warisan : serdang

Estetika anyaman tradisional serdang

Oleh NOR IDAYU BORSRO


CERMAT meraut daun serdang yang telah dikeringkan, Sadi Basal, 49, sedikit pun tidak terganggu dengan kehadiran kru Jurnal ke bengkelnya di Kampung Lingkodon, Kota Belud, Sabah, malah jari-jemari tuanya terus ligat menganyam produk kraf daripada hasil rimba itu.

Melihat kelincahan tangannya menganyam, kru Jurnal terfikir bagaimana lelaki berusia hampir separuh abad itu mampu menguasai seni pembuatan kraf daun serdang yang lazimnya dipelopori golongan wanita daripada suku kaum Bajau di daerah tersebut.

Tidak lokek berkongsi cerita, Sadi memberitahu, dia mempelajari seni pembuatan kraf anyaman daun serdang daripada ibunya, Sanun Toot ketika dia masih berusia 14 tahun.

Dia yang ditemui ketika lawatan media anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini berkata, pada asalnya, anyaman itu banyak digunakan masyarakat terdahulu sebagai penutup makanan dan dikenali dengan nama ‘tenduang’ dalam bahasa Bajau yang bermaksud tudung saji.

“Dahulu, golongan wanita yang keluar membeli-belah di pasar tamu akan memanfaatkan ‘tenduang’ ini sebagai bekas menyimpan barang. Mereka menterbalikkan tudung saji ini untuk meletakkan barang-barang yang dibeli di dalamnya dan dijunjung di atas kepala,” kata Sadi.

Bercerita lanjut, lelaki berketurunan Bajau itu menjelaskan, proses pembuatan satu-satu produk anyaman serdang boleh mengambil masa paling lama dua minggu untuk disiapkan.

Dia yang pernah menerima pengiktirafan sebagai antara 12 orang penerima Anugerah Tukang Ulung 2015 daripada Kraftangan Malaysia baru-baru ini berkata, proses yang panjang itu dimulakan dengan mencari tumbuhan serdang yang mudah didapati di kawasan paya di sekitar kampungnya.

“Saya pergi cari dan memilih sendiri daun yang dikehendaki untuk dibawa balik. Pokok ini berduri jadi perlu sentiasa berhati-hati. Selain itu, kena peka dengan persekitaran sekeliling kerana ada bahaya lain seperti haiwan berbisa dan sebagainya,” kongsi Sadi.

Bertutur lanjut, dia yang bergiat aktif dengan Kraftangan Malaysia sejak tahun 1988 berkata, daun serdang mentah perlu direbus selama tiga jam terlebih dulu sebelum dijemur di bawah terik matahari untuk tiga jam lagi.


HAJIJAH BASAR (kanan) bersama Saiti Liman (tengah) dan Baiti Liman (kiri) melakukan kerja-kerja menganyam serta menghias produk kraf rimba yang menjadi identiti masyarakat Bajau itu.

Petua orang tua

Menurutnya, bagi mendapatkan warna yang menarik, daun-daun itu kemudiannya direbus sekali lagi di dalam periuk berisi bancuhan air serta pewarna khas.

“Cat mengkuang atau cat batik boleh digunakan tetapi saya lebih suka cat mengkuang kerana warnanya lebih tahan lama dan tidak mudah luntur,” ujar Sadi.

Jelasnya, anyaman daun serdang boleh didapati dalam warna asli iaitu hijau kekuningan atau berwarna-warni bergantung kepada cita rasa pelanggan.

“Kalau warna yang asli, daun serdang tua digunakan, manakala produk berwarna-warni pula menggunakan bahagian pucuk.

“Ini kerana apabila direbus, pucuk serdang akan bertukar kepada warna putih kekuningan. Ia akan memudahkan proses mewarna memandangkan ia mudah menyerap warna cat berbanding daun tua yang agak kekuningan selepas direbus,” jelas Sadi panjang lebar.

Katanya, setelah proses mewarnakan selesai, ia dijemur untuk mengeringkan lebihan lembapan agar benar-benar kering untuk kerja-kerja menganyam.

Keseluruhan produk yang boleh dihasilkan setahun sekitar 2,400 buah dengan menggunakan 480 kilogram daun serdang.

Meskipun kerja-kerja menganyam nampak mudah, namun ia sebenarnya memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi.

“Kalau ikut pantang nenek moyang, daun ini tidak boleh dianyam pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri mudah patah, jadi proses menganyam akan dilakukan pada sebelah pagi atau petang,” ujarnya.


DAUN serdang perlu dijemur di bawah panas matahari selama tiga jam bagi memastikan ia betul-betul kering.

Susunan daun

Bagi seorang lagi pengusaha anyaman daun serdang, Ida Jilang, 70, dari Kampung Pengkalan Abai, Kota Belud, dia memberitahu, kehalusan pembuatan produk hasil rimba itu terletak pada susunan daun dan kekemasan jahitan.

“Apabila diraut, saiz daun kena sama lebar, barulah cantik apabila dijahit nanti. Selain itu, ia juga kelihatan lebih kemas kalau disusun rapat-rapat,”ujarnya yang berpengalaman 58 tahun dalam seni pembuatan kraf tangan itu.

Mempelajari kemahiran menganyam daun serdang daripada emaknya, Misah Motong, ibu kepada tiga orang anak itu menerangkan, tiada peralatan canggih digunakan dalam pembuatan produk serdang sebaliknya cukup sekadar alatan seperti jarum, gunting, pisau, gam, tali guni dan tali rafia.

“Selebihnya terletak pada kemahiran menganyam dan kreativiti seseorang individu itu untuk menghasilkan produk yang diingini,” ujarnya.

Ditanya mengenai ketahanan produk kraf daun serdang, Ida yang juga salah seorang penerima Anugerah Tukang Ulung 2015 mengakui, ia mampu bertahan lama asalkan disimpan di tempat kering.

Menurutnya, dia mengambil masa antara 10 hingga 14 hari untuk menghasilkan sesebuah produk kraf daun serdang.

“Lazimnya rekaan paling sukar ialah tudung saji kerana saiznya yang besar, selain struktur rekaan sedikit sukar untuk dibuat,” katanya yang mampu menjual sehingga 100 jenis aneka produk hasil rimba itu dalam sebulan.

Produk kraf daun serdang boleh didapati pada harga antara RM3 hingga RM300 bergantung kepada kerumitan anyaman, saiz dan bentuk rekaan.

Dalam pada itu, dari segi kualiti, daun serdang dan mengkuang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika dibandingkan, daun serdang lebih keras berbanding mengkuang.

Oleh kerana teksturnya yang keras, daun serdang dianyam rapat-rapat, manakala mengkuang boleh dijalin berselang-seli.

kosmo

Comments