Shaari isa

Berbakti dengan menulis
MERAN ABU BAKAR


Beliau menulis bukan kerana nama mahupun mahu meraih anugerah, sebaliknya kerana minat dan kecintaan yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan. Itu yang boleh dijelaskan mengenai Dr. Shaari Isa yang sehingga setakat ini telah menulis lebih 60 buah buku akademik, novel, artikel perakaunan dan kemasyarakatan biarpun telah lama memasuki fasa persaraan.

Bertemu dengan penulis yang telah berusia 80 tahun ini di rumahnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, yang didiami bersama-sama isteri tercinta, Wan Zaliha Wan Abdullah, 74, dan seorang cucu lelaki berusia 27 tahun, Shaari nyata masih gagah dan aktif menulis.

Di hadapan beliau ialah sebuah komputer riba dan kedudukan kerusinya menghadap ke televisyen yang sedang menyiarkan rancangan sukan tenis.

Menonton rancangan sukan dan berita paling diminati oleh Shaari kerana katanya, ia menyegarkan minda untuk terus berkarya.

Sambil tangannya pantas memetik kekunci di komputer, matanya sesekali memandang ke televisyen.
Memulakan bual bicara, menurut Shaari, minat menulis mulai tersemai dalam jiwa sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Walaupun hanya mengikut kawan ke sekolah dan bukan dihantar oleh bapanya secara rasmi, beliau cepat faham apa yang dikatakan guru sehingga beliau bijak menulis dan membaca.
''Karangan saya yang pertama semasa di sekolah rendah ialah mengenai basikal. Di sekolah menengah saya menulis lagi esei dalam bahasa Inggeris.
''Tamat sekolah menengah saya menyambung pelajaran dalam bidang perguruan selama dua tahun di Kolej Perguruan Kirkby, Liverpool, England.
''Minat dalam penulisan semakin bertambah apabila saya berkhidmat di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim selepas tamat kursus di England.
''Ketika itu, kurikulum maktab sedang dalam proses peningkatan selaras dengan kepentingan Laporan Razak. Pelajar (MPSI) dikehendaki lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sebagai kelulusan untuk memasuki kursus perguruan selaras dengan maktab-maktab perguruan lain dalam negara.
"Saya ditugaskan mengajar mata pelajaran Sains sebab itu adalah mata pelajaran khusus yang saya pelajari di Maktab Kirkby,'' kata Shaari yang berasal dari Bedong, Kedah.

Tambah beliau yang merupakan orang yang pertama mengajar mata pelajaran Sains dalam bahasa Melayu, masalah utama yang dihadapi ialah ketiadaan sebarang bahan bacaan dalam bahasa Melayu.
Jelas Shaari, dengan bantuan dua orang tokoh bahasa Melayu iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ali dan Allahyarham Cikgu Wahi Long, beliau berjaya menyediakan bahan pembelajaran sains dalam bahasa Melayu.

Nota-nota ini katanya, kemudian dijadikan buku teks sains dalam bahasa Melayu dengan judul-judul Sains Tingkatan Umum Tingkatan 1, Sains Umum Tingkatan 2, Sains Umum Tingkatan 3 dan Mengajar Sains Permulaan di Sekolah Rendah.
Shaari kemudian melanjutkan pengajian ke New Zealand dan pulang dengan Ijazah Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan.

Beliau ditempatkan di Kementerian Pelajaran bagi merancang kursus-kursus perdagangan dan perakaunan di sekolah vokasional, sekolah teknik dan politeknik
''Saya suka menulis buku berunsurkan pendidikan bagi meningkatkan pemikiran manusia kerana pemikiran yang kreatif menjurus kepada hidup yang bahagia,'' ujar bapa kepada seorang anak lelaki dan datuk kepada tiga orang cucu ini.

Selain daripada buku akademik, Shaari juga telah menghasilkan buku-buku kreatif.
Kini dalam usia persaraannya, Shaari terus menulis dan menghasilkan empat buah buku yang menumpu kepada masalah sosial orang Melayu dan dua buah novel Inggeris.
Selain daripada itu terdapat tiga buah buku lagi yang sedang dalam proses penerbitan, iaitu Vendetta and Abuse of Power, Perutusan dari Penjara dan English: A Quasi-Natural Approach.
Novel beliau Lepaskan Aku Ke Laut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia dan diadaptasi untuk drama RTM.

''Saya akan terus menulis, tak kisahlah berapa banyak selagi saya termampu. Novel saya yang terbaru yang akan diterbitkan tahun depan ialah mengenai Perang Dunia ke II,'' kata Shaari yang begitu tegas menjaga kesihatan dan sihat tanpa darah tinggi atau kencing manis.

Utusan Malaysia



Lepaskan Kembali Aku Ke Laut - drama penuh simbolik

MENGADAPTASI novel tulisan Dr Shaari Isa, Lepaskan Kembali Aku Ke Laut bukan sekadar untuk menghiburkan penonton sahaja.

Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sebenarnya memiliki mesej patriotik yang mampu menyedar dan memberitahu penonton peristiwa-peristiwa pra-kemerdekaan.

Merupakan kerjasama keenam antara RTM dan DBP, drama yang menampilkan lakonan Janet Khoo dan ramai lagi ini akan menemui penonton RTM1 pada pukul 10.30 malam ini, setiap Isnin hingga Khamis.

“Pembikinan drama ini juga merupakan usaha untuk mempromosikan karya sastera terutamanya novel menggunakan medium media elektronik,” kata Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid pada sidang media mengenai drama Lepaskan Kembali Aku Ke Laut.

Dibikin untuk menggantikan drama Dinasti Bilut, proses penyuntingan Lepaskan Kembali Aku Ke Laut bagaimanapun masih dijalankan.

“Penggambaran sebenarnya sudah siap pada Mei tahun lalu dan sekarang drama ini tengah melalui proses suntingan. Kami terpaksa memendekkan setiap episod. Sebelum ini kami merakamkan 45 minit untuk setiap episod dan kini slotnya hanya diperuntukkan untuk 30 minit.

“Kami perlu mengatur struktur cerita semula tetapi masih mengekalkan cerita asal serta mesejnya. Jadi ia mengambil masa yang agak lama. Pada asalnya kami menyiapkan untuk 13 episod dan selepas perubahan, rasanya keseluruhan drama adalah 23 episod,” kata Pengarah Lepaskan Kembali Aku Ke Laut, Arief Karmahani.

Melihat tajuknya yang agak panjang, ramai yang pasti tertanya-tanya simboliknya dengan drama ini.

“Seperti yang boleh dilihat, patung duyung di atas meja oleh Sir Donald MacGlivary selalu mengganggu pemikirannya. Duyung itu seperti diminta untuk dilepaskan. Ia adalah sama seperti penduduk Tanah Melayu meminta untuk dilepaskan dari penaklukan penjajah,” tambah Arief lagi.

Menjalankan penggambaran di Perak, pengarah mengalami sedikit kesukaran untuk mendapatkan pelakon dan lokasi yang paling dekat dengan penulisan Dr Shaari Isa.

“Adaptasi selalunya mempunyai perubahan sebanyak 25 peratus daripada novel asalnya. Ubah suai perlu dilakukan kerana perubahan medium media. Namun, kami masih mengekalkan keaslian dan isi kandungan cerita.

“Lokasi, watak dan spesifikasi lain susah ditiru 100 peratus dari novel kerana pelakon dalam industri kita juga terhad dan tempat-tempat yang dimaksudkan juga sudah hilang,” jelas Arief.

Sumber : Kosmo



Dr Shaari bin Isa dilahirkan pada 18 April 1933 di Bedong, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Sungai Petani dan seterusnya menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani. Pada tahun 1954, beliau menyambung pelajarannya dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Kirkby, England. Seterusnya pada tahun 1966, beliau telah meneruskan pengajiannya di Victoria University Wellington, New Zealand dan memperolehi Ijazah B.C.A (Accountancy) dan Diploma Pentadbiran Perniagaan. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di University of Waikato, Hamilton, New Zealand dan dianugerahkan Ijazah Ph.D dalam bidang Perakaunan.


Kerjaya

Guru sementara, Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani (1953)
Penolong Pensyarah Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1955-1962)
Penolong Pengarah, Kementerian Pelajaran (1967-1985)
Bendahari Universiti Utara Malaysia (UUM), (1985)
Pensyarah Perakaunan, Universiti Islam Antarabangsa
Kini beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Perakaunan di Universiti Malaya

Dr Shaari bin Isa juga telah menghasilkan 25 buah buku akademik serta buku-buku kreatif yang terdiri daripada 10 buah novel, buku-buku perakaunan, perdagangan, cerpen serta beberapa artikel yang dimuatkan dalam jurnal di dalam dan di luar negara. Antara hasil karya beliau yang terkenal ialah 'Lepaskan aku kembali ke laut I', 'Lepaskan aku kembali ke laut II' dan 'Lepaskan aku kembali ke laut III'. Jilid pertama buku tersebut mengandungi 163 muka surat dan telah diperakui sebagai novel terpanjang di Malaysia. Selain itu, beliau turut menghasilkan karya yang bertajuk 'Kampung Kirkby', 'Aku Tak Rela Diperhambakan', 'Berbasikal ke Artik' dan 'Projek PLS'

Comments