30 Jul 2013

Hikayat Seri Kelantan


Hikayat Seri Kelantan

Sinopsis
Seorang raja bernama Encik Siti yang memerintah negeri kelantan ataupun namanya ketika itu ialah Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Beliau merupakan seorang perempuan yang mampu memerintah sebuah negeri yang sangat besar kerajaannya dengan adil dan bijaksana. Namun, Encik Siti ini tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai suami. Encik Siti telah mendengar kabar berita bahawa ada seorang anak raja Jembal yang sangat baik rupanya dan baginda berhajat mahu mengambil anak tersebut daripada Raja Jembal sebagai anak angkat kerana baginda sangat menginginkan seorang anak disebabkan baginda tidak mempunyai anak. Oleh itu Raja Jembal telah menyerahkan anaknya ynag bernama Puteri Sa’dung kepada Encik Siti. Encik Siti sangat menyayangi Puteri Sa’dung dan apabila puteri itu membesar, beliau mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan menjadi dambaan para lelaki. Namun, En Siti telah mengambil langkah menjodohkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah iaitu anak Raja Jembal. Niat En Siti adalah mahu mencari seseorang bagi menggantikan tempatnya sebagai raja sekiranya baginda meninggal dunia. Majlis perkahwinan Puteri Sa’dung dan Raja Abdullah dijalankan selama empat puluh hari empat puluh malam.

Setelah berkahwin En Siti menyerahkan takhta negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kepada Sultan Abdullah dan En Siti juga berpindah dari istana tersebut dan membina kerajaan baru. Namun, ada sebuah kerajaan di Siam yang rajanya sangat suka dan berahi kepada Puteri Sa’dung kerana beliau mendengar cerita tentang kecantikan yang dimiliki oleh Puteri Sa’dung. Raja kerajaan negeri Siam telah mengarahkan beberapa orang suruhannya termasuk seorang ahli nujumnya yang bernama Tuk Cha untuk datang ke kerajaan Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung bagi mengambil Puteri Sa’dung kerana raja Siam sudah tidak mampu menahan nafsunya terhadap Puteri Sa’dung lagi.

Setelah sampai di negeri Tanah Serendah Kebun Bunga, seorang orang suruhan dari Siam datang untuk bertemu dengan Sultan Abdullah untuk menyatakan hasrat mereka datang kemari dan mengambil Puteri Saadong untuk dibawa kepada Raja Siam. Oleh kerana mendengar kata-kata orang suruhan kerajaan Siam itu, Sultan Abdullah sangat marah dan menghalau orang suruhan tersebut dari istana dan orang suruhan Siam kembali ke kapal dengan perasaan sangat malu. Esoknya, orang Siam telah meyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga bagi mengambil Puteri Sa’dung. Namun, dengan kuasa yang ada negeri Tanah Serendah Kebun Bunga berjaya berpindah dari kawasan sebenar ke tengah hutan. Akibatnya, orang Siam tidak dapat mencari negeri tersebut namun dengan bantuan Tuk Cha beliau berupaya menjumpai semula negeri itu. Sekali lagi negeri itu diserang.

Sultan Abdullah yang tidak mampu menahan serangan itu akhirnya mengambil tindakan pergi bertemu dengan Tuk Cha dan bertanyakan apa sebabnya mereka tidak habis-habis menyerang negeri itu dan setelah diberitahu oleh Tuk Cha, Sultan Abdullah pulang dengan perasaan yang sedih kerana menurut Tuk Cha, mereka mahu mengambil isteri Sultan Abdullah iaitu Puteri Sa’dung untuk dibawa kepada raja mereka. Setelah mendapati suaminya sudah pulang dari kapal Siam, Puteri Sa’dung bertanyakan kepada suaminya apa sebabnya dan Sultan Abdullah menyatakan bahawa tentera Siam mahu mengambil Puteri Sa’dung untuk dibawa ke Siam. Atas rasa bertanggungjawab terhadap rakyat dan mendengar titah suaminya Puteri Sa’dung terpaksa bersetuju untuk dibawa ke Siam.

Setelah sampai di Siam, Raja Siam telah cuba untuk meniduri Puteri Sa’dung namun belum sempat raja Siam mendekati Puteri Saadong, beliau sempat meludahi di bahagian dada raja Siam. Akibatnya, raja Siam terkena penyakit kayap yang tidak dapat diubati. Setelah mendengar perkabaran daripada Tuk Cha bahawa penyakit kayap raja Siam akan sembuh apabila raja Siam berjauhan dengan Puteri Sa’dung lalu raja Siam mengambil tindakan menghantar semula puteri itu ke negaranya. Setelah Puteri Sa’dung dihantar semula penyakit yang menimpa raja Siam kembali sembuh.

Setelah sampai di negaranya Puteri Sa’dung mendapat tahu bahawa Sultan Abdullah telah berkahwin lain selepas pemergiannya ke negeri Siam. Akibatnya, Sultan Abdullah tidak mahu menerima Puteri Sa’dung semula lalu berlaku pergaduhan antara mereka yang mengakibatkan kepala Puteri Sa’dung dipenggal oleh Sultan Abdullah dan meninggal dunia. Oleh kerana rasa bertanggungjawab inang-inang telah membawa Puteri Sa’dung dan mengubatinya dengan menggunakan air renjisan mawar yang berada dalam sanggul Puteri Sa’dung. Selepas itu, Puteri Sa’dung hidup semula dan beliau sangat marah dengan Sultan Abdullah dan akhirnya Puteri Sa’dung berjaya membunuh Sultan Abdullah. Setelah itu Puteri Sa’dung meninggalkan istana kota Jelasin dan mencari kawasan baru untuk membina sebuah negeri. Setelah itu, Puteri Sa’dung menyerahkan takhta negeri itu kepada adik iparnya Raja Ibrahim. Namun pemerintahan negeri itu mula bergolak kerana rajanya sangat zalim terhadap rakyat dan ada juga rajanya yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keamanan negara. Oleh itu, raja negerinya mula bertukar ganti sehingga berlaku pertempuran dan saudara di Kelantan.


Tema
Hikayat Seri Kelantan bertemakan asal-usul atau susur galur keturunan raja-raja/sultan/pemerintah awal negeri Kelantan yang sering bertukar ganti pada peringkat awal. Misalnya bermula dengan Encik Siti, kemudian diikuti oleh Sultan Abdullah, Tuan Puteri Sa'dung, Sultan Ibrahim ( Keturunan Raja Jembal ), Datu, Tuk Raja Udang, Raja Tuan Long Pandak dan Raja Muda Pasir Mas Seberang Tuk Deh ( Lenggeh ).

Persoalan
Persoalan mementingkan keturunan pada masa hadapan, misalnya Encik Siti yang tidak mempunyai anak telah mengambil Tuan Puteri Sa'dung/Raja Abdullah anak raja Jembal dan mengahwinkan mereka berdua.

Persoalan pemerintahan yang adil terhadap negeri dan rakyat, misalnya Encik Siti/Sultan Abdullah/Tuan Puteri Sa'dung/Raja Tuan Long Pandak telah memerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung dan rakyat dengan adil sehingga disukai oleh rakyat jelata.

Persoalan pemerintahan yang kejam terhadap negeri dan rakyat, contoh Sultan Ibrahim yang menggantikan Sultan Abdullah sebagai pemerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung yang berpusat di Kota Teras, Jembal memerintah negeri dan rakyat dengan zalim.

Persoalan amalan pengambilan dan pemeliharaan anak angkat dalam masyarakat. Contohnya, Encik Siti yang tidak mempunyai anak telah mengambil Tuan Puteri Sa'dung/Raja Abdullah anak raja Jembal sebagai anak angkatnya.

Persoalan kasih sayang dalam keluarga. Sultan Abdullah sangat sayang kepada isterinya Tuan Puteri Sa'dung/Long Sulaiman sangat sayang kepada kakaknya Tuan Puteri Kembang Bunga/dll.

Persoalan penggunaan unsur kesaktian/jampi mentera dalam amalan kehidupan seharian, misalnya Tuan Puteri Sa'dung menggunakan kesaktiannya memindahkan/mengangkat istana Kota Jelasin ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai/Tuan Puteri Sa'dung bertindak menyembur dada Raja Siam sehingga naik penyakit kayap yang amat sakit.

Persoalan amalan hidup masyarakat yang mempercayai telahan ahli nujum, misalnya Raja Siam percaya kepada Tuk Ca seorang ahli nujum yang mengatakan untuk menyembuh penyakit kayap di dada ialah dengan menghantar balik Tuan Puteri Sa'dung kepada Sultan Abdullah di Mahligai/Kelantan/Raja Pattani ( Nang Cayang ) percaya kepada ahli nujum yang mengatakan baginda jatuh sakit kerana memelihara Long Yunus di dalam istananya.

Persoalan pencerobohan/merampas hak orang lain tanpa perikemanusiaan/zalim, misalnya Raja Siam menyerang negeri Kelantan dan merampas/membawa lari Tuan Puteri Sa'dung ke benua Siam untuk dijadikan isterinya.

Persoalan keberanian mempertahanakan hak dan tanah air, misalnya Sultan Abdullah bersama para pembesar dan rakyatnya berani menentang angkatan Raja Siam yang menyerang negeri Kelantan/tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung untuk merampas Tuan Puteri Sa'dung isterinya.

Persoalan muafakat dalam melakuka tindakan, misalnya Sultan Abdullah bermuafakat dengan para pembesar dan rakyatnya untuk menentang angkatan Raja Siam yang menyerang negeri Kelantan.

Persoalan tolong-menolong/bantu-membantu terhadap orang yang memerlukan pertolongan/bantuan, misalnya Long Yunus telah menolong Long Jaafar menemukan dengan Raja Tuan Long Pandak di istana Kota Kubang Labu.

Persoalan bersimpati/belas kasihan terhadap seseorang yang susah, misalnya Long Yunus merasa belas kasihan kepada Long Jaafar yang dihalau oleh ayahandanya dari negeri Reman.

Persoalan membunuh diri kerana tekanan perasaan, misalnya Tuan Puteri Kembang Bunga membunuh diri di dalam wangkang di Kuala Nama kerana tekanan perasaan disebabkan ramai anak raja/orang muda di negeri Pattani yang meminati dirinya.

Persoalan bertindak terburu-buru/membuat keputusan tanpa menyiasat terlebih dahulu, misalnya Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu telah menikam/membunuh isterinya berpunca dari kain cukin kepunyaan Long Jaafar yang tersangkut di atas kil dalam istananya.

Persoalan kekejaman atau zalim terhadap orang lain, misalnya Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu bertindak kejam dengan menikam/membunuh isterinya.

Persoalan membalas dendam terhadap seseorang, misalnya Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh bersama dengan para pembesar dan rakyatnya telah menyerang dan membunuh Raja Tuan Long Pandak Kubang Labu sebagai balas dendam kerana telah menikam/membunuh adiknya/Tuan Puteri Sa'dung memancung/membunuh Sultan Abdullah sebagai balas dendam kerana membunuhnya.

Persoalan tidak mengambil berat dan leka dalam permainan, misalnya Raja Tuan Long Pandak sedang leka/asyik bermain catur sewaktu istananya di serang oleh Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh sehingga baginda terbunuh.

Persoalan mengamalkan adat-istiadat raja-raja, misalnya Tuan Puteri Sa'dung memerintahkan para pembesar dan rakyatnya mengebumikan jenazah Sultan Abdullah di Tasik Padang Layang secara adat raja-raja mati/Raja Muda Seberang Pasir Mas Gual Tuk Deh memerintahkan rakyatnya dan rakyat di Kota Kubang Labu mengebumikan jenazah/mayat Raja Tuan Long Pandak secara adat raja-raja mati di kubur Kota Kubang Labu.

Persoalan peperangan di antara negeri Kelantan dengan Siam, misalnya Siam telah menyerang negeri Kelantan pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah/Tuan Puteri Sa'dung.

Persoalan beriman kepada Allah/berusaha menegakkan agama Islam, misalnya Tuan Puteri Sa'dung tidak mahu tujuh orang Siam kafir menghantarnya balik semula ke pangkuan Sultan Abdullah di Mahligai/Kelantan, tetapi baginda mahukan tujuh orang Islam yang menghantarnya


Watak dan Perwatakan

Encik Siti
Encik Siti merupakan raja perempuan yang memerintah negeri Kelantan yang dikenali sebagai Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Encik Siti tidak bersuami dan tidak mempunyai anak. Keadaan ini telah menyebabkan Encik Siti mengambil anak angkat iaitu anak kepada Raja Jembal yang akhirnya digelar Puteri Sa’dung.

Seorang yang adil
Encik Siti merupakan seorang pemerintah yang bersikap adil dan negeri itu sentiasa dalam keadaan yang aman damai. Rakyat amat suka terhadap sikap Encik Siti yang adil.

