malaysia dan di pusat-pusat pengajian Melayu di seluruh dunia.

Sumbangan Kemala terhadap dunia puisi dan sastera negara dapat diringkaskan seperti berikut:
1. Penglibatan dalam pelbagai genre sastera.
Puisi, drama, cerpen dan cerita kanak-kanak, esei dan kritikan serta terjemahan. Yang paling menonjol ialah puisi, walaupun yang lain-lain genre itu turut mendapat perhatian pembaca dan terjamin mutunya. Puisi: 25 antologi, 10 kumpulan; drama: 4; Cerpen: 8 antologi, 4 kumpulan; Cerita kanak-kanak: 3.

2. Sejarah Sastera
Tokoh utama dalam puisi kerohanian berunsur Islam dan tokoh penyair Melayu Islam selepas Amir Hamzah.
Tokoh penting dalam penulisan puisi mulai period 60-an, memperhalus pengucapan puisi Melayu moden di Malaysia sebagai penanda pemisahan dengan periode 50-han (bersama-sama dengan rakan-rakan seangkatannya)

3. Pergerakan Sastera
PENA- Ketua Satu (1983-1986)
GAPENA- AJK (1970-1972),SetiaUsaha Satu Yang Pertama (1972-1975)
Persatuan Kesusasteraan Bandingan, Pengasas dan Presiden (1993 hingga sekarang)
Persatuan Suluh Budiman - Ahli
Persatuan Penulis Selangor- Ahli
World Muslim Writes League (Madinah)- Ahli
Hadiah Sastera Malaysia (1983-1986)- Panel
S.E.A Write Award bagi Malaysia (2000)- Panel Penilai Akhir
Hadiah Sastera Berunsur Islam DBP(2003)- Ketua Panel
IQ-International Sebuah Jurnal Kesusasteraan Bandingan, Philladephia, Amerika Syarikat (1993- )- Editorial advisory council for Asia
Hadiah Sastera Perdana (2002-2003)- Ahli Panel
DBP-AJK Istilah Puisi, Ensiklopedia Kebudayaan Melayu-Pakar Kesusasteraan Melayu
Majlis Kebudayaan Negeri Selangor(1985-86)- AJK
Sayembara Mengarang Puisi Darul- Iman bagi seluruh Nusantara(1996)- Panel Penilai
Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam(1998)- Panel Penilai
Menubuhkan Bahagian Kesusasteraan Bandingan Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka(1956)
Pengucapan Puisi Dunia (1986)- Idea dan memperjuangkannya dan sekarang telah jadi tradisi dan berkembang Acara Baca Puisi.
Pimbinaan Bangunan Teater- turut member idea pembentukan Panggung Negara (sekarang Istana Budaya)bersama-sama PENA (1973-)
Pertemuan-pertemuan sasterawan dan Baca Puisi dan ceramah sastera seluruah dunia: Pertemuan Sasterawan Indonesia (1976)-Peserta, Puisi Asean (1978)-Peserta, Apresiasi Penyair Puncak Bali (1983) –Peserta,Ceramah di Hankuk Universiti,Seoul, Korea(1985)- Penceramah Tamu dan Baca Sajak, Struga Poetry Evening di Macedonia-
Baca Puisi dan simpusium-Peserta.
Penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Eropah- 1989 Duta Sastera ke Eropah bagi pihak DBP menyampaikan idea dan misi dari DBP kepada tokoh-tokoh Pengajian Melayu di Eropah bagi penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Eropah.

4. Pengembangan Ilmu Sastera.
Mengkaji sastera dan menulis skripsi, khususnya dalam bidang puisi moden B.A, M.A., Ph.D
Mengkaji sastera dan melahirkannya dalam tulisan-tulisan ilmiah dan membentangkannya dalam berbagai seminar dalam dan luar negeri serta menerbitkannya dalam penerbitan berkala dan dalam bentuk buku, sama ada secara individu mahupun secara bersama dengan pengarang lain. 15 Buku kajian.

Karyanya menjadi bahan kajian dari peringkat B.A hinggalah Ph.D merentasi bukan sahaja bidang Pengajian Melayu, malah dalam bidang Islam. Dikaji oleh pelbagai sarjana, termasuk V.I. Braginsky, Jelani Harun, Nancy Nanny (USA), Maman S. Mahayana (Indonesia), Lalita Sinha, Arbak Othman, dan Mana Sikana.
Setakat ini telah dua buah Ph.D, khusus menggunakan karya puisi Kemala, terakhir (2010)oleh Abdul Halim Ali dari USPSI.


Sebuah Puisi Kemala

Dari Benua Cinta Penyair

Dari benua cinta penyair
ke tanah bertuah bangsa
selepas setengah abad
mencecapi makna merdeka
1
Dari Benua Cinta penyair kujelang Tanah Bertuah Bangsa
Kuendapkan kelezatan maknawi mencecapi setengah abad
merdeka.
Merdeka hakiki, merdeka hayati, merdeka batini, merdeka
kecubung
Mimpi berpalang, belenggu keroyokan asing
Empat-setengah abad. Kami adalah bulan putih, matahari
Bersinar membinari hidup. Kami adalah
Kedaulatan pertama. Ilahi merestui dan mematrai
Selaksa gurindam, bergugusgugus doa kudus.
Dari Benua Cinta Penyair
Ke Tanah Bertuah bangsa. Kami membaca
Hikayat Delima Derita
Dengan liangliang sukma kami
Dibantai pelurupeluru bandit.
Kami menempeli lembaran yang robek dimakan bubuk
Dan anaianai. Merbau dan Kruing, Nibung dan Petaling
Kami pikul dari belantara gelap kini tertancap di dadamu
Seribu tiang seri Rumah Warisan
Monumen Keprihalan pahlawanpahlawan kecil
Tak bernama, hilang tak kembali di malam kemerdekaan
Yang gerimis. Ada desis mendesis tiba,” Kami hilang tapi
Roh kami tetap mengusap tiap jalur, bulanbintang panjipanji
Itu tubuh, darah dan kalbu kami. Kami gugur
Demi maruah pribumi dan daulah para leluhur!”
II
Selepas setengah abad terdampar, di hadapan kalian kini
Limapuluh album lusuh. Tangan mulus srikandi mana
Bakal mengelus dan menyeka debudebu musim
Menyusun, mengitar, mengawet potret tua pada sudut
Album baru yang sahih. Ada yang kelabu, ada yang
tercetaicetai
Terperangah dicakar serigala lapar. Ada kebenaran yang
Tetindih dan ada sukma wangi dihunjami tangkulak.
Aduh, dimanakah Jiwa anggun dahulu, Kekasihku?
Aku menerjang ke malammalam sepi yang panjang.
Aku menggali wilayah karang tajam di dasar laut dalam
Ini pancaroba. Ini kerikil tasbih ditampar taufan.
Rindu apakah ini Kekasihku? Qasidah tajalli benangnya
Rohani. Nasyid dan Ghazal, Seloka dan Pantun
Bersatu dengan dendam berkurun. “Kembalikan Diri
Yang terpenjara, dicambuk mungkar Karun
Sebelum padam api kemerdekaan anggun!
Dari Benua Cinta Penyair, ke Tanah Bertuah Bangsa
Selepas mencecapi Makna Merdeka
Angin tanah air berkesiur, “Ini kemerdekaan,
Ini kunci iman, Rindu Keanggunan, bara hasrat
Yang kugenggam dari binar tujuh cakrawala,
Bak Cinta kasmaran menembusi tujuh lapis bumi
Lalu kucanai Kunci Firasat, Kunci Makrifat
Kunci Hakiki,
Kunci Kasih
Kunci Rohani!
Kemala
Kuala Lumpur, 10 Mac 2007

Dewan Budaya Mei 2007

Membaca Puisi-Puisi Jalaludin Rumi

PESONA KEMATIAN

Siapa yang menganggap kematian sangat mempesona adalah laksana Yusuf memberikan jiwanya demi tebusan; siapa yang menganggapnya bagai serigala akan berpaling dari penyelamatan.
Setiap kematian seseorang itu sesuai dengan sifat dirinya, anakku: bagi musuh Tuhan ia adalah musuh, bagi sahabat Tuhan ia adalah sahabat
Di mata orang Turkoman cermin itu terang; di mata orang Etiopia ia gelap bagai orang Etiopia.
Ketakutanmu terhadap maut sesungguhnya adalah ketakutanmu terhadap dirimu sendiri: lihatlah apa yang sedang kau larikan dari dirimu!
Itu adalah keburukan wajahmu sendiri, bukan wajah maut: rumu bagai pohon, dan maut laksana dedaunan.
Ia tumbuh darimu, apakah ia menjadi baik atau buruk: semua pikiranmu yang tersembunyi, curang atau wajar, lahir dari dirimu sendiri.
Jika engkau dilukai duri-duri engkaulah penanamnya; jika engkau berpakaian satin dan sutera, engkau sendirilah pemintalnya.
Ketahuilah bahwa perbuatan itu tak sama dengan hasilnya; sebuah pelayanan tak selalu sama dengan upahnya.
Gaji pekerja tidak sama dengan kerjanya: yang terakhir adalah aksiden, sedang yang pertama adalah substansi.
Yang terakhir adalah usaha dan kerja-keras serta keringat, yang pertama adalah perak dan emas serta bahan makanan.
Jika pemuja nampak bersujud atau berlutut di sini, di alam baka  kan menjadi Taman Doa Bahagia.
Jika pujian-pujian kepadaTuhan terucap dari mulutnya. Tuan Sang Fajar mengubahnya menjadi buah Syurga.
 Jalaluddin Rumi




