Pembelajaran Abad Ke-21




Pembelajaran Abad Ke-21:
Amalan Dan Pelaksanaan Di Sekolah

Rupa dan bentuk pendidikan yang sesuai dengan generasi abad ke-21 telah banyak diperkatakan dan banyak bahan- bahan penulisan yang mengulas mengenai pendidikan yang mampu memenuhi harapan dan keperluan pendidikan masa kini dan masa depan. Rata-rata pakar pendidikan bersetuju bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu berubah sesuai dengan perkembangan teknologi cyber dan akses kepada internet yang semakin maju. Kaedah pengajaran konvensional seperti “chalk and talk” semata-mata kurang berhasil menarik minat murid sebaliknya memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa.

Semua pihak yang terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan perlu menyedari bahawa tiada ruang untuk tidak ikut sama melaksanakan transformasi pendidikan. Malah perubahan dalam pendidikan perlu sentiasa seiring perkembangan zaman atau selangkah kehadapan. Guru- guru perlu bersedia menerima perubahan dan dapat pula mengurus perubahan dengan cekap dan berkesan agar pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih segar dan memenuhi keperluan murid


Menyedari kepentingan guru memahami dan bersedia melakukan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan pembelajaran abad ke-21, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan inisiatif pembelajaran abad ke-21 secara rintis pada tahun 2014 dan meluaskan pelaksanaan keseluruh negara mulai tahun 2015. Justeru ANJAKAN keluaran kali ini akan membincangkan pembelajaran abad ke-21 serta berkongsi maklumat beberapa model susun atur kelas abad ke-21 sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Pelaksanaan pengajaran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pendidikan abad ke-21 seperti dihasratkan Kementerian Pendidikan Malaysia mulai tahun 2014, iaitu selaras dengan transformasi pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21:

Kemahiran pembelajaran dan inovasi
Kemahiran maklumat, media dan teknologi
Kemahiran hidup dan kerjaya


Ciri-Ciri Pembelajaran Abad Ke-21 :

Komunikasi
Pemikiran Kritis
Kolaborasi
Kreativiti



Elemen-elemen yang terkandung dalam pembelajaran abad ke-21 :

Kreativiti dan inovasi
Fleksibiliti dan mempunyai keupayaan menyesuaikan diri
Pemikiran kritis dan penyelesaian masalah
Berinisiatif dan mempunyai haluan diri
Komunikasi dan kolaborasi
Kemahiran sosial dan antara budaya
Literasi maklumat
Produktiviti dan akautabiliti
Literasi teknologi, maklumat dan komunikasi
Kepimpinan dan tanggungjawab



Cabaran Pendidikan Abad Ke-21

Cabaran pendidikan abad ke-21 adalah untuk menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan mengurus bilik darjah atau ruang pembelajaran yang lebih dinamik. Namun cabaran utama adalah bagaimana guru-guru menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan semasa. Untuk mendepani cabaran ini, guru secara berterusan perlu mengemaskini pengetahuan (kandungan kurikulum) dan kompetensi (pedagogi PdP) supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan akan datang


Ciri-Ciri Murid Yang Diharapkan hasil pembelajaran abad ke-21 :

Berupaya membuat hubungkait
Bijak menyoal
Yakin berkomunikasi
Dahagakan ilmu
Mengambil risiko
Ingin tahu
Menjana idea
Fkesibel
Tidak berputus ada
Mendengar dan membuat refleksi
Berkemahiran kritis
Menguasai kemahiran literasi
Berani mencuba
Mampu berfikir sendiri
Berinisiatif'
Mampu bekerja dengan orang
Membuat perubahan
Berintegriti
Mampu bekerja dengan orang




  
 Sumber : Anjakan Bil 4 2015


Pendidikan kelas abad ke-21
Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad
12 Mac 2015


PAPARAN berita yang bertajuk “Saya bosan dengan cara cikgu mengajar” yang disiarkan dalam akhbar ini pada 9 Mac 2014 begitu menyentuh hati nurani para pendidik yang begitu banyak menabur bakti dalam dunia keguruan. Pembaca setia akhbar itu yang semestinya ibu bapa murid terbabit mungkin turut sama berasa terkilan. Yang jelasnya, fokus utama ialah pengajaran guru yang tidak menarik menyebabkan murid tersebut tekad ponteng sekolah.

Kalau itulah yang menjadi penyebabnya maka guru Bahasa Melayu dan guru-guru mata pelajaran lain perlu mencari pendekatan, kaedah, strategi, dan teknik pengajaran baharu agar murid pascamerdeka kini suka akan guru sekali gus pengajaran guru.

Sehubungan itu, baru-baru ini, penulis berkesempatan hadiri Seminar Pendidikan Kelas Abad ke-21 anjuran salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota. Antara peserta termasuklah guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, selain pensyarah daripada pelbagai institusi pendidikan tempatan. Apa yang mengagumkan penulis juga ialah beberapa pensyarah asing yang fasih berbahasa Melayu dari institusi pengajian tinggi awam turut menjayakan seminar ini.

Menurut salah seorang pembentang kertas kerja dalam seminar mantik itu, pendidikan yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah diamalkan di dalam bilik darjah di luar negara seperti Amerika Syarikat dan England sejak tahun 1970-an lagi. Hal ini menggambarkan pendidikan Barat begitu mengambil berat tentang kurikulum ke arah pemikiran global dan kemenjadian murid mereka pada abad ke-21 kelak.

Di Malaysia, pengajaran guru yang bertunjangkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pendidikan kelas abad ke-21 yang diuar-uarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2014, iaitu selaras dengan transformasi pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Sebagai guru Bahasa Melayu yang berwibawa, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pada abad ke-21 ini memerlukan pengorbanan dan keprihatinan guru yang tidak sedikit. Pelajar pada alaf baharu ini tidak gemar dikongkong pergerakan mereka di dalam kelas.

Dalam hal ini, amalan pengajaran konvensional melalui cara 'chalk and talk' tidak relevan lagi. Murid-murid mudah berasa bosan apabila pengajaran sehala oleh guru yang tidak memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan pendapat mereka. Pengajaran yang pasif tanpa berbantukan teknologi maklumat tentulah membosankan murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ada murid yang terlebih celik komputer hingga dapat pula mereka membantu guru dalam dunia pengkomputeran.

Selain itu, penggunaan komputer dan 'smart board' seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh para guru untuk menarik minat murid-murid selain susun atur kerusi meja murid yang bercirikan kelas abad ke-21 yang boleh diubah suai setiap minggu.



Penggunaan pelbagai jenis bahan bantu mengajar yang bersumberkan internet amat disukai oleh murid. Guru yang kreatif dan inovatif pula akan berperanan sebagai pemudah cara ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran guru yang berbantukan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Instagram perlu diperluas selain penggunaan mel elektronik atau Google Chrome secara komprehensif. Murid-murid perlu digalakkan melayari internet untuk mencari maklumat terbaharu tentang sesuatu topik pengajaran semasa.

Seterusnya, aktiviti kumpulan sewajarnya diamalkan setiap masa meskipun guru Bahasa Melayu atau guru Geografi telah diamanahkan mengajar murid yang akan menduduki peperiksaan awam baik UPSR, PT3, SPM atau STPM. Dengan kata lain, pengajaran guru yang memberi muridnya peluang untuk kolaboratif antara satu sama lain sememangnya dinanti-nantikan oleh murid pascamerdeka ini.

Kesimpulannya, pendidikan kelas abad ke-21 memfokuskan tiga komponen utama, iaitu pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan atau kurikulum. Penyampaian guru Bahasa Melayu secara aktif, komunikatif dan kolaboratif sememangnya menjadi impian setiap pelajar pada arus perdana ini kerana rangkuman tiga komponen inilah yang merupakan faktor penentu peningkatan peratusan kehadiran pelajar di sekolah setiap hari. Bahasa Sendi Tamadun Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

sinar harian 




Comments