Penghayatan Syair

Menikmati dan Menghayati Syair dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Darjah – Satu Cabaran

Mohd. Fauzi bin Abdullah
Jabatan Kesusasteraan Melayu
Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur

Abstrak

Kertas seminar yang dibentangkan ini merupakan pandangan awal, bagi menyediakan ruang perbincangan yang lebih serius ke arah memungkinkan pelaksanaan sesi pengajaran yang lebih bermakna berkaitan pengajaran genre syair. Perbincangan melibatkan pemikiran semula, secara umumnya kurikulum; sukatan pelajaran, bahan, serta pendekatan dan kaedah pengajaran syair dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif di sekolah menengah dengan tumpuan pada peringkat tingkatan 4 & 5 (Sijil Pelajaran Malaysia). Hal ini difikirkan wajar dipertimbangkan demi tuntutan semasa bagi pihak pelajar, guru, dan kehendak masyarakat. Juga dalam usaha mengangkat martabat mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif dengan tumpuan khusus kepada pengajaran puisi tradisional khasnya genre syair yang dilihat semakin hari semakin membosankan. Ini berikutan perubahan pandangan masyarakat, pelajar, dan tuntutan kehidupan semasa. Kertas ini mengkhususkan perbincangan bagi meneliti kemungkinan penambahbaikan yang difikirkan wajar bagi menjadikan pengajaran genre syair @ puisi tradisional lebih menarik dan berkesan. Perbincangan diawali dengan meneliti kedudukan sastera tradisional dan status genre syair berlandaskan kurikulum sedia ada. Tumpuan penelitian adalah berkaitan aspek rekabentuk dan pengisian kurikulum, sukatan & huraian sukatan pelajaran kesusasteraan Melayu KBSM,2003,, amalan pedagogi guru, format dan bentuk peperiksaan SPM, soalan dan kerangka jawapan yang dinilai serta bahan dan teks yang digunapakai. Selanjutnaya perbincangan difokuskan kepada pendekatan apresiasi teks syair sebagai pilihan kaedah pengajaran-pembelajaran di bilik darjah. Dua corak apresiasi teks disentuh secara langsung iaitu panduan mencipta syair dan panduan mendendangkan syair. Kertas seminar diakhiri dengan kupasan sepuluh isu dan cabaran ke arah menjadikan pengajaran-pembelajaran Kesusasteraan Melayu umumnya, dan puisi tradisional khususnya syair lebih menarik, mencabar dan bermakna pada kehidupan pelajar dan masyarakat.

Pendahuluan
Kertas seminar yang dibentangkan ini merupakan pandangan awal, bagi menyediakan ruang perbincangan yang lebih serius ke arah memungkinkan pelaksanaan sesi pengajaran yang lebih bermakna berkaitan pengajaran genre syair. Perbincangan melibatkan pemikiran semula, secara umumnya kurikulum; sukatan pelajaran, bahan, serta pendekatan dan kaedah pengajaran syair dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif di sekolah menengah dengan tumpuan pada peringkat tingkatan 4 & 5 (Sijil Pelajaran Malaysia).

Hal ini difikirkan wajar dipertimbangkan demi tuntutan semasa bagi pihak pelajar, guru, dan kehendak masyarakat. Juga dalam usaha mengangkat martabat mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif dengan tumpuan khusus kepada pengajaran sastera tradisional @ puisi tradisional khasnya genre syair yang dilihat semakin hari semakin membosankan. Ini berikutan perubahan pandangan masyarakat, pelajar, dan tuntutan kehidupan semasa.

Kertas ini mengkhususkan perbincangan bagi meneliti kemungkinan penambahbaikan yang difikirkan wajar bagi menjadikan pengajaran genre syair @ puisi tradisional @ sastera tradisional lebih menarik dan berkesan.

Perbincangan diawali dengan meneliti kedudukan sastera tradisional dan status genre syair berlandaskan kurikulum sedia ada. Tumpuan penelitian adalah berkaitan:
• Rekabentuk dan pengisian kurikulum
• Sukatan & huraian sukatan pelajaran Kesusasteraan Melayu KBSM,2003,
• Amalan pedagogi guru
• Format dan bentuk peperiksaan SPM
• Soalan dan kerangka jawapan yang dinilai
• Bahan dan teks yang digunapakai.

Kedudukan sastera tradisional dan status genre syair dalam kurikulum Kesusasteraan Melayu
Perbincangan didahului dengan meneliti elemen kurikulum di atas, bagi mendapatkan gambaran dasar mengenai kedudukan dan ruang litup kedudukan sastera tradisional dan status genre syair dalam kurikulum Kesusasteraan Melayu SPM yang kini digunapakai oleh guru dan pelajar. Gambaran berkaitan dengannya membolehkan kita memikirkan kemungkinan untuk melakukan penambahbaikan pada tempat-tempat yang difikirkan wajar.

Rekabentuk dan pengisian kurikulum

Secara tersirat, sastera tradisional yang menjadi salah satu entiti penting dalam kurikulum Kesusasteraan Melayu berperanan menyokong keperluan rekabentuk dan pengisian kurikulum berkenaan. Oleh itu fungsi sastera tradisional adalah selaras dengan keperluan rukun negara, falsafah pendidikan kebangsaan, dan falsafah pendidikan Kesusasteraan Melayu. Genre sastera tradisional juga selari dengan takrif Kesusasteraan Melayu dalam pendidikan, menyokong mencapai matlamat dan objektif kurikulum sastera.
Pelajar dan guru menggunakan bahan sastera tradisional @ syair sebagai salah satu pengisian kandungan sukatan pelajaran, di mana semua aspek sastera berkaitan dikaji bagi mendapatkan hasil pembelajaran yang diingini. Bagi pengisian kurikulum, pendedahan sastera tradisional dilaksanakan melalui cantuman elemen terkini pendidikan yang meliputi ;
• Aspek ilmu
• Peraturan sosio-budaya
• Nilai kemanusiaan
• Kewarganegaraan
• Kemahiran bernilai tambah (kemahiran berfikir, kemahiran ICT, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran kontruktivisme, pembelajaran kontekstual)

Semua elemen ini diharapkan dapat diaplikasikan oleh murid dalam kehidupan harian. Nilai kemanusiaan dan kewarganegaraan yang dicungkil dari teks / genre sastera tradisional diharapkan dapat dizahirkan dalam bentuk perlakuan dan sahsiah diri selaras dengan matlamat negara membangunkan modal insan masyarakat madani.

Soal pengisian kurikulum, yakni bagaimana memahami dan menggunakan aspek ilmu bahan sastera tradisional @ syair dari sudut peraturan sosiobudaya, nilai kemanusiaan, nilai kewarganegaraan selari dengan kemahiran bernilai tambah yang diguna pakai masa kini, dilihat menjadi masalah besar untuk guru menjelas dan mengaplikasikannya kepada pelajar. Hal ini berkaitan dengan persepsi sedia ada dan pengetahuan dari ilmu bantu disiplin sosio-budaya yang perlu ada pada seseorang guru dan pelajar.

Telaah sastera tradisional @ syair menyeret kita ke masa lampau; latar, ruang, world-view yang sudah menjadi sejarah dan warisan. Sejarah harus dipelajari, diingati dan diteladani sebagai tapak mula ke arah menggerakkan ketamadunan manusia dan bangsa seterusnya. Adalah tidak wajar mengukur dan menggunakan kaca mata masa kini untuk menilai peristiwa dan norma masa lalu. Oleh itu, maksud, erti dan makna aspek ilmu bahan tradisional @ syair harus difahami secara kias ibarat. Peraturan sosiobudaya, kewarganegaraan dan nilai kemanusiaan masa lalu menjadi kayu ukur untuk pembentukan nilai dan norma masa kini.

Hal ini dapat dijana secara berkesan dengan menggunakan pelbagai kemahiran bernilai tambah (kemahiran berfikir, ICT dll). Oleh hal demikian elemen sastera tradisional @ syair wajar menjadi entiti dasar bagi reka bentuk dan pengisian kurikulum Kesusasteraan Melayu.