TIDUR TERHADAP DUNIA 

Setiap malam Kau bebaskan roh kami dari jerat tubuh dan Kau hapus seluruh kenangan dari ingatan.
Setiap Malam roh kami bebas dari sangkar ini, selesailah sudah segala pertemuan, bincang-bincang dan kisah.
Di malam hari para tahanan melupakan penjaranya, di malam hari para pembesar pun melupakan kekuasaannya.
Tiada duka, pertimbangan untung mahupun rugi, gagasan orang ini ataupun orang lain.
Demikianlah keadaan orang Sufi, sekalipun dia tak lagi tidur: Tuhan berfirman, “(Kau tentu mengira mereka itu bangun) pada hal mereka itu tidur.”
Dia tertidur, siang dan malam, terhadap urusan-urusan dunia ini, bagai sebuah pena di tangan Tuhan.
Tuhan telah memperlihatkan sebagian keadaannya, sedangkan orang yang kasar pun oleh tidur dapat terbuai:
Roh mereka masuk ke Hutan Belantara yang kata tak sanggup mengucap, kata-kata, jiwa dan tubuh mereka istirehat.
Hingga dengan sebuah siulan Kau panggil mereka kembali ke jeratnya, membawa mereka kembali ke keadilan dan pengadilan.
Di saat fajar, seperti Israfil, Dia memanggil mereka kembali dari Sana ke dunia rupa.
Ruh-ruh yang tak berbentuk Dia tawan sekali lagi dan menjadikan setiap tubuh sarat ( dengan amal baik dan buruk).
 Jalaluddin Rumi



AKAN JADI APA DIRIKU?
 

Aku terus dan terus tumbuh seperti rumput;
Aku telah alami tujuh ratus dan tujuh puluh bentuk.
Aku mati dari mineral dan menjadi sayur-sayuran;
Dan dari sayuran Aku mati dan menjadi binatang.
Aku mati dari kebinatangan menjadi manusia.
Maka mengapa takut hilang melalui kematian?
Kelak aku akan mati
Membawa sayap dan bulu seperti malaikat:
Kemudian melambung lebih tinggi dari malaikat –
Apa yang tidak dapat kau bayangkan.
Aku akan menjadi itu.

Jalaludin Rumi 

 

14 Apr 2013

Puisi Cinta Jalaludin Rumi

Petikan Puisi Cinta Jalaluddin Rumi



Kerana Cinta 

Kerana cinta duri menjadi mawar
kerana cinta cuka menjelma anggur segar
Kerana cinta keuntungan menjadi mahkota penawar
Kerana cinta kemalangan menjelma keberuntungan
Kerana cinta rumah penjara tampak bagaikan kedai mawar
Kerana cinta tompokan debu kelihatan seperti taman
Kerana cinta api yang berkobar-kobar
jadi cahaya yang menyenangkan
Kerana cinta syaitan berubah menjadi bidadari
Kerana cinta batu yang keras
menjadi lembut bagaikan mentega
Kerana cinta duka menjadi riang gembira
Kerana cinta hantu berubah menjadi malaikat
Kerana cinta singa tak menakutkan seperti tikus
Kerana cinta sakit jadi sihat
Kerana cinta amarah berubah
menjadi keramah-ramahan

Jalaludin Rumi 


Mari Ke Mari

Mari Kemari, Datang..Datanglah
Mari kemari datanglah siapapun dirimu.
Pengelana, Peragu, dan Pencinta mari..kemari datanglah
Tak penting kau percaya atau tidak..
Mari, kemari … datanglah
Kami bukanlah rombongan yang patah hati …
atau pintu-pintu dari keputus asaan,
Mari kemari datanglah…
Meski kau telah jatuh ribuan kali,
Meski kau telah patahkan ribuan janji,
Mari kemari…datang. .. datanglah sekali lagi…

Jalaludin Rumi



Kearifan Cinta

Cinta yang dibangkitkan
oleh khayalan yang salah
dan tidak pada tempatnya
bisa saja menghantarkannya
pada keadaan ekstasi.
Namun kenikmatan itu,
jelas tidak seperti bercinta dengan kekasih sebenarnya
kekasih yang sedar akan hadirnya seseorang yang
mencintainya ini
sebagaimana kenikmatan lelaki
yang memeluk tugu batu
di dalam kegelapan sambil menangis dan meratap.
Meskipun dia merasa nikmat
kerana berfikir bahawa yang dipeluk adalah kekasihnya, tapi
jelas tidak senikmat
orang yang memeluk kekasih sebenarnya
kekasih yang hidup dan sedar.

Jalaluddin Rumi


13 Apr 2013

Muat Turun : Cerpen dan Drama


Sila tekan banner di atas untuk muat turun

Terbaru di Muat Turun Mimbar Kata

Cerpen : Benar Kata Ayah, Tagung dan Aksi Sang Jerut
Drama : Dongeng Sang Puteri

Semoga memberi manfaat untuk semua

Ikhlas  Mimbar Kata

Mendekati Pantun

PANTUN

Latar Belakang

Pantun Melayu mendapat perhatian istimewa dari sarjana bahasa Melayu baik dari bangsa Eropah maupun dari anak tempatan. Manakala anak-anak tempatan melebihkan soal-soal keindahan dalam pantun dan persamaannya dengan bentuk puisi lain di alam Melayu, sarjana-sarjana barat asyik memperkatakan asal perkataan itu dan perhubungan antara pembayang maksud dengan maksudnya hinggakan masing-masing mengeluarkan hujah-hujah yang tidak dapat dipersetujui oleh orang lain.

Pantun ialah ragam puisi yang hidup di kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan. Khasnya pantun memerlukan sajak dan irama, pilihan suku-kata dan perkataan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu lama sebelum orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang-orang Melayu menciptakan pantun untuk melahirkan berbagai-bagai bentuk perasaan, dengan mana pula merupakan satu seni yang indah. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, bersuka-suka dan berjenaka, menyindir, dan untuk menyatakan rasa kesedihan.

Dengan adanya syarat-syarat tertentu, pantun-pantun Melayu dilahirkan secara berkesan, padat dan ringkas. Pantun adalah hak masyarakat umum, tidak sesiapa yang memilikinya, tetapi semua ahli masyarakat tahu yang manakah pantun yang baik dan yang mana tidak. Keindahan pantun hanya dapat dirasakan bila didengar dan diucapkan.

Kata pantun asalnya dari Sanskrit, dan membawa erti: bicara, aturan yang sah; dan dalam bahasa Jawa dengan erti yang lebih umum, pantun merupakan sebahagian dari peribahasa. Dalam buku-buku sastera lama Melayu pantun diertikan dengan seperti. umpama, misalnya dalam Hikayat Hang Tuah disebut: saperti pantun Melayu pagar makan padi. Pantun juga kadang-kadang membawa maksud sebagai atau seumpama saperti dalam Tuan sepantun kilat cermin.

Brandstetter telah mencuba memecahkan perkataan pantun kapada akar kata tun dan katanya dalam bahasa Sunda pantun berasal dari akar tun. Dalam bahasa Tagalog tuntun bererti membawa secara teratur, dan dalam bahasa Jawa Kuno matuntunan bererti memimpin. Jadi sarjana-sarjana bahasa tidak dapat memutuskan soal pantun dari segi etimologi.

Dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, pantun digunakan untuk mencemuh dan mengata sesuatu secara halus :

Cau Pandan, anak Babanya
Hendak menyerang ke Melaka.
Ada cincin berisi bunga
Bunga berladung si airmata.

Dalam Hikayat Hang Tuah, semasa pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat ada disebut seperti pantun Melayu, “Rosak bawang ditimpa jambak”

Za’aba juga tidak ketinggalan menyatakan pantun biasa digunakan untuk membawa maksud seumpama, sebagai dan dalam kata-kata orang tua-tua biasa disebutkan :
Sepantun ayam tidak berinduk,
Menampi orang maka memakan

Werndly seorang sarjana bahasa Melayu dalam tahun 1736, membawa perhatian kita kapada puisi Melayu yang disebutnya pantun Spellman, tetapi yang sebenarnya ialah syair iaitu ‘Syair Perang Makasar’.

Nyata sekali dalam sastera lama pantun digunakan dalam berbagai corak. Dalam Sejarah Melayu juga pantun biasa digunakan sebagai nyanyian dalam kisah Singapura dilanggar todak:

Carik baju raja,
Dilompati todak,
Bukan disengaja
Sebab akal budak.

Dalam kisah Tuan Jana Khatib disebutkan dipantunkan orang :
Telur itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

Memang sukar hendak ditentukan bilakah pantun mula digunakan dalam buku-buku sejarah Melayu lama. Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, iaitu sebuah teks Melayu yang tertua, ada sebuah karangan berangkap yang dua kali dipakai; tetapi kata Winstedt ini sukar hendak dikatakan bentuk pantun. Mungkin pantun telah dicatitkan ke dalam buku-buku Melayu lama itu pada masa kerajaan Melayu Melaka, dan banyak terdapat dalam hasil yang ditulis dalam abad ketujuh belas. Tetapi selepas abad delapan belas, pantun menjadi satu kebiasaan dan merupakan satu tingkat dalam perkembangan puisi Melayu.

Syarat-syarat Yang Ada Pada Pantun

Pantun sebagai satu cabang sastera puisi yang terpenting, berkehendakkan beberapa syarat tertentu. Syarat-syaratnyalah, yang menyebabkan pantun tidak menarik hati masyarakat moden. Bentuknya terikat dan tidak memberi kesempatan untuk gaya persendirian. Walau pun ada beberapa jenis pantun, seperti pantun empat kerat, enam kerat, delapan kerat dan pantun berkait,

Syarat-syarat untuk mengarang pantun ini adalah sama. Hanya pantun berkait sahajalah yang harus diperkatakan berasingan. Haruslah disedari bahawa pantun dua keratlah yang menjadi pendahuluan kapada pantun empat kerat dan seterusnya.

Pada asasnya ada empat syarat yang harus dipenuhi oleh sesebuah pantun yang baik iaitu:
i. Pantun dibahagikan dalam dua bahagian; bahagian pertama disebut pembayang maksud atau sampiran atau pembawa maksud, dan bahagian kedua disebut maksud pantun yang sebenarnya. Perlu ada perhubungan antara bahagian pembayang maksud dengan maksudnya.

ii. Perhubungan antara pembayang maksud dengan maksud, sebenarnya dapat dilihat dalam bayangan bunyi.

iii. Di samping sajak, mesti pula ada asonansi (bunyi yang sama) seterusnya.

iv. Erti dan maksud dari seluruhnya tidak boleh tampil ke muka dengan sekali gus tetapi dengan perlahan-lahan. Sarjana, barat banyak menyumbangkan tenaga dalam mencari asal-usul pantun dan perkaitan antara pembayang maksud dengan maksudnya.

Marsden dan Crawford berpendapat bahawa bahagian pertama pantun berisi metaphor, ibarat, mithalan yang membayangkan apa yang akan dikemukakan dalam bahagian kedua iaitu maksudnya. Bahagian maksud mengandungi isi yang lebih lanjut dari bayangannya dalam bahagian pertama. Contohnya terdapat dalam pantun:

Telur itik dari Senggora,
Pandan terletak dilangkahi;
Darahnya titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.

‘Ibarat dan bandingannya terdapat dalam jarak letak kedua tempat itu dan juga sifat-sifat tertentu yang dilambangkan oleh telur itik dan pandan itu. Unsur-unsur yang saperti ini dapat menolong kita untuk menerangkan lagi maksud pantun itu. Keadaan merintis jalan atau membayangkan apa yang dikemukakan dalam maksud pantun memang sukar hendak diadakan, tetapi lebih senang untuk mencari perhubungan antara pembayang maksud dengan maksud dari segi persamaan bunyi sahaja.
Winstedt dan Wilkinson pula berpendapat pembayang maksud serangkap pantun harus mengandungi sesuatu fikiran yang indah dan dalam dan bertaraf seni. Mereka berpendapat pantun harus mengandungi dua bentuk iaitu bentuk metaphor dan keduanya harus pula ada bayangan bunyi.

H. Overbeck dalam makalahnya “The Malay Pantun” majalah Royal Asiatic Jil. 85 (1922) menyatakan bahawa bayangan bunyi dalam pantun ialah sifatnya yang utama dan assosiasi fikiran sifatnya yang kedua.

Dr. Hussein Djajadiningrat telah membandingkan bait-bait pantun dengan bait-bait dalam bahasa Jawa dan Sunda dan berpendapat bahawa wangsalan Jawa dan pantun Melayu berdasarkan atas keinginan untuk menyampaikan hasrat atau menyatakan sesuatu dalam bentuk yang halus dengan menggunakan bayangan bunyi atau disembunyikan di sebalik sindiran.

Orang-orang Bugis dan Makasar suka kepada sindiran dan bayangan bunyi dalam kebiasaan hidup mereka. Mereka menghadiahkan ikan penuo kapada pengantin baru dengan harapan, mereka akan berada dalam keadaan penuh dan tidak kekurangan sesuatu. Bagitu juga hadiah pokok riwu-riwu (ribu) ialah untuk mengucapkan selamat supaya makmur.

Orang-orang Sibolga di Sumatra Barat menyembahkan ikan belanak dengan harapan orang yang menerimanya akan dikurniai Tuhan dengan beberapa orang anak. Demikianlah pentingnya bayangan bunyi dalam pantun.

Untuk memperkatakan sifat-sifat pantun seterusnya, perhatikanlah pantun di bawah ini:
1. “Buah langsat kuning mencelah,
2. Keduduk tidak berbunga lagi,
3. Sudah dapat gading bertuah,
4. Tanduk tidak berguna lagi.”
Dalam sesebuah pantun mesti ada persajakan (persamaan bunyi) antara hujung baris pertama dengan hujung baris ketiga dan hujung baris kedua dengan hujung baris keempat. Ringkasnya persajakan pada pantun mestilah a, b, a, b. Sajak di hujung begini dinamakan sajak akhir.

