Sinopsis Sulalatus Salatin Bab IX


 Sinopsis Sulalatus Salatin Bab IX

Membunuh Tanpa Memberitahu Ke Melaka

Raja Ibrahim yang memerintah negeri Siak menitahkan Tun Jana Pakibul membunuh rakyat Siak tanpa pengetahuan sultan Melaka. Ini menyebabklan sultan Alau’d-Din murka lalu menitahkan Laksamana Hang Tuah ke Siak bagi mengajar perbuatan raja Siak itu. Sultan Ibrahim menginsafi kesilapan yang dilakukannya lalu mengutus surat memohon maaf. Sultan Alau’d-Din kemudiannya berwasiat agar melantik raja Mamad sebagai penggantinya.

Pemerintahan Sultan Mahmud Syah

Raja Mamad ditabalkan sebagai raja Melaka dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Di awal pemerintahannya sudah menampakkan peribadi baginda yang bersifat kejam. Seri Bija Diraja (Singapura) tidak hadir pada hari pertabalan menyebabkan Sultan Mahmud Syah berdendam dengannya. Ketika Sultan Mahmud Syah gering, Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah menjaganya sehingga sembuh.

Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana

Apabila Sultan Mahmud Syah sembuh, baginda menganugerahkan Bendahara dan Laksamana sebuah usungan seorang.Digambarkan perbezaan sikap antara Bendahara dengan Laksamana, kerana Bendahara tidak menggunakan usungan berbanding dengan Laksamana Hang Tuah. Ini kerana, Bendahara tidak ingin rakyat membuat tanggapan bahawa tarafnya adalah sama dengan raja. Selain itu, apabila mendapat hadiah seperti senjata dan perahu, Bendahara akan menghadiahkannya kepada Laksamana, dengan harapan Laksamana dapat menentang musuh dengan jayanya.

Wasiat Bendahara Paduka Raja

Semasa sakit, Bendahara Paduka Raja meninggalkan wasiat kepada pembesar dan Sultan Mahmud Syah supaya memerintah dengan adil dan berpegang kepada agama Islam. Setelah Bendahara Paduka Raja mati, Tun Perpatih Putih dilantik sebagai Bendahara Melaka (Bendahara Putih).

Nyaris Lembing DiTerbangkan Ke Dada

Sultan Mahmud Syah yang bernafsu buas telah melakukan zina dengan isteri Tun Biajid (anak Laksamana Hang Tuah). Peristiwa ini berlaku ketika Tun Biajid berada di Merba. Sewaktu pulang ke rumah pada waktu dinihari, Tun Biajid bertembung dengan Sultan Mahmud dan mengetahui bahawa Sultan Mahmud berzina dengan isterinya. Ini menyebabkan Tun Biajid hampir membunuh Sultan Mahmud tetapi beliau masih enggan menderhaka. Walau bagimanapun beliau enggan menyembah Sultan Mahmud. Selepas kejadian itu, Tun Biajid menjatuhkan talak ke atas isterinya. Selain itu, Sultan Mahmud juga membuat hubungan dengan Tun Dewi. Peristiwa ini telah melahirkan konflik antara Sultan Mahmud dengan Tun Ali Sandang. Kemuncak daripada konflik tersebut berlaku apabila Tun Ali sandang dibunuh oleh Tun Isap atas titah Sultan Mahmud Syah.

Seri Wak Raja (keluarga ) cuba menuntut bela atas kematian Tun Ali Sandang. Sultan Mahmud Syah menitahkan supaya Tun Isap melarikan diri ke Pasai untuk menyelamatkan dirinya daripada dibunuh oleh Seri Wak Raja. Dari Pasai, Tun Isap pergi ke Haru dan Brunei. Selepas itu Tun Isap kembali semula ke Melaka dan akhirnya, Tun Isap dibunuh oleh Seri Wak Raja.

Sultan Mahmud juga mengamalkan sikap pilih kasih Antara pembesar yang dikasihi baginda ialah Seri Wak Raja, Tun Umar, Hang Is Pantas dan Hang Hussain Cengang



Telatah Orang-Orang Yang DiKasihi Raja

Seri Wak Raja adalah orang kesayangan Sultan Mahmud Syah. Oleh itu dia sentiasa melengah-lengahkan perintah sultan Apabila datang titah sultan supaya mengadap, orang-orang suruhan raja terpaksa menunggu lama kerana adapt Seri Wak Raja, ia akan naik ke rumah dulu berbaring-baring dan kadang-kadang tertidur. Apabila dinbangkitkan oleh hamba raja, barulah ia berpakaian, iaitu dua tiga belas kali menyalin pakaiannya belum selesai. Walau apa pun kelakuan Seri Wak Raja, sultan Mahmud Syah tidak pernah murka kerana ia merupakan pembesar yang amat dikasihi raja.

Sultan Mahmud Syah juga mudah berkecil hati dan bersifat pendendam. Misalnya baginda telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Seri Bija Diraja kerana kesalahan lewat datang mengadap pada hari raya. Dia berbuat demikian kerana menyangka hari raya akan jatuh pada keesokan harinya. Ini menyebabkan Sultan Mahmud Syah murka dan berdendam dengan Seri Bija Diraja kierana sewaktu baginda ditabalkan menjadi raja, Seri Bija Wangsa tidak ada di Melaka.

Walau bagaimanapun Sultan Mahmud Syah juga digambarkan cintakan agama dan ilmu pengetahuan. Contohnya, Baginda menyamar sebagai fakir untuk berguru dan menuntut ilmu agama dengan Maulana Yusuf.

Manjung dan Kelantan DiSerang

Sultan Mahmud Syah menitahkan Paduka Tuan supaya menyerang dan menakluki Manjong dan Beruas. Kemudian baginda menitahkan Seri Maharaja menyerang dan menakluki Kelantan kerana rajanya tidak menyembah ke Melaka. Raja Kelantan ditawan dan dibawa ke Melaka.

Comments