Seorang yang penyayang
Walaupun Puteri Sa’dung hanyalah anak angkat kepadanya namun Encik Siti tetap memberi layanan yang baik terhadap Puteri Sa’dung.

Tuan Puteri Sa'dung
Watak utama/protagonis

Anak raja Jembal dan merupakan anak angkat Encik Siti. Di samping itu, Puteri Sa’dung juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki rupa paras yang cantik yang tiada tandinganya pada masa itu. Puteri Sa’dung akhirnya berkahwin dengan anak raja Jembal iaitu Raja Abdullah yang akhirnya menjadi Sultan Abdullah.
Dibawa lari oleh Tuk Ca ke benua Siam. Hampir-hampir diperkosa oleh Raja Siam Baginda menjadi sultan di Bukit Marak. Baginda menghilangkan diri di Bukit Marak

Puteri Sa’dung mati dibunuh oleh Sultan Abdullah. Baginda dihidupkan semula oleh inang busu dan inang tua

Seorang yang mempunyai kuasa kesaktian, contoh Tuan Puteri Sa'dung menggunakan kesaktiannya memindahkan istana Kota Jelasin ke dalam Cerang Bahana ( Mahligai )

Seorang yang penyayang, contoh Tuan Puteri Sa'dung sangat sayang kepada suaminya Sultan Abdullah.

Seorang yang pendendam, contoh Tuan Puteri Sa'dung membalas dendam dengan membunuh balik suaminya Sultan Abdullah yang membunuhnya.

Seorang yang setia, contoh Tuan Puteri Sa'dung patuh/taat kepada suaminya Sultan Abdullah yang menyuruh ikut Tuk Ca/orang Siam pergi ke benua Siam.

Seorang yang tegas pendirian, contoh Tuan Puteri Sa'dung menolak dengan tegas permintaan Raja Siam yang mahu menjadikannya sebagai isteri/memperkosanya.

Seorang yang baik hati, contoh Tuan Puteri Sa'dung memenuhi permintaan Raja Ibrahim untuk menjadi sultan memerintah negeri Tanah Sekebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan menggantikan arwah abangnya Sultan Abdullah.

Seorang yang beriman kepada Allah/kuat pegangan agama Islam, contoh Tuan Puteri Sa'dung menolak permintaan Raja Siam yang hendak menjadikannya sebagai isteri kerana Raja Siam seorang kafir/bukan Islam/Tuan Puteri Sa'dung tidak mahu dihantar ke pangkuan suaminya Sultan Abdullah di negeri Kelantan/Mahligai oleh tujuh orang kafir Siam, tetapi mahu dihantar oleh tujuh orang Siam beragama Islam.

Seorang yang kuat mengamalkan adat-istiadat raja-raja, contoh Tuan Puteri Sa'dung memerintahkan para pembesar dan rakyatnya mengebumikan jenazah Sultan Abdullah secara adat raja-raja mati di Tasik Padang Layang.

Seorang yang bertanggungjawab/mengambil berat terhadap nasib rakyat yang malang/dizalimi, contoh Tuan Puteri Sa'dung mengambil berat terhadap aduan rakyat di Kota Teras yang mengatakan Sultan Ibrahim memerintah negeri dan rakyat dengan zalim.

Seorang yang adil. Hal ini dapat dilihat apabila Raja Ibrahim bertanyakan tentang pemerintah yang akan menggantikan abangnya yang telah meninggal dunia iaitu Sultan Abdullah. Atas rasa keadilan Puteri Sa’dung akhirnya melantik Raja Ibrahim menjadi pemerintah untuk menggantikan kakandanya Sultan Abdullah walaupun sultan Abdullah tidak berlaku adil kepada dirinya.

Raja/Sultan Abdullah
Watak pembantu/antagonis

Anak keturunan raja Jembal. Baginda menjadi anak angkat Encik Siti. Berkahwin dengan Tuan Puteri Sa'dung. Dilantik menjadi sultan negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung oleh Encik Siti dengan gelaran Sultan Abdullah, dan pemerintahannya berpusat di Kota Jelasin dan di Mahligai.

Beristeri muda. Mati dipancung/dibunuh balas oleh Tuan Puteri Sa'dung isterinya. Mayat dikuburkan di Tasik Padang Layang.

Seorang yang penyayang, contoh Sultan Abdullah sangat sayang kepada isterinya Tuan Puteri Sa'dung.

Seorang yang berani mempertahankan tanah air/negeri, contoh Sultan Abdullah berani berperang menentang orang-orang Siam yang menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Kelantan untuk merampas Tuan Puteri Sa'dung isterinya.

Seorang yang tidak menepati janji/mungkir janji, contoh Sultan Abdullah berkahwin lain selepas Tuan Puteri Sa'dung isterinya di bawa lari oleh orang-orang Siam ke benua Siam.

Seorang yang degil, contoh Sultan Abdullah berdegil tidak mahu keluar dari istana Mahligai bersama isteri mudanya walau pun disuruh oleh Tuan Puteri Sa'dung isteri pertamanya.

Seorang yang zalim atau tidak berperikemanusiaan, contoh Sultan Abdullah telah memancung/membunuh isterinya Tuan Puteri Sa'dung dengan kejam.

Seorang yang suka bermuafakat, contoh Sultan Abdullah telah bermuafakat dengan para pembesar dan rakyatnya cara untuk mengatasi serangan Siam.

Seorang yang patuh/taat/setia, contoh Sultan Abdullah patuh/taat kepada isterinya Tuan Puteri Sa'dung yang menyuruhnya pergi berunding dengan Tuk Ca Siam.

Seorang yang mementingkan diri. Raja Abdullah sanggup menghantar Puteri Sa’dung kepada Raja Siam demi untuk keamanan pemerintahanya tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi oleh Puteri Sa’dung.

Raja Siam
Raja siam merupakan pemerintah di negeri Siam. Beliau telah jatuh cinta dengan Puteri Sa’dung dan mengarahkan pengawalnya untuk mengambil Puteri Sa’dung dari Raja Abdullah. Raja Siam juga telah terkena penyakit kayap akibat diludah oleh Puteri Sa’dung.

Seorang pemerintah yang kuat dan berkuasa. Raja Siam merupakan seorang pemerintah yang kuat dan berkuasa. Hal ini terbukti apabila banyak negara dan kuasa raja takluk dibawah kekuasaanya.