Sajak akhir ada dua jenisnya iaitu sajak sempurna dan sajak tidak sempurna. Sajak itu sempurna kalau sukukata akhir bersuara sama tepat saperti:
lidi dengan padi
gunting dengan benting
mata dengan kota

Sajak itu tidak sempurna kalau perulangan sukukata terakhir tidak sama tepat, tetapi hanya hampir sama bunyinya sahaja, seperti:
peti dengan budi
kunci dengan puji

Selain dari bunyi hujung yang bersajak, Wilkinson dalam bukunya Pantun Melayu (MPH) berpendapat bahawa pantun yang baik hendaklah mengandungi lebih dari satu sukukata yang bersajak. Pantun yang baik mempunyai assonansi (persamaan bunyi) dalam keempat-empat sukukata dalam tiap-tiap kerat bersajak dengan pasangannya.

Dalam pantun di atas terdapatlah sajak awal buah baris pertama bersajak dengan sudah baris ketiga. Keduduk baris kedua bersajak dengan tanduk baris ketiga, dan sajak tengah Langsat dan kuning bersajak dengan dapat dan gading. Tidak berguna bersajak dengan tidak berbunga. Jadi dalam pantun yang baik, tiap-tiap perkataan ada peranannya yang tertentu, dan dari itu pantun Melayu susah hendak diterjemahkan.
Kebiasaan mencari persamaan sajak dalam pantun dengan mengulang-ulang perkataan yang sama atau dengan menambah lah, pun dan lagi tidak dipandang tinggi dalam puisi pantun.

Perhatikan pantun berikut:

 Ke teluk sudah, ke Siam sudah,
Ke Mekah saja saya yang belum,
Berpeluk sudah, bercium sudah,
Bernikah saja saya yang belum.

Kita akan dapati beberapa sukukata dalam pantun ini bersajak dan ini akan menambahkan indah bunyi pantun tersebut, tetapi cara bersajak saperti ini dengan mengulang-ulangkan perkataan dipandang kurang baik dalam pantun.

Dalam membentuk serangkap pantun ada orang yang mengemukakan soalan dalam baris pertama dan dijawab dalam baris kedua, mengemukakan lagi dalam baris ketiga dan dijawab dalam baris keempat saperti:

Dari mana punai melayang,
Dari sawah turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.

Ada pula yang memberikan pernyataan sahaja seperti:

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya gantikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan.

Dalam mengarang pantun, ada orang yang mementingkan pembayang maksud dan maksud yang berkait atau bertalian dari suatu perkara untuk menunjukkan pantun yang elok, seperti:

Kupu-kupu terbang merayap,
Hinggap di bunga mengisap madu,
Hendak terbang tidak bersayap,
Meranalah dinda sepanjang waktu.

Dalam pantun di atas perkaitan kerat pertama dengan kerat kedua membawa keindahan kapada pantun. Ada juga pantun dikarang dengan menggunakan dua unsur yang berlainan dalam pembayangnya saperti:

Limau purut lebat di pangkal,
Batang selasih condong uratnya,
Hujan ribut dapat kutangkal,
Hati kasih apa ubatnya.

Dalam pantun di atas, tidak ada perkaitan antara kerat pertama ‘limau purut’ — dengan kerat kedua — ‘batang selasih.’

Banyak pula sarjana yang berpendapat bahawa pembayang maksud untuk pantun bukanlah boleh diambil sembarangan sahaja. Mereka berpendapat bahawa pantun yang baik ialah pantun yang mengandungi pembayang maksud yang ada perkaitan atau perbandingannya dengan maksudnya saperti dalam pantun-pantun ini :—

Pisang emas bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
dan
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.
atau
Puaslah saya menanam keladi,
Nenas juga ditanam orang,
Puaslah saya menanam budi,
Emas juga dipandang orang.


Pilihan kata dan sukukata dalam pantun

Pantun yang baik ialah pantun yang indah bunyinya dan dalam ertinya. Jadi pantun tidak seharusnya memenuhi syarat-syarat sajak dan irama, tetapi sajak, rentak, irama dan pilihan kata-katanya berkehendakkan satu-satu penyatuan yang padat, jelas dan membawa makna yang dalam. Makna yang dalam hanya dapat disimpulkan dalam bentuk peribahasa, kiasan bahasa dan kata-kata yang pendek, tegas, tetapi luas dan dalam makna.nya. Jika kita pandang kepada masa-masa pantun digunakan saperti dalam istiadat meminang, menaiki pelamin, membuai anak, memberi nasihat dan mengeluarkan perasaan hati dalam percintaan, ketika-tika seperti ini berkehendakkan satu ikatan puisi yang indah yang dapat meyakinkan senikata-senikata yang dapat mencurahkan perasaan.

Pemilihan kata-kata yang tepat, dalam, sesuai dan sedap bunyinya menambahkan nilai keindahan dalam pantun. Suasana ini hanya dapat diciptakan dalam masyarakat yang tenteram dan tenang di mana manusia mempunyai kesempatan untuk berfikir dan mengeluarkan kata-kata yang halus dan dalam yang berhubungan rapat dengan alam sekeliling dan dengan kehidupan sehari-hari.

Kata-kata yang pendek, ringkas, padat dan tajam adalah dalam bentuk peribahasa, pepatah, dan kiasan. Dalam sifatnya yang ringkas itu terdapat efek yang tertentu. Dalam pantun ‘buah langsat’ pembawa maksudnya ialah :

Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi

Gading bertuah dan tanduk adalah dua kiasan yang tepat dan indah dan masyarakat faham maknanya. Penggunaan perumpamaan dan kiasan sesuai dengan kehendak sukukata dan bilangan perkataan dalam pantun.

Cuba perhatikan kiasan yang terdapat dalam pantun dibawah ini:

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah Raja Melayu,
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Perhatikanlah betapa tepat dan dalam makna kiasan ikan busuk dan perencah dalam pantun diatas. Dalam pilihan kata, orang-orang Melayu kerapkali mengambil benda-benda disekeliling mereka untuk melambang atau menggantikan sesuatu maksud. Lambang-lambang ini mempunyai sifat-sifat universal dengan maksud supaya ahli-ahli masyarakat faham akan erti lambang-lambang seperti kumbang, awan, bunga, burung dan bulan.

Maksud di sebalik lambang-lambang ini sudah jelas kapada masyarakat lama :

“Cahaya sungguh bulan mengembang, awan juga membawa diri.” atau “kalau tuan menjadi burung, saya menjadi ranting kayu.”

Dalam memperkatakan sukukata dan bilangan perkataan dalam pantun, baiklah diambil kembali pantun — buah langsat dan pecahkan kapada sukukatanya:
Bu/ah lang/sat ku/ning men/ce/lah
4 perkataan, 9 sukukata
Ke/du/duk ti/dak ber/bu/nga la/gi
4 perkataan, 10 sukukata
Su/dah da/pat ga/ding ber/tu/ah
4 perkataan, 9 sukukata
Tan/duk ti/dak ber/gu/na la/gi
4 perkataan, 9 sukukata



Pantun dipandang indah dari segi bunyi dan keindahan kandungannya. Dalam setiap kerat pembayang maksud dan maksud pantun diatas terdapat empat perkataan dan antara sembilan hingga sepuluh sukukata. Pantun yang baik mengandungi tidak lebih dari dua belas sukukata dan tidak kurang dari delapan sukukata dalam tiap kerat dan bilangan sukukata yang baik sekali ialah antara sembilan hingga sebelas sukukata. Kata-kata yang lebih diutamakan ialah kata-kata yang bersuku dua kerana kata-kata ini lebih seimbang. Dalam bilangan perkataan, sebaiknya tidak lebih dari empat dan kurang dari tiga perkataan pada tiap-tiap kerat. Sukatan-sukatan ini penting kerana bunyi dan bilangan rentaknya.

Jenis Pantun Melayu

Pantun bukan sahaja ada jenis-jenisnya, bahkan boleh pula dipecahkan ke dalam beberapa bahagian. Bentuk-bentuk pantun yang biasa didapati ialah:—
1. Pantun dua kerat, teka-teki, ada kalanya disebut pantun kilat atau karmina.
2. Pantun empat kerat. Pantun ini pula dapat dibahagikan ke dalam pecahan-pecahannya:
a. Pantun biasa atau pantun umum.
b. Pantun seloka.
c. Pantun berkait.
3. Pantun enam kerat yang biasa juga disebut talibun.
4. Pantun lapan, sepuluh dan dua belas kerat.

Dalam kesemua bentuk pantun ini separuh daripadanya terdiri dari pembayang maksud dan separuh lagi maksudnya.

1. Pantun dua kerat terdiri daripada dua baris, kalimatnya bersajak di tengah dan dihujung. Baris pertama merintis jalan kepada jawapan dalam baris kedua. Biasanya jawapan ini difahami oleh ahli-ahli masyarakat. Contohnya:—
Dahulu parang, sekarang besi,
Dahulu sayang, sekarang benci.
atau
Sayangkan kain buangkan baju,
Sayangkan lain buangkan aku.

2. Pantun empat kerat terbitnya dari pantun dua kerat. Pantun ini juga menunjukkan unsur-unsur dari pantun dua kerat seperti dalam:—
“Lembing atas tangga, Perisai atas busut,” — tahulah orang jawabnya “Kening atas mata, Misai atas mulut.”

a. Pantun empat kerat
Pantun empat keratlah pantun yang umum atau biasa sekali digunakan dalam masyarakat. Pantun ini pula ada beberapa jenisnya saperti:
i. Pantun anak-anak :- a) Pantun bersukacita, b) Pantun berdukacita.
ii. Pantun anak muda:- a) Pantun dagang atau nasib, b) Pantun perhubungan mengenai soal-soal perkenalan, percintaan, perceraian dan berhiba hati.
iii. Pantun orang tua:- a) Pantun adat, b) Pantun agama, c) Pantun nasihat.
iv. Pantun teka-teki.

b. Pantun seloka:
Menurut B. Simorangkir dalam bukunya Kesusasteraan Indonesia pantun ini sebenarnya adalah sebuah bidai yang diberi sampiran sehingga merupakan bentuk pantun biasa. Pantun ini bersamaan dengan syair mengenai jumlah sukukata dan sajaknya, tetapi berdasarkan kapada pantun dalam pembayangnya dan maksudnya.