Sukatan & Huraian Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu KBSM
Sukatan pelajaran tidak mengklasifikasikan secara khusus berdasarkan genre tradisional dan moden. Pembahagian adalah berdasarkan,
• A : Pengenalan kesusasteraan Melayu (definisi, ciri, bentuk, sejarah, perkembangan, peranan)
• B : Prosa
• C : Drama
• D : Puisi

Dengan ini genre sastera tradisional dipelajari pada bahagian A (latar belakang, sejarah dan perkembangan genre), bahagian B (prosa) dan bahagian D (puisi).
Aspek yang dianalisis dan dikaji oleh pelajar adalah :
• Memahami definisi, ciri, bentuk, sejarah, perkembangan dan peranan genre sastera tradisional
• Biodata, latar belakang pengarang atau teks
• Maksud puisi
• Tema dan persoalan
• Watak dan perwatakan
• Plot
• Latar
• Bentuk puisi
• Nada puisi
• Gaya bahasa
• Sudut pandangan
• Nilai kemanusiaan dan pengajaran
• Penghasilan dan persembahan karya kreatif

Disebabkan kedudukannya yang bercambur baur antara tradisional dan moden, guru harus sentiasa peka dan kreatif bagi mencerakinkannya agar memudahkan perancangan dan sesi pengajaran-pembelajaran.
Modul sukatan dan huraian sukatan pelajaran bercampur aduk antara sastera tradisional dan sastera moden. Adalah difikirkan lebih wajar andainya pembahagian lebih jelas antara tradisional dan moden. Ini kerana genre keduanya mempunyai ciri dan sifat yang khusus. Bagi genre syair, sedikit sebanyak ilmu dan maklumat didedahkan pada bahagian A secara umum, tersisip di sana sini dalam petikan teks prosa tradisional pada bahagian B, dan pada bahagian D secara khusus, bersama-sama genre puisi tradisonal lainnya seperti pantun, gurindam dan seloka

Aspek ilmu bahan @ syair, yang dipelajari sangat tebal dengan teori/pendekatan struktural. Hal ini ternyata memenjarakan pemikiran pelajar, pemikiran kritis seakan dikesampingkan. Hasilnya pembelajaran persis seperti mengajar mata pelajaran Sejarah. Skop kajian lebih ke arah kajian intrinsik dan hamper mengabaikan elemen ektrinsik yang lebih dipentingkan mutakhir ini.

Dengan corak kajian begini, menghadkan penggunaan dan pengaplikasian pelbagai teori dan pedekatan sastera ke arah menjadikan pembelajaran lebih mencabar dan menyeronokkan. Adalah wajar pelajar didedahkan dengan corak kajian teks berlandaskan penggunaan pelbagai teori, kritikan, penilaian teks, dan resensi teks. Aplikasi teori/ pendekatan semiotik, linguistik, kaji budaya (cultural studies) rasanya sangat menarik dan mencabar untuk diaplikasikan dalam kajian sastera tradisional, khasnya genre syair. Hal ni sekurang-kurangnya dapat membezakan antara sastera per-se dengan sastera dalam Komsas yang corak kajiannya hampir sama.


Amalan pedagogi

Amalan pedagogi lazim yang diamalkan guru dalam sesi pengajaran-pembelajaran genre sastera tradisional @ syair di kelas, dapat digambarkan dengan merujuk huraian dan contoh rancangan mengajar sepertimana disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dalam Buku Panduan Guru Kesusasteraan Melayu Tingktan IV – V ; 1994.

PPK menggalakkan penggunaan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh memilih kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan. Keberkesanan pengajaran bergantung pada pengolahan teknik penggunaan bahan sastera serta alat bantu mengajar melalui aktiviti yang dapat merangsang dan menggalakkan pelajar memahami, menghayati dan menganalisis karya sastera secara kritis dan analitis. Strategi pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu perlu berasaskan pelbagai kaedah dan teknik yang menarik dan sesuai.

Antara kaedah yang disarankan adalah kaedah struktural, kaedah mengalami-menghayati, dan kaedah berfokus. Walau bagaimanapun guru boleh menggunakan pendekatan eklektik yang sistematik untuk mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran. Strategi pengajaran dan pembelajaran harus berpusatkan pelajar .

Pelbagai aktiviti pengajaran genre sastera tradisional @ syair boleh digunapakai oleh guru. Antara yang disarankan adalah mendendang & melafazkan syair @ puisi tradisional, bercerita, mendengar rakaman, soal jawab, main peranan, simulasi, lakonan, kuiz, forum, perbahasan, sumbang saran, seminar, perbengkelan, projek atau tugasan, menyelesaikan masalah, perbincangan, ceramah atau syarahan, serta mencipta karya.
Pelbagai bahan sumber seperti keratan akhbar, majalah, filem, rakaman kaset, pita video, vcd dan bahan asli yang lain boleh digunakan untuk menarik minat pelajar. Untuk tujuan pengukuhan dan pengayaan, penggunaan bahan bacaan yang meliput karya tradsional dan moden selaian teks kajian wajar digalakkan. Perpustakaan dan pusat sumber harus dimanfaatkan sebaiknya. Melalui strategi ini diharapkan pelajar dapat menghayati nilai-nilai estetika serta menggunakan bahasa secara kreatif dan dapat menghasilkan karya yang bermutu.

Apa-apa sahaja cara, pendekatan, teknik, strategi, kaedah, aktiviti, teori pembelajaran syair semuanya betul belaka. Cuma apakah ianya menarik, bernilai, bermakna; yakni tiga syarat utama untuk menjadikan sesi pengajaran pembelajaran menyeronokkan dan berkesan. Juga harus difikirkan apakah kemahiran bernilai tambah yang sesuai dan dikehendaki oleh pelajar/ masyarakat berdasarkan tuntutan semasa. Dalam hal ini, ramai yang terus merujuk kepada kemahiran berfikir dan kemahiran ICT. Memang benar keduanya adalah elemen yang penting. Namun untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu @ syair, ianya tidak memadai. Lebih utama ialah elemen apresiasi; memahami dengan rasa; tahu, faham, laksanakan, rasa dengan pancaindera zahir dan batin. Jelasnya aspek apresiasi dan persembahan sangat sesuai dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Dengan ini kemahiran mendendangkan syair, gurindam, seloka, melafaz pantun, lakonan bangsawan, nyanyian asli, pengurusan pentas, penganjuran acara seni, editing, pengacaraan dll rasanya lebih menarik dan praktikal untuk diguna pakai masa kini, dari hanya menghafal cerita demi cerita atau membaca puisi demi puisi yang tidak pun difahami sepenuhnya.

Format dan bentuk peperiksaan SPM
Peperiksaan umum adalah secara berpusat. Wajaran markah adalah 100% bertulis. Dilaksanakan pada hujung sesi persekolahan di tingkatan 5, selepas 2 tahun pelajar mempelajari sastera.

Format peperiksaan seperti berikut :
(Berdasarkan Kertas Peperiksaan SPM 2005: Kesusasteraan Melayu)
Masa : 2 jam 30 minit
Arahan : Jawab semua soalan Bahagian Satu. Jawab tiga soalan Bahagian Dua, iaitu satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, Bahagian B, dan Bahagian C. Pertimbangan markah berdasarkan isi dan penyampaian. Jawapan hendaklah berdasarkan Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah Kesusasteraan Melayu dan buku-buku teks yang telah ditetapkan.
Bahagian Satu (40 markah). Jawab semua soalan. 1 soalan = 4 markah
10 soalan struktur, pecahan (a), (b) / (i), (ii); merangkumi semua genre – puisi tradisional, prosa tradisional, sajak, cerpen, novel, drama. Petikan ringkas dari genre digunakan sebagai bahan rangsangan soalan.
Bahagian 2 (60 markah). 1 soalan 20 markah. Esei, pecahan (a), (b) / (i), (ii). Jawab 3 soalan. Mana-mana 1 soalan dari bah A, B dan C
Bahagian A : 2 soalan genre puisi & prosa tradisional – pilih salah satu genre
Bahagian B : 2 soalan puisi moden & drama – pilih salah satu genre
Bahagian C : 2 soalan cerpen & novel – pilih salah satu genre

Soalan syair dalam kertas peperiksaan Kesusasteraan Melayu Elektif (SPM) tidaklah menjadi soalan yang wajib ada dan wajib dijawab pelajar, hanya berstatus pilihan. Soalan syair mungkin ada pada salah satu daripada 10 soalan pada Bahagian 1 dan kemungkinan besar ada pada Bahagian 2 (A), mengikut pilihan dan giliran genre yang ditentukan panel penggubalan soalan peperiksaan.

Berdasarkan format ini genre tradisional mengandungi 3 soalan pada Bahagian 1 (1 soalan puisi tradisional dan 2 soalan prosa tradisional, membawa 12 markah, wajib dijawab ketiga-tiganya) dan Bahagian 2 – Bahagian A (1 soalan puisi tradisional dan 1 soalan prosa tradisional, pilihan, membawa 20 markah). Secara keseluruhan, terdapat 5 soalan genre tradisional puisi dan prosa; pilih dan jawab 4 soalan, memberikan 32 markah kepada calon.
Ini adalah corak dan bentuk pentaksiran dan penilaian yang sangat tradisional sifatnya. Sudah sampai masanya di abad ke-21, corak ini diubahsuai ke arah lebih menarik, mencabar dan mengukur keupayaan mental dan fizikal pelajar. Antara bentuk penilaian yang boleh dilaksanakan ialah kerja projek, kerja kursus, taksiran berasaskan sekolah, taksiran berasaskan elemen apresiasi atau persembahan. Subjek sastera adalah subjek yang sebenarnya tidak memerlukan pergantungan 100% kepada peperiksaan bertulis. Adalah lebih menarik kiranya kemampuan calon diuji berdasarkan 50 % hasil bertulis/ pemahaman teks dan 50% hasilan apresiasi seni/ persembahan (misalnya melaksanakan kerja projek dalam bentuk pementasan, pengurusan acara kesenian, kerja kursus berpotfolio dan berproses). Di Singapura, format ini sedang dirangka. Hal ini selaras dengan saranan dan kehendak Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Sipon (Utusan Malaysia, 31 Mei 2007; hlm. 6);

“Sistem pentaksiran yang diamalkan sekarang lebih menjurus kepada assessment of learning, bukannya assessment for learning. Guru mentaksir murid hanya untuk mengukur pencapaian belajar dan tujuan penempatan, pemilihan dan penganugerahan sijil, sedangkan untuk menghaslkan modal insan yang cemerlang, guru wajar mengenalpasti potensi murid dan mengembangkannya. Dalam hal ini pentaksiran berasaskan sekolah merupakan salah satu kaedah terbaik kerana guru adalah orang yang sentiasa berada di barisan hadapan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan lebih mengenali muridnya. Namun dalam melaksanakan kaedah pentaksiran ini, kejujuran dan sikap professional guru amat diperlukan”.

