Buku-Buku Chow Rasta

Pasar Chowrasta atau Chowrasta Market adalah salah satu pasar yang terkenal di Georgetown, Pulau Pinang. Nama pasar ini berasal dari Bahasa Hindi iaitu chowk yang bemaksud Pasar Jalanan. Pasar Chowrasta bersempadan dengan Penang Road, Jalan Chowrasta, Jalan Kuala Kangsar dan Tamil Street[2]. Walaupun pasar ini diasaskan oleh kaum Tamil tetapi kini majoriti penjualnya merupakan kaum China.

Apa yang tersembunyi di sini adalah buku-buku terpakai yang dijual di tingkat satu bangunan pasar ini. Bagi mereka penggemar buku maka di sinilah dunia menarik mereka untuk mencari apa saja buku yang diperlukan. Inilah keistimewaan buku-buku Chow Rasta


Ilmu 20 sen
Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Niatnya hanya mahu berkongsi ilmu dan atas faktor itulah seorang pemilik kedai buku tidak berkira dengan pelanggannya dan hanya menawarkan harga serendah 20 sen hingga RM15 bagi setiap naskhah bahan bacaan yang dijual di kedainya di tingkat satu bangunan Pasar Chow Rasta, di sini.

Antara judul buku paling lama disimpan ialah Woman’s Weekly Library setebal 63 muka surat yang dicetak pada 1972 dan dijual pada harga 20 sen hingga 50 sen sebuah.


Namun, pemiliknya Gulam Mohamed, 60, berkata, terdapat naskhah yang lebih lama iaitu sebuah buku kesusasteraan Inggeris berusia lebih 100 tahun yang sudah dijual kepada seorang pelanggannya beberapa bulan lalu.

Dia yang meminati bidang penulisan mengaku sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 25 tahun lalu dan mengumpul ribuan naskhah buku lama dan baru sebagai koleksi sebelum dijual semula kepada pelanggan.


Hidupnya juga sudah sebati dengan buku kerana mula berjinak dengan bidang itu sejak berusia enam tahun lagi, malah dia juga mampu menghafal tajuk buku dicari pelanggan yang berkunjung ke kedainya itu dengan mudah.


“Saya berasal dari India, tetapi menetap di Pulau Pinang sejak kecil lagi dan walaupun sebahagian besar hidup dihabiskan di kedai ini, saya sebenarnya baru mengambil alih perniagaan ini sejak enam tahun lalu selepas pemilik asalnya iaitu bapa saudara saya meninggal dunia.


GULAM menyusun buku di kedainya di tingkat satu Pasar Chow Rasta.

“Ketika kecil saya juga kerap menghabiskan masa di kedai ini. Kerana itulah sifat saya tidak boleh berenggang dengan buku dan suka menghidu bau dakwat,” katanya.


Gulam juga seorang yang cermat apabila ribuan buku lama dan baru disimpan di kedainya itu disusun rapi di rak disediakan mengikut kategori termasuk komik, novel, majalah, buku sekolah, ulangkaji, perubatan, kejuruteraan, sastera dan klasik. Bukan saja buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Gulam juga menyimpan bahan bacaan dalam bahasa asing seperti Jerman, Perancis, Cina, Tamil dan Itali yang dianggapnya sebagai amat berharga walaupun tidak memahami isi kandungannya.

Walaupun tidak selaris buku dalam bahasa Melayu atau Inggeris, bahan bacaan itu tetap menjadi buruan warga asing yang menetap di Pulau Pinang serta pelancong berkunjung ke negeri ini.


“Ia adalah buku terpakai yang dibeli daripada pelanggan yang mana harganya ditentukan mengikut keadaan sesebuah buku itu lalu dijual semula kepada pelanggan lain berminat.


“Terlalu banyak buku di sini sehingga saya tidak dapat merekodkan jumlah semua judul dengan tepat, malah saya kini berhadapan masalah apabila tidak mempunyai ruang yang cukup bagi menyimpannya,” katanya.


Selain kedai milik Gulam, terdapat 22 kedai menawarkan buku terpakai di tingkat satu bangunan berkenaan.

MyMetro

Imej Buku-Buku Chow Rasta







Comments

Post a Comment