Rumus rima dalam pantun ialah a, a, a, a; contohnya:

Ada suatu burung merak,
Lehernya panjang suaranya serak,
Tuan umpama emas dan perak,
Hati yang mana boleh tertolak

c. Pantun berkait:—
Ciri pada bentuk pantun ini samalah saperti syarat-syarat untuk pantun empat kerat. Tetapi pantun ini dikaitkan hingga menjadi sebuah kisah atau cerita lengkap. Caranya ialah dengan mengambil baris kedua dalam rangkap pertama, dan dijadikan baris pertama dalam rangkap kedua, dan baris keempat dalam rangkap pertama dijadikan baris ketiga dalam rangkap kedua. Seterusnya rangkap ketiga berdasarkan rangkap kedua dengan syarat yang sama. Contohnya :

Tanam melati di rumah,
Ubur-ubur sampingan dua,
Kalau mati kita bersama,
Satu kubur kita berdua.

Ubur-ubur sampingan dua,
Tanam melati bersusun tangkai,
Satu kubur kita berdua,
Kalau boleh bersusun bangkai.

Tanam melati bersusun tangkai,
Tanam padi satu persatu,
Kalau boleh bersusun bangkai,
Daging hancur menjadi satu.


3. Pantun empat kerat, atau lebih (tapi biasanya berjumlah dalam angka genap), tetapi pembahagiannya sama seperti pantun empat kerat dan berkehendakkan syarat yang sama, contohnya:

Kalau tuan pergi ke pekan,
Yu beli, belanak beli,
Ikan parang beli dahulu,
Kalau tuan pergi berjalan,
Ibu cari sanak pun cari,
Induk semang cari dahulu.

4. Pantun delapan kerat mengandungi empat baris pembayang maksud dan empat baris maksud, contohnya:

Bagus rupanya bunga melur,
Putih rupanya bunga pinang,
Berukir bertangkai perak,
Permainan raja perempuan,
Pahar, cerek sudah teratur,
Cawan mangkuk sudah terhidang,
Penganan mulia sudah terletak,
Samalah duduk kita makan.

Contoh Pantun
Pantun teka-teki, pantun kilat atau karmina:—

Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
Orang tak hendak, kami tak ingin.

Pantun teka-teki yang menjadi permainan:

Terima kasih daun keladi,
kalau boleh mahu lagi.

Pantun dua kerat yang mengejek:

Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata.

Hujung bendul dalam semak,
Kerbau mandul banyak lemak.

Pantun empat kerat yang mudah dan berbentuk teka-teki:

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi
Pandai baca kitab.

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya sebiji ragi,
Kalau tuan bijak pandai,
Apa binatang keris di kaki.

Pantun anak-anak — pantun bersukacita.

Ikan parang-parang,
Gulai sama cuka,
Nyonya gigi jarang,
Baba tiada suka.

Elok rupanya kumbang jati,
Dibawa itik pulang petang.
Tidak terkata besar hati,
Melihat ibu sudah pulang.

Pantun berdukacita:

Pecah cangkir berganti pinggan,
Emas urai dalam geleta,
Sejak anak emak tinggalkan.
Gila berurai airmata.

Pantun anak muda — pantun dagang atau nasib:

Asam pauh dari seberang,
Tumbohnya dekat tepi tebat,
Badan jauh dirantau orang,
Sakit siapa akan mengubat.

Pantun perkenalan:

Samarinda tenunan suri,
Bunga dedap di dalam puan,
Maka pun kanda datang ke mari,
Hendak mengadap adikku puan.

Pantun berkasih-kasihan:
Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata terus ke hati.”

Pantun perpisahan:

Kalau ada sumur di ladang,
Dapatlah kiranya menumpang mandi,
Kalau ada umur panjang,
Tentulah kita bertemu lagi.

Pantun jenaka:

Elok rupanya pohon belimbing,
Tumbuhnya dekat pohon mangga,
Elok rupanya berbini sumbing,
Walau marah tertawa juga.

Pantun budi:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji diatas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pantun orang tua —  pantun ‘adat :

Rama-rama si kumbang jati,
Khatib indah pulang berkuda,
Patah tumbuh hilang berganti,
Pusaka tinggal bagitu juga.

Pantun agama:

Banyaklah hari antara hari,
Tiada semulia hari Juma’at,
Banyaklah nabi antara nabi,
Tiada semulia Nabi Muhammad.


Pantun nasihat:

Anak Cina membawa madat,
Dari Perak langsung ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Disesuaikan dari Sastera Melayu Lama oleh Annas Haji Ahmad (1964)

STATUS

Search This Blog

DAUN