24 Nov 2012

Bimbingan Karya : Penulisan Syair




Definisi Syair

Menurut Mohd, Yusuf Md. Nor(1985) syair dikatakan berasal daripada puisi Arab iaitu sy’ir tetapi bentuk syair Melayu amat berbeza dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab.
Keseluruhan pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu,istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu ( Harun Mat Piah,1989 )

Orang Melayu mula mengenali syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu. Dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) terdapat syair dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan selepas itu syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab
Keseluruhan pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu, istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab. Syair kekal dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu(Harun Mat Piah, 1989). Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa syair Melayu juga dipengaruhi oleh syair atau puisi Arab(Islam)

Ciri-Ciri Syair

Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima a,a,a,a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat juga variasi bentuk-bentuk yang lain. Walau bagaimanapun, variasi ini hanyalah kepada bentuk visualnya sahaja khususnya daripada aspek rima akhir.

Ciri-ciri khusus syair adalah sebagaimana berikut:

1. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
2. Setiap baris syair mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan.
3. Mempunyai antara 8 hingga 12 jumlah suku kata sebaris.
4. Rima baris berirama sama dan berakhir dengan ‘ a-a-a-a’.
5. Dalam syair, setiap 1 baris terdapat suatu hentian (pause)
6. Setiap rangkap memerlukan beberapa rangkap yang berurutan untuk memberi idea yang lengkap.
7. Syair juga ialah satu pernyataan yang berlarutan. Contohnya untuk mengemukan cerita, kisah, buah fikiran, nasihat dan puji-pujian.
8. Mempunyai awalan dan akhiran.

Perhatikan bagaimana struktur syair di bawah ini :
Pada zaman dahulu kala (a)
Tersebutlah sebuah cerita (a)
Sebuah negeri yang aman sentosa (a)
Dipimpin sang raja nan bijaksana (a)
Negeri bernama Pasir Luhur (a)
Tanahnya luas lagi subur (a)
Rakyat teratur hidupnya makmur (a)
Rukun raharja tiada terukur (a)
Raja bernama Darmalaksana (a)
Tampan rupawan elok parasnya (a)
Adil dan jujur penuh wibawa (a)
Gagah perkasa tiada tandingnya (a)
Jenis-Jenis Syair

Menurut Harun Mat Piah ( 1989:242 ), berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita ( naratif ) dan bukan cerita ( bukan naratif ).

Syair yang berupa cerita ( naratif ) :
i Syair romantis
ii Syair sejarah
iii Syair keagamaan
iv Syair kiasan

Syair bukan cerita ( bukan naratif ) :
i Syair agama
ii. Syair nasihat


Fungsi Syair

1. Sebagai hiburan – sesuai dengan sifatnya yang demikian maka syair sering dilagukan dalam majlis-majlis tertentu seperti dalam pesta dan keramaian, dipertandingkan atau dalam upacara-upacara adat.

2. Alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran agama Islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya. Kemerduan suara “tukang lagu” dan kelembutan nada syair berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam.

3. Berfungsi dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan masyarakat
i. Ketika sambutan maulud
ii. Dinyanyikan atau dilagukan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dalam dabus dan boria ke
iii. Digunakan dalam adat perkahwinan

Contoh Syair


Syair Perahu
Oleh Hamzah Fansuri.

Inilah gerangan suatu madah,
Mengarangkan syair terlalu indah,
Membutuhi jalan tempat berpindah,
Di sanalah ikhtikad diperbetuli sudah.

Wahai muda kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman,
Hasilkan kemudi dengan pedoman,
Alat perahumu jua kerjakan,
Itulah jalan membetuli insan.

Perteguh juga alat perahmu,
Hasilkan bekal air dan kayu,
Dayung pengayuh taruh di situ,
Supaya laju perahumu itu.

Sudahlah hasil kayu dan air,
Angkatlah pula sauh dan layar,
Padi beras bekal janganlah taksir,
Nescaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
Muaranya sempit tempatmu lalu,
Banyaklah di sana ikan dan hiu,
Menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikan pun banyak,
Di sanalah perahu,karam dan rosak,
Karangnya tajam seperti tombak,
Ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang,
Riaknya rencam ombaknya garang,
Ikan pun banyak datang menyerang,
Hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
Di manakah lalu sampan dan rakit,
Jikalau ada pedoman dikepit,
Sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
Hasilkan pendapat dengan tali sauh,
Anginnya keras ombaknya cabuh,
Lailahaillallah akan tali teguh.