Seorang yang degil. Sikap degil Raja Siam ini jelass terbukti apabila dia enggan mendengar alasan Puteri Sa’dung supaya tidak berkahwin dengannya kerana puteri Sa’dung merupakan isteri kepada Raja Abdullah. Akibat daripada sikap degil itu Raja Siam akhirnya terkena penyakit kayap.

Raja Ibrahim
Raja Ibrahim merupakan adik kepada Sultan Abdullah. Beliau akhirnya dilantik oleh Puteri Sa’dung menjadi penganti kepada Sultan Abdullah yang telah meninggal dunia.

Seorang yang menghormati pemerintah. Raja Ibrahim berjumpa dengan Puteri Sa’dung untuk bertanyakan hal berkaitan dengan kawasan yang sebelumnya di bawah pemerintahan Sultan Abdullah yang kini tidak mempunyai pemerintah.

Seorang pemerintah yang zalim Raja Ibrahim merupakan seorang pemerintah yang zalim. Keadaan ini telah menyebabkan ramai rakyatnya menjadi mangsa dan tidak berpuas hati atas sikapnya.


Plot

Permulaan
Memperkenalkan pemerintah negeri Kelantan iaitu seorang perempuan yang digelar sebagai Encik Siti. Encik Siti tidak pernah berkahwin. Nama asal negeri Kelantan pada masa tersebut ialah Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Setelah lama memerintah, Encik Siti teringin mempunyai anak lalu mengambil anak Raja Jembal iaitu Tuan Puteri Sa’dung untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Perkembangan
Tuan Puteri Sa’dung akhirnya membesar menjadi seorang gadis yang sangat cantik dan digilai oleh pemuda-pemuda. Encik Siti terfikir untuk mencari pasangan hidup Puteri Sa’dung dan akhirnya mengahwinkan Puteri Sa’dung dengan Raja Abdullah yang juga merupakan anak Raja Jembal. Raja Abdullah bergelar Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung tinggal bersama di negeri Tidak lama kemudian, Encik Siti menyuruh Sultan Abdullah membina kota lain. Kota tersebut diberi nama sebagai Kota Jelasin. Encik Siti pula berpindah tinggal di Gunung Ayam. Sultan Abdullah menjadi pemerintah negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

Raja Siam berkenaan dengan Puteri Sa’dung lalu memerintah menteri, hulubalang-hulubalangnya serta Tuk Ca iaitu seorang bomoh untuk menyerang negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung untuk mengambil Puteri Sa’dung. Orang-orang suruhan Raja Siam menyampaikan tujuan kedatangan mereka adalah untuk mengambil Puteri Sa’dung tetapi dimarahi oleh Sultan Abdullah. Hal ini menyebabkan orang-orang suruhan Raja Siam menyerang Kota Jelasin tetapi tidak berjaya mengalahkan askar-askar negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

Namun begitu, penduduk negeri itu telah ditimpa kelaparan menyebabkan keadaan menjadi kucar-kacir. Kesempatan itu digunakan oleh orang-orang suruhan Raja Siam untuk mengepung Kota Jelasin. Puteri Sa’dung menggunakan kesaktiannya supaya kota dan mahligai istana ghaib daripada pandangan orang-orang suruhan Siam. Kota dan mahligai istana tersebut terangkat dan jatuh di dalam hutan dan tempat tersebut diberi nama Mahligai.

Apabila orang-orang suruhan Raja Siam melihat kota dan mahligai istana Sulatan Abdullah dan Puteri Sa’dung ghaib, mereka memberitahu perkara tersebut kepada Tuk Ca yang merupakan seorang bomoh. Melalui kepandaian Tuk Ca, mereka akhirnya dapat mengesan tempat Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah bersembunyi lantas mengepung kawasan tersebut. Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung berbincang dan Sultan Abdullah pergi mendapatkan Tuk Ca untuk bertanyakan tujuan mereka yang sebenarnya.

Tuk Ca menyatakan tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan Puteri Sa’dung untuk diberikan kepada Raja Siam. Sultan Abdullah menyuruh Puteri Sa’dung mengikut permintaan Raja Siam untuk menjamin keselamatan negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Puteri Sa’dung akhirnya akur dan mengikut orang-orang suruhan Raja Siam kembali ke Siam.

Sultan Abdullah pula berkahwin lagi dengan anak Raja Jembal. Raja Siam mahu mengahwini Puteri Sa’dung tapi Puteri Sa’dung tidak mahu kerana dia masih isteri Sultan Abdullah. Walau bagaimanapun, Raja Siam berkelakuan tidak senonoh dengan Puteri Sa’dung. Puteri Sa’dung lantas meludah dada Raja Siam.

Tidak berapa lama kemudian dada Raja Siam terkena penyakit kayap dan tidak dapat disembuhkan malah bertambah teruk walaupun sudah banyak taib, bomoh dan nujum yang merawatnya. Raja Siam bertanyakan masalah tersebut kepada Tuk Ca dan Tuk Ca menyuruh Raja Siam melepaskan Puteri Sa’dung kerana hanya itulah penyembuh kepada penyakitnya itu. Puteri Sa’dung akhirnya dilepaskan dengan diiringi oleh tujuh orang lelaki yang beragama Islam dengan sebuah perahu.

Raja Siam akhirnya sembuh daripada penyakitnya selepas melepaskan Puteri Sa’dung. Sepanjang perjalanan ke negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung, pengiring-pengiring Puteri Sa’dung meninggal dunia seorang demi seorang sehinggalah tinggal tiga orang sahaja yang mengiringinya sampai ke tempat Sultan Abdullah. Ketiga-tiga orang Siam yang beragama Islam itu pulang ke Siam untuk menceritakan yang Puteri Sa’dung sudah selamat sampai di negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

Klimaks
Kedatangan Puteri Sa’dung memeranjatkan Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung juga tidak setuju dengan perbuatan Sultan Abdullah yang berkahwin lain dan menyuruh Sultan Abdullah meninggalkan istana mahligai kepunyaannya. Namun, Sultan Abdullah tidak mahu berpindah. Hal ini menyebabkan kedua-duanya bergaduh. Sultan Abdullah memancung leher Puteri Sa’dung sehingga putus dua menyebabkan Puteri Sa’dung mati.

Seorang inang pengasuh Puteri Sa’dung teringat kata-kata Puteri Sa’dung iaitu sekiranya dia mati berdarah, jembul di dalam sanggulnya yang berisi air mawar akan menghidupkannya kembali. Lantas inang pengasuh itupun mengambil air mawar dalam jembul Puteri Sa’dung dan mencelupkan kapas di bahagian leher yang cedera. Tidak lama kemudian Puteri Sa’dung hidup kembali. Puteri Sa’dung menuntut bela dan membunuh Sultan Abdullah.

Peleraian
Puteri Sa’dung menyerahkan istana mahligai negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kepada isteri Sultan Abdullah. Puteri Sa’dung bersama-sama dengan inang-inang pengasuh dan rakyatnya berpindah ke Bukit Marak. Adik Sultan Abdullah iaitu Raja Ibrahim berjumpa Puteri Sa’dung menanyakan siapa yang menjadi raja di negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana negeri itu tidak beraja dan huru-hara. Puteri Sa’dung melantik Raja Ibrahim menjadi pemerintah di negeri tersebut dan membuat satu kota bernama Kota Teras.

Sultan Ibrahim memerintah dengan zalim sehingga rakyatnya mengadu hal tersebut kepada Puteri Sa’dung. Puteri Sa’dung membuat sumpahan dan menghilangkan diri menyebabkan Raja-raja Jembal jatuh miskin dan negeri tersebut tidak lagi beraja. Selepas itu muncul pula beberapa raja seperti Datu yang tinggal di Pekalan Datu, Raja Udang yang tinggal di Kelucar dan Tuan Long Pandak.

Di negeri Kebayat Nenggara pula menceritakan kemusnahan negeri itu yang diserang oleh China. Raja negeri tersebut mempunyai dua orang anak iaitu Tuan Kembang Bunga dan Long Sulaiman. Tuan Puteri Kembang Bunga dan adiknya Long Sulaiman melarikan diri bersama-sama dengan inang pengasuh lalu sampai di negeri Pattani dan menjadi anak angkat orang besar negeri tersebut.

Setelah besar, Long Sulaiman dikahwinkan dengan anak perempuan orang besar negeri itu. Tuan Puteri Kembang Bunga pula menjadi kegilaan anak-anak raja negeri tersebut menyebabkan puteri itu membunuh diri. Long Sulaiman pula merantau meninggalkan negeri Pattani kerana sedih dengan pemergian kakaknya dan meninggalkan anaknya Long Junus dan isterinya. Raja negeri Pattani iaitu Nang Cayang mengambil Long Junus menjadi anak angkat namun apabila raja tersebut sakit, seorang ahli nujum telah menyatakan bahawa Long Junus membawa nasib buruk kepada raja tersebut.

Long Junus akhirnya dihalau keluar daripada negeri Pattani lalu dia merantau dan sampai di negeri Kelantan. Long Junus menjadi anak angkat Raja Kubang Labu. Di negeri Reman pula, Raja Reman menghalau anaknya iaitu Long Jaafar. Long Jaafar akhirnya sampai di negeri Kelantan dan menjadi anak angkat kepada Raja Kubang Labu.

Long Jaafar telah mengeluarkan kain yang dibawanya dan isteri raja terlihat kain tersebut dan mahu mengambilnya sebagai contoh untuk menenun kain namun apabila Raja Kubang Labu terlihat kain tersebut, baginda terus menikan isterinya tanpa menyiasat perkara yang sebenar. Mayat isterinya dihantar kembali kepada Raja Pasir Emas Legeh iaitu abang kepada isteri Raja Kubang Labu. Raja Pasir Emas Legeh sangat murka dan menyerang negeri Kubang Labu dan membunuh Raja Kubang Labu yang begitu asyik bermain catur.


Teknik Plot

Dialog
“Adakah tiada Encik Siti itu masa ia tinggal itu beri satu kesaktian kepada Tuan Puteri Sa’dung itu kerana Tuan Puteri Sa’dung itu anak angkat Encik Siti”?
(m/s 128)

Pemerian
Pengarang menceritakan secara terperinci kematian pengiring-pengiring Puteri Sa’dung, perjalanan dari satu tempat ke satu tempat dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut.
“Tersebut, kisah Tuan Puteri Sa’dung itu sampai di Kuala Kemayang itu. Maka orang tujuh itu pun matilah, seorang...”(hal 126-127)

Saspens
Berlaku pertengkaran antara Sultan Abdullah dengan Puteri Sa’dung yang menyebabkan Puteri Sa’dung mati dipancung oleh Sultan Abdullah. Pembaca tertanya-tanya sama ada Puteri Sa’dung akan hidup kembali ataupun tidak. (hal 128-129).

Kejutan
Antara contoh unsur kejutan dalam Hikayat Seri Kelantan ialah Puteri Sa’dung tiba-tiba hidup kembali setelah disapukan dengan air mawar. Puteri Sa’dung juga menuntut bela dengan membunuh Sultan Abdullah. (hal 129-131)

Konflik
Pengarang juga telah memasukkan unsur konflik dalam Hikayat Seri Kelantan. Antara contoh penggunaan unsur konflik ialah konflik antara Sultan Abdullah dengan Puteri Sa’dung yang membawa kepada pertengkaran dan menyebabkan Sultan Abdullah membunuh Puteri Sa’dung. (hal. 127-128)
Monolog dalaman
Penggunaan teknik monolog dalaman dapat dilihat dalam watak Puteri Sa’dung yang mendapat idea untuk menyuruh suaminya Sultan Abdullah untuk berjumpa dengan Tuk Ca bagi mengetahui tujuan sebenar mereka menyerang dan memburu Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah. (hal.122)


Latar

Latar Tempat
negeri Kelantan iaitu terdapat seorang perempuan yang bernama Encik Siti. Encik Sitilah yang menjadi raja di situ dan memerintah kerajaan yang besar.

Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung ialah nama negeri di mana Encik Siti menjadi raja sangat lama di situ, menjadi pemerintah yang adil dan mempunyai rakyat yang ramai.

Negeri Jembal. Di negeri Jembal merupakan tempat kelahiran Tuan Puteri Sa’dung iaitu anak raja Jembal yang telah menjadi anak angkat kepada Encik Siti kerana baginda tidak berkahwin.

Kota Jelasin. Kota Jelasin merupakan tempat Sultan Abdullah menjadi raja serta tempat baginda dan Tuan Puteri Sa’dung tinggal setelah berpindah dari negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

Negeri Gunung Ayam. Negeri Gunung Ayam merupakan tempat tinggal Encik Siti setelah berpindah dari negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung bersama dengan rakyatnya. Baginda telah menjadi raja di negeri Gunung Ayam.

Negeri Siam. Di negeri Siam terdapat seorang raja yang ingin kepada Tuan Puteri Sa’dung. Baginda memerintahkan kepada rakyatnya supaya pergi berperang di Kota Jelasin dan membawa Tuan Puteri Sa’dung kepadanya walaupun tahu Tuan Puteri Sa’dung sudah bersuami.

Cerang Bahana. Cerang Bahana merupakan hutan yang besar yang telah dihuni oleh Tuan Puteri Sa’dung, Sultan Abdullah dan semua rakyatnya dengan menggunakan kesaktian yang ada pada Tuan Puteri Sa’dung.

Negeri Mahligai. Negeri Mahligai merupakan tempat tinggal Tuan Puteri Sa’dung, suaminya serta rakyatnya di dalam hutan iaitu di Cerang Bahana. Baginda telah menyuruh rakyatnya mendirikan sebuah negeri di situ.

Kuala Kemayang. Kuala Kemayang ialah tempat yang dilalui oleh Tuan Puteri Sa’dung bersama dengan orang Islam dari Siam yang menghantarnya pulang ke negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana dekat dengan istananya.

Tanjung Jerin. Tanjung Jerin merupakan tempat perkuburan seorang Islam dari Siam yang telah meninggal dunia dan dikuburkan di situ lalu digelar orang sebagai Syeikh Tanjung Jerin.

Pekalang Gaung. Di Pekalang Gaung juga terdapat seorang Islam dari Siam yang telah meninggal dunia dan dikuburkan di situ lalu digelar orang dengan nama panggilan Datuk Padang Duri sehingga sekarang.

Bukit Marak. Bukit Marak merupakan tempat tinggal Tuan Puteri Sa’dung selama tujuh hari dan seorang Islam dari Siam yang menghantar baginda telah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Bukit Marak telah menjadi tempat tinggal Tuan Puteri Sa’dung bersama dengan rakyatnya setelah berpindah dari istana baginda.

Tambak. Tambak merupakan tempat orang Islam dari Siam telah dikuburkan dan digelar orang dengan panggilan Datuk Tambak sehingga sekarang.

Tasik Padang Layang. Tasik Padang Layang merupakan tempat di mana Sultan Abdullah dikebumikan setelah baginda telah dipenggal lehernya oleh Tuan Puteri Sa’dung yang telah membalas dendam di atas perbuatan Sultan Abdullah yang telah memancung lahernya dengan pedang setelah berlaku pertelingkahan antara mereka.

Kota Teras iaitu kota yang telah dibina oleh rakyat Sultan Ibrahim mengikut perintah baginda.

Pengkalan Datu. Pengkalan Datu telah diperintahkan oleh seorang Datu yang hanya memerintah negeri tersebut selama tiga tahun kemudian jatuh sakit dan dikebumikan di situ.

Kelucar iaitu negeri di mana Raja Udang telah dikebumikan lalu digelar orang sebagai Tuk Raja Udang.

Negeri Lenggeh iaitu terdapat seorang raja yang bernama Tuan Long Pandak yang merupakan ipar kepada Raja Pasir Emas Seberang Tuk Deh.

Kubang Labu. Kubang Labu ialah kota yang telah dibina oleh Tuan Long Pandak.

Kok Keranji pula ialah tempat di mana Raja Muda kepada Tuan Long Pandak tinggal.

Kebayat Nenggara iaitu negeri yang telah diserang oleh negeri China.

Negeri China iaitu raja China yang mempunyai ramai tentera yang telah berjaya menakluk negeri Kebayat Nenggara.

Negeri Pattani iaitu tempat di mana Tuan Puteri Kembang Bunga telah sampai dengan menaiki jong kecil bersama pengikutnya.

Kuala Lama iaitu tempat perlabuhan Tuan Puteri Kembang Bunga di negeri Pattani.

Kuala Nama iaitu tempat di mana Tuan Puteri Kembang Bunga membunuh diri di dalam jong kecil kerana berasa susah hati apabila ramai anak raja yang suka kepadanya. Negeri Reman iaitu raja negeri Reman telah menghalau putera baginda yang bernama Long Jaafar dalam negeri itu kerana tidak bagi Long Jaafar tinggal dengan baginda.


Latar Masa

Pada zaman dahulu terdapat seorang raja perempuan yang memerintah negeri Kelantan yang terlalu besar kerajaannya iaitu Encik Siti.

Masa empat puluh hari empat puluh malam iaitu tarikh yang ditetapkan oleh Encik Siti untuk mengahwinkan Raja Abdullah dengan Tuan Puteri Sa’dung.

Hari esok iaitu utusan dari negeri Siam bermuafakat untuk menyerang Kota Jelasin pada hari esok setelah dihalau oleh Sultan Abdullah kerana raja Siam ingin mengambil Tuan Puteri Sa’dung.

Waktuu malam iaitu sewaktu Kota Parit, istana dan rakyat Tuan Puteri Sa’dung telah ghaib ke dalam hutan iaitu Cerang Bahana pada waktu malam.

Beberapa hari yang lalu iaitu setelah Tuan Puteri Sa’dung menyembur serampah sirih ke dada raja Siam beberapa hari yang lalu ianya telah menyebabkan raja Siam mendapat penyakit kayap yang teramat sakit.

Tujuh hari iaitu semasa Tuan Puteri Sa’dung sampai ke Bukit Marak, baginda tinggal di sana selama tujuh hari lalu seorang Islam dari negeri Siam yang menghantar baginda pulang ke Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung telah jatuh sakit dan meninggal dunia di situ. Selain itu, latar masa yang berikutnya ialah pada satu hari iaitu raja negeri Reman sangat marah kepada putera baginda lalu menghalau putera baginda yang bernama Long Jaafar keluar dari negeri Reman kerana tidak mahu tinggal bersamanya.

Latar Masyarakat
Masyarakat istana. Encik Siti merupakan masyarakat istana dan baginda merupakan pemerintah bagi negeri Kelantan. Di samping itu juga, Tuan Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah juga merupakan masyarakat dalam golongan istana di Kota Jelasin yang memerintah di negeri tersebut.

Masyarakat yang bekerjasama. Sultan Abdullah berbincang dengan para pengikutnya untuk membina sebuah istana yang lain apabila sudah berkahwin dengan Tuan Puteri Sa’dung atas perintah Encik Siti. Rakyat telah bekerjasama dalam mendirikan istana untuk diduduki oleh Tuan Puteri Sa’dung bersama dengan Sultan Abdullah lalu diberi nama sebagai Kota Jelasin.

