Naratif Baru Amalan Pendidikan Bahagian 3

Naratif Baru Amalan Pendidikan
Bahagian 3




Apabila Menteri Pendidikan Malaysia YB Dr Maszlee menyebut tentang cinta dan nilai di sekolah atau bilik darjah, inilah yang perlu dikembalikan ke dalam acuan pendididkan kita. Sesudah begitu banyak kita dikasari oleh taklukan peperiksaan dan murid yang dipacu persis kuda perang untuk mencapai matlamat KPI dan GPS sekolah. Maka kita tidak memandang ke lain arah dan yang paling kita tak melihat adalah wajah anak-anak kita sendiri. Tak pernah bertanya apa yang sedang awak alami?  Adakah awak sakit? Adakah awak rasa kurang yakin? Guru dan murid berjauh jarak oleh hambatan peperiksaan. Semua mahau dipaksa mengalir dalam saliran hambatan produk akhir yakni bilangan A.

Kita jadi tak menghirauakan hati dan emosi anak-anak di bilik darjah. Tak pernah mengalih pandangan dan menatap mereka dengan mata pengertian. Kesibukan itu menjadikan segala kasar dan tajam termasuk dalam hubungan insan. Tiada pautan antara guru murid sekadar bertembung dan bersua di bilik darjah. Emosi tak bersentuhan apalagi hati tak bersalaman. Semua menjadi asing di mana murid merasa guru mereka ada tetapi terlalu formal hubungannya. Manakala guru pula tidak cuba melihat inti sanubari sang anak di depannya. Di mana ada sabda cinta?  Melayang jauh entah ke mana sehingga pada saat murid kritikal sakitnya baru guru sedari. Dan ada pula muridnya menganggap guru musuh utamanya.

Banyak cerita perih yang kita baca dan menjadikan hubungan guru murid amat asing, Inilah yang dihasratkan dalam naratif baru ini untuk mengembalikan cinta ke dalam bilik darjah. Jalinan dan hubungan guru murid berteraskan rasa cinta, kasih sayang dan saling menghormati. Guru melihat perbezaan ada pada muridnya dan menjadikan perbezaan itu bukan masalah tetapi suatu yang harus dikongsi bersama. Bila guru memberi pensel warna untuk muridnya bukan guru yang menentukan apa yang harus dilukis oleh muridnya tentang sekuntum bunga. Terserah pada murid dan emosinya, ekspresinya dan jiwanya mentafsir bagaimana sekuntum bunga yang perlu dilukis. Tidak banyak arahan dan paksanaan guru sebaliknya guru membuka seluas-luasnya akal danm fikir untuk memungkinkan ketajaman kreatif dan sensitiviti bergemerlapan. Guru menjadi pendorong, pembimbing atau rakan yang mahu membantu murid dengan nasihat dan bimbingan. Selebihnya murid mencuba sedaya upaya melukis sekuntum bunga dengan emosi dan taakulannya.

Inilah perubahan yang kita harap mampu menghasilkan sempadan baru yang penuh hormat, kasih sayang dan cinta.  Murid tidak lagi melihat guru sebagai guru tetapi orang yang paling dihormatinya kerana guru telah mendidik dan membimbingnya menjadi manusia, mengenal kasih sayang dan cinta, mendorong jiwanya ketika dia lemah dan terapung hanyut, memberi kata nasihat dan mengembalikan semangat serta memuji dirinya ketika dia antara yang terbaik berbuat sesuatu. Gurunyalah menyuburkan hatinya dengan asuhan nilai dan bimbingan semangat. Murid ini mengerti dan tahu mengapa gurunya ada di sekolah - kerana mahu membimbing dirinya menjadi manusia.

Begitu juga dengan sang guru yang turut belajar memahami murid-muridnya. Dia melihat apa yang lemah dan kurang, melihat apa yang diperlukan oleh murid-murtidnya. Dialah yang tekun dan sabar dengan perangai dan kerenah muridnya tapi mencuba dan mencuba mendidik mereka menjadi insan.  Jika melihat ada yang khilaf dan tersasar dengan lembut nasihat dan indah bahasanya guru membuka pintu keinsafan muridnya. Di depannya adalah insan yang perlu dilentur untuk menjadi manusia. Segala perbezaan dan kelainan diraikan bersama. Dia belajar ilmu baru dari kepelbagaian muridnya.

Dia sekarang berdiri penuh cinta dan kasih sayang dikerumuni murid-murid yang membawa mangkuk harapan minta diisikan.
Terlalu mulia baktimu guru...



Comments