Soalan dan kerangka jawapan
Berdasarkan contoh soalan Kesusasteraan Melayu SPM tahun 2004, aspek sastera yang ditanyakan berkaitan genre syair, dan kerangka jawapan berdasarkan kehendak pemeriksa adalah seperti berikut.

Bahagian Dua : Bahagian A (Puisi Tradisional dan Prosa Klasik)
Jawab sama ada Soalan 1 atau Soalan 2.
1. Baca syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Syair Pedoman Hidup

Hidup kita umpama bahtera,
Menduga ombak di tengah segara,
Dua tujuan di dalam bicara,
Pertama undur kedua mara.

Tetapi jika bersungguh hati,
Diguna akal budi pekerti,
Pohon pertolongan Rabbul-izzati,
Kelak tercapailah apa dihajati.

Pelayaran hidup lanjut ketika,
Di dalamnya terkandung senang dan duka,
Rencananya banyak berbagai nika,
Kemudinya pegang janganlah leka.

Jika tidak keras kemahuan,
Tentulah kapal berpaling haluan,
Cita-cita tinggi tentulah tertawan,
Pelayaran tak sampai ke mana tujuan.

Jika daratan kelihatan sudah,
Jangan pelayaran dibuat mudah,
Patutlah menaruh insaf dan gundah,
Ingatkan bahaya berbagai padah.

a) Huraikan tema syair ini. (6 markah)
Kerangka jawapan:
Syair tersebut bertemakan nasihat agar kita gigih menghadapi rintangan dalam hidup dan sentiasa berwaspada apabila hamper beroleh kejayaan. Hidup ini diumpamakan seperti bahtera di tengah laut yang menempuh ombak untuk menuju ke tempat yang dituju. Selain berani menempuh halangan, kita juga perlu berusaha dan berdoa untuk berjaya. Setelah hamper beroleh kejayaan, kita juga harus berwaspada kerana bahaya sentiasa di hadapan kita.

b) Nyatakan pengajaran-pengajaran yang terdapat dalam syair di atas. (6m)
Kerangka jawapan:
i) Kita hendaklah berani dan cekal menghadapi rintangan dalam hidup untuk mencapai kejayaan.
ii) Kita hendaklah sentiasa berdoa dan berserah kepada Allah dalam setiap usaha yang kita lakukan.
iii) Kita hendaklah berhati-hati dan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.
iv) Kita hendaklah berwaspada dan jangan lalai kerana bahaya mungkin menanti kita di hadapan.
(Pelajar boleh memilih mana-mana tiga jawapan di atas)

c) Cipta dua rangkap syair sebagai sambungan syair di atas. (8 markah)
i) Setelah berjaya jangan sombong,
Ramai memuja ramai menyanjung,
Jika kita silap menghitung,
Kejayaan musnah terbakar rentung.

ii) Gunakan kejayaan untuk berjasa,
Kepada negara dan juga bangsa,
Jasamu dikenang sepanjang masa,
Hidup bahagia aman sentosa.
(Lain-lain ciptaan syair pelajar yang sesuai)

Berikut pula adalah contoh soalan berkaitan genre sastera tradisional @ puisi tradisional berdasarkan kertas soalan peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM tahun 2005, dan kerangka jawapan berdasarkan kehendak pemeriksa.

Bahagian Satu
Beriring dengan si burung helang,
Bermain angin mencari ruang;
Berani mati bertindih tulang,
Itu namanya hidup berjuang.

Bermain angin mencari ruang,
Mencecah sampai hujung pelangi;
Itu namanya hidup berjuang,
Nama akan harum mewangi.
(Dipetik daripada Hati Terkenang Mulut Menyebut)

1 (a) Apakah bentuk puisi di atas (1 markah)
Kerangka jawapan : Pantun berkait empat kerat

(b) Mengapakah anda menyatakan bentuk puisi di atas sedemikian.
Berikan contoh (3 markah)
Kerangka jawapan : Kerana mempunyai empat baris serangkap. Contoh, rangkap pertama dan kedua mempunyai empat baris. Setiap rangkap mempunyai pembayang dan maksud. Contoh, dua baris pertama pembayang, dua baris di bawah maksud. Rima hujung seimbang a,a;a,a dan a,b;a,b. Pembayang maksud dan maksud rangkap pertama dan kedua mempunyai kaitan atau kesinambungan.Contoh, baris kedua rangkap pertama menjadi baris pertama rangkap kedua; baris keempat rangkap pertama menjadi baris ketiga rangkap kedua.


Bahagian Dua
Bahagian A (Puisi Tradisional dan Prosa Klasik)
Jawab sama ada soalan 1 atau soalan 2

Puisi A
Burung kedidi terbang ke hutan,
Gugur bulunya di ranting sena,
Ranting patah menimpa budak;
Jangan menjadi rambutan jantan,
Orang berbunga awak berbunga,
Orang berbuah awak tidak.

Puisi B
Sejak berbunga daun pandan,
Banyaklah tikus di permatang,
Anak buaya dating pula,
Daun selasih kering berserak;
Sejak semula dagang berjalan,
Tidak putus dirundung malang,
Banyak bahaya yang menimpa,
Lamun kasih berpaling tidak.

Berdasarkan kedua-dua puisi di atas;
a) Bandingkan bentuk. (10 markah)
Kerangka jawapan;
Puisi A, 6 baris; puisi B, 8 baris serangkap.
Puisi A, pantun 6 kerat; puisi B pantun 8 kerat.
Puisi A, 3 baris awal pembayang dan 3 baris berikut maksud; puisi B, 4 baris awal pembayang dan 4 baris berikut maksud.
Puisi A dan B mempunyai panjang baris seimbang; 4 patah perkataan sebaris/ 8-12 suku kata sebaris. Contoh.
Puisi A dan B mempunyai rima tengah dan rima hujung yang berselang; a,b,c; a,b,c dan a,b,c,d;a,b,c,d. Contoh.
Puisi A dan B mempunyai jeda di tengah baris. Contoh.

b) Huraikan maksud (10 markah)
Kerangka jawapan;
Maksud puisi A; nasihat kepada seseorang supaya jangan pandai berlagak sahaja atau suka meniru hidup orang lain, tetapi tidak mampu menunjukkan kebolehan atau ketokohan seperti orang lain. Hal ini diibaratkan seperti rambutan jantan yang boleh berbunga, tetapi tidak menghasilkan buah.
Puisi B; kisah orang dagang atau perantau di negeri orang. Selalu bernasib malang dan bahaya dalam perantauan. Namun dugaan dan cabaran tidak mengubah asih saying kepada orang dikasihi.

Meneliti soalan dan kerangka jawapan yang dikehendaki, soalan dan jawapan adalah menguji aspek pengetahuan dasar calon yang sangat tebal dipengaruhi teori dan pendekatan struktural teks. Soalan yang menguji pemikiran kritis dan kreatif pelajar, sangat terhad. Namun, bagi soalan syair (2004), ada soalan berkaitan ciptaan karya. Ini corak soalan yang agak baru, menarik, namun aplikasinya agak terhad, dan tidak selalu dibiasakan. Aras soalan berkisar pada aras ingatan dan kefahaman (aras 1 dan 2, Bloom) serta analisis peringkat rendah. Hampir semua soalan menguji pengetahuan dan kefahaman calon berdasarkan maklumat teks (kajian intrinsik) manakala maklumat ektrinsik selalunya diabaikan. Soalan dan jawapan juga lebih memberatkan kefahaman tersurat yang dapat dikutip dari teks, sementara kefahaman tersirat hampir tidak dikehendaki. Sekali imbas soalan dan kerangka jawapan persis seperti soalan dan jawapan mata pelajaran Sejarah.

Sifat soalan amat langka; hanya berjejak secara dasar pada aras pengetahuan dan kefahaman aspek struktural teks. Pelajar hanya perlu baca, ingat dan muntahkan kembali di kertas jawapan. Pengunaan pemikiran kritis dan analitik amat terhad. Tidak ada bezanya soalan sastera dengan soalan mata pelajaran lain. Perlu diingat bahawa sastera adalah disiplin ilmu sains sosial. Ilmu ini harus dinikmati bukan sekadar dengan pemahaman isi cerita, tapi lebih utama ialah penghayatan inuitif yang dapat menyentuh meta kognitif dan deria rasa seseorang.

Oleh itu wajar sekali soalan yang menguji keupayaan penghayatan pelajar dan tahap kefahamannya mengenai norma dan peraturan sosio budaya masayarakat tradisional disentuh. Kaedahya adalah melalui pengujian bercorak apresiasi dan persembahan. Misalnya, calon harus diuji keupayaan mendendang syair, melafazkan pantun, gurindam, seloka dengan nada dan intonasi yang baik melalui pelbagai irama dan dipersembahkan dengan penuh penghayatan, seni dan kreatif. Ataupun pelajar melaksanakan projek pementasan hasil seni, atau melaksanakan kerja projek penerbitan karya kreatif bermula dari menulis, mengedit, menyusun hingga terhasil anotologi. Rasanya soalan dan bentuk pentaksiran sebegini lebih sesuai dengan kehendak pelajar, lebih mencabar dan menarik, lebih memenuhi tuntutan semasa dan berdaya saing dalam pasaran kerjaya.
Tugas dan peranan guru juga akan lebih praktikal; bukan sekadar mengupas ilmu tapi berupaya membimbing pelajar mengpalikasi ilmu itu secara praktis dan berkesan. Namun, perlu dilatih pembimbing yang berwibawa dan mahir dalam bidangnya.


Bahan dan teks yang digunapakai.

Pelajar dikehendaki meneliti dan mengkaji (memahami, menganalisis, menafsir dan menilai) teks Hati Terkenang Mulut Menyebut, Dewan Bahasa dan Pustaka; 2000 yang mengandungi :
Pusi tradisional ;
• Pantun (2, 4, 6, 8 kerat dan berkait) – sejumlah 44 rangkap; pelbagai tema dan persoalan
• Syair – 5 untai; pelbagai tema
• Gurindam – 4 untai dari karya Raja Ali Haji
• Seloka – 4 untai; ciptaan baru dan karya tradisional sedia ada
Prosa tradisional :
• 6 petikan cerita dari pelbagai corak teks; sejarah-ketatanegaraan, epik, hikayat, lipur lara, panji ; kehadiran pengaruh Hindu-Jawa dan Arab-Parsi.
Secara dasarnya jumlah dan corak teks/ bahan kajian pengajaran dan pembelajaran adalah memadai. Namun beberapa penambahbaikan boleh diusahakan. Antaranya berkaitan pemilihan bahan teks. Bagi puisi tradisional seperti syair, pantun, gurindam dan seloka, memadai pelajar hanya didedahkan dengan fagmen/ puisi terpilih dari teks genre lipur lara dan hikayat pengaruh Melayu-Islam sahaja, agar sumber teks tidak terlalu rencam. Bagi syair, petikan daripada teks syair terpilih yang malar segar wajar diketengahkan. Teks tidak perlu terlalu panjang, namun dipilih daripada fragmen yang benar-benar dapat memaparkan inti cerita teks sebenar. Bagi teks klasik, gaya bahasa tradisional teks harus dikekalkan seasli mungkin, tidak dipermudahkan. Ini kerana corak bahasa demikian adalah elemen dasar estetika teks tradisional. Fragmen terpilih perlu dapat berdiri sendiri, harus membawa pemikiran tersirat yang dapat menjana pemikiran kritis dan kreatif pelajar. Juga bercorak kontekstual; berkaitan dan dapat digunakan dalam kehidupan semasa. Dan lebih utama, menggambarkan word-view serta nilai sarwajagat yang bukan sahaja bermakna pada zamannya malah zaman kini dan akan datang.

Melestarikan syair dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah

Setelah terlibat lebih 20 tahun dalam bidang pengajaran sastera khususnya mengajar dan membimbing puisi tradisional, yang melibatkan pelbagai kumpulan peserta; pelajar menengah atas, guru pelatih maktab perguruan (bakal guru/ guru permulaan), peserta kursus guru dalam perkhidmatan, pertubuhan belia, pertubuhan kesenian-budaya, agensi berkaitan dan orang perseorangan yang berminat, penulis rumuskan bahawa kelemahan, sekaligus keghairahan audien adalah berkaitan dengan apresiasi teks terutama apresiasi puisi tradisional, tak terkecuali genre syair. Ada dua corak apresiasi teks yang menjadi kelemahan @ keghairahan audien; i) penghasilan teks ii) persembahan teks. Berikut penulis catatkan pengalaman dialog yang biasa dituturkan / ditanyakan oleh audien pada setiap sesi kursus/ ceramah/ bimbingan puisi tradisional, khasnya genre syair. Berdasarkan catatan ini, sama-samalah kita fakir/ bayangkan senario sebenar pengajaran puisi tradisional khususnya pengajaran syair di bilik darjah, secara realitinya.
i) Pelajar Tingkatan 5 (peserta program Kembara Sastera di sebuah sekolah menengah ) : Apa beza syair dengan pantun? Saya tak pandai baca syair. Boleh cikgu tunjuk cara baca?
ii) Guru pelatih maktab perguruan (bakal guru/ guru permulaan KPLI) : En. Macam mana nak tulis syair. Susah ni. Lepas ni kami kena bersyair pula ke ? Macam mana? Saya tak tahu. Cikgu dulu mana ajar. Saya kelas sains bukan kelas sastera.
iii) Peserta kursus guru dalam perkhidmatan (program Kursus Komsas) : Bersyair? Tak nak lah. Malu. Saya tak pandai syair. Suara tak sedap.
iv) Peserta (Bengkel Kejurulatihan Seni Budaya PLKN) : Kami kena bimbing peserta PLKN bersyair. Maslahnya saya sendiri tak tahu baca syair. Boleh En. tolong ajar kami?
v) En. Ahmad ( peserta seminar anjuran pertubuhan kesenian-budaya) : Saya baru tahu bahawa ada macam-macam cara baca syair. Saya rasa kita perlu adakan bengkel khusus untuk bimbing peserta melagukan syair.
vi) En. Sulaiman ( peserta seminar di IPT ) : En.. macam mana nak baca syair. Saya pernah dengar orang kata banyak cara baca syair, betul ke ? Boleh tunjuk ?
vii) En. Manaf (juru jual kereta ) : Syair tu apa. Macam lagu Ramli Sarip tu ke ?

Meneliti dialog di atas (ubah suai dari dialog sebenar yang sempat dikumpulkan penulis), sedikit sebanyak memberi gambaran tentang hasil pengajaran pembelajaran syair di sekolah selama ini. Soalnya, apakah sebenarnya yang menjadi fokus pengajaran guru sastera? Sebahagian besar soalan ini datangnya daripada audien yang telah melalui sistem persekolahan di mana mereka pernah mempelajari sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) atau setidak-tidaknya didedahkan dengan bahan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Atau pun mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia Kertas 2 (Sastera) sewaktu peperiksaan STPM tahun 80-an. Lebih parah, mereka adalah pelajar sastera dari kelas aliran Sastera, atau pun bakal guru yang akan mengajar Bahasa Melayu (yang terpaksa mengajar Komsas/ penggunaan bahan sastera). Lebih mengaibkan , dialog ini dilontarkan oleh guru yang mengajar Bahasa Melayu lebih 10 tahun di sekolah menengah atau sekolah rendah.

Jelas tergambar bahawa, realiti sebenarnya pengajaran sastera baik puisi tradisional @ syair mahupun semua genre sastera lainnya, hanya menumpukan pada kaedah baca petikan teks, tahu isi cerita, hafal dan luahkan kembali pada kertas peperiksaan. Titik. Wilayah apresiasi (penikmatan & penghayatan teks) hampir tidak diterokai sepanjang masa mempelajari sastera. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa hal ini terjadi kerana guru tidak mendedahkannya. Kalau pun ada, pendedahannya sangat minimum dan hanya terhad kepada segelintir guru yang komited, dan mempunyai kemahiran khusus. Oleh itu kemahiran apresiasi teks hanya dipunyai oleh segelintir pelajar, yang juga amat berminat serta komited.

Sehubungan dengan hal ini, dalam batasan masa dan ruang yang terhad, penulis hanya akan tumpukan perbincangan ke arah memberi bimbingan dan panduan mudah pengajaran syair berlandaskan kaedah apresiasi teks ; i) menghasilkan syair dan, ii) mempersembahkan syair.



Mari mencipta syair

Sebelum mula mencipta ada baiknya kita mulai dengan mengenali batang tubuh syair, ciri dan sifatnya. Sepertimana pantun, syair juga adalah karya kreatif lisan genre puisi tradisional. Pada awalnya, syair diguna secara meluas di nusantara untuk menyebarkan ajaran tasauf / sufi Islam di samping untuk tujuan bercerita. Kerana itu, kebanyakan syair ditulis dalam bentuk teks/ naskhah. Istilah syair berasal daripada perkataan Arab shi’r (puisi/ sajak) dan sha’ir (penulis puisi/ penyajak).

Secara teknisnya, syair dikarang dan dicipta oleh Hamzah Fansuri (penyair sufi Acheh). Genre ini mula dikenali dan berkembang selepas Hamzah Fansuri meninggal pada 1630, bila mana murid-muridnya menyebarkan ajaran agama Islam mengikut endekatan yang beliau gunakan. Adalah dipercayai bahawa bentuk prototaip syair tertulis pada 1380; upajati di batu nisan Minye Tujuh, Acheh.
Sebagai genre puisi tradisional, syair mempunyai ciri dan sifatnya yang khusus. Secara umum, syair dibentuk dengan empat baris serangkap. Setiap baris mengandungi tiga hingga empat kata dasar / 8 – 12 suku kata sebaris. Skima rima hujung a,a: a,a (serima) ; tidak dipentingkan rima tengah. Wujud hentian sebentar (pause) di pertengahan baris dan jeda (caesura) di hujung baris – pertukaran lenggok suara dan melodi. Keseluruhan baris adalah satu kesatuan idea. Tidak dapat berdiri sebagai satu rangkap, keseluruhan rangkap adalah kesatuan idea. Isinya bercorak cerita atau huraian panjang mengenai subjek. Bahasanya padat dan puitis. Syair adalah cerita lengkap (ada watak, urutan peristiwa, teknik dan penyusunan plot seperti cereka/ ada subjek dan huraian tentang subjek berkenaan secara berurutan)

I) Panduan mudah mencipta syair

Bagi menjawab soalan mengenai bagaimana mencipta syair, sepertimana yang sering ditanyakan oleh pelajar dan peserta kursus, berikut penulis perturunkan panduan mudah, yang sering penulis berikan kepada kepada pelajar-pelajar sekolah dan pelatih bakal guru di maktab perguruan yang mengambil mata pelajaran Sastera atau Bahasa Melayu (Komsas).

1. Tetapkan tema cerita atau subjek, misalnya mengenai kasih sayang, alam sekitar, ilmu dan sebagainya.
2. Aturkan urutan peristiwa atau huraian terhadap subjek berkenaan (seperti membina plot cereka; permulaan, perkembangan, penutup). Sebaiknya buat dalam bentuk peta minda.
3. Sebagai latihan awal, hadkan jumlah rangkap yang ingin dicipta
Contoh :
Tema : Ilmu
Jumlah rangkap : 6

- Permulaan : konsep ilmu (1 rangkap)

Ilmu umpama pohon berbuah,
Menanam ia mendapat tuah,
Tempat berteduh dikala susah,
Jika berhujan pasti tak basah.

- Perkembangan : 2 kekuatan orang berilmu (2 rangkap)

Orang berilmu sukar dicari,
Sehari-hari memencil diri,
Hanya manikam kenal jauhari,
Bila bercakap merendah diri.

Ilmu membentuk budi bahasa,
Mengenal diri mengenal bangsa,
Bila berhujah tidak berdusta,
Tidak bercakap yang sia-sia.

- Perkembangan : 2 kelemahan orang tidak berilmu (2 rangkap)

Jika malas menuntut ilmu,
Jadilah kita bodoh dan dungu,
Semua perkara kita tak tahu,
Ke mana pergi mendapat malu.

Di tengah medan orang berbincang,
Kita nan hanya pandang memandang,
Tercegat kaku di tengah gelanggang,
Barulah sedar diri terbuang.


- Penutup : 2 nasihat peri pentingnya menuntut ilmu (2 rangkap)

Wahai semua rakan dan taulan,
Ikutlah sadba nabi berpesan,
Tuntutlah ilmu dari buaian,
Sehingga mati berpacak nisan.

Ingat-ingatlah saudara semua,
Tuntutlah ilmu di mana jua
Penuhkan isi di dalam dada,
Bahagia di dunia akhirat jua.

4. Dahulukan isi penting atau subjek yang hendak ditekankan, diikuti isi yang kurang penting atau huraian tentang subjek berkenaan.

5. Satu rangkap adalah satu kesatuan idea yang mewakili satu isi. Elakkan dari memberikan lebih daripada satu isi bagi satu rangkap.

6. Jika ianya berbentuk cerita, fikirkan watak, susunan plot, teknik penceritaan dan elemen-elemen lain seperti penciptaan cereka.
7. Atur dan pilih bahasa / frasa yang sesuai. Proses menyunting perlu dilakukan berkali-kali agar terhasil susunan kalimat yang puitis, tepat dan berkesan. Misalnya :

Ilmu membentuk budi bahasa,
Mengenal diri mengenal bangsa,
Bila berhujah (Petah berhujah) tidak berdusta,
Tidak bercakap yang sia-sia.

Selepas diamati, frasa ‘bila berhujah’ mungkin lebih sesuai diganti dengan petah berhujah. Kesesuaian bahasa boleh diukur berdasarkan pertimbangan puitis, sedap didengar, mudah disebut, berkesan dan bermakna.

8. Aturkan perkataan mengikut padanan skima rima a,a;a.a (serima). Sebaik-baiknya skira rima seimbang. Misalnya :

Orang berilmu sukar dicari, (a)
Sehari-hari memencil diri, (a)
Hanya manikam kenal jauhari, (a)
Bila bercakap merendah diri. (a)

9. Walau bagaimanapun disebabkan kekangan bunyi perkataan, skima rima hujung syair lebih longgar berbanding pantun (tidak seimbang), misalnya;

Di tengah medan orang berbincang,
Kita nan hanya pandang memandang,
Tercegat kaku di tengah gelanggang,
Barulah sedar diri terbuang.
Bunyi suku kata hujung (skima rima) –cang, -dang, -gang- dan –ang walaupun masih bercorak serima namun tidak berbunyi seimbang.

10. Adalah lebih bagus, sekiranya dapat diaturkan skima rima tengah a,a:a,a sama seperti skima rima hujung. Dengan ini bunyinya menjadi lebih harmonis kerana pengaruh hentian sebentar di tengah baris (pause) dan jeda (caesura) di hujung baris yang mengubah lenggok suara serta melodi syair. Misalnya :

Orang berilmu (a) / sukar dicari, (a)
Payah bertemu (a) / memencil diri, (a)
Manikam tentu (a) / kenal jauhari, (a)
Bercakap selalu (a) / merendah diri. (a)

Hal ini memerlukan ketelitian dan mengambil masa yang agak panjang, di samping penguasaan perbendaharaan kata yang banyak. Namun dengan kesabaran dan latihan berterusan, pelajar mampu melakukannya.

11. Untuk mendapatkan lenggok bunyi dendangan syair, sebaiknya ketika menulis kita bunyikan dendangan syair berkenaan. Dengan cara itu kita dapat menysun dan memilih perkataan yang seimbang sukatan kepanjangannya bagi menimbulkan keharmonisan melodi syair. Misalnya :

Wahai semua / rakan dan taulan,
Memang nabi / ada berpesan,
(Ikutlah sabda nabi berpesan)
Tuntutlah ilmu / dari buaian,
Hingga mati / berpacak nisan.

Berdasarkan draf awal, baris kedua terasa agak janggal dan kurang harmonis bila didendangkan. Oleh itu penulis menukarkan frasa berkenaan menjadi ikutlah sabda nabi berpesan, yang kedengarannya lebih harmonis dan menepati sukatan lenggok melodi syair.

Akhirnya, teruskanlah (berkali-kali!!) mengedit, memilih dan menyulam bahasa seindah dan setepat mungkin agar pernyataan idea dapat disampaikan dengan harmonis dan indah.


II) Panduan mendendangkan syair

Aspek mendendang atau melagukan syair memang seringkali ditanyakan dan menjadi aspek yang sangat mengujakan peserta kursus. Dalam kalangan guru sendiri tidak ramai yang mampu dan tahu mendendangkan syair dengan baik. Guru-guru dilihat sangat bermasalah untuk mengukur pencapaian objektif “agar pelajar dapat melafazkan/ mendendangkan puisi @ syair dengan nada dan intonasi yang betul / sesuai”. Bagi membantu mencapai objektif ini, apa sebenarnya tugas guru? Apakah aspek yang mahu dibimbing? Bagaimana tahap bimbingan guru untuk membolehkan pelajar berupaya mendendangkan syair dengan baik? Ataukah akan wujud situasi di mana guru dan pelajar sama-sama kabur dan tidak berupaya untuk bersyair dengan baik. Jalan mudah, abaikan aspek apresiasi teks; persembahan syair. Inilah realiti masalah yang dihadapi oleh guru dalam sesi pengajaran-pembelaran syair.

Bagi membantu mengurangkan masalah ini, penulis bincangkan secara ringkas (sebenarnya teori seperti ini tidak membawa makna, yang penting praktikal!) panduan mendendangkan syair. Dengan ini akan membolehkan guru menentukan apakah aspek-aspek yang perlu dibimbing bagi membolehkan pelajar bersyair dengan baik.
Syair boleh didendang menggunakan beberapa versi lagu atau melodi.
Ada teks/ naskhah tertentu sememangnya didendangkan dengan melodi lagu yang khusus. Misalnya :
 Lagu Selendang Delima ( teks Syair Selendang Delima). Lagu syair ini digunakan secara meluas oleh pelajar dan guru di sekolah serta masyarakat umum untuk mendendangkan syair.
 Lagu Siti Zubaidah (teks Syair Siti Zubaidah Perang China) – popular di Pahang dan Terengganu.
 Lagu Rakis ( teks Syair Rakis – karangan Almarhum Pangeran Shahbandar Pangeran Mohamad Salleh – popular di Brunai dan Sarawak)
 Lagu Narasi / rumpun Melayu – popular di Johor, Melaka, Negeri Sembilan.

Pelajar dan guru boleh mendengar contoh lagu atau melodi syair berkenaan dengan mendapatkan kaset puisi tradisional (Komsas) yang dikeluarkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Berpandukan melodi lagu Selendang Delima, yakni lagu syair yang sudah sedia digunakan di sekolah oleh pelajar dan guru, berikut diberikan beberapa panduan ringkas untuk mendendangkan syair dengan baik.
1. Suara. Semua orang boleh bersyair, namun tidak semua orang boleh bersyair dengan baik. Suara adalah sifat semulajadi. Adalah satu kelebihan andainya ada pelajar atau guru yang memang dianugerahi suara yang merdu dan tahap boleh-lentur yang tinggi. Namun dengan latihan yang berterusan, semua orang akhirnya akan mampu bersyair, sekurang-kurangnya mengikut lenggok melodi sukatan syair.
2. Hayati tema, suasana dan mood cerita atau isi syair. Sebelum mula mengalunkan dendangan syair kita seharusnya memahami dengan jelas mood isi cerita syair berkenaan. Hal ini membolehkan kita melenturkan suara dan nada bersesuaian dengan isi syair.
3. Melodi syair. Secara umumnya melodi lagu syair (walau apapun lagu yang digunakan) adalah berentak berlahan dan mendayu-dayu. Hal ini terjadi kerana mesej syair sebenarnya menekankan aspek perasaan yang harus dinikmati telinga secara halus melalui imaginasi akal dan rasa kalbu.
4. Patah kata dan lenggok lagu mengikut baris. Bagi mendapatkan lenggok suara yang harmonis, kita seharusnya menghayati dan memahami setiap patah perkataan, frasa dan ayat yang membentuk tiap rangkap syair berkenaan. Ini untuk memudahkan kita mematahkan kata (pause) di pertengahan baris dan melenturkan suara (caesura) di hujung baris.
5. Skima muzik/ melodi. Secara umumnya bagi mana-mana puisi tradisional termasuk syair, muzik katanya ditandai dengan empat bentuk skima suara :
Suara mendatar
Suara meninggi
Suara merendah
Suara beralun
Gabungan skima muzik ini menerbitkan tingkah suara yang mempengaruhi alunan kata dan muzik puisi tradisional. Di sinilah letaknya keindahan pengucapan atau dendangan puisi berkenaan.

6. Sama seperti kita mempelajari hukum tajwid dalam pengajian al-Quran, patah kata dan perhentian serta turun naik suara tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Selain menjejaskan keharmonisan lagu, ia juga mungkin mengakibatkan berlakunya kekeliruan atau kesalahan makna kata. Begitulah halnya dengan syair.

7. Pastikan kita berhenti (mematahkan kata) di tempat yang sesuai. Hal ini ditandai di mana pematahan kata ini masih boleh membentuk kata atau frasa yang bermakna; tidak tergantung atau tidak membawa makna. Contoh :

Orang berilmu / sukar dicari,
Sehari-hari / memencil diri,
Hanya manikam / kenal jauhari,
Bila bercakap / merendah diri.

Bagi syair di atas, tempat di mana kita berhenti (/) masih lagi berupaya mewujudkan frasa yang bermakna. Perhentian seperti ini adalah perhentian yang sempurna kerana rangkap syair berkenaan dibangunkan secara sempurna; 4 perkataan / 8-12 sukukata sebaris, 16 patah perkataan serangkap.
8. Masalah akan timbul bilamana syair yang dibina tidak cukup sempurna dari segi bentuknya, terutama dari segi jumlah perkataan sebaris. Misalnya :

Tersebutlah perkataan Bidasari, (3)
Setelah malam sudahlah hari, (4)
Bangunlah ia seorang diri, (4)
Makan dan minum barang yang digemari. (6)

Rangkap syair di atas mengandungi jumlah kata yang tidak seimbang antara baris : 3,4,4,6. Oleh itu hukum perhentian selepas dua patah kata setiap baris tidak dapat diikuti.
9. Dalam kedaan ini kita terpaksa bergantung kepada perhentian mengikut suku kata. Juga berdasarkan ‘rasa harmonis’ bilamana perkataan berkenaan dipatahkan mengikut tempat yang dirasakan sesuai dengan lenggok suara kita. Misalnya.

Tersebutlah perkataan / Bidasari, (3)
Setelah malam / sudahlah hari, (4)
Bangunlah ia / seorang diri, (4)
Makan dan minum / barang yang digemari. (6)

Perhatikan tempat di mana kita berhenti (/ ). Kolum perhentian mengandungi sepatah, dua patah dan tiga patah kata. Perhatikan juga pematahan kata yang dilakukan tidak menyebabkan adanya frasa yang tidak bermakna.
10. Berdepan dengan binaan syair yang tidak seimbang seperti ini, kemahiran ‘merasa’ alunan kata sangat diperlukan. Bagi penyair yang peka dan mahir, ia tidak mungkin berhenti ( / ) atau menukar nada melodi seperti ini :

Tersebutlah / perkataan Bidasari,
Setelah malam / sudahlah hari,
Bangunlah ia / seorang diri,
Makan dan minum barang / yang digemari.

Menukar nada atau pause pada tempat yang tidak sesuai seperti di baris 1 atau baris 4, walaupun frasanya masih lagi bermakna, ternyata mengganggu intonasi suara dan menjadikan lagu/ melodinya sumbang.

11. Begitu juga berhenti atau menukar nada di pertengahan kata bukan sahaja menyebabkan frasa tergantung/ tidak bermakna, malah lebih buruk lagi menghasilkan rentak dan lagu yang amat sumbang kedengaran. Misalnya :
Tersebutlah per / kataan Bidasari,
Setelah malam su / dahlah hari,
Bangunlah ia se / orang diri,
Makan dan mi / num barang yang / digemari.

Cubalah pelajar dendangkan syair di atas dengan berhenti atau menukar tempo nada pada tempat yang ditandakan (/). Apakah hasilnya? Masih harmoniskah bunyinya? Dapatkah difahami dengan jelas isi syair berkenaan?
Oleh itu, berhentilah pada tempat yang sewajarnya.

12. Lenggok suara. Setiap perhentian yang sesuai, memerlukan kita menukar lenggok suara sama ada mendatar, meninggi, merendah atau beralun. Berdasarkan rangkap syair di bawah cuba pelajar latih diri mengalunkan suara :

Orang berilmu (mendatar) /
sukar dicari (meninggi & beralun)
Sehari-hari (meninggi & beralun) /
memencil diri (mendatar & merendah)
Hanya manikam (meninggi) /
kenal jauhari (mendatar & merendah)
Bila bercakap( mendatar) /
merendah diri (mendatar dan merendah)

Seseorang yang mula belajar bersyair, biasanya menghadapi masalah pitching bagi mengalunkan frasa pertama baris kedua dan ketiga (‘ sehari-hari” ) dan (‘hanya manikam’). Hal ini disebabkan rasa takut-takut atau malu-malu untuk melepaskan suara dari kerongkong. Ingat, bila berhadapan dengan frasa pada tempat berkenaan, lepaskan semua suara dada dan kerongkong anda secara bersahaja. Jangan simpan di kerongkong. Dengan ini suara akan meninggi dan beralun, meningkah suara pada baris pertama dan keempat. Di situlah wujudnya keindahan dendangan syair.
Mintalah kawan atau guru anda dengar dan baikilah di mana yang perlu.



Isu dan cabaran

Berdasarkan gambaran dan senerio semasa pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu, khususnya puisi tradisional @ syair, yang diguna pakai pada masa kini, wujud beberapa isu dan cabaran mengenai kerelevanan pelaksanaannya. Isu-isu berikut wajar diberi perhatian demi penambahbaikan dan pemantapan pengajaran syair khasnya dan pengajaran Kesusasteraan Melayu umumnya ke arah pembelajaran yang lebih menarik.

1. Kedudukan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dalam kurikulum persekolahan kini yang tidak lagi menjadi antara subjek teras. Malahan lebih mengecewakan subjek ini dipandang sebagai mata pelajaran “kelas dua” itupun masih berada pada ranking pilihan terendah baik oleh pihak panatia kurikulum sekolah mahupun pelajar/ masyarakat. Apakah ada kemungkinan dengan memberi penekanan terhadap aspek apresiasi teks termasuk melaksanakan sesi pengajaran yang lebih menarik, seronok dan mencabar melalui kaedah apresiasi teks; mencipta dan mendendangkan syair dapat membuka ruang daya saing kerjaya/ kemahiran bagi menjadikan subjek Kesusasteraan dianggap penting oleh masyarakat ?

2. Tinjauan rambang mendapati pelajar sebenarnya berminat mempelajari sastera/ puisi tradisional @ syair, tetapi tidak pada tahap yang serius. Mereka seronok belajar sastera dalam Komsas (yang merupakan bahan untuk keterampilan berbahasa) tapi tidak berminat mempelajari secara serius sebagai satu subjek (Kesusasteraan Melayu Elektif). Oleh itu usaha memantapkan pengisian kurikulum, penyediaan modul pembelajaran yang menarik serta perubahan drastik pendekatan pengajaran, termasuk pengajaran syair harus dilakukan segera.

3. Banyak pihak melihat kurikulum sastera yang digunapakai kini tidak berdaya saing untuk menyediakan tapak kerjaya kepada pelajar di masa akan datang. Hal ini adalah petunjuk masyarakat yang menggambarkan persaingan sengit antara kemahiran/ manfaat sains sosial lawan sains gunaan – teknologi maklumat. Atau lebih tepat saingan manfaat intuitif (budi rasa-budi fakir) dengan ukuran hedonisme (materialistik, ekonomi, individualistik) yang mempengaruhi pembentukan nilai dan norma masyarakat. Jika ini yang diinginkan oleh masyarakat, maka haruslah kurikulum dan pendekatan pengajaran digubal kembali, dengan memberi lebih penekanan kepada hasil pembelajaran yang bercorak praktikal/ apresiasi dan persembahan praktis. Kurikulum harus memberi penekanan terhadap kemahiran kerjaya langsung berkaitan dengan bidang sastera. Dalam konteks genre puisi tradisional @ syair, misalnya; aspek persembahan, penulisan, pengkaryaan, penerbitan, perbukuan yang berkaitan dengannya wajar dijadikan kemahiran khusus. Dengan ini pelajar sastera akhirnya dalam jangka panjang berkemahiran menjadi pelakon, penyanyi, pengacara, editor buku, penulis, pengktitik, penerbit, pengurus seni dan yang berkaitan dengannya.

4. Situasi yang agak membingungkan dalam sistem persekolahan kita adalah menempatkan kumpulan pelajar yang mengambil subjek sastera terdiri daripada kelompok kelas akhir; pelajar ini adalah pelajar yang agak tercicir, rendah kemampuan berbahasa, tidak komited dalam pembelajaran malah agak rendah tahap kognitifnya. Lalu dapatkah kita mengharapkan mereka berupaya berfikir secara kreatif dan kritis, menafsir dan menilai makna tersirat dalam sastera @ puisi @ syair, memahami kod dan lambang norma-nilai masa lalu yang jauh dari kehidupan mereka, andainya untuk tahap mencari data, mengingat maklumat dan memahami idea pun sudah menjadi satu beban besar bagi mereka. Nampaknya kita harus mengubah persepsi sedia ada; dan menerima hakikat bahawa untuk berbicara tentang hidup dan kehidupan-manusia dan kemanusiaan (inilah sastera!) memerlukan otak yang bergeliga dan kepekaan intuitif yang tinggi; dan ini hanya diperolahi dari pelajar yang bijak.

5. Satu aspek paling besar dalam mempengaruhi minat pelajar adalah aspek keterampilan guru sastera. Bukan rahsia bahawa sebilangan guru sastera tidak berkemahiran mengajar sastera. Sebahagian besar tidak tahu/ tidak mahu mendendangkan syair, pantun, gurindam atau seloka. Ramai juga yang tidak komited serta tidak mencapai piawai pemikiran kreatif, kritis dan inovatif dalam mengupas bahan sastera/ puisi dan membimbing kemahiran apresiasi/ persembahan/ penghasilan karya sastera pelajar. Ini adalah masalah asas pedagogi yang perlu diselesaikan segera. Kalau gurunya ‘kepalang ajar’ pastilah muridnya akan menjadi seperti “bunga kembang tak jadi’.

6. Menjana pengelibatan pelajar . Sesi pengajaran-pembelajaran tidak bererti andainya pelajar tidak melibatkan diri. Oleh itu seboleh mungkin guru perlu berusaha untuk menarik minat dan menjana pengelibatan pelajar. Perancangan dan pelaksanaan pengajaran harus disusun dan dirancang dengan teliti agar menjadikan pengajaran berkesan. Guru dengan segala pengalaman, kuasa dan kreativitinya, sebenarnya berupaya menggerakkan pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung, sukarela atau terpaksa, disedari atau tidak disedari oleh pelajar. Antara strategi untuk menjana pengelibatan pelajar sewaktu mengajar Kesusasteraan @ puisi tradisional @ syair adalah; strategi pengajaran berpusatkan pelajar, pembelajaran secara kolaboratif, penggunaan pelbagai kaedah, teknik dan aktiviti, kepelbagaian penggunaan bahan bantu mengajar-belajar, penggunaan bahan yang menarik dan mencabar, aktiviti yang merangsang pencapahan dan penjanaan fikiran kreatif-kritis, melaksanakan aktiviti yang menarik dan mencabar, guru bertindak sebagai model dan penunjukcara, pembelajaran di luar bilik darjah.Sungguhpun begitu, perlu disedari hanya guru berkenaan sahaja yang mengenali pelajarnya. Guru adalah motivator, penasihat dan pembimbing. Jika guru mengenali pelajar secara peribadi, komited dan sentiasa bersemangat membantu pelajar, tidak ada masalah sebenarnya untuk menjana pengelibatan pelajar dalam sesi pengajaran.

7. Keterampilan guru Sastera Melayu. Hal ini bersangkutan dengan soal keterampilan ilmu dan kemahiran guru berkenaan. Mengajar Sastera sepertimana dijelaskan pada bahagian awal perbincangan, menyeret guru berkenaan untuk menggunakan prinsip pedagogi yang menarik, fikiran yang kreatif, bahasa yang lunak, ilmu yang mantap dan bahan yang bersifat mantiqi (punya rasa-estetika). Penghayatan intuitif bukan sahaja dicernakan pada batang tubuh ilmu Bahasa dan Sastera, tapi segala aspek yang berkaitan dengannya. Ramai guru yang walaupun sudah puluhan tahun mengajar tidak pernah sekali pun bersyair, bergurindam, berseloka, bersajak, berdrama, menulis cerpen atau novel. Mungkin sesekali terpaksa berpantun, namun tidak pernah bersyair, bergurindam, berseloka, bernazam atau bermantera. Sebabnya, mereka bukan sekadar tidak tahu malah tidak pernah pun mahu ambil tahu. Kalau begitu bolehkah kita mengharapkan akan berlangsungnya satu sesi pengajaran berkesan? Kajian (Thahir, 2006), mengesahkan bahawa pelajar akan sangat teruja dan berkeyakinan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kebahasaan/kesusasteraan sewaktu belajar Komsas bilamana guru berupaya menjadi model dan penunjukcara secara langsung, bukan menggunakan bahan rakaman audio-visual.

8. Pengurusan dengan segala macam karenah birokrasi/ formaliti. Tercakup di dalamnya soal penyediaan suasana dan bahan pembelajaran sastera yang kondusif, pengurusan kurikulum, dan hambatan untuk sentiasa mencanakkan graf pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Pengajaran Sastera menuntut suasana pembelajaran dan bahan bantu yang kondusif, menarik dan sesuai. Guru yang kreatif sentiasa ingin lari dari suasana kaku di bilik darjah. Mungkin ia memerlukan alat tambahan yang sesuai untuk bersyair, berdrama, bersajak, atau bernyanyi. Ini tentunya menuntut biaya tambahan. Aktiviti dan teknik pengajarannya pun mungkin agak ‘kegila-gilaan@luarbiasa’ sehingga kadang kala menyebabkan kelas kelihatan dan kedengaran agak berselerak dan hingar. Keadaan ini kebanyakannya tidak disenangi pihak pengurusan. Yang selalu diimpikan ialah suasana yang sepi, guru-guru yang berkejaran menghabiskan sukatan pelajaran, pelajar yang terpaku di kerusi menelaah teks, untuk akhirnya meningkatkan graf pencapaian peperiksaan. Lalu bagaimana mahu mengajar dengan menarik ? Jangan lupa, bahawa produk guru adalah manusia @ insan; angka hanyalah manipulasi keperluan lahiriah, tapi pembentukan emosi adalah tuntutan batiniah yang berguna di dunia dan akhirat.

9. Pandangan dan sikap pelajar berkaitan mata pelajaran Sastera Melayu. Sementelahan pula, ada yang mengganggap mempelajari Sastera akan menyeret mereka ke dunia khayalan (dunia melankolis) yang tidak begitu sesuai dengan realiti hidup moden. Mereka sama sekali tidak merasai indahnya isi kandungan dan pemikiran sastera, yang terkandung dalam syair misalnya. Lebih-lebih lagi soal bahasa sastera yang penuh simbol, lambang kias-ibarat sukar dinikmati dan dimengertikan kerana dalam realiti kehidupan seharian, mereka menggunakan bahasa yang ‘keras’ dan langsung. Di sinilah tugas getir guru, bagaimana caranya mendekati kumpulan pelajar yang ‘memusuhi’ bahasa dan sasteranya sendiri. Pelajar perlu disedarkan bahawa hasil dan keperluan bahasa dan sastera tidak diukur dengan ringgit tapi disukat dengan emosi dan jati diri negara bangsa.

10. Penerimaan/ Fahaman pelajar asing (bukan penutur natif)
Kerap kali situasi pengajaran-pembelajaran Kesusasteraan Melayu menjadi sukar kerana masalah penutur asing (bukan penutur natif); guru bukan Melayu mengajar pelajar bukan Melayu, guru bukan Melayu mengajar pelajar Melayu, guru Melayu mengajar pelajar bukan Melayu. Masalah asas adalah soal tidak faham laras bahasa sastera, terutama bilamana menghadapi teks prosa tradisional, puisi tradisional @ syair, sajak dan drama. Ini kerana laras bahasa teks berkenaan lebih banyak bersifat simbolik; lambang, imej, simbol. Keadaan lebih buruk apabila guru yang mengajar, juga tidak cukup keupayaan untuk membimbing pelajar memahami bahasa teks berkenaan. Ini kerana bahan sastera banyak bersangkutan dengan ilmu bantu lain seperti falsafah, budaya, seni dan bahasa. Tentu sekali menyukarkan untuk memahami penggunaan kosa kata arkaik dalam teks tradisional, atau menyelami pemikiran masyarakat pra-tulis dalam teks lipur lara/ hikayat, andainya guru dan pelajar tidak rajin mebelek kamus , membaca teks-teks tradisional lain atau membaca buku tambahan berkaitan budaya-seni-falsafah masyarakat tradisional. Pelajar dan guru juga sukar merasai keindahan pemikiran masyarakat tradisional, andai kunci untuk memahami teks berkenaan, berlandaskan fahaman ruang latar kini. Kesannya, semakin hari pelajar akan semakin tumpul semangat dan keupayaan untuk mendekati bahasa dan sastera Melayu. Sastera dan bahasa akhirnya terus kelihatan asing, dan lesu dalam p-p dan kurikulum pendidikan bangsa.

Penutup

Berdasarkan perbincangan dan pandangan awal yang mampu difikir dan disarankan setakat ini, adalah jelas bahawa pendekatan pengajaran Kesusasteraan Melayu harus di beri nafas baru, sesuai dengan persepsi dan kehendak masyarakat semasa. Semua pihak perlu mengembleng idea ke arah memantapkan usaha bagi memartabatkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Perbincangan yang dilakukan ini hanyalah usaha permulaan ke arah menjadikan pengajaran kesusasteraan lebih menarik bagi mengisi pembinaan modal insan dalam kerangka membina negara bangsa Malaysia di masa akan datang. Justifikasi yang dilontarkan mudah-mudahan memberi input berguna bagi menilai kembali daya tarikan pengajaran pembelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah khususnya pada peringkat tingkatan 4 & 5 bagi menyediakan pelajar untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dengan saranan penambahbaikan pendekatan pengajaran Kesusasteraan Melayu, besarlah harapan agar minat dan penghayatan pelajar terhadap mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dapat ditingkatkan, di samping berdaya saing untuk memenuhi tuntutan semasa masyarakat dan pasaran kerjaya pelajar.
Guru perlu mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kefahaman diri di samping mendalami ilmu pedagogi agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan baik. Kualiti pengajaran amat penting untuk menarik minat pelajar. Seorang guru yang dapat mengajar dengan baik dapat mengubah pandangan pelajar terhadap mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Pengetahuan dan kemahiran guru melaksanakan pelbagai strategi pengajaran adalah penting untuk membentuk pelajar yang berminat terhadap apa yang dipelajari.
Dapatlah dikatakan bahawa pengajaran sastera terutama puisi @ syair berlandaskan pendekatan apresiasi teks dapat membawa pelajar lebih jauh terjun ke dunia penikmatan dan penghayatan karya. Sekaligus menjadikan pengajaran lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna. Guru perlu mengikis sikap lewa yang menganggap Kesusasteraan Melayu adalah mata pelajaran yang ‘menghayutkan ke dunia khayalan’. Sebaliknya guru perlu berusaha gigih bagi meningkatkan kemahiran pedagogi agar dapat mengajar Kesusasteraan Melayu @ puisi tradisional @ syair dengan berkesan. Dengan ini, barulah maruah dan martabat Kesusasteraan Melayu dapat diangkat dan diletakkan pada tempat yang sewajarnya.

(Kertas seminar dibentangkan dalam Seminar dan Bengkel Syair Melayu : Menyemarakkan Warisan Melalui Pendidikan, anjuran Kumpulan Penyelidik Pendokumentasian dan Penotasian Puisi Melayu Tradisional dengan Kerjasama Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 25 Oktober 2007.)

Rujukan

Ahamad Sipon, 2007. Guru Penjana Modal Insan Gemilang. Utusan Malaysia, 31 Mei

Arbak Othman,2003. Semiotik Dalam Penelitian Puisi. Seri Kembangan : Citra Kurnia Enterprise

Asmah Hj. Omar, 1993. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Azman Wan Chik, 1981. Prinsip dan Kaedah Pengajaran Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publication

Dharmawijaya, 1987. Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi. Petaling Jaya : International Book Service

Fatimah Busu, 2003. Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif : Teori dan Proses.Bentong: PTS Publication.

Institut Bahasa, 1992. Siri Risalah Panduan Guru Bahasa Malaysia (KBSM) Jilid 1 – 7. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Institut Bahasa, 1992. Siri Risalah Panduan Guru Bahasa Malaysia (KBSR) Jilid 1 – 7. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Institut Bahasa Melayu Malaysia, 2004. Modul Pengajaran Pembelajaran Komsas Tingkatan 4 dan 5. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, 2007. Modul Pengajaran Pembelajaran Komsas Tingkatan I, 2 dan 3 (Sisipan). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, 2007. Modul Apresiasi Puisi Dalam Pengajaran Pembelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia

Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, 2007. Modul Teknik Bercerita Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur : Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia

Ishak Ramly, 2003. Teknik Mengajar Sastera. Bentong : PTS Publication.

Ismail Kassan, 2000. Restu. Kuala Lumpur; Gapeniaga Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Hati Terkenang Mulut Menyebut. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Bacalah Dalam Bahasamu (Jilid A.) Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Bacalah Dalam Bahasamu Jilid (B.) Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lim Swee Tin, 2003. Dinamika Kreatif; Penulisan Sajak-Teori dan Praktis. Shah Alam : Cerdik Publication

Md. Ishak A. Rahman (ed.), 2006. Koleksi Peperiksaan Sebenar Kesusasteraan Melayu SPM, Shah Alam; Cerdik Publications

Mohd. Fauzi Abdullah, 2001. Teknik Pengajaran Puisi Tradisional dan Moden. Kertas Kerja Seminar Pedagogi Sastera, Hotel Quality Kuala Lumpur, 11 – 13 Jun

Mohd. Fauzi Abdullah, 2007. Penggunaan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Bilik Darjah : Ke Arah Perancangan dan Pelaksanaan yang Berkesan. Kertas Kerja Seminar Bahasa Melayu 2007 Untuk Guru Bahasa Melayu Singapura; Maktab Rendah Innova Singapura, 29 Mei.

Mohd. Fauzi Abdullah, 2007. Memotret Semula Sastera Tradisional Dalam Kurikulum Kesusasteraan Melayu Elektif – Beberapa Pandangan Awal. Kertas Kerja Seminar Kesusasteraan Melayu ke Kerjaya (KMKK II) Anjuran DBP – NUTP. Hotel International KL, 4 -5 Jun.

Mohd. Kassim Ismail, 1992. Pendidikan Kesusasteraan Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu. Kertas Kerja Seminar Sastera Remaja Kebangsaan. Institut Bahasa, Kuala Lumpur, 8 – 10 Ogos.

Mohd. Kassim Ismail, 1994. Membina Budi Fikir dan Rasa Melalui Kesusasteraan dalam Jurnal Pendidikan Bahasa. Kuala Lumpur : Institut Bahasa.

Muhammad Hj. Salleh, 2000. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

Othman Puteh (Peny.), 1996. Pengajaran Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum, 1994. Unsur Sastera Dalam Pendidikan Bahasa Melayu (KBSM); Contoh Pengajaran Dan Pembelajaran Tingkatan IV - V. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 1994. Unsur Sastera Dalam Pendidikan Bahasa Melayu (KBSM); Contoh Pengajaran Dan Pembelajaran Tingkatan I - III. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 1994. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSM). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 1994. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSM) Tingkatan I - V. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 1998. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSR) Edisi Sekolah Bestari. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 1998. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSM) Edisi Sekolah Bestari. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2000. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSM). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSM) Tingakatan 1 - V. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003. Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu (KBSM). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003. Huraian Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu (KBSM). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2004. Kertas Kerja Seminar Peningkatan Prestasi Kesusasteraan Melayu Peringkat Kebangsaan. Kuala Lumpur : Hotel Dynasty, 17-20 Ogos

Pusat Perkembangan Kurikulum, 2006. Kertas Kerja Persidangan Amalan Terbaik Pengajaran Bahasa Melayu. Subang Jaya: Summit Hotel, 6-9 Nov.

Rahman Shaari, 1987. Penilaian dan Penghayatan Sastera. Selangor : Marwilis Publisher

Rahman Shaari, 2005. Anjung Deklamator. Ampang : Pekan Ilmu.

Syed Muhammad Naguib Al-Attas, 1972. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia

Thahir Nuruddin, 2006. Kefahaman Guru tentang Konsep dan Strategi Pengajaran Komponen Kesusastereaan Melayu Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak. Tesis Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu, tidak diterbitkan.

Comments