Masyarakat yang setia. Tuan Puteri Sa’dung. Walaupun baginda telah dibawa ke negeri Siam kerana raja Siam sangat menginginkan baginda, namun baginda tetap setia terhadap Sultan Abdullah kerana baginda gagal ditiduri oleh raja Siam malah telah mengakibatkan raja Siam mendapat penyakit kayap yang sangat teruk setelah disembur serampah sirih ke dada baginda oleh Tuan Puteri Sa’dung.

Masyarakat yang penyayang. Encik Siti tidak pernah berkahwin dan baginda telah mengambil anak angkat dari negeri Jembal yang merupakan anak raja di situ. Nama anak raja itu ialah Tuan Puteri Sa’dung. Baginda telah memelihara Tuan Puteri Sa’dung dengan sepenuh kasih sayang sehingga Tuan Puteri Sa’dung meningkat dewasa.

Masyarakat yang kejam dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Sultan Abdullah yang telah terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara iaitu baginda telah memancung leher Tuan Puteri Sa’dung ketika berlaku pertelingkahan antara mereka kerana baginda tidak mahu berpindah ke tempat lain bersama dengan isteri kedua baginda.

Masyarakat pendendam. Tuan Puteri Sa’dung berdendam dengan Sultan Abdullah kerana baginda telah memancung leher Tuan Puteri Sa’dung. Apabila Tuan Puteri Sa’dung telah kembali pulih seperti sedia kala atas bantuan pengikutnya, baginda telah bersemuka dengan Sultan Abdullah untuk membalas dendam atas perbuatannya terhadap baginda. Tuan Puteri Sa’dung telah memenggal leher Sultan Abdullah.

Masyarakat yang percaya kepada ramalan ahli nujum. Contohnya, Raja Siam yang mempercayai ramalan ahli nujum dan menyuruhnya mencari Tuan Puteri Sa’dung yang telah ghaib bersama dengan istana dan rakyatnya.


Gaya Bahasa
Gaya bahasa asing iaitu Bahasa Arab. Bahasa Arab yang digunakan oleh pengarang adalah bagi menggambarkan masyarakat tersebut mengamalkan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya
Bismillahirrahmanirrahim wabihi nasta ‘inu billahi Taala. (Halaman 115)

Inversi merujuk kepada gaya bahasa yang menyimpang daripada kebiasaan atau dengan kata lain gaya bahasa yang terbalik. Buktinya dapat dilihat pada
“Esok harilah kita langgar Kota Jelasin itu kerana hari pun sudah malam.” (Halaman 119)

Kata ganda.
Maka tatkala cukuplah hari, sampai ketika yang baik itu, maka dikahwinlah Raja Abdullah itu dengan Tuan Puteri Sa’dung itu, betapa adat raja-raja yang besar-besar pada masa itu. (Halaman 117)

Pengulangan. Contohnya :
Maka dipelihara berapa lama, makin sehari makin pula elok parasnya, tiada dibandingkan pada masa itu lagi. (Halaman 117)

Ayat pendek. Contoh penggunaan ayat pendek yang terdapat dalam hikayat ini ialah
Maka malam pun cerah. (Halaman 120)
Maka berfikirlah pula. (Halaman 123)

Simpulan bahasa.
Maka lalu Sultan Abdullah pun berkatalah kepada isterinya itu, ”Ya adindaku tuan, buah hati cahaya mata kakanda, baiklah adinda pergi dahulu menurut kehendak raja Siam itu, kerana jikalau kita bertahan sebagaimana pun tiadalah tahan. (Hal 122)

Metafora.
Jikalau ditolong oleh Tuhan kita, nescaya lepas surat kejahatan di atas tubuh adinda ini.”(Halaman 123)

Anafora.
Maka Tuan Puteri Sa’dung itu tiada mahu. Maka tiada pakai oleh raja Siam. Maka raja Siam pun hendak penggang lagi, lalu disembur oleh Tuan Puteri Sa’dung dengan serampah pinangnya, lalu kenalah dada raja Siam itu. (Hal 124)

Simile
Maka di dalam berkata-kata itu muka Tuan Puteri Sa’dung merah seperti bunga raya kerana sangatlah marahnya seperti ular mengeluarkan bisanya, sambil dipegang hulu pedang. (Hal. 130)

Bahasa perlambangan.
Maka di dalam berkata-kata itu muka Tuan Puteri Sa’dung merah seperti bunga raya kerana sangatlah marahnya seperti ular mengeluarkan bisanya, sambil dipegang hulu pedang. (Halaman 130)
Penggunaan perkatan ’bunga raya’ melambangkan perasaan yang sedang marah.

Personifikasi. Contohnya :
Maka gajah kenaikan Tuan Puteri Sa’dung langsung naik ke atas Bukit Marak itu selalu dan gajah inang yang busu itu naik ditambat di pinggang Bukit Marak itu. (Halaman 132)

Dialek Kelantan.
Maka lalu orang pun beroyat. (hal 139)


Nilai
Kasih sayang. Nilai kasih sayang ini diterapkan melalui watak Puteri Sa’dung dan Raja Abdullah yang saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Nilai kasih sayang ini juga dilihat melalui watak Raja Abdullah yang begitu menyayangi isterinya.
Maka sultan Abdullah pun sangatlah marahnya kerana Tuan Puteri Sa’dung itu isterinya. Maka lalu Sultan Abdullah pun berkata, “ Aku tiada maun beri kepada rajamu itu kerana Tuan Puteri Sa’dung itu isteri aku”.

Ketaatan. Sikap ayah dan ibu kandung yang sanggup memberikan anaknya iaitu Puteri Sa’dung untuk dijadikan anak angkat oleh Encik Siti yang merupakan pemerintah di tempat tersebut.
Maka ayahanda dan bonda pun tiada daya upayalah “ Tidak hendak diberipun kerana ia raja besar lagi pula memerintah negeri tiada patut kita tiada beri kepadanya.”
Kerjasama. Rakyat dibawah permerintahan Raja Abdullah yang sentiasa berkerjasama membantu raja Abdullah dan Puteri Sa’dung untuk menghalang serangan musuh daripada Siam terhadap tempat mereka. Nilai kerjasama ini dapat kita lihat melalui ungkapan berikut,
“Maka berjumpalah antara kedua belah pihak itu,.maka berperanglah keduanya itu masing-masing ketumbukan”

Keadilan. Puteri Sa’dung yang berlaku adil terhadap Raja Ibrahim dengan memberikan kuasa pemerintahan terhadap Kota Jasin yang sebelumnya diperintah oleh Sultan Abdullah.