Barangsiapa bergantung ke situ,
Teduhlah selebu yang rencam itu,
Pedoman betuli perahumu itu,
Selamat engkau ke pulau itu.

Lailahaillalah jua yang engkau ikut,
Di laut keras taufan dan rebut,
Hiu dan paus di belakang menurut,
Bertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Sailan terlalu dalam,
Di sanalah perahu rosak dan karam,
Sungguhpun banyak di sana penyelam,
Larang mendapat permata nilam.

Laut Sailan Wahid al-Qahhar,
Raknya rencam ombaknya besar,
Anginnya sonsongan membeluk sangkar,
Perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
Ke sanalah kita semuanya berpindah,
Hasilkan bekal dan juadah,
Selamatlah engkau sempurnalah musyahadah.

Sailan itu ombaknya kisah,
Banyak akan ke sana berpindah,
Taufan dan ribut terlalu azamah,
Perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut kalzum terlalu dalam,
Ombaknya muhit pada sekalian alam,
Banyaklah di sana rosak dan karam,
Perbaiki nan siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
Laut deras bertambah dalam,
Angin pun keras ombaknya rencam,
Ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
Angin yang keras menjadi teduh,
Tambahan selebu tetap yang cabuh,
Selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah Ahad dengan masanya,
Datanglah angin dengan paksanya,
Belayar perahu sidang budimannya,
Belayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
Ilmu Allah akan dayungnya,
Iman Allah nama kemudinya,
Yakin akan Allah nama pawangnya.

Taharah dan istinjak nama lantainya,
Kufur dan maksiat air ruangnya,
Tawakal akan Allah jurubatunya,
Tauhid itu akan sauhnya.

Lailahaillalah akan talinya,
Kamal Allah akan tiangnya,
Assalammualaikum akan tali lenggangnya,
Taat dan ibadat akan dayungnya.

Selawat akan nabi tali bubutannya,
Istighfar akan Allah akan layarnya,
Allahu akhbar nama anginnya,
Subhanallah akan lajunya.

Allahu a’lam nama rantaunya,
Iradat Allah nama bandarnya,
Kudrat Allah nama labuhnya,
Syurga Jannat anna’im nama negerinya.

Sumber: Zuber Usman,1969.
Kesusasteraan Lama Indonesia, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung.

Syair Pesanan Ibu – Zurinah Hassan

Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran,
Hanyalah itu jadi bekalan,
Untuk hidup di masa depan

Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri,
Itulah tanda orang jauhari.

Hidupmu kini di masa remaja,
Bagaikan permata amat berharga,
Jangan jatuh ke lembah hina,
Nanti menyesal tidak berguna.

Kalau hidup terasa susah,
Sering berhadapan dengan masalah,
Hadapi dengan hati yang tabah,
Jangan cepat resah gelisah.

Syaitan menggoda bertambah gundah,
Jangan mengambil jalan yang mudah,
Jangan sekali mencuba dadah,
Kalau terjerat sesal tak sudah.

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Dunia bagai lautan dalam,
Gelomang besar karangnya tajam,
Di situ banyak kapal tenggelam,
Ramailah insan yang telah karam.

Ingatlah wahai anakku sayang,
Tanah indah pusaka moyang,
Jangan terlepas ke tangan orang,
Sedangkan kita miskin terbuang.


Kaedah Menulis Syair

1. Penghasilan cerita dalam syair
Syair merupakan puisi Melayu tradisi yang mementingkan penceritaan di dalam karyanya. Jika sebuah syair bersifat naratif, maka aspek penceritaan di dalamnya akan lebih ketara. Namun syair yang bukan naratif masih perlu mengekalkan aspek nasihat, pengajaran, dan mesej dalam isi syair berkaitan. Oleh itu aspek penceritaan masih kukuh dalam syair begini.

Penting bagi penulis dalam menghasilkan syair adalah memikirkan penceritaan yang jelas dalam syair dihasilkan. Berdasarkan keperluan peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM kebiasannya anda diminta menghasilkan dua rangkap syair.

