Kisah Abdullah, Ismail dan Ibrahim : Tiga Pejuang Negara

Ismail dan Ibrahim telah pergi menemui Ilahi. SN Datuk Abdullah Hussain dalam usia 91 tahun dan masalah kesihatan sudah tidak mampu menulis lagi.

Mereka datang dari satu keluarga. Abdullah yang sulung diikuti Ismail dan Ibrahim. Semuanya mengharung kehidupan getir untuk tiba pada persada di mana mereka berada sekarang.  Mereka datang dari keluarga miskin di Sungai Limau, Yan, Kedah.

Datuk Ibrahim Hussein atau dipanggil  Ib  dilahirkan pada 13 Mac 1936 di Sungai Limau, Yan, Kedah. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Yan. Ibrahim terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan bekerja keras untuk mencapai impian menjadi seorang pelukis profesional. Ketika berada di  London beliau bekerja sebagai seorang posmen, pelakon tambahan, dan apa jua kerja yang dapat beliau gapai untuk menentukan kelangsungan hidup.  Beliau memulakan pengajiannya di bidang lukisan di Nanyang Academy of Arts di Singapura pada 1956 sebelum meneruskan pengajian di Byam Shaw School of Drawing and Painting, London, selama empat tahun pada 1959 dan kemudian ke London's Royal Academy Schools untuk tiga tahun seterusnya.

Semasa belajar di London, beliau diberikan biasiswa pengembara, "award of Merit" yang membolehkan beliau mengembara ke Perancis dan Itali, dan pada 1964 beliau memenangi Hadiah Griffin.







Ibrahim Hussein dianugerah Japan Foundation Award (1988), Order of Andres Bello dari Kerajaan Venezuela (1993), Hugo Boss Hall of Distinction (1994) dan anugerah tertinggi Chile bagi orang asing, Comendador of the "Order de Benardo O'Higgins (1996), dan Crystal Award Forum Ekonomi Dunia (1997). Ibrahim turut dianugerahi "Tokoh Melayu Terbilang" bersempena ulangtahun ke 61 Umno pada 2007, mengadakan pameran solonya yang pertama di John Whibley Gallery di London, 1963 ketika berusia 27 tahun; dan dua tahun kemudian di the Gallerie Internationale, New York dan dari sana ke Kuwait (1977), Jerman (1983), Jepun (1989), Chile (1991), dan Switzerland (1994).

Allahyarham merupakan pengasas Yayasan Kesenian dan Muzium Ibrahim Hussein (IHMCF) yang terletak di Langkawi, Kedah yang dibuka pada 1997.

Ibrahim kembali ke Rahmat Allah pada  19 Februari 2009 di Hospital Pantai, Bangsar kerana mengalami masalah jantung.Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 4 petang .Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kiara. Turut ziarah ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.Legasi Ibrahim  Hussein sebagai pelukis tiada tandingnya.

Tan Sri Ismail Hussein  dilahirkan pada pada 30 Jan 1932 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Allahyarham  menerajui Gapena bermula 1971 hingga 2013. Allahyarham pernah menerima anugerah Dato' Setia DiRaja Kedah pada tahun 1980, Panglima Setia Mahkota (1993), dan Anugerah Pendeta Persuratan MelayuKongres Persuratan Bahasa Melayu ke-8 (2011). Allahyarham turut menerima anugerah antarabangsa - Anugerah Budaya Seikyo dari Seikyo Shimbun, akhbar harian terkemuka Jepun.

Antara hasil tulisan beliau ialah Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita (1966), Trirukkural (1967), The Study of Traditional Malay Literature with a Selected Bibliography (1974), Sastera dan Masyarakat (1974), Kepimpinan dalam Kebudayaan (1984), dan Segugus Pandangan dan Harapan (1988)




Tan Sri Ismail sentiasa berusaha mencari rumpun Melayu dan meneguhkan jati diri Melayu. Beliau telah membawa rombongan Gapena berkunjung  ke pelbagai negara untuk menemui etnik Melayu, dari benua Asia hingga ke Eropah dan Afrika. Di bawah kepimpinan beliau Gapena mengadakan Persidangan Dunia Melayu di Kuala Lumpur yang berjaya menghimpunkan ramai pemimpin keturunan Melayu dari pelbagai sudut dunia. Perjuangan bahasa dan budaya Melayu terakam kukuh dalam sejarah hidup beliau.

Pada 21 Oktober 2014  Tan Sri Ismail Hussein meninggal dunia kira-kira jam 9.36 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dipercayai akibat sakit tua. Ismail berusia 82 tahun, meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid dan empat anak - dua lelaki dan dua perempuan.

Seorang pemikir, pejuang bahasa, sastera dan budaya Melayu telah pergi meninggalkan kita. Allahyarham telah melakukan apa saja demi mermartabatkan bahasa, budaya dan sastera Melayu.  Kepada kita semua warisan itu ditinggalkan.

Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan Kedah. Pada tahun 1926, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu sehingga lulus darjah lima dalam tahun 1931 dan meneruskan pendidikannya di Sekolah St. Michael, Alor Star, Kedah dari tahun 1932 hingga 1933. Kemudian pada tahun 1935, beliau telah meneruskan pengajian di Anglo Chinese School, Alor Star, Kedah, hingga lulus darjah VII. Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1943, beliau sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-Pegawai Tinggi) di Singapura.

Dalam gerak hidup selain menulis beliau terlibat dalam pelbagai kerjaya. Pernah bekerja sebagai penolong Penjaga Stor, lombong bijih di Pahang (1939). Berkhidmat di Bahagian Penerbitan, syarikat suratkhabar Sahabat, Pulau Pinang (1939). Pembantu pengarang suratkhabar Saudara, (1940). Kerani dan tukang dobi di kem tentera Sungai Petani, Kedah sehingga kedatangan tentera Jepun.. Wartawan suratkhabar Merdeka, Berita Indonesia dan Majalah Merdeka, Singapura (1951). Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem dan akhbar Semenanjung. Pembantu pengarang di Franklin Book Programme dan Oxford University Press (1965 - 1968). Editor majalah Angkatan Baru (1965 - 1968). Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), (1968 - 1978). Ketua Unit Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah (1978 - 1979). Ahli Cipta Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, (1979 - 1981). Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam (1982). Pegawai Bahasa Kanan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei. Terakhir beliau dilantik sebagai Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menerusi hasil tulisan yang dihasilkan, beliau berusaha menampilkan nilai-nilai positif masyarakat dan berusaha membina jati diri kepengarangannya. Beliau merupakan seorang sasterawan veteran yang terus komited dan gigih dalam mengembangkan bakat kreativitinya. Dari novel ke cerpen serta drama dan esei kritikan begitulah jangkau penulisan beliau. Malah banyak pula karya terjemahan yang dihasilkan  dan kita dapat menikmatinya dalam bahasa Melayu, antaranya : Orang Tua dengan Laut (Ernest Hemingway), Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Mutiara (Johan Steinbeck) serta Lorong Midaq (Naguib Mahfouz). Novel-novel seperti Imam, Konserto Terakhir, Interlok, dan Intan antara novel yang dihasilkan.

Malah Interlok memberi kesan peribadi yang menghiris hati beliau apabila karya itu dikecam. Bagi dirinya  Interlok hanya sebuah karya sastera dan beliau berniat baik tetapi disalah tafsirkan. 

Begitulah antara tangis dan senyum dalam warna hidup seorang manusia yang menghamba diri menghasilkan karya sastera dalam memartabat budaya, bahasa dan seni.



Alfatihah buat Ismail dan Ibrahim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.
Kepada bapak Abdullah Hussain semoga Allah mengurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik. Amin

Demikian tiga saudara dalam perjuangan seni, bahasa, sastera, dan budaya Melayu. 

Marilah kita seketika melihat kembali ke dalam perjuangan itu
Barangkali banyak yang dapat dijadikan teladan dalam hari-hari yang kita temukan...


Pejuang sastera yang tiada galang ganti
Oleh ZAMRI RAMBLI dan
KHADIJAH MOHAMAD NOR


Tiga adik-beradik Hussein dalam susur galur kesusasteraan dan seni budaya negara begitu masyhur. Datuk Abdullah Hussein merupakan penulis dan novelis yang diangkat sebagai Sasterawan Negara kelapan, manakala Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein pula seorang pelukis tersohor yang mengharumkan nama Malaysia ke seanterio dunia.

Bagaimanapun, istimewanya Profesor Emeritus Tan Sri Ismail dalam keluarga Hussein ialah beliau merangkumkan ranah kedua-dua adik-beradiknya iaitu jalur kesusasteraan, bahasa dan kebudayaan untuk mendakap erat dalam dirinya.

Dalam seluruh hidupnya, Allahyarham Ismail mengabdikan diri untuk memperjuangkan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu, bukan sahaja di Malaysia, bahkan nun jauh sampai ke tanah Afrika.

Pemikiran Ismail cukup jelas jika diamati daripada ungkapannya dalam pelbagai konvensyen, gagasan mahupun penulisan iaitu memartabatkan kesusasteraan bahasa Melayu ke setiap penjuru dunia.

Maka tidak hairanlah, gerakan pemikiran beliau berjaya menyatupadukan rumpun bangsa Melayu menerusi gagasan seperti Pertemuan Sasterawan Dunia, Pertemuan Sasterawan Nusantara dan Pertemuan Penulis Asia Tenggara.

Handalan sastera

Selain itu, beliau turut menganjurkan idea Simposium Kebudayaan Melayu di Vietnam, Yunan, China dan Cape Town, Afrika Selatan selain Persidangan Dunia Melayu Dunia Islam yang menggabungkan negara-negara seperti Indonesia, Kemboja, China, Thailand, Filipina, Australia dan Madagaskar.

Kehebatan pemikiran Ismail memperikat kukuh dan menghembus nafas baharu bahasa Melayu amat dikagumi dunia Melayu yang menganugerahkan beliau dengan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985.


ALLAHYARHAM Ismail (depan kiri) yang menghidap parkinson sejak tiga tahun lalu bergambar bersama keluarganya. Foto ini dirakamkan pada Mei lalu.

Namun malam kelmarin, pencinta kesusasteraan seluruh dunia tergamam hiba menerima perkhabaran duka pemergian Ismail yang menghembus nafas terakhir pada usia 82 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid, 76, empat orang anak dan lima orang cucu.

“Dia adalah hero saya kerana kehandalannya dalam dunia sastera. Allahyarham tidak pernah lokek ilmu.

“Hormatnya saya kepada Tan Sri, sehinggakan saya tidak pernah bergurau senda dengannya kerana menganggap beliau sebagai seorang guru,” ujar bekas Menteri Pertanian yang juga mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika ditemui pada majlis pengebumian jena zah Allahyarham di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Selain Sanusi, tokoh sasterawan negara, A. Samad Said turut mengagumi dan menghargai ketokohan Allahyarham.

Ungkap Pak Samad, Ismail ialah tokoh sastera, bahasa dan budaya yang sangat gemilang pada zamannya.

“Saya kehilangan seorang sahabat. Dia seorang Bapa Persuratan Melayu dan sewajarnya Allahyarham diberi penghargaan atas segala sumbangan hebat beliau,” ujar Pak Samad ketika ditemu bual Kosmo! semalam.

Ternyata sebelum Ismail me ngangkat gagasan idea sastera dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa, beliau terlebih dahulu memahat nama dan menyentuh hati segenap lapisan masyarakat di dalam negara.

Dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada tanggal 30 Januari 1932, Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam sebelum menyambung pelajaran di Sekolah St. Michael, Alor Setar dan Maktab Sultan Abdul Hamid.


SULTAN ABDUL HALIM menyampaikan sepersalinan baju Melayu kepada Ismail pada majlis penyampaian Anugerah Khas Gapena Seri Cendekia Mulia di Alor Setar, Kedah pada tahun 2002.

Dibesarkan dalam keluarga yang susah, Ismail hidup sama se perti anak-anak kampung lain yang gemar bermain layang-layang, gasing atau melastik burung. Namun, ayahnya segera menangkap minat Ismail yang gemar membaca buku sehingga ketajaman pengetahuannya membo lehkan dia mendapat 5A dalam Pe periksaan Senior Cambridge (Tingkatan lima).

41 tahun mengetuai Gapena

Malah, beliau dikatakan terlebih dahulu mengambil jurusan Sains, tetapi kemudian memilih Kesusaste raan Melayu di Universiti Malaya (UM) dari tahun 1955 hingga 1959. Kepin taran Ismail membolehkan dia menjadi anak Melayu pertama yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Pe ngajian Melayu Kelas Pertama.

Beliau menyambung pengajian di pe ringkat Sarjana di UM pada tahun 1961 dan seterusnya ke peringkat Doktor Falfasah di Universiti Leiden, Belanda.

Ismail kemudian menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Me layu pada tahun 1971. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan kemudian menjadi Ketua Jabatan Pe ngajian Me layu dari tahun 1978 hingga 1984.

Namun, salah satu jawatan yang paling dekat di hati Ismail ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang dipegang beliau selama 41 tahun dari 1971 sehingga 2012.

Sewaktu memegang jawatan itulah selain selaku seorang tokoh akademik, Ismail berjaya mengembang dan me ngangkat kesusasteraan serta budaya Melayu bukan sahaja di Malaysia, bahkan di pelosok dunia.

Sekadar menyebut beberapa pengiktirafan yang diterima Ismail antaranya Darjah Setia Diraja Kedah membawa gelaran Datuk pada tahun 1980, Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa daripada Universitas Indonesia pada tahun 1984, gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985, Darjah Pang lima Setia Mahkota oleh Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 1993 dan anugerah Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya pada tahun 1997.

Namun, bagi mereka yang mengenali Ismail secara dekat, susunan anugerah itu tidak pernah menjadikan beliau individu yang bermegah atau meninggi diri.

Ujar anak kedua Allahyarham, Ria Ismail, 47, bapanya mempunyai karakter happy go lucky tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Beliau juga tidak pernah kisah mengenai status dan pangkat sehinggakan mudah didekati sesiapa sahaja.


ALLAHYARHAM Ismail (dua dari kiri) bersama rakan seperjuangan dalam dunia kesusasteraan ketika menghadiri sebuah program penyair terkenal dan sasterawan negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala di ibu negara. Turut kelihatan Pak Samad Said (kanan).

“Dari segi penampilan ayah sangat ringkas. Ayah boleh keluar berjalan dengan baju T dan seluar panjang sehinggakan orang mungkin tidak pernah menyangka dia seorang tokoh sasterawan dan pendeta bahasa,” kata anak keduanya itu.

Sementara itu, anak saudara Ismail, Roosmawaty Ibrahim 56, turut menceritakan bagaimana Allahyarham merupakan seorang individu yang gemar menolong orang susah.

“Dulu bila Pak Anjang (gelaran dalam kalangan anak saudara) pulang ke kampung, beliau akan pastikan but keretanya dipenuhi dengan puluhan tin Milo, Ovaltin dan makanan lain untuk diberikan kepada sanak saudara,” katanya sambil memberitahu Ismail gemarkan makanan tradisi Kedah seperti gulai ikan Kedah, pulut durian dan ikan terubuk.

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, kata Roosmawaty, bapa saudaranya itu sangat mementingkan pendidikan sehingga sanggup menanggung segala perbelanjaan persekolahannya sewaktu belajar di Sekolah Menengah Convent Assunta, Petaling Jaya.

Bahkan, Roosmawaty sukar melupakan bagaimana hampir setiap hari Ismail akan menyuruh dia membaca akhbar berbahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

“Mula-mula memang saya marah bila kena buat macam itu, tapi hakikatnya itulah kehebatan beliau dalam mendidik yang akhirnya membantu saya melanjutkan pelajaran peringkat A-Level di Kolej Oxford dan Sarjana Muda dalam bidang Sains di Universiti Coventry, United Kingdom,” kata Roosmawaty yang kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di Sekolah Menengah Sungai Kapar Indah, Klang, Selangor.

Yang pasti, kehebatan pemikiran dan idea Allahyarham Ismail begitu mudah menyentuh hati sesiapa sahaja, bukan hanya ahli keluarga, kawan, pelajar, pencinta sastera, para ilmuan, tokoh politik, bahkan segenap lapisan masyarakat.

kosmo online

Ismail Hussein pejuang budaya Melayu
RASDAN AHMAD
26 Oktober 2014


SULTAN Kedah menyampaikan sepersalinan baju Melayu kepada Ismail

SULTAN Kedah menyampaikan sepersalinan baju Melayu kepada Ismail Hussein (kanan) pada Majlis penyampaian anugerah khas gapena seri wira cendekia mulia di alor Setar pada 2002.

Diaspora Melayu di luar Nusantara hingga ke Afrika antara yang mendorong beliau menggerakkan gagasan mencari Melayu sejak menerajui Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) selama empat dekad. Walaupun ada pihak yang sinikal dengan usaha mencari Melayu tetapi sedikit pun tidak mematahkan iltizamnya untuk membuktikan Melayu berada di seluruh dunia.

Beliau tidak pernah bosan dengan jelalah demi jelajah dengan memanfaatkan pengalaman intelektualnya untuk menemukan Melayu yang berada di luar lingkaran Nusantara. Ini bagi mewujudkan satu kesinambungan kembara bangsa Melayu yang panjang sejak berzaman dahulu. Menguasai sastera dan budaya telah dijadikan pelantar untuk mengunjurkan langkah ke serata benua mencari dan menyusuri sosiobudaya Melayu di luar lingkaran dunia Melayu.

Itulah Profesor Emeritus Ismail Hussein yang kembali ke rahmatullah pada 20 Oktober lalu pada usia 82 tahun. Beliau ialah adik kepada Sasterawan Negara Abdullah Hussein dan abang kepada pelukis tersohor negara, Ibrahim Hussein. Lebih separuh daripada usianya dihabiskan dalam bidang akademik khususnya dalam sastera dan budaya.

Ismail telah senama dengan Gapena, sebuah badan induk yang memayungi lebih 20 persatuan penulis seluruh negara. Bukan sahaja kerana menjadi Ketua Satu paling lama tetapi sepanjang empat dekad itu banyak peristiwa berlaku dalam sastera dan keilmuan sastera. Tetapi pengalaman yang panjang dalam bahasa dan kesusasteraan ditambah dengan sikap yang tidak lentur kepada provokasi membuatkan Ismail tidak terperangkap dalam kepentingan pihak tertentu.

Misalnya kebijaksanaan Ismail menguruskan Gapena terutama ketika dilanda gelombang pada awal 1990-an apabila ada pihak yang mahu mengambil alih tampuk kepimpinan Gapena, Ismail menangani dengan penuh hemah dan sangat luar biasa. Terbukti pendekatan politik untuk menumbangkan Ismail daripada kerusi Ketua Satu Gapena tidak berjaya. Beliau tidak pernah rasa tergugat dengan percubaan menukar teraju Gapena kerana menganggap itu satu proses demokrasi.

Malah Gapena di tangan Ismail juga memperlihatkan pendirian yang sangat jelas berhubung isu kebahasaan misalnya dasar bahasa Melayu yang cuba diperkotak-katikan oleh sesetengah birokrat dalam kerajaan. Dasar pendidikan yang mengutamakan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik ditentang dengan tegas oleh Ismail.

Pemergian tokoh ilmuwan sastera ini cukup dirasai bukan sahaja di negara ini malah masyarakat Melayu di luar lingkaran Nusantara. Kajian yang telah dibuat Ismail mendapati bahawa orang Melayu menduduki sebahagian dunia iaitu dari Asia Tenggara sehinggalah ke Afrika dan Ismail yakin untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa gugusan Melayu ini.

Walaupun begitu Ismail bukan cauvanis. Beliau cuma memperjuangkan pemerkasaan ilmu dan bahasa Melayu tetapi sangat terbuka kepada kaum lain dalam gagasan kesusasteraan kebangsaan. Tidak hairanlah kalau Ismail pernah menterjemahkan Tirukkural pada tahun 1967. Tirukkural merupakan teks klasik Tamil yang ditulis antara abad kedua dan kelima.

Dalam konteks Melayu dan kebahasaan, Gapena telah digerakkan memainkan peranan penting untuk menjalin hubungan dan kerjasama dengan masyarakat Melayu di dunia. Ini dibuktikan dengan pertemuan serta simposium kebudayaan Melayu yang diselenggarakan di Sri Lanka, Vietnam, Yunnan-China, Cape Town-Afrika Selatan, Mindanao-Filipina, Madagaskar, Bangkok-Thailand, dan Tanah Suci (Mekah dan Madinah).

Kemuncak daripada usaha itu ialah penyelenggaraan Simposium Jaringan Melayu Antarabangsa dan Simposium Melayu Sedunia di Shah Alam pada tahun 1996, susulan daripada itu ditubuhkan Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa dan Ismail telah dilantik menjadi Pengarah Eksekutif.

Pada tahun 2001 disusuli pula dengan Persidangan Dunia Melayu di PWTC-Kuala Lumpur. Kegiatan asas Gapena memang tertumpu kepada pembinaan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia dan di rantau ini, terutama melalui pertemuan Sasterawan Nusantara yang dianggotai oleh Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Ismail dilihat sangat signifikan dengan kesusasteraan dan kebudayaan apa lagi kedudukannya sebagai sarjana dan tokoh akademik yang menumpahkan pemikiran yang bukan sedikit ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaya. Mahu tidak mahu bercakap tentang sastera terutama tradisi kesarjanaan, nama Ismail tidak boleh dipinggirkan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dr. Mohamad Salleh Rahamad mengakui usaha Ismail dalam memartabatkan bahasa Melayu selama mengetuai Gapena, serta membuktikan bahawa Melayu adalah bangsa yang besar dan disegani di peringkat antarabangsa.

“Walaupun usahanya selama ini dikritik serta mendapat pandangan yang kurang elok daripada banyak pihak, namun perjuangan bagi memastikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang disegani di dunia tetap diteruskan. Semangat Ismail itu saharusnya ada dalam setiap diri pejuang bahasa ketika ini,” tegas Salleh.

“Beliau seorang ahli akademik yang melakukan pelbagai kajian tentang bahasa, sastera dan budaya Melayu. Jika sebelum ini kajian banyak dilakukan hanya di dalam negara sahaja namun keberanian beliau untuk membuat kajian yang meliputi bangsa Melayu di seluruh dunia seharusnya mendapat kepujian,” jelas Salleh.

Antara hasil tulisan Ismail ialah Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita (1966), Trirukkural (1967), The Study of Traditional Malay Literature with a Selected Bibliography (1974), Sastera dan Masyarakat (1974), Kepimpinan dalam Kebudayaan (1984) dan Segugus Pandangan dan Harapan (1988).

Sementara itu bagi Ketua Satu Gapena, Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, perjuangan Ismail ketika hayatnya telah berjaya membentuk satu pelantar kepada kita untuk meneruskan legasi yang dibawa olehnya selama ini.

“Walaupun tahu tentang perjalanan pembangunan negara yang semakin maju, namun Ismail sebenarnya tidak mahu bahasa, sastera serta budaya Melayu ditinggal begitu sahaja kerana nilai yang ada dalam ungkapan Melayu itu cukup besar,” jelas Latiff.

utusan online


Makna hidup Ib

Oleh ZAMRI RAMBLI dan JOHANNA A. SOBREY


Lebih lima dekad menghambakan dirinya dalam bidang seni, Datuk Ibrahim Hussein adalah ikon terbilang.


'HIDUP tiada makna kecuali anda mempunyai jawapan kenapa anda menangis, kenapa anda ketawa.'

Demikian antara petikan ungkapan penuh bermakna yang tertera bersebelahan biografi pelukis agung negara, Datuk Ibrahim Hussein di laman web Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein yang ditubuhkan atas usaha payah jerihnya pada tahun 2000.

Semalam dunia seni halus negara bisu seketika. Karya-karya anak kelahiran Yan, Kedah ini juga kaku. Semuanya tergamam menerima perkhabaran duka pemergian Ibrahim atau lebih sinonim dengan gelaran Ib awal pagi semalam.

Masih gagah pada usia 72 tahun, namun penyakit jantung yang dihidapinya tanpa diketahui ramai orang, menjemput nafas terakhir Allahyarham di Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Sim Hussein dan anak perempuan, Alia Ibrahim.

Allahyarham juga merupakan adik kepada Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein dan Tan Sri Ismail Hussein yang merupakan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Kehebatan pelukis tersohor ini adalah satu legasi yang tiada tolok bandingannya. Dia adalah anak kampung yang hidup dalam kesusahan dan kepayahan. Dia juga bukanlah anak yang pintar dalam bidang akademik.

Namun, cita-cita, kesungguhan dan bakat semula jadinya akhirnya membolehkan lukisan anak kampung itu menghiasi dinding istana-istana raja dan rumah-rumah perdana menteri Malaysia.


RAJA MUDA PERAK Raja Nazrin Shah antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk Allahyarham Ibrahim.

Gahnya karya-karya lukisan Ib yang menyorot perspektif dan nafas baru dalam seni tampak bukan sahaja dikagumi peminat dalam negara bahkan menarik minat pencinta seni lukisan dunia.
Lantaran itu, bukanlah menghairankan catatan diari pameran yang pernah diadakan Ib merentas pelbagai negara. Sekadar menyebut beberapa pameran antarabangsa yang meletakkan Ib sebagai pelukis dalam kelas tersendiri, beliau pernah mengadakan pameran hasil karyanya secara solo di Galeri John Wibley,


IBRAHIM bersama isterinya, Sim Hussein.

London pada tahun 1962, Gallerie Internationale New York, Amerika Syarikat (1965), Newsweek Gallery, New York, Amerika Syarikat (1968), Dhait Abdullah Al Salam Galley, Kuwait (1977), Daruma Art Centre Copenhagen, Denmark dan Galerie Bortier, Brussels, Belgium (1983).

WARTAWAN Kosmo!, Johanna yang pernah menemubual Ibrahim pada tahun 2006.

Namun, karya agung Allahyarham tidak lain dan tidak bukan adalah penubuhan Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein atau IHMCF. Beliau menumpahkan seluruh jiwa raganya dalam merealisasikan muzium yang terletak di kawasan seluas 16,000 kaki persegi di kawasan Hutan Gunung Mat Chincang dan berhadapan kehijauan air Laut Andaman di Pantai Pasir Tengkorak, Pulau Langkawi, Kedah itu.


HASIL karya Ibrahim dipamerkan di New York, Kuwait dan Denmark.

Pernah ditemu bual wartawan Kosmo! pada tahun 2006, Allahyarham mengakui IHMCF lahir daripada manifestasi seluruh kehidupannya.

"Untuk memulakan cerita bagaimana idea penubuhan yayasan ini bermula, biarlah saya ceritakan sedikit sebanyak berkenaan kehidupan masa lampau, bagaimana ia telah memberi kesan mendalam dan membentuk diri saya sekarang.

"Saya berasal daripada sebuah keluarga yang susah dan kehidupan kami sekeluarga ketika itu sememangnya amat sukar," kata anak kelima daripada enam beradik itu sewaktu diwawancara wartawan Kosmo! Johanna A. Sobrey.


FIGURA yang dikagumi dalam bidang seni halus kerana kehebatan hasil karya lukisannya.

Cerita Allahyarham, ketika berusia awal 20-an, beliau hanya mahu diberi kebebasan melukis dan meluahkan perasaan dengan cara tersendiri tanpa sebarang harapan daripada sesiapa.

Namun, pelbagai tekanan termasuk masalah kewangan sentiasa membayangi diri beliau dan memaksanya mencari jalan untuk menampung kehidupannya.

"Contohnya, ketika di Sekolah Seni Byam Shaw, London, saya merupakan satu-satunya penuntut dari Asia. Ia adalah waktu yang sememangnya sukar dan penuh dengan kesunyian.

"Suatu ketika dahulu, saya pernah melakukan pelbagai kerja seperti penghantar surat untuk hidup. Ia satu pengalaman tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

"Kemudian, selepas mengecap pelbagai kejayaan daripada jatuh bangun pada usia muda, pada satu hari ketika sedang berenang di kolam renang rumah sambil memikirkan sejarah hidup dan pelbagai halangan serta kesukaran yang pernah dihadapi, timbul ilham untuk mewujudkan IHMCF," cerita Allahyarham. Selepas lapan tahun menumpahkan segala usaha dan berhabisan RM10 juta pada tahun 2000, IHMCF dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Dalam kesedihan kehilangan sebutir permata berharga dalam bidang seni halus, yang pasti, Ib telah menjalani hidup yang sangat bermakna. Allahyarham pergi dengan mengetahui jawapan kepada setiap tangisan dan ketawanya.




ZIARAH PENGURUSAN KE KEDIAMAN SN ABDULLAH HUSSAIN

OLEH : NORHAMUNI IBRAHIM

Sumbangan para sasterawan dan penulis cukup besar dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Oleh itu, menyedari peri pentingnya sumbangan mereka terhadap sejarah perkembangan sastera tanah air, pengurusan DBP telah bersetuju untuk melaksanakan Program Ziarah Pengurusan ke kediaman sasterawan dan penulis sebagai menghargai sumbangan mereka.

Pada 10 November 2010 yang lalu, pihak pengurusan DBP yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Md, Salleh bin Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, diiringi oleh Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP, Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah DBP, Puan Hajah Zalila binti Sharif, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP dan Encik Abdul Ghapar bin Haji Abdullah, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat telah melakukan ziarah ke kediaman Sasterawan Negara Ke-8 Dato’ Haji Abdullah Hussain di Petaling Jaya, Selangor untuk merisik khabar.

YBhg. Dato’ Haji Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920, di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Beliau merupakan seorang penulis yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Beliau juga mahir dalam beberapa bahasa yang secara tidak langsung membantu beliau dalam dunia penulisannya.


Merisik khabar oleh En Abd. Ghapar dan diperhatikan (dari kiri) Dato' Termuzi, Pn Zalila, Pn Hamuni, Dato' Salleh dan En Kamarul.

Pengetahuannya dalam bidang bahasa dapat diukur daripada buku-buku bahasa dan peribahasa, serta terjemahan karya-karya sastera luar negeri yang telah diusahakannya. Di samping itu, Abdullah juga seorang penulis biografi yang teliti, juga pernah menghasilkan puisi, ulasan sastera dan rencana umum. Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusasteraan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel. Antara karya-karya yang dihasilkan oleh Abdullah Hussain ialah Dia…Kekasihku (1941), Berenang di Lautan Madu (1957), Terjebak (1964), Interlok (1971), Imam (1995), Dari Kota Cahaya (1997), P. Ramlee Seniman Agung (1973), Pendeta Za’ba dalam Kenangan (bersama Khalid Hussain), Harun Aminurrashid: Pembentuk Semangat Kebangsaan (1982) dan banyak lagi hasil ciptaannya.

Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sastera Negara yang kelapan dalam tahun 1996. Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima S. E.A Write Awards di Bangkok. Bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi, Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato’” dalam tahun 1995.


Dari kiri En Abd. Ghapar, Pn Zalila, En Kamarul, Dato’ Salleh, Dato’ Termuzi dan isteri SN, Seroja; di tengah SN Dato’ Abdullah Hussain

Kini, dalam usia 91 tahun, Abdullah Hussain sudah tidak mampu untuk berkarya lagi kerana masalah kesihatan. Namun, untuk mengisi masa yang terluang, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku ilmiah dan juga beramal ibadah.

buletin jiwa

ABDULLAH HUSSAIN


LAHIR : 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman.

PENULIS yang cukup prolifik lagi konsisten ini, mempunyai pengalaman yang luas. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan beliau adalah salah seorang penulis Malaysia yang kaya dengan pelbagai pengalaman yang menarik hati. Pengalamannya yang luas serta penguasaannya dalam beberapa bahasa merupakan faktor-faktor yang membantu beliau dalam lapangan karang-mengarang. Hasilnya, kita temui pelbagai tema dengan latar belakang yang berbeza-beza pula dalam karya-karyanya.

Pengetahuannya dalam bidang bahasa dapat diukur daripada buku-buku bahasa dan peribahasa, serta terjemahan karya-karya sastera luar negeri yang telah diusahakannya. Di samping itu, Abdullah juga seorang penulis biografi yang teliti, juga pernah menghasilkan puisi, ulasan sastera dan rencana umum. Namun, sumbangannya yang cukup bererti dalam kesusasteraan Melayu adalah dalam bidang cerpen dan novel.

Pada tahun 1926, Abdullah mula belajar di Sekolah Melayu Sungai Limau dan lulus darjah V dalam tahun 1931. Kemudian, Abdullah memohon untuk menjadi guru pelatih tetapi permohonannya ditolak. Dari tahun 1932 hingga tahun 1933, Abdullah belajar pula di Sekolah St. Michael, Alor Setar hingga lulus darjah VII dalam tahun 1935. Sesudah itu, beliau mula mencari pekerjaan. Semasa tentera Jepun menduduki Tanah Melayu dan Singapura, Abdullah sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan dalam tahun 1943 sebagai calon dari Aceh.

Pekerjaan awalnya ialah penolong penjaga stor dalam sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang dalam tahun 1939. Pada akhir tahun itu, beliau berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja di surat khabar Sahabat. Semasa di Pulau Pinang inilah, Abdullah mendapat dorongan menulis daripada pengarang akhbar tersebut iaitu Ahmad Noor Abdul Shukoor. Di samping itu, Abdullah giat dalam Perkumpulan Sahabat yang kerap mengadakan pertemuan sesama penulis di utara Semenanjung. Kebolehan awalnya dalam bidang penulisan telah terbukti, apabila cerita bersirinya berjudul “Binti Penghulu” diterbitkan dalam akhbar Sahabat, disusuli cerita “Harta dan Jodoh Menanti di England” sebanyak 38 siri. Abdullah tidak menerima apa-apa bayaran daripada karya tersebut.

Pada tahun 1940, Abdullah bertugas pula sebagai pembantu pengarang Saudara di Pulau Pinang. Beliau bertugas di situ hingga awal tahun 1941 apabila Saudara ditutup. Dalam tahun itu juga, telah terbit dua buah noveletnya iaitu Kasih Isteri dan Dia ... Kekasihku. Beliau kemudiannya bertugas di Kem Tentera Inggeris di Sungai Petani, Kedah sebagai kerani hinggalah kedatangan tentera Jepun yang mendesak beliau kembali ke kampung halamannya.

Sebulan sesudah tentera Jepun menduduki Kedah, Abdullah dibawa oleh pasukan Fujiwara Kikan ke Kuala Lumpur dan kemudian dikirim ke Sumatera sebagai fifth columnist (semacam perisik utama sebelum sesuatu tindakan diambil). Malangnya, sebaik sahaja mendarat di Sumatera, Abdullah telah ditangkap oleh pemerintah kolonial Belanda lalu ditahan di Medan.

Apabila Jepun mendarat di Sumatera, Abdullah segera dibebaskan lalu dibawa ke Aceh dan diberi tugas di Gunseikanbu. Abdullah kemudiannya dihantar ke Singapura untuk menjalani kursus pentadbiran di Syonan Koa Kunrenzo selama tiga bulan. Sekembalinya ke Aceh, beliau dilantik menjadi kerani Gunseibu di Langsa. Tugas ini merapatkan beliau dengan Aceh, tempat asal orang tuanya. Semasa di Banda, Aceh, beliau ikut mendirikan surat khabar Acheh Shimbun dan menjadi koresponden beberapa akhbar termasuk Sumatera Shimbun. Abdullah menyertai beberapa sayembara mengarang roman sejarah dengan karya berjudul “Darah Pembalasan”. Beliau pernah mendapat tempat kedua dalam sayembara mengarang cerpen di Aceh dengan cerpennya berjudul “Manusia Baru” dalam tahun 1943.

Setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, Abdullah dilantik menjadi Kepala Polisi (Polis) Daerah Langsa dan ikut mengumumkan proklamasi kemerdekaan Indonesia. Tidak lama sesudah itu, beliau dilantik pula sebagai Wedana Daerah Langsa. Kedatangan semula tentera Belanda ke Indonesia sesudah berundurnya tentera Jepun, menjadikan Indonesia bergolak dan Abdullah turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaan itu.

Pada tahun 1947, beliau kembali bertugas di dalam kepolisian sebagai Kepala Polis Pulau Sabang, di samping menjadi wakil Kepala Bahagian Penelitian Aliran Masyarakat, yakni semacam bahagian cawangan khas di Jabatan Polis.

Pada tahun 1948, Abdullah berangkat ke Pulau Pinang sebagai agen pemerintah daerah Aceh dan bekerja sebagai Pengurus Cardoba Trading Co., iaitu sebuah syarikat import dan eksport. Kemudian, beliau bertugas pula sebagai Pengurus Pacific Trading Co., di Phuket, Thailand hingga tahun 1949 sebagai agen menyeludup senjata ke Indonesia bagi keperluan perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Pada tahun 1950, Abdullah kembali semula ke Sumatera dan menjadi pengarang majalah Puspa di Medan. Beliau telah memenangi hadiah pertama peraduan mengarang cerpen sempena perayaan Hari Buruh di Medan dengan karyanya yang berjudul “Kario Buruh Kebun”.

Pada tahun 1951, beliau meninggalkan Medan menuju ke Singapura dan menjadi kerani di Syarikat Perkapalan Acheh Trading and Shipping Company yang berpangkalan di sana. Dalam tahun-tahun berikutnya, Abdullah lebih banyak menumpukan masanya dalam bidang penerbitan dan penulisan. Beliau menjadi koresponden surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan majalah mingguan Merdeka (terbit di Jakarta), menjadi Pengurus Empiric Film Company, Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem, Akhbar Semenanjung dan Pengurus firma import dan eksport Hasbur Trading Company. Kemudian beliau menjadi Pengurus Penerbitan P. Ramlee dan diterbitkan oleh Malay Film Production di Singapura.

Dalam kesibukan menyelenggara majalah dan perniagaan, Abdullah masih sempat ke luar negeri. Dalam tahun 1957, beliau ke Saigon sebagai wakil Darul Islam menemui Presiden Ngo Dhien Dhiem, Presiden Negara Vietnam dan ke Manila. Beliau pernah tinggal di Hong Kong untuk beberapa bulan.

Mulai 1 Januari 1961, Abdullah pindah dan bekerja di Kuala Lumpur. Beliau bertugas di Oxford University Press sebagai pembantu pengarang kanan hingga 31 Disember 1964. Sewaktu bertugas di penerbitan itulah, Abdullah telah menterjemahkan beberapa karya sastera dunia.

Dari tahun 1965 hingga bulan Februari 1968, beliau menjawat tugas yang sama di Franklin Books Programme di samping menjadi editor majalah Angkatan Baru. Mulai 1 Mac 1968, Abdullah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai Penolong Pengarang, kemudian Pengarang dari mulai tahun 1972, menjadi Pegawai Penyelidik di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Di samping menjadi editor majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Dewan Sastera, beliau juga menjadi editor dan penerbit majalah Penulis, lidah rasmi Persatuan Penulis Nasional (PENA). Sewaktu di bahagian inilah, Abdullah Hussain banyak sekali membuat sorotan cerpen yang bersifat membimbing bakat-bakat baru seperti yang tersiar dalam Dewan Sastera 1972 dan 1973. Kemudian Abdullah bertugas sebagai Ketua Unit Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah di Kota Kinabalu dan bertanggungjawab memimpin majalah Dewan Perintis edisi Sabah sejak Mei 1978 hingga September 1979. Mulai Oktober 1979, Abdullah menjadi Ahli Cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mulai 1 Julai 1982 pula, beliau mendapat tawaran bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei, sebagai Pegawai Bahasa Kanan dan mengetuai Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera di samping menjadi ketua editor majalah Bahana dan Mekar. Abdullah pernah menjadi karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1993-1994, dan tahun 1995-1996.

Tulisan Abdullah yang pertama berupa sebuah cerita lucu yang tersiar dalam majalah Tanah Melayu pada tahun 1939. Setelah Hampir 40 tahun menulis, sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu masih terus mengalir seolah-olah beliau tidak pernah kekeringan ilham dan tenaga. Beliau menulis dalam semua genre. Menjawab pertanyaan, mengapa dalam sebilangan besar novel-novel beliau mengikutsertakan watak-watak pelbagai bangsa, beliau menyatakan bahawa, penduduk negara ini terdiri daripada berbagai-bagai suku kaum di samping bangsa Melayu yang menjadi peribuminya, maka perpaduan bangsa hanya dapat dicapai melalui penggunaan satu bahasa yang sama dan bahasa Melayu yang baik.

Pada peringkat awal sebagai penulis, Abdullah sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh pembacaan karya-karya sastera dari Indonesia dan Rusia. Bacaannya yang luas terhadap karya-karya dari negara tersebut turut memberikannya pengalaman untuk menterjemah karya-karya besar sastera dunia. Satu hal yang menarik ialah pengakuan Abdullah sendiri yang mengatakan bahawa beberapa buah novelnya yang tebal-tebal itu adalah akibat daripada pengaruh novel-novel tebal yang ditulis oleh pengarang-pengarang Rusia.

Novel-novelnya iaitu Terjebak, Peristiwa dan Aku Tidak Minta merupakan rakaman pengalaman-pengalaman berunsur seram, tragis, dan lucu sewaktu Abdullah di Indonesia dan di Thailand. Ketiga-tiga novel tersebut, di samping Rantau Selamat dan Interlok adalah sumbangannya yang bermakna dalam bidang penulisan novel sehingga kini. Sementara bukunya yang menyangkut bidang bahasa iaitu Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dianggap sebagai salah satu kamus peribahasa yang terbaik setakat ini.

Usaha gigih Abdullah menterjemah beberapa buah karya sastera dunia dapat kita hayati melalui novel Angin Timur Angin Barat dan Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Muatiara (Steinbeck), Orang Tua dengan laut (Hemingway) dan Lorong Midaq oleh Naguib Mahfouz. Dalam bidang biografi, Abdullah telah menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Za’ba, masing-masing adalah seniman dan ahli bahasa Melayu yang terulung. Abdullah juga menulis biografi Tun Datu Haji Mustapha, pemimpin politik dari Sabah dan seterusnya ialah biografi tentang tokoh sastera, Harun Aminurrashid.

Sebagai penulis yang kaya dengan pengalaman, Abdullah Hussain telah berjaya merakamkan pengalaman beliau yang pelbagai dan menarik itu ke dalam cerpen dan novel-novel karya beliau. Hasil kesungguhan dan kegigihan beliau berkarya, maka novel terbaru beliau iaitu Imam telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95, dan sebelum itu novel yang sama telah berjaya menggondol hadiah “Hadiah Novel Nasional” (mengingati Pak Sako), 1992/94, yang dianjurkan bersama oleh Syarikat Utusan Melayu dan Public Bank Berhad. Dan puncak dari segala-galanya itu ialah, apabila Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sastera Negara yang kelapan dalam tahun 1996. Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok.

Selain mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang penulisan kreatif, Abdullah Hussain juga telah dianugerahi Pingat Jawa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) 1995, dan bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” dalam tahun 1995.

KARYA

Novel
- Dia... Kekasihku, Johor Baru: The Annies Printing Works, 1941, 64 hlm
- Kasih Isteri, Johor Bahry: The Annies Printing Works, 1941, 112 hlm
- Amin Pemuda Desa, Pulau Pinang: Penerbitan Angkatan Baru, 1947, 77 hlm
- Berenang di Lautan Madu, Singapura: Geliga Limited, 1957, 96 hlm
- Kalau Tidak Kerana Tuan, Singapura: Geliga Limited, 1957, 75 hlm
- Janganlah Jangan, Kuala Lumpur: Penerbitan Angkatan Baru, 1964, 135 hlm
- Si Bulat Pemuda Desa, diterbitkan melalui majalah cerita bulanan, Terang Bulan, Oktober 1964, Bil. 1, 37 hlm
- Terjebak, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 380 hlm
- Peristiwa, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1965, 273 hlm
- Rantau Selamat, Kuala Lumpur: Pustaka Nasional, 1965, 508 hlm
- Interlok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, 341 hlm
- Intan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 112 hlm
- Noni, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1976, 133 hlm
- Buih di atas Air, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1980, 201 hlm
- Masuk ke dalam Cahaya, Kuala Terengganu: 1983, 306 hlm, dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, (Edisi Khas Sasterawan Negara), 1997, 323 hlm
- Imam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 1995, 705 hlm

Cerpen 
 - Hadiah (Peny. Bersama A. Bakar Hamid), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 329 hlm
- Jejak Langkah (Peny. Bersama Ismail Ahmad), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975, 285 hlm
- Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm
- Kota ke Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977, 194 hlm
- Sebuah Impian (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd., 1979, 235 hlm
- Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm
- Bunga Gunung (antologi bersama), Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd., 1982, 153 hlm
- Sebuah Pekan Bernama Semporna, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 303 hlm
- Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm
- Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm
- Dari Kota Cahaya (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 681 hlm

Drama
- Di Atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 209 hlm

Esei/Kritikan
- Penulisan Cerpen: Kaedah dan Pengalaman, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 64 hlm

Autobiografi
- Sebuah Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka, 1984, 547 hlm

Biografi
- P. Ramlee Seniman Agung, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1973, 216 hlm
- Pendeta Za’ba dalam Kenangan (bersama Khalid Hussain), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 318 hlm
- Harun Aminurrashid: Pembentuk Semangat Kebangsaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 412 hlm.

Terjemahan
- Orang Tua dengan Laut/Ernest Hemingway, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1961, 127 hlm
- Bumi Bertuah/Pearl S. Buck, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1962, 409 hlm
- Mutiara/Johan Steinbeck, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1962, 122 hlm
- Angin Timur Angin Barat/Pearl S. Buck, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1964, 229 hlm
- Lorong Midaq/Naguib Mahfouz, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 443 hlm

Umum
- Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1965, 207 hlm
- Kamus Simpulan Bahasa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1966, 464 hlm
- Balabatu dan Lain-lain, Kata-kata Sebunyi, Singapura: Harmy Press, 1959, 172 hlm
- Bunga Bahasa, Singapura: Malay Publishing House Ltd., 1961, 318 hlm
- Pertemuan Sasterawan Nusantara IV (Peny. Bersama Mohd. Shahri Hussin), Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 249 hlm
-Canai Budi (kumpulan peribahasa), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 182 hlm

dbp

Comments