Kebijaksanaan. Tuan Puteri Kembang Bunga yang membuat keputusan untuk melarikan diri bagi mengelakkan dirinya ditangkap oleh Orang Cina Kafir.

Bertanggungjawab. Tanggungjawab Inang Busu dan Inang Tua menghidupkan kembali Puteri Sa’dung yang telah mati dipancung oleh Sultan Abdullah dengan menggunakan jembul yang berisi air Mawar di dalam sanggul Puteri tersebut.
Maka sekalian inang dayang pengasuh itu takut mendengar sabda Sultan Abdullah lalu inang pengasuh yang ramai-ramai duduk bermesyuarat sekalian.” (hal 128)


Pengajaran
Kita tidak seharusnya bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir baik buruknya. Misalnya melalui watak Raja Siam, akibat tindakan yang terlalu mengikut perasaan Raja Siam sanggup berperang dengan menyerang Kota Jasin untuk mendapatkan Puteri Sa’dung yang merupakan isteri kepada Sultan Abdullah.

Kita hendaklah sentiasa bersikap adil dalam membuat sesuatu keputusan. Puteri Sa’dung dalam membuat keputusan ketika Raja Ibrahim bertanyakan tentang Kota Jelasin yang tidak mempunyai raja setelah Sultan Abdullah mangkat. Atas rasa keadilan Puteri Sa’dung akhirnya melantik Raja Ibrahim sebagai penganti kakandanya Sultan Abdullah menjadi pemerintah di kawasan tersebut.

Kita janganlah mengambil hak orang lain. Raja Siam yang cuba merampas Puteri Sa’dung menjadi hak miliknya walhal dalam masa yang sama Puteri Sa’dung merupakan isteri kepada Sultan Abdullah.

Hendaklah sentiasa tolong-menolong antara satu dengan yang lain dalam melaksanakan sesuatu perkerjaan. Inang Busu dan Inang Tua yang sangat bertanggungjawab terhadap Puteri Sa’dung. Mereka berusaha untuk menghidupkan kembali Puteri Sa’dung yang telah dipenggal oleh Sultan Abdullah dengan menggunakan air mawar yang terdapat di dalam sanggul tuan puteri

Kita juga hendaklah sentiasa berkerjasama antara satu dengan yang lain. Sikap kerjasama ini juga dapat kita lihat melalui rakyat yang bernaung dibawah pemerintahan Sultan Abdullah dan Puteri Sa’dung, mereka saling berkerjasama membantu Sultan Abdullah terutamanya ketika serangan Siam untuk mendapatkan Puteri Sa’dung atas perintah Raja Siam..


Ciri-ciri/unsur-unsur sejarah dalam Hikayat Seri Kelantan
Ada watak/tokoh sejarah, contoh: Encik Siti/Tuan Puteri Sa'dung/Sultan Abdullah/Sultan Ibrahim/dll.

Ada peristiwa bersejarah, contoh: Siam menyerang negeri Kelantan/Sultan Abdullah membunuh Tuan Puteri Sa'dung/Tuan Puteri Sa'dung membunuh Sultan Abdullah/Raja Siam membawa lari Tuan Puteri Sa'dung/Raja Muda Pasir Mas Seberang Tuk Deh menyerang dan membunuh Tuan Long Pandak ( Raja Kubang Labu ) di Kota Kubang Labu/dll.

Latar masa/zaman bersejarah, contoh: Zaman pemerintahan Encik Siti/Tuan Puteri Sa'dung/Sultan Abdullah/Sultan Ibrahim/Tuan Long Pandak di negeri Kelantan/dll.

Latar tempat bersejarah, contoh: Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung/Mahligai/Kota Kubang Labu/Kota Jelasin/Bukit Marak/dll.

Sistem pemerintahan beraja/fuedal, contoh: Sultan Abdullah memerintah negeri Kelantan ( Kota Jelasin)/Sultan Ibrahim memerintah negeri Kelantan ( Di Jembal/Kota Teras ).

Ada jawatan pembesar, contoh: Raja Muda Kok Keranji/Raja Muda Pasir Mas Seberang Tuk Deh/Orang Besar Datuk Long Yunus/mendahari/menteri/pegawai/hulubalang/pahlawan dll.

Ada adat-istiadat bersejarah, contoh: Encik Siti mengahwinkan Tuan Puteri Sa'dung dengan Raja Abdullah secara adat raja-raja besar/Tuan Puteri Sa'dung memerintahkan rakyat Kelantan mengebumikan jenazah Sultan Abdullah secara adat kebesaran raja-raja di Tasik Padang Layang.

Ada peralatan sejarah, contoh: perahu/gajah kenaikan Tuan Puteri Sa'dung/Keris/istana Kota Jelasin/kain kuning/kain cukin/jembul berisi air mawar/dll.


Unsur Kesaktian atau Luar Biasa dalam Hikayat Seri Kelantan
Orang Siam tewas/kalah berperang dengan rakyat negeri Kelantan/Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana kesaktian Tuan Puteri Sa'dung.

Jampi Tuan Puteri Sa'dung menyebabkan Kota Jelasin dan rakyat ghaib dan jatuh ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai.

Raja Siam naik penyakit kayap di dada yang terlalu sakit kerana terkena semburan serampah pinang oleh Tuan Puteri Sa'dung.

Penyakit kayap di dada Raja Siam sembuh semula selepas Tuan Puteri Sa'dung dikeluarkan dari istana dan dihantar balik ke pangkuan suaminya Sultan Abdullah di Mahligai/negeri Kelantan.

Air mawar dalam jembul di sanggul Tuan Puteri Sa'dung yang disapu oleh inang busu ke mata luka di leher dan seluruh tubuh menyebabkan Tuan Puteri Sa'dung yang telah mati dapat hidup seperti sediakala.

Tuan Puteri Sa'dung mengaibkan/menghilang diri di gua Bukit Marak.
Keturunan Sultan Ibrahim dari raja Jembal jatuh dan tidak naik lagi sebagai pemerintah/sultan di negeri Kelantan kerana terkena sumpah/kemurkaan Tuan Puteri Sa'dung.

Wangkang di Kuala Nama tenggelam selepas Tuan Puteri Kembang Bunga membunuh diri di dalamnya.
Raja Nang Cayang ( Raja negeri Pattani ) jatuh sakit teruk kerana memelihara Long Yunus ( anak angkat ) di dalam istananya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena