Majlis Bicara Karya Tree of Sorrow: Calon Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2016
Oleh NURDIANA MOHD NUR
Calon Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin (ASAD) 2016, Malim Ghozali Pk.
Ketokohan dan kehebatan dalam bidang penulisan dan sastera telah menaikkan nama Malim Ghozali Pk apabila beliau menerima anugerah S.E.A. Write Award (Malaysia) pada tahun 2013 di Bangkok, Thailand. Penglibatan beliau dalam dunia penulisan sastera kian mendapat perhatian apabila dinobatkan sebagai Sasterawan Perak ke-3 pada tahun 2014 oleh Kerajaan Negeri. Dan, nama tokoh hebat ini semakin dikenali apabila beliau dicalonkan bagi Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin (ASAD) 2016 menerusi karya terjemahannya Tree of Sorrow yang diterjemah daripadanovel Luka Nering terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sehubungan dengan itu, pada 10 Mac 2016 yang lalu, bertempat di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), telah diadakan Majlis Bicara Karya Tree of Sorrow: Calon Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin (ASAD) 2016, karya Malim Ghozali Pk. Majlis ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Malaya (UM) dan Akademi Pengajian Melayu (APM).
Majlis yang diadakan ini adalah untuk mempromosikan karya Malaysia yang dicalonkan ke ASAD 2016 yang menepati standard kesusasteraan peringkat dunia. ASAD 2016 ialah anugerah yang dianjurkan oleh Dublin City Council bagi novel yang ditulis dalam bahasa Inggeris atau novel yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 2016, anugerah ini memasuki tahun ke-21 penganjurannya.
Pengarah APM, UM, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan menyampaikan ucapan alu-aluan.
Tuan Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP ketika menyampaikan ucapan.
Majlis bicara karya ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah APM, UM, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Dalam ucapan, beliau berharap agar majlis ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan kerjasama yang terjalin antara DBP dan APM dapat diteruskan dalam program-program yang lain. Seterusnya, Tuan Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP yang mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP turut menyampaikan ucapan.
Majlis bicara karya ini menampilkan Prof. Dr. Abdul Rahman Napiah atau dikenali sebagai Mana Sikana, sebagai pembicara, dan Prof. Dr. Mokhtar Abu Hassan selaku moderator.
Prof. Dr. Abdul Rahman Napiah atau dikenali sebagai Mana Sikana, sebagai pembicara dalam majlis tersebut.
Prof. Dr. Abdul Rahman Napiah atau dikenali sebagai Mana Sikana, sebagai pembicara dalam majlis tersebut.
Menurut Abdul Rahman Napiah, novel Tree of Sorrow, karya terjemahan daripada karya asalnya, Luka Nering merupakan novel Malim Ghozali Pk yang membawa gaya naratif yang kuat dan mempesonakan. Novel ini mengandungi unsur-unsur magis dan realisme, dapat membangkitkan emosi dan daya fikir khususnya dalam konteks persejarahan tanah air.
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat nilai-nilai moral dalam karya ini. Antaranya ialah percintaan luar biasa – kesetiaan anak raja, nilai kekeluargaan (dalam istana), serta persahabatan antara raja dan kakitangan hospital.
Majlis ini diharapkan bukan sahaja dapat mempromosikan pengkarya dan novel terbitan DBP, malah dapat mengetengahkan karya yang bermutu kepada masyarakat umum sehingga ke peringkat antarabangsa. Seterusnya memberi semangat kepada pengkarya lain untuk terus memajukan diri dalam bidang penulisan dan kesusasteraan.
klikweb
Luka Nering Persejarahan Baharu
Baharuddin Kahar
25 Januari 2015
NOVEL Luka Nering (DBP - 2014) karya Malim Ghozali PK, sejauh ini bolehlah diterima sebagai karya beliau yang terbaik, mantap dan paling menyerlah dibandingkan dengan novel-novelnya yang terdahulu. Pengaliran naratif sungguh memikat, segar dan mempesonakan. Tidak sedikit pun terkesan ia dibuat-buat, malah terasa cukup bertenaga dan bersahaja dengan bahasa yang murni dan cantik.
Luka Nering setebal 389 halaman ini dimulai dengan prolog dan diakhiri dengan epilog. Dalam prolog, Malim Ghozali telah membuka kunci terhadap persoalan yang harus dihadapi oleh pembaca — menyediakan pelbagai tapak tentang sikap dan perjuangan Tengku Cik yang dianggap wira yang agak rebellius terhadap Inggeris dan berdendam terhadap Perjanjian Pangkor (1874). Tengku Chik dilihat tidak mungkin akur terhadap kebejatan dan kelicikan Inggeris. Dia sayangkan bangsa dan negaranya. Meskipun diasuh di istana, dia lebih berjiwa rakyat. Lebih dekat kepada golongan marhaen ataupun rakyat biasa.
Membaca Luka Nering secara menyeluruh, dapat dilihat ia adalah sebuah novel yang merujuk, berpaksi dan berasaskan sejarah. Malim Ghozali PK dilihat memberikan penekanan yang dominan tentang persejarahan baru — sejarah tanah air ini perlu ditulis oleh sejarawan Melayu. Dengan itu barulah nada atau roh sejarah itu tidak berat sebelah atau dengan halus dapat dimanipulasi oleh sejarawan Inggeris. Dengan itu barulah dapat diangkat kebenaran tentang perkara yang telah berlaku. Kita tidak seharusnya terus-menerus menelan saja yang ditulis oleh sejarawan Inggeris. Dengan kata lain sejarah tanah air ini harus ditulis oleh sejarawan Melayu daripada kaca mata dan nurani tempatan.
Luka Nering ialah sebuah teks yang kuat dan mampu menggugah daya fikir serta emosi. Kita menjadi amat kesal tentang sesuatu yang berlaku selama ini, khususnya pada konteks persejarahannya. Kita menjadi amat terkilan tentang yang berlaku terhadap bangsa dan tanah air oleh keserakahan dan kelicikan penjajah, terutamanya Inggeris. Kita merasa cukup terluka apabila institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan Melayu, agama dan jati diri diperkotak-katik oleh Inggeris dan sekali gus membenam maruah bangsa kita ke lumpur kedaifan.
Dalam pada itu, kita tentu tertanya-tanya mengapa Malim Ghozali memberikan tajuk novelnya ini Luka Nering. Sedikit sebanyak ini tentu akan mengajak atau memancing kita untuk mengenal tanda dan lambang sebagai latar belakang falsafah atau premis falsafah yang tersirat. Nering ialah sebatang pohon yang biasanya besar dan agam, mampu melawan ribut. Jika ditiup angin yang sedikit kencang ia akan melahirkan melodi yang pasrah alam dengan segala macam keharmoniannya. Ia gagah dan rimbun, tempat berteduh daripada hujan dan panas — “Kalau hujan, kita berteduh di bawahnya, kita tak basah.” Begitu kata Haji Pohon Nering, seorang pelaku yang agak penting dalam novel ini.
Pokok nering itu sebenarnya ialah lambang, kalau tidak pun ikon kepada Melayu dan institusi raja. Jadi jika pohon nering itu luka bererti orang Melayu yang luka. Institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan bangsa, agama, maruah dan jati diri itulah yang luka. Memang kedaulatan Melayu dan institusi raja telah terluka berulang kali sepanjang sejarah dan tamadunnya.
Novel ini adalah sebuah manifestasi perjuangan dan persejarahan baharu yang diadun dengan cukup berseni dan segar oleh pengarangnya. Ia adalah satu bentuk manifestasi perjuangan mempertahankan hak, kedaulatan dan kebenaran yang telah diwarisi sejak dulu. Ini mungkin sekadar satu titik paling minimum dalam kerangka perjuangan pejuang sepanjang sejarah perjuangan umat manusia. Tetapi ia masih tetap satu manifestasi yang tergolong dalam kategori itu. Biasanya golongan ini, tokoh yang jujur, ikhlas dan benar selalunya kalah dan dikucilkan.
Sebagai manifestasi perjuangan dan persejarahan baharu, Malim Ghozali membina pengkisahan karyanya di sekitar watak lingkaran Tengku Chik. Dalamnya berbaur kisah-kisah yang menyangkut soal konflik antara kebejatan dan kekuasaan Inggeris dan pengaruhnya- diwakili (Osborne) dengan kedaulatan bangsa dan tanah air, khususnya orang Melayu diwakili oleh Tengku Cik. Terdapat juga soal percintaan yang menempuh dugaan dan cabaran, soal pengkhianatan serta konspirasi dalam perebutan jalur takhta di istana.
Sebagai sebuah karya moden, urutan struktur naratif novel ini tidak dibina mengikut kronologi, malah imbas kembali tidak menentu dan timbal balik sehingga kelihatan agak segmental atau episod yang terkerat-kerat. Tetapi ini bukanlah kelemahan malah kekuatannya, sesuai dengan alir fikiran watak sentralnya Tengku Chik. Malim Ghozali dilihat memilih cara itu bukan sahaja untuk memberikan kepadatan tentang idea dan mesejnya, tapi turut disesuaikan dengan gerak fikir dan arus kesedaran Tengku Chik.
Terdapat beberapa elemen sastera yang cukup menarik yang perlu juga disentuh sebagai ciri istimewa yang turut memantapkan novel ini. Malim Ghozali dalam beberapa hal dilihat cuba mewujudkan elemen foreshadowing yang berfungsi kuat dan menarik. Sebagai contoh, tentang kematian Haji Pohon Nering kerana diserang Naning. Malim Ghozali telah menyentuhnya atau memberikan bayangannya yang agak banyak.
Satu hal lagi yang dilihat sangat menarik ialah timbulnya kemungkinan lain yang bergerak pada arus bawah sedar. Terasa Malim Ghozali begitu mahir dan cuba menggabungkan alam bawah sedar dan realiti tanpa sempadan.
Kemudian pada penghujung bab ke 21 sebelum epilog, kita dikejutkan oleh kedatangan seorang lelaki Cina bernama Ah Siong, iaitu anak kepada Ah Kiong yang pernah dicederakan oleh Tengku Chik di rumah rehat pada hari DO Osborne terbunuh. Lelaki Cina itu menembak Tengku Chik dengan cuma menggunakan jarinya sama seperti permainan tembak-tembak oleh kanak-kanak. Apakah mungkin sebenarnya Tengku Chik telah hanyut oleh tekanan dan pil-pil yang diambilnya selama bertahun-tahun itu yang telah mula menunjukkan kesannya. Apakah mungkin (dengan segala klu) yang disisipkan Malim, sebenarnya Tengku Chik pada bab 21 itu telah terbenam dalam dunia bawah sedarnya? Dia sesungguhnya tidak ke mana-mana, ada di dalam wadnya. Dan jika ini benar, bererti epilog dan harapan yang membuai pada epilog itu juga sebagai kemungkinan ilusinya juga, kerana dengan pil-pil yang ditelannya selama bertahun-tahun telah menjadikan dia seorang ilusionis yang parah.
Sebagai kesimpulannya, Luka Nering adalah sebuah karya yang kuat. Gaya naratif Malim Ghozali PK sangat memukau dan mempesonakan. Elemen-elemen atau ciri-ciri sasteranya menarik dan meyakinkan. Jika kemungkinan-kemungkinan pada bab-bab penghujung novel ini diambil kira, Malim Ghozali telah mula menuju ke arah gaya penulisan pascamoden yang lebih mencabar.
utusan online
Sastera Pentas Terbaik Untuk Melontarkan Hujah
MOHAMED Ghozali bin Abdul Rashid atau Malim Ghozali PK telah terpilih sebagai penerima S.E.A. Write Award tahun 2013. Klik Web telah mewawancara beliau untuk mendapat sedikit pandangan beliau tentang diri, pengalaman berkarya dan pandangan beliau terhadap kesusasteraan secara umum.
Malim Ghozali PK
Tahniah kerana dipilih sebagai penerima SEA Write Award. Apakah perasaan apabila diumumkan sebagai penerima?
Sudah tentu saya bersyukur dan gembira. Sayang, orang-orang yang memerhatikan perkembangan saya sebagai penulis — terutama ibu dan ibu saudara saya sudah lama menyahut panggilan Ilahi.
Tidakkah saudara rasa lambat berbanding dengan sesetengah penulis yang menerimanya pada usia yang jauh lebih muda?
Itu tidak menjadi isu kepada saya. Bila dan bagaimana itu semua ketentuan daripada-Nya. Lagi pun saya menganggap diri saya sebagai pengarang “keluar masuk” — karya (sajak) mula terbit pada tahun 1968, kemudian berhenti menulis pada tahun 1970. Menulis semula tahun 1985, kemudian berhenti pula pada 1990. Selepas itu tidak menulis selama enam belas tahun, sehinggalah terjun semula pada 2006. Apa pun, semasa saya “hilang” selama 16 tahun (1990 – 2006), saya berjaya menghasilkan buku kajian al-Quran. Cuma, saya meninggalkan bidang penulisan kreatif buat sementara waktu, mengalihkan tumpuan kepada bidang penyelidikan. Jadi, jumlah tahun sebenar saya berkarya dalam genre puisi, cerpen dan novel hanyalah empat belas tahun. Namun demikian, saya gembira kerana hasil karya saya masih relevan.
Saudara bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dengan beberapa jawatan penting selama 21 tahun. Bagaimana saudara dapat membahagi-bahagikan masa?
Kadang-kadang peristiwa dan fenomena yang berlaku di sekeliling kita, tidak perlu dirakamkan secara spontan. Barangkali, kita akan menyimpannya dalam kotak fikir. Apabila kita rekodkan secara begitu, jarang ia kehilangan. Sampai suatu ketika, kita boleh menuliskannya semula pada kertas.
Sebagai contohnya, saya bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah 1 Daerah Kecil Slim River pada tahun 1974-1976. Tetapi semasa saya bertugas sebagai Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 1983-1984, barulah saya menghasilkan cerpen “Tuan DO”. Cerpen tersebut tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1985.
Berdasarkan pengalaman berburu pada tahun 1975 di daerah yang sama, saya turut menghasilkan cerpen “Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim” pada tahun 2012, iaitu 37 tahun selepas perburuan itu berlaku. Saya beruntung kerana mempunyai daya ingatan yang kuat.
Apakah matlamat saudara menggauli dunia penulisan sastera?
Pertama, berkongsi pengalaman. Tidak mungkin pengalaman seseorang itu serupa. Jadi saya membaca autobiografi dan biografi orang untuk melihat liku-liku hidup mereka. Kita boleh juga menyampaikan falsafah, taakulan dan pemikiran secara halus dan berhemah dalam karya.
Kedua, tidak mungkin kita menjadi penulis tanpa pada masa yang sama menjadi seorang pembaca. Ada simbiosis antara membaca dengan menulis. Jadi, dunia sastera memberi kita peluang untuk memperluaskan pembacaan. Lebih banyak kita membaca, lebih banyak maklumat yang kita kutip.
Saudara bukan sekadar memperjuangkan keagungan bangsa Melayu, malah menelusur falsafah dan pemikiran tinggi bangsa Melayu yang sebati dengan Islam.
Bangsa Melayu mempunyai koridor sejarah yang panjang — lebih kurang 1,500 tahun, yang bermula di Sungai Melayu, di Tanah Andalas. Tasawur bangsa Melayu atau pandangan hidupnya meliputi seluruh aspek kehidupan. Daripada cara hidup bermasyarakat hinggalah kepada sains dan ilmu pelayaran terkumpul dalam kompendium bangsa Melayu.
Orang Melayu telah faham tentang thermo dynamics dan bouyancy sejak lama. Lalu mereka membina kapal-kapal yang mampu belayar jauh hingga membuka tanah-tanah baharu seperti Republik Malagasy, yang sekarang dikenali sebagai Madagascar. Jadi, ada banyak pelajaran yang dapat dijadikan subjek penulisan. Bukankah salah satu tujuan berkarya itu menghayati pencapaian dan mengharumkan nama bangsa?
Saudara dikatakan sering memberontak dalam karya. Komen?
Memberi pandangan alternatif tidak boleh disamakan dengan memberontak. Karya merupakan sudut pandangan si pengarangnya. Pengarang memberikan falsafah dan sudut pandangannya dengan memberikan hujah dan rasional. Sekiranya sesebuah karya itu ditulis tanpa hujah bagi mewaraskan apa-apa yang ingin disampaikan, itu barangkali boleh dianggap sebagai karya yang memberontak, yakni menyampaikan pandangan secara melulu. Karya-karya saya mempunyai hujah untuk mewaraskan setiap sudut pandangan.
Hasil karya saudara secara relatif sedikit berbanding dengan usia; tiga buah novel, dua kumpulan cerpen dan tiga kumpulan puisi, padahal itu kekuatan saudara.
Seperti yang saya sebutkan awal tadi, dari segi bilangan tahun saya bekarya, hanyalah empat belas tahun. Sepanjang tempoh tersebut saya menghasilkan tiga buah novel, (yang keempat, Luka Nering, sedang dalam penerbitan), tiga buah kumpulan puisi (yang terbaru, Sajak-sajakku Tak Pernah Tahu, baru saja terbit), tiga buah kumpulan cerpen (kumpulan yang ketiga, Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim sedang dalam penerbitan DBP), sebuah buku kajian al-Quran (Kebenaran Mutlak Memahami Kesempurnaan (KMMK)) dan tiga buah buku mewah, Kampung-kampung Tersohor di Sepanjang Sungai Perak, Mendayung ke Muara Cabaran-cabaran Mutakhir dan Mendatang dan Hotel Syariah De Palma: Konsep dan Pelaksanaan. Sekiranya bilangan buku-buku ini, empat belas buah kesemuanya, dibahagikan dengan jumlah tahun menulis sebenar, kesannya saya telah menghasilkan sebuah buku setahun. Namun, saya tidak pernah menyorotnya sedemikian. Lagipun, untuk mengkaji dan menghasilkan buku kajian al-Quran (KMMK), memakan masa yang sangat panjang.
Akhir-akhir ini saudara mendekati Islam, terutamanya mengkaji al-Quran. Apakah yang mendorong saudara berbuat demikian?
Saya mula mengkaji al-Quran secara serius mulai 1990. Apa sahaja yang difahami tentang sains, fizik dan matematik sudah diperjelaskan oleh al-Quran. Prinsip-prinsip tegar dalam fizik seperti E=mC dan Prinsip Heisenberg misalnya, boleh kita pelajari lewat surah an-Nur dan surah al-Fath. Saya berpeluang memperjelaskannya menerusi televisyen, ceramah di kolej, universiti, surau dan masjid, sama ada di dalam mahupun di luar negara, termasuk di Amerika, Perancis dan Bulgaria.
Kita boleh belajar di mana-mana sahaja tetapi pada analisis terakhir kita harus merujuk semula kepada al-Quran. Di situlah tersimpannya kemuncak segala ilmu. Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan menerbitkan kajian biologi menggunakan al-Quran sebagai sumber, khususnya dalam kejadian manusia, iaitu J12 – Matematik dalam Kejadian Manusia.
Di samping itu saya sebenarnya sudah meniupkan semangat dan dakwah Islamiah dalam novel-novel saya, tetapi bukanlah dengan cara didaktik. Sorotilah dengan teliti Redang, Janji Paramaribo dan Daun. Saudara akan bertemu apa yang saya maksudkan. Hal yang sama juga akan saudara temui nanti dalam Luka Nering.
Saudara menyatakan bahawa saudara sering “keluar masuk” dalam dunia penulisan. Mengapakah hal ini berlaku?
Dari satu sudut, “keluar masuk” saya lebih bermaksud kepada dari bidang ke bidang. Buat satu ketika saya berada dalam bidang sastera, kemudian keluar dan masuk pula ke dalam bidang penyelidikan, kemudian kembali pula ke dalam bidang sastera.
Ada juga ketikanya, antara 1970 dengan 1984, saya lebih menumpukan terhadap kerjaya saya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Cuma dalam tempoh tersebut adalah juga sekali-sekala menulis puisi. Kenapa hal ini berlaku? Entahlah, saya pun tak tahu. Saya percaya tidak semua hal yang berlaku di sekitar kendiri memerlukan jawapan. Betul tak?
Pandangan saudara tentang perkembangan sastera hari ini. Adakah sastera Melayu masih relevan kerana kemodenan tidak memerlukan sastera untuk terus berkembang.
Benar, kemodenan tidak memerlukan sastera untuk terus berkembang. Namun, sastera adalah pentas terbaik untuk berfikir dan melontarkan hujah. Kita juga belajar menulis dan berbahasa dengan baik. Apa gunanya teori-teori sains dan fizik yang tinggi-tinggi kalau semuanya disampaikan dengan bahasa yang tunggang-langgang?
“Karya-karya saya mempunyai hujah untuk mewaraskan setiap sudut pandangan.”
Saudara menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam konteks persuratan. Adakah kedua-dua bahasa ini perlu bersaing atau lengkap-melengkapi?
Saya belajar di sekolah Melayu sehingga darjah lima sebelum memasuki sekolah Inggeris (Special Malay Class I) pada tahun 1959. Barangkali, kerana saya berkenalan dengan bahasa Inggeris agak awal, itulah yang menyebabkan saya boleh menguasai bahasa itu dengan baik.
Bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan pemikiran dan sudut pandangan. Saya lebih beranggapan kedua-dua bahasa tersebut boleh berjalan seiring. Cuma, jika saya menulis dalam bahasa Inggeris, saya langsung berfikir dalam bahasa itu. Kalau saya berfikir dalam bahasa Melayu dan menulis dalam bahasa Inggeris, ada sedikit gangguan, kerana ada unsur terjemahan dalam kepala, sebelum menurunkannya dalam bentuk tulisan. Jadi, penulisan boleh menjadi kurang lancar.
Pandangan saudara apabila golongan penulis mendepani perjuangan kepartian politik?
Itu bukan sastera, tapi manifesto parti. Seni adalah kehalusan – sama ada bahasa atau pun pemikiran dan falsafah yang ingin disampaikan. Kita menyampaikan cerita, dan dalam cerita itu, saringlah ilmunya. Kita juga belajar daripada alam dengan cara halus.
Kita melihat pohon-pohon dan rerumput meliang-liuk ditiup angin. Kita belajar bahasa alam daripada situ. Kita proses maklumat untuk mencari ilmu yang tersembunyi. Dan, julat antara ilmu dengan maklumat itulah yang kita namakan sebagai intelek.
Apakah harapan saudara terhadap kesusasteraan Melayu dan bahasa Melayu?
Sebagai bahasa besar yang difahami dan diguna pakai oleh lebih 300 juta orang pengguna, sudah tentu kita mengharapkan pencapaian yang lebih baik di peringkat dunia. Belum ada karya dari rantau ini yang memenangi Hadiah Pulitzer atau pun Hadiah Nobel dalam bidang sastera. Karya-karya kita harus diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa besar dunia lain seperti bahasa Inggeris, Sepanyol dan Mandarin supaya dikenali oleh masyarakat dunia. Pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menangani bidang ini harus melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh.
klikweb
Comments
Post a Comment