Pastikan bahawa penceritaan atau isi syair adalah menepati tema yang diberikan. Penulis perlu ingat bahawa antara rangkap 1 dan rangkap 2 syair perlu ada pertalian cerita atau isi yang jelas. Ciri sedemikian merupakan aspek penting dalam penghasilan syair. Rangkakan isi syair yang berturutan dari rangkap 1 hingga rangkap berikutnya.

2. Bahasa dalam penghasilan syair
Amat penting dalam penghasilan syair adalah penggunaan gaya bahasa yang puitis, indah dan menarik. Meskipun bahasa syair kadangkala dilihat begitu mudah tetapi ia mengandungi unsur keindahan dan kehalusan estetik yang menarik.

Sebagai persiapan dalam menghasilkan syair, penulis perlu banyak meneliti syair yang telah dihasilkan. Perhatikan aspek bahasa dalam penulisan syair tersebut. Syair perlu menggunakan bahasa Melayu yang puitis serta arkaik sifatnya. Pengunaan bahasa moden seperti teknologi, komunikasi dan sebagainya perlu dielakkan. Gunakan bahasa yang mudah di samping tinggi nilai estetik bahasanya.

Perhatikan bahasa dalam syair berikut :

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Jelas bahawa syair di atas menggunakan bahasa yang menarik dan puitis. Pemilihan kata yang tepat amat penting dalam menentukan keindahan sebuah syair.

Gunakan kemahiran berbahasa dan penggunakan gaya bahasa yang menarik dalam penulisan syair seperti penggunaan gaya bahasa pengulangan kata, aliterasi, asonansi, simile, metafora, personifikasi, dan sebagainya.

3. Kekalkan ciri-ciri syair dalam penulisan
Syair merupakan puisi Melayu tradisional yang memiliki struktur yang terikat. Oleh itu syair yang dihasilkan perlu mengekalkan aspek ciri-ciri utama syair.

Penggunaan diksi dalam setiap baris hendaklah antara 4 hingga 5 patah perkataan dengan suku katanya antara 8 hingga 12 suku kata sebaris. Jika kata yang digunakan dalam setiap baris melampau jumlah tersebut keindahan syair akan hilang dan terasa janggal. Oleh itu pemilihan kata yang tepat amat penting agar tidak berlaku pembaziran kata dalam penghasilan karya berkenaan.

Rima akhir syair adalah terikat kepada aaaa. Pastikan rima akhir yang terhasil mematuhi keperluan ini. Rancang penggunaan kata yang tepat dan betul serta menepati keperluan rima akhirnya.

Kekalkan struktur baris syair iaitu empat baris serankap. Penulis perlu memilih kata-kata yang sesuai untuk menyampaikan maksud dari baris pertama hingga baris keempat dalam setiap rangkap. Elakkan berlaku keterpenggalan maksud atau tidak berlaku kesatuan makna dalam ciptaan syair. Setiap rangkap syair akan membawa penceritaan secara sambung bersambung.

Setelah syair disiapkan penulis perlu menyemak karya yang dihasilkan terutama untuk memastikan keperluan struktur syair itu dipenuhi. Buang perkataan yang tidak penting atau dianggap tidak memberi makna yang tepat atau melebihi keperluan jumlah perkataan sebaris.

4. Hasilkan syair yang sempurna
Kesempurnaan sebuah karya sastera seperti syair adalah dari aspek pematuhan terhadap ciri-ciri syair itu sendiri. Pastikan rima akhir aaaa, empat baris serangkap dan jumlah kata dan suku kata bertepatan.

Tulis tajuk yang sesuai di bahagian atas syair. Tajuk ini penting sebagai kesempurnaan penghasilan syair. Tajuk hendaklah sesuai dengan tema yang diberikan. Tajuk syair boleh dimulakan dengan ungkapan syair seperti Syair Akhlak Mulia atau ditulis tajuk Akhlak mulia sahaja.

Penutup
Sebagai persiapan cubalah berlatih menghasilkan syair mulai sekarang.

Tulis dua rangkap syair berdasarkan tema berikut :

1. Kepentingan Ilmu
2. Akhlak Mulia
3. Berbudi Bahasa
4. Cinta Tanah Air
5. Alam Sekitar

Selamat mencuba.

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena