29 Jan 2016

melihat bayan bercerita




Melihat Bayan Bercerita

Dari sudut utara beliau menjelmakan dirinya dengan buah karya yang semakin dipeduli dan dihargai. Begitu produktif bukan sekadar memenuhi lajur kosong teater utara tanahair tetapi melangkah jauh melebar sayap ceritanya ke pelusuk lain tanah air. Bukan sekadar di pentas teater tetapi turut memasuki alam televisyen dan drama, menghasilkan skrip serta menulis lakon layar adalah antara kegigihan yang tak terbandingkan. Begitu seorang seniman mengerjakan panggilan seninya, menulis skrip dan mengarah serta mementaskan produksi diperbuatnya sebagai santapan hidup dengan berani dan yakin. Itulah Seni Bayan. Bayan yang bercerita.

Bangunan Suluh Budiman pada serat kacamata lama.
Di sini bakat dan jiwa seni Seni Bayan berkembang

Bermula dari usik kecil bakat dan luapan kreatifnya sewaktu menghabiskan masa sebagai penutut di Maktab Perguruan Tanjung Malim. Pentas kecil Dewan Khir Johari menjadi medan pementasan beliau mengisi santai fikir dan buah rasa yang mengimbau datang. Bermula dengan pertandingan drama pentas bagi penuntut baru dan beliau muncul sebagai pengarah terbaik dan dramanya Dua menjadi juara. Bakat seninya terus malar dan meruapkan pelbagai potensi yang terbenam dalam jiwanya. Setahun kemudian ditawarkan ke dalam produksi Teater Suluh Budiman sebagai pementasan khas sempena 60 tahun Ibu Kandung MPSI. Di bawah bimbingan seorang pengarah yang tenang dan penuh peringatan En Sabudin Tamsir, beliau bersama-sama dengan beberapa yang lain menjadi pemain dalam teater berkenaan. Azhar Che Ree diangkat sebagai pengarah. Produksi yang dipentaskan di Dewan Khir Johari itu turut dihadiri oleh En Noordin Hassan sebagai penasihat. pada tahun yang sama teater ini dipentaskan di Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur dan Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Agak janggal pada  penerimaan audien kerana segala segi perisitiwa adalah pemerian sejarah Ibu Kandung dalam zaman awal menggerakkan semangat nasionalisme. Bagaimana penuntut Ibu Kandung dituangi semangat nasionalisme hasil gerakan Ibrahim Yaakub. Senibayan memerankan watak OT Dussek seorang pengetua SITC yang banyak bercakap tentang orang Melayu. Barangkali, kalau hari ini Ibu Kandung dipentaskan lagi, penerimaannya barangkali amat berbeza. Nasionalisme yang bertiup dalam jiwa anak muda Melayu SITC yang melahirkan Ghafar Baba, Awang Had Salleh, dan lain-lain.

Selain teater, pentas puisi pula tidak pernah sepi dari penglibatan Seni Bayan terutama bersama dua sahabat yang lain iaitu Arazmi Seman dan Mohd Rozman Shafie. Rozman meneruskan bakat muziknya dengan singkatan yang berpengaruh LY, dan Arazmi meneruskan karier sebagai guru. Di celah bangunan tua Suluh Budiman anak-anak muda ini berkembang biak dalam arena puisi, lagu puisi dan pentas. Banyak acara puisi diadakan termasuk melalui kegiatan ASASMU mengadakan Malam Puisi. Lagu puisi yang dikumandangkan oleh LY adalah asuhan bakat yang akhirnya menjadi nilam berguna tanahair muncul sebagai komposer terkenal dan produktif. Seni Bayan atau Ahmad Hashim menulis liriknya. Kemudiannya Senibayan sendiri menghasilkan lirik untuk lagu-lagu Ly dan Azmeer. Beliau juga turut menghasilkan puisi dan karya-karyanya termuat dalam majalah Cenderamata dan Suara ASASMU.

Hiroshima menjadi masterpice Seni Bayan

Tahun-tahun sebagai penuntut berakhir dan masing-masing membawa haluan. LY di Kelang dan membuka studionya manakala Senibayan di Pulau Pinang. Tahun-tahun awal menjadi pendidik Seni Bayan seperti melupakan gelora bakatnya. Hanya terlibat dengan beberapa aktiviti teater yang berkisar dalam kalangan pelajar. Bancuh seninya agak perlahan dan merendah. Bayan yang tidak bersuara untuk beberapa ketika.

Putaran masa selalu tidak dijangkakan. Pertemuan kembali dengan sahabat lamanya Arazmi memungkinkan cahaya segar dan warna terang kembali berakar. Pada waktu itu Arazmi sedang meneruskan pengajian di USM. Jiwa seniman Seni Bayan  meronta kembali dan beliau mahu kembali ke pentas. Berbekalkan skrip yang amat sederhana garapan sahabat berjudul Dalang, Seni Bayan menggerakkan Grup Teater Kampung Seronok  mementaskan teater berkenaan. Inilah keberanian yang ada pada Senibayan. Kebanyakan pelakon dalam grup teater ini adalah penduduk kampung seronok yang tidak ada asas teater, melainkan beberapa orang mempunyai bakat dalam muzik. Senibayan ke hadapan mengarahkan teater Dalang dan memasuki Pertandingan Teater Peringkat Negeri Pulau Pinang. Arazmi dipilih sebagai pembawa watak utama Mat Junuh.

Bintang terang ada pada Dalang, yang muncul dengan Pengarah Terbaik, Drama Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik Peringkat Negeri Pulau Pinang 1993. Seni Bayan mula melihat jauh dalam neon lampu dan warna yang berkelip di pentas. Kejayaan Grup Teater Kampung Seronok amat mengejutkan. Bukan saja ia sebuah grup yang baru tetapi pemain-pemainnya adalah mereka yang tak pernah berada di pentas teater. Paling memberangsangkan Dalang terpilih untuk ke peringkat akhir Pekan Teater Kebangsaan.

Langit tidak selalu cerah. Di peringkat  Pekan Teater Kebangsaan,  Dalang tidak mendapat para juri. Produksi Dalang pulang dengan kehampaan dan terasa benar suatu yang berat berpayung dalam jiwa pengarahnya. Banyak waktu dihabiskan untuk merenung dan  bermuhasabah tentang Dalang yang ditolak juri. Ada yang menganggap pengakhiran Dalang tidak meyakinkan. Ada yang memberi komen tentang pencahayaan Dalang yang tidak memuaskan. Tetapi Lan Chin berkali-kali mempertahankan konsep pencahayaannya. Ada yang menyebut bahawa lakonan dalam Dalang tidak berkesan.

Seni Bayan hanya diam dan jauh di sudut hatinya, beliau merangka suatu yang lebih berani. Dalang menjadi inrospeksinya yang kuat untuk menyimpul sulur baru dalam alam teater.


Tok Janggut antara karya dan arahan Seni Bayan yang terbaik

Masa terus pergi dan berganti. Pengalaman sering ditambah oleh kesaksian dan penemuan. Demikian zaman awal Seni Bayan dari ledak jiwa anak muda di beranda bilik darjah ke pentas penuh lampu dan warna. Tetasan zaman awal menyediakan natijah pada zaman dewasa.

Selagi Sungai Bernam mengalir selagi itu karya-karya Seni Bayan bisa menetas. Selagi awan bergumpalan di puncak titiwangsa, selagi ada batas bicara dan imbas nurani yang mahu disebut dan diceterakan dalam lakon dan gerak. Selagi sejuk Tanjung Malim kala hujan masih terasa... selagi itu nostalfia lalu masih ada dan ilham dan nyala seninya belum berakhir....
 
Teruskan berkarya seorang Seni Bayan...

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena