Sastera Di Garis Masa


Apakah belulang sastera negara dalam lingkar masa merapuh dan mengecil? Perdu dan pohon sastera semakin menipis dan mengecil serta dilupakan?

Demikian beberapa persoalan tentang sastera dalam garis masanya. Banyak yang disebutkan tentang masa depan dan arah tuju sastera dalam khayalaknya sendiri. Ada yang menyebut bahawa sastera kehilangan kitarannya dan semakin lenyap dalam garis masa yang surut dan pergi. Kemeriahan dan dominasi masa lalu hanya menjadi nostalgia dan manis dalam imbauan. Sastera mengalami perubahan yang menakutkan. Di sekolah ia menjadi mata pelajaran elektif bagi calon SPM melalui subjek Kesusasteraan Melayu Elektif. Bilangan calonnya semakin berkurang dan ada sekolah tidak lagi menawarkan subjek ini sebagai subjek elektif. Di peringkat STPM bermula pembaharuan dengan memperkenalkan Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Ia juga tidak diambil oleh semua calon dan menjadi pilihan yang sedikit.

KOMSAS diperkenalkan mulai tahun 2000 sebagai usaha memperkasa sastera dalam Bahasa Melayu. Ia menjadi komponen wajib dipelajari oleh semua pelajar SPM. Persoalannya adalah, apakah kehadiran KOMSAS dapat menambah khayalak sastera atau ia hanya menjadi komponen dipelajari di sekolah dan dilupakan sesudah itu. KOMSAS diharap dapat merumahkan sastera pada tahap terbaik dalam pendidikan negara. Namun dalam surat garis masa apakah KOMSAS dapat mempertahankan sastera seutuhnya atau hanya akan menjadi bahan kajian untuk melengkapkan subjek Bahasa Melayu.

Marilah kita merenung dengan lebih mendalam kedudukan sastera pada bingkai dan garis masa. Kita mahu ia akan kekal dan menjadi wadah ampuh memperkaya kemanusiaan meluhur budikan manusia. Kita ingin benar melihat sastera menjadi penyambung ke alam manusiawi yang mengenal dengan lebih mendalam segala yang berkait dengan manusia dan kehidupan. Biarlah sastera dapat melentur jiwa membangkit kesedaran terhadap segala bingit hidup yang  bersangkut dengan nilai, budi, emosi, estetika dan naluri insan. Biarlah sastera mendidik secara senyap untuk melabuhkan sebuah generasi yang kenal jatidiri dan kenal peribadi.

Apakah upaya sastera dalam garis masa? Masih kukuh dan perkasa dengan hambatan dunia baru?
Atau akan menuju kelunturan perlahan-lahan.

Beberapa catatan di bawah adalah untuk bersama kita fahami sastera dan kepentingannya.



Mampukah Komsas melahirkan penulis pelapis?
Oleh M JASNI MAJED

MATA pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah diselitkan dengan bahan-bahan sastera iaitu Komsas sejak tahun 2000 dan masih bertahan sampai sekarang. Adalah diharapkan Komsas akan bertahan dalam jangka masa yang panjang memandangkan banyak manfaat yang diperoleh oleh pelajar apabila mempelajari hasil-hasil sastera di sekolah.

Apa yang jelas, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semakin terpinggir. Sudah tidak ramai murid yang mengambil subjek ini atas pelbagai sebab. Malah, di sesetengah sekolah, jika ada pelajar yang mahu mengambil peperiksaan dalam subjek ini, mereka terpaksa belajar sendiri kerana subjek ini tidak termasuk dalam jadual belajar di dalam kelas.

Pemantapan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar turut menjadi sasaran Komsas sejak mula diperkenalkan lagi kepada pelajar. Hasrat ini dianggap penting untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik sastera tetapi lebih jauh daripada itu, pelbagai nilai murni yang terkandung dalam sastera dapat diselami dan dinikmati oleh pelajar.

Tidak dapat dinafikan bahawa disamping tujuan-tujuan tersurat pendedahan Komsas kepada pelajar, kita tidak boleh menolak matlamat tersiratnya. Salah satunya adalah bertujuan melahirkan penulis pelapis selepas mereka 'kaya' dengan pendedahan hasil-hasil kesusasteraan di sekolah. Pendedahan Komsas yang terdiri daripada pelbagai genre telah menjadikan pelajar mengenali pelbagai jenis hasil kesusasteraan seperti sajak, pantun, cerpen, novel dan sebagainya.

Meskipun ramai yang menulis berdasarkan bakat semulajadi, tetapi dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, seseorang itu mengetahui dengan lebih mendalam tentang kesusasteraan.

Tidak kurang juga yang boleh menulis selepas sering membaca tulisan-tulisan daripada penulis lain di mana-mana media massa. Tidak dinafikan bahawa ramai yang berjaya dalam bidang penulisan bukan disebabkan mereka belajar di mana-mana tetapi atas bakat sendiri dan ditambah dengan kegigihan berkarya.

Bagaimanapun, dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, ia dianggap sebagai satu asas yang kukuh bagi seseorang pelajar untuk menjadi seorang penulis, jika kebetulan pelajar itu berbakat dan berminat.

Persoalannya, mampukah komsas menjadi batu asas ke arah melahirkan penulis di tanah air? Persoalan ini sering menjadi polemik kerana rata-rata menganggap bahawa sistem pendidikan di negara kita yang lebih mengutamakan lulus peperiksaan menjadikan matlamat mempelajari kesusasteraan itu terbelenggu dalam kepompong yang sama, iaitu belajar sekadar untuk memperoleh sijil dan menjamin untuk mendapat pekerjaan.

Malah, apabila Komsas itu disenaraikan berada dalam subjek Bahasa Melayu, bermakna hasil-hasil kesusasteraan itu juga turut menjadi buruan pelajar mempelajarinya kerana ia menjadi wajib dan tidak boleh ditolak. Ramai yang membeli buku ulasan dan kajian sastera kerana mahu memahami dengan lebih lanjut kandungan teks atau genre yang dipelajari.

Dari satu sudut, sebenarnya kebanyakan pelajar kurang bersedia dengan hasil-hasil kesusasteraan. Budaya berfikir secara kritis kurang kedapatan dalam jiwa kebanyakan pelajar kerana kebanyakan mereka bergantung seratus-peratus kepada buku-buku ulasan dan kajian.

Tentu ramai yang akan bertanya, ikhlaskah pelajar mempelajari kesusasteraan di sekolah? Ini dapat dilihat menerusi kurangnya kelangsungan sikap untuk mendekati karya-karya sastera. Bahan-bahan bacaan sastera berlambak di pasaran tetapi siapakah yang membeli dan membacanya.

Bolehkah pelajar-pelajar yang mempelajari Komsas ini menjadi penulis pelapis? Atau, mereka sekadar belajar, mengambil tahu sedikit sebanyak tentang pelbagai genre penulisan kemudian melupakannya begitu sahaja?

Dalam soal ini, guru-guru mempunyai tugas tertentu demi menjadikan komsas sebagai satu asas pembentukan penulis tanah air.

Pertama, mereka mestilah menjadikan Komsas sebagai satu bahan kajian yang bersifat menyeluruh, bukan hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja.

Kedua, mereka mestilah mengesan bakat pelajar di dalam kelas terutamanya yang mempunyai kebolehan dalam menghasilkan karya kreatif.

Ketiga, mereka mestilah membantu pelajar yang berbakat ini agar menjadi penulis.

Keempat, mereka mestilah memandu arah untuk memudahkan pelajar yang berbakat dan berminat untuk menghasilkan karya kemudian menyalurkan karya tersebut ke mana-mana penerbitan.

Kelima, mengadakan bengkel penulisan di sekolah menerusi Persatuan Bahasa Melayu supaya pelajar yang berminat dapat mengasah bakat mereka dalam bidang penulisan.

Keenam, menjemput penulis-penulis yang berjaya ke sekolah untuk memberi tunjuk ajar dan semangat kepada pelajar yang mempunyai minat dalam bidang penulisan.

Ramai percaya bahawa dengan adanya inisiatif pelbagai pihak, Komsas akan berjaya melahirkan penulis yang berwibawa suatu masa nanti.

Sumber : Utusan Online

Kenapa Perlu Baca Karya Sastera
(WADAH, Disember 2010, DBP Sabah)
Oleh Azmah Nordin

Mengapa sebenarnya seseorang itu perlu membaca karya sastera? Mengapa di sepanjang sejarah kehidupan manusia, di seluruh pelusuk dunia masyarakat daripada pelbagai tradisi suku bangsa dan budaya, berusaha menghasilkan karya sastera terbaik dan mengongsikannya sesame mereka? Apa sebenarnya makna sastera kepada manusia sejagat? Apa sebenarnya sumbangan sastera terhadap manusia dan kemanusiaan?

Sementara memikirkan jawapan-jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas, saya rasa ada eloknya dimulakan dengan penyelongkaran yang paling dasar sekali iaitu Sastera. Apa sebenarnya sastera itu?

Lazimnya, terdapat pelbagai sudut pandangan dan definisi tentang pengertian karya sastera, yang satu pun sebenarnya tidak pernah memuaskan semua pihak. Ini mungkin kerana pada dasarnya, sastera bukanlah sekadar ilmu, sebaliknya ianya terbit dari salah satu daripada cabang seni dan sebagai seni, tentulah ia amat bergantung kepada faktor manusia dan penafsiran individu. Terutama sekali yang berkaitan dengan semangat dan kepercayaan.

Nah! Ternyata, amat sukar untuk membuat definisinya bukan? Lebih2 lagi apabila penafsiran dibuat dengan menggunakan kaedah ilmiah.

Jelasnya, karya sastera bergantung pada suasana dan waktu penciptaannya. Sebagai contohnya, karya zaman perang Jepun dahulu kala, sudah tentu tidak sama dengan karya masa kini dalam dunia teknologi serba yang serba canggih. Apakah pihak pengkaji sastera mampu mencakup segalanya ke dalam satu ruang masa bagi menentukan hakikat pengertian sastera dan menetapkan satu definisi yang tepat dan kuat? Karya sastera, pada hakikatnya, merupakan satu hasil kreativiti manusia dan kreativiti itu merupakan sesuatu yang sangat unik dan bersifat individualistik. Malah, kadangkala, kita melihat bagaimana pihak pengkaji begitu cenderung merujuk kepada karya-karya Barat, sedangkan sedangkan semua orang tahu, tidak semestinya yang dilakukan untuk karya Barat, sesuai diterapkan pada karya-karya tempatan.

Sastera pada asasnya merangkumi 3 perkara di bawah:

1. Sifat khayali atau imaginasi.
3.. Adanya nilai-nilai seni/estetika
3. Penggunaan bahasa yang khas

Ianya juga boleh diperluaskan lagi melalui pemahaman berikut:

1. Sastera adalah seni berbahasa. Ia tidak disusun dengan sebegitu rupa, tanpa tujuan dan sentiasa memiliki keterbukaan panafsiran.
2. Sastera adalah ungkapan spontan dari lubuk perasaan yang mendalam atau dari dalam jiwa.
3. Sastera adalah luahan fikiran yang berbentuk pandangan, buah fikiran, idea, perasaan, pemikiran – dengan menggunakan bahasa sebagai sarana.
4. Sastera adalah bisikan hati ataupun ilham tentang kehidupan yang diwujudkan dalam sebuah bentuk keindahan. Juga tentang ungkapan peribadi manusia yang berupa pengalaman, pemikiran, idea, semangat juang dalam satu gambaran yang diolah dengan begitu kuat, padat, bulat, hidup, dan mempesonakan.
5.. Sastera adalah lembaran demi lembaran halaman yang memuat perasaan kemanusiaan yang mendalam dan kebenaran moral dengan sentuhan kesucian, keluasan pandangan, dalam bentuk yang istimewa dan sekali lagi dengan menggunakan susunan bahasa sebagai satu sarana.

Karya sastera terbahagi kepada dua kelompok iaitu;

1. Ciri-ciri sastera imaginatif seperti puisi, cerpen, novel, drama ; kandungannya bersifat khayali, menggunakan bahasa konotatif, memenuhi syarat-syarat estitika seni.

2. Ciri-ciri sastera non-kreatif seperti esei, kritikan, biografi, autobiografi; sejarah, memoir, catatan harian; kandungannya menekankan unsur fakta, menggunakan bahasa yang denotatif, namun tetap memenuhi unsur-unsur estetika seni.

Jelas kelihatan perbezaan antara sastera imaginatif dan non-imaginatif adalah masalah estetika seni. Bagaimanapun, unsur estetika seni yang meliputi kekuatan, keselarasan atau keharmonian, keseimbangan, tumpuan/pusat penekanan suatu unsur, tetap sama; estetika seninya tetap diperjuangkan.

Sekarang, kita kembali kepada soalan pertama tadi; Mengapa kita perlu membaca karya sastera? Penting sangatkah kita baca karya sastera?

Terbukti lama sudah bukan? Karya sastera mewakili bahasa dan bangsanya; budaya dan tradisinya. Ianya lebih penting daripada sekadar sebuah peninggalan sejarah atau artifak budaya yang memperkenalkan kita pada pengalaman dan dunia luar. Kita belajar tentang sastera dari merata sumber; kita terhibur dengan kelucuan, kita tersentuh dengan kepahitan hidup, yang tergambar dalam puisi, cerpen, novel dan drama; dan minda kita pun lalu berkembang di sepanjang penggembaraan lewat karya-karya sastera tersebut.

Akhirnya, dengan `melihat’ apa yang diungkapkan oleh pengarangnya dan bagaimana dia mengungkapkannya, kita akan ketemukan makna di sebalik apa itu karya sastera. Kita akan dapat menterjemahkan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarangnya. Jika dalam lingkungan akademik, wujud pula penggunaan kaedah-kaedah teori tertentu untuk mendekati karya sastera dengan lebih mendalam, seperti; mithologi, sosiologi, psikologi, sejarah, dan beberapa pendekatan lain.

Jadi, kenapa sastera penting pada kita? Mudah saja jawapannya; karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera.

Sesungguhnya, tidak ada cara yang lebih baik untuk melihat perbezaan etnik dan budaya, kekayaan warisan manusia, menilai perbezaan antara luahan daya kreativiti manusia daripada pelbagai aspek – selain daripada karya sastera. Membaca sebuah karya sastera yang hebat adalah satu nikmat yang unggul, tentunya. Sebuah pengalaman untuk mempelajari pelbagai perkara; tentang apa dan bagaimana, tentang keutuhan atau ketidak-sempurnaan sebagai manusia, dengan segala tindak-tanduk, impian dan kisah silam, kesendirian, dalam perhubungan dengan sesama insan, penampilan di mata masyarakat, juga di relungan rahsia dan aliran kesedaran.

Secara dasarnya, sesebuah karya sastera dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik mampu mempesonakan. Isi karya sastera, adalah satu macam kewujudan manusia dalam bentuk seni. Cerita membentuk sebuah perhubungan, mengesahkan tentang budaya dan bahasa, menegaskan tentang ritual dan kepercayaan dalam masyarakat. Ia juga menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dalam jagatraya, sehingga mampu menggerakkan pancaindera dan emosi agar dapat merangsang dan merubah pemikiran kita ke arah yang lebih hebat.

Ikatan yang begitu mantap antara sastera dan manusia (pembaca), menarik mereka untuk turut menyumbangkan suara. Ikatan itu juga mungkin dapat membuatkan mereka berasa akan kesamaan gelojak perasaan dan cenderung membangkitkan semangat juang yang sama tanpa mengira batasan geografi, bangsa, fahaman agama ataupun ideologi politik. Sastera mampu memindahkan kita ke dunia silam, dan menghubungkan kita dengan mereka dari era tersebut, hingga begitu menghiburkan, sekali gus mendorong pembaca memasang impian atau membangkitkan semangat juang baru di antara susunan-susunan ayat dalam gaya bahasa yang indah dan kuat. Perasaan menjadi sebagai sebahagian daripada pengalaman masyarakat dalam ruang dan `buku besar’. Ia adalah suatu kejayaan budaya dan tiada satupun yang dapat menyumbang lebih daripada itu, selain daripada karya sastera. Jelasnya, ia adalah amat penting untuk kita pelajari dari masa silam, untuk kita memperbaiki masa hadapan.

Pendek kata, tanpa membaca karya sastera atau tidak pernah disentuhi sastera, samalah seperti kita berada di dalam lingkungan masyarakat yang emosi dan jiwanya terperangkap, kerana kelukaan dalam hati atau gelojak dalam diri tidak mampu dan dapat diluahkan dengan cara yang halus dan lembut.

Yang pasti, buku-buku sastera adalah diibaratkan seperti sebuah sungai yang mengalir menuju ke muara dan langsung ke lautan lepas, semakin banyak dibaca, semakin besarlah kebebasan minda yang kita anugerahkan kepada diri sendiri. Bebas untuk menerokai pengaliran idea, imaginasi, misteri, penerokaan dan sebagainya. Tanpa buku sastera, apa saja yang mengalir dalam diri kita?

Andainya semua yang sebut di atas masih belum meyakinkan anda untuk mendekati karya sastera, bagaimana dengan informasi ini;

Nabi Muhammad (s.a.w.) menggunakan puisi sebagai alat atau wasilah dalam mendakwah ajaran agama yang diturunkan kepadanya. Baginda sangat menghargai keupayaan para sahabat menggambarkan perasaan dan isi hati mereka dalam bentuk sastera tentang hubungan antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan alam. Selagi keupayaan bersastera itu tidak merugikan kepentingan umum dan berada di dalam kerangka nafas ajaran keagamaan, selagi itulah tiada sebab untuk kita menolaknya. Bukan?

Sumber : Azmah Nordin


PADA ZAMAN PASCA-KOLONIAL: ­APAKAH MALAYSIA MASIH DIJAJAH BAHASA DAN BUDAYANYA?
oleh SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
(Disampaikan dalam Syarahan Agung Sasterawan Negara, anjuran KALAM, JKKN dan DBP di Dewan Bahasa dan Pustaka, 16 Disember 2009.)

Pada simpang sejarah bahasa kebangsaan, kita bertemu dan berpecah di depan mata dan kehadiran kita. Bahasa yang sudah berkembang sejak zaman sebelum Sriwijaya dan dihaluskan serta dicanggihkan di seluruh Nusantara sebagai lingua franca oleh berbagai-bagai masyarakat dan bangsa kita meluntur di Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia yang bemasib baik, kita bukan saja diamanahkan ilmu untuk dicari, disimpan dan dikembangkan, tetapi juga diserahkan nasib bahasa yang tua lagi indah ini yang kita warisi daripada leluhur kita.

Arahan memberhentikan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu menutup pintu bahasa besar ini, dan sudah pun melesukannya serta akan mengakibatkan kematiannya. Oleh kerana dunia dan disiplin besar lagi dinamik tidak lagi menjadi padang kewujudan dan perkembangannya.

Sebagai sarjana, pentadbir dan pelajar, kita bertanggungjawab mencari jalan supaya bahasa ini akan terus kekal sebagai bahasa yang canggih dan digunakan untuk semua bidang kehidupan di Malaysia. Inilah tanggungjawab batiniah dan naluriah kita.

Saya merasakan bahawa inilah masanya kita menyatakan keyakinan penuh terhadap bahasa kebangsaan ini dan bergerak bagi mengaturkan segala cara supaya ia terus subur dan menjadi alat fikiran dan hidup kita.
Pada pandangan saya, sastera khususnya adalah tapak sebahagian besar daripada jati diri kita, malah lebih 70% daripadanya adalah gagasan dan wawasan sastera untuk kita belajar menjadi rakyat Malaysia. Dari sana juga dapat dikutip pengetahuan sejarah kita, daripada Sulalat al-Salatin, daripada Tuhfat al-Nafis, Hikayat Pahang, Hikayat Kedah dan lain-lain cerita asal usul dalam bahasa Murut, Kadazan dan juga Iban dan Penan. Jalinan pengisahannya membuahkan konsep manusia unggul, sila lihat Hikayat Hang Tuah misalnya, atau Sejarah Melayu (iaitu Sulalat al-Salatin), misalnya. Harap jangan dibaca bahagian pertama Hikayat Hang Tuah sahaja, kerana pada bahagian kedua kita menemukan manusia matang dan bijaksana yang menjadi duta sebuah Negara kosmpolitan yang percaya diri.

Sastera memang memberi hiburan, meluangkan detik luas tafakur, detik renung dan detik di mana manusia diajak berfikir atau membuat keputusan yang bijaksana.

Dalam sastera Perancis, Victor Hugo, Balzac, Camus dan Sartre dianggap pemikir dalam persoalan mutakhir bangsanya. Di Negara Inggeris, Chaucer, John Milton dan Shakespeare menjadi kebanggaan bangsa kerana mereka adalah pemikir dan penemu jiwa manusia. Di Jepun, Yasunari Kawabata dan Kenzaburo Oe berkata-kata dalam bahasa jiwa bangsanya. Di Indonesia pula, Amir Hamzah dan Chairil Anwar menangkap estetika bahasa di tengah tradisi lama atau di tengah bingit kota metropolitan. Mereka merubah cara bangsa melihat keadaan dan situasi. Semua pengarang ini menayangkan nasib negaranya di atas kertas yang lutsinar.

Semua sasterawan, sejarawan, budayawan pemikir membawa naratif negara dalam bahasa, palitan warna dan ukiran yang baik, bersih dan segar, kerana gagasan besar dan lukisan indah hanya dapat dilukis sebaiknya dengan berus yang bersih atau baru.

Cukup menarik adalah hakikat di negara kita yang cukup makmur ini, tetapi orang yang mengenali karya besar negara kita sangat kecil sekali. Kita akan membaca karya picisan dari timur dan barat, tetapi dengan tekun dan teratur mengelak genius kita. Sangat sedikit yang pernah membaca tiga puncak genius sastera Malaysia - pantun, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan dalam persekolahan, kita tidak menemukan genius kita, tetapi pernah belajar Sonnet Shakespeare atau karya Keats.

Dalam keadaan inilah kita mencipta manusia yang dapat mengatakan dalam bahasa Inggeris ”I have nothing to be proud of as a Malay, except that I am a Muslim” kerana dia sudah lupakan bahasa Melayunya. Sangat baik bahawa dia seorang Muslim, tetapi semua Muslim berbangsa dan berbudaya serta berikrar kepada peradabannya. Sangat tragis bahawa dia telah melupakan peradaban itu. Dia sedang hanyut dalam tsunami globalisasi, kerana dia bukan gunung atau bukit yang dapat bertahan, tetapi hanya apungan di atas arus tsunami yang melanda.

Sastera dan kebudayaan itu teras bangsa Malaysia, terutama untuk orang Melayu, Iban, Mahmeri dan Semelai kerana sejarah, pemikiran, nilai dan adat-istiadatnya dikumandangkan dalam suara merdunya atau ditulis dalam aksara yang sudah menjadi huruf kehadirannya dalam sejarah. Tiada sastera bermakna tiada bangsa - tiada teras bangsa Malaysia. Mengikut Prof. Henk Maier, sastera kita adalah antara yang terbesar di dunia - hanya kita yang tidak tahu bahawa kita lebih selesa menjadi kecil dan peminjam kata-kata serta bahasa orang lain. Beberapa waktu yang lalu orang berlumba mengkaji sastera dan budaya kita, tetapi kita sangat tekun menyampingkannya. Setelah menurunkan taraf dan maruah bahasa kita, maka hampir tidak ada pengkaji baru dari dunia luar yang menulis tentang kita lagi. Dalam peta budaya Malaysia sangat samar, dan mungkin hilang dakwatnya dalam dua tiga dekad lagi.

Mungkin di Malaysialah anak negerinya ramai yang tidak pandai berbahasa kebangsaannya, dan ramai juga yang malu menggunakannya atau merasa darjat sosialnya sudah jatuh tertiarap di lantai apabila dia bercakap dalam bahasa ini. Jikalau kita tidak percaya pada bahasa kita, orang lain di dunia pun tidak mendapatkan sebab bagi mengkajinya. Sekarang ini kebanyakan kursus sastera dan bahasa Melayu di Eropah, Australia dan Amerika sudah ditutup, sementara kajian China, Vietnam, India dan malah Cambodia sedang berkembang.

Di depan mata kita bahasa Melayu bertumbangan, sakit dan sebahagiannya sudah mati untuk selama-lamanya sekiranya kita tidak berbuat apa-apa dan terparah adalah antara yang terpelajar, yang tertinggi ijazahnya dan tertinggi pangkatnya. Orang kampung tidak membunuh bahasa ibundanya. Kitalah yang dianugerah berbagai-bagai kemudahan, upaya dan kecerdasan - dan kitalah yang membunuhnya.


Gerakan Dunia pasca kolonialisme bergelora di banyak buah negara di dunia, termasuk India, Indonesia, Nigeria dan Kenya, Uzhbekistan, Filipina, Vietnam dan Algeria serta Chile dan Argentina. Ada semacam landaan fikiran dan amalan di negara-negara ini, sebagai tindak balas daripada rasa bahawa mereka sudah dimangsakan, dihina dan juga dirampas bahasa dan budayanya. Sejarah penjajahan di negara-negara ini juga ada padanannya di negara kita. Namun kita tidak melawan, tidak banyak merungkai penjajahan ini dan dalam banyak keadaan kita meneruskannya dalam bentuk-bentuk atau cara yang yang sedikit berlainan, sementara pemimpin kita yang melanjutkan pemikiran dan cara kolonial ini adalah anak negeri pula.

Malaysia sudah merdeka selama 52 tabun. Bekas-bekas kolonial masih kukuh didakap sampai mati, kata Amarhum Usman Awang. Bangunan yang tersergam dan selalu ditunjukkan kepada pengunjung serta pelawatnya adalah tinggalan arkitek Inggeris, Cebisan isi buku-buku dan kurikulum zaman pramerdeka subur di halaman buku kita. Sementara itu, budaya tempatan dihakis oleh suatu psiko yang ingin mempamer diri sebagai moden dan seterusnya takut sekiranya dianggap tidak moden sekiranya didapati bangga dengan budaya dan bahasa sendiri.

Kini konsep budaya kita juga tidak sedikit ditentukan oleh selera pelancong atau media massa dan bukan oleh etos pemikiran atau gaya atau cita rasa tradisional. Kita sebenarnya tidak mengenali budaya kita kerana kita tidak pemah diperkenalkan kepadanya secara mendalam dan penuh rasa bangga di sekolah atau pengajian tinggi. Banyak maklumat yang diberikan hanyalah untuk diulang di dalam peperiksaan dan tidak untuk dihayati dalam jiwa dan kebanggaan mereka. Oleh yang demikian, konsepsi budaya kita masih diarahkan oleh nilai-nilai zaman kolonial.

Saya mungkin lebih mendekati sastera dan oleh itu, ingin memberi fokus kepada bahasa dan kesusasteraan. Inilah garis waktu yang kita dapati:

1957 - dimaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 10 - tahun kita berlengah
1967 - baru diperingatkan dan diimplementasikan dasar bahasa
1995 bahasa Melayu mula dirungkai oleh pentadbiran Mahathir, dan pada tahun 2003 bahasa Melayu itu secara sistematis diketepikan dan dijadikan bahasa kedua pentingnya atau dalam kehidupan di Malaysia bahasa ke-3.

Sains dan matematik dianggap penting, maka pelajar-pelajar terbaik dan pintar diberi peluang yang meluas ke universiti terbaik, ke luar negara atau biasiswa. Manakala, pelajar kurang tinggi markahnya diminta mengambil sastera dan bahasa dan sejarah. Tetapi, seperti yang kita faham inilah bidang di mana jati diri dilukis dan ekspresi bangsa disampaikan. Bagi menjadi warganegara Malaysia semua pelajar harus mendalaminya - kerana itulah tanda kemalaysiaannya.

Kini, di depan mata kita bahasa Melayu sedang baru baik dari sakit jiwa dan sebahagiannya telah pun mati untuk selama-lamanya dibunuh oleh kealapaan dan dasar yang mementingkan bahasa penjajah dan antarabangsa, dengan tidak memikirkan imbangan ilmu dan pengalaman yang sihat dan yang menyebabkannya mati sebelah ini, antaranya adalah yang terpelajar, yang tertinggi ijazahnya, tertinggi pangkatnya, tertinggi rasa kolonial atau globalnya. Orang kampung tidak membunuh bahasanya. Tugas itu diambil dengan sukarela oleh mereka seperti yang saya susunkan golongannya di atas tadi.

Mereka yang dianugerah berbagai-bagai kemudahan, upaya dan kecerdasanlah yang mengangkat dan merejamkan ”lembing” ke dada bahasa ibundanya sendiri.
Semalam di Kuala Lumpur yang bercakap Melayu dengan saya adalah seorang orang Algeria yang menyambut tetamu di sebuah hotel yang merindu bercakap dalam bahasa ini, kerana tidak ramai orang Malaysia yang mahu melayan orang aneh ini! Orang Melayu suka mencampurkan bahasa ­ini tandanya sindrom penyakit kolonialismetitis. Mereka berfikir seperti manusia yang sempurna dijajah, seperti banyak orang India, Filipina dan Okinawa, yang malu membanggakan bahasa mereka yang bersih kerana mungkin dituduh tidak moden atau antarabangsa. Namun, jikalau diminta bercakap bahasa Inggeris yang baik, mereka juga tidak dapat berbuat demikian kerana mereka tidak menguasainya. Beberapa tahun ini, saya memerhatikan bagaimana bahasa Melayu yang digunakan semakin bercampur dengan Inggeris dan penguasaan dasarnya sudah pun mula menipis. Brosur yang ditulis dalam iklan dan suratkhabar - beberapa daripadanya menggunakan bahasa yang agak kasar dan tidak sedarkan keindahan bahasa itu. Peribahasa, idiom dan metafora sudah tidak muncul lagi - bahasanya adalah bahasa dasar dan banyak kesalahan nahu serta sama sekali tidak canggih. Kita berjaya kembali ke peringkat purba.

lni adalah tanda-tanda kematian - bahasa yang kurus dan lusuh dan tidak maju atau dinamik. Ini semua berlaku pada tahun 2009. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti kita maklum, bidang-bidang sains dan matematik sudah tidak menggunakan bahasa Melayu sedikit pun, maka pintu untuk masa depan yang canggih dan antarabangsa pun ditutup rapat dan hanya orang kelas kedua dan ketiga - seperti yang meneliti bidang sastera agama sejarah dan bahasa diizinkan menggunakan bahasa yang sudah dinyahkan ini. Jikalau bahasa Melayu dibunuh dan mati, maka semua nama kita, sasterawan, seniman, menteri, profesor dan pentadbir (dan jangan lupa ahli politik) - akan dicatat dalam sejarah sebagai pemusnahnya.

Sekiranya saya merintihkan keadaan pada zaman ini, maka saya merasa ngeri berhadapan dengan masa akan datang. Dahulunya, kita diberitahu bahawa salah satu sebab mengapa bahasa Inggeris dipilih adalah kerana dianggap buku, istilah dan pengajaran tidak lengkap dalam bahasa Melayu. Sekiranya inilah yang menjadi sebab pemindahan ke bahasa Inggeris - maka saya ingin bertanyakan kepada Dewan Bahasa dan Kementerian Pelajaran soalan yang sama - apakah buku, istilah dan gurunya sudah disiapkan dan gurunya dilatih untuk 2011 ini? Walaupun ada desas-desus perbincangan setelah bahasa Melayu dikembalikan kepada tampuk maruahnya, tetapi dalam sedikit masa soal ini dilupakan dan masalah politik mendapat ruang besar dan sensasional seperti biasa. Apakah perancangan untuk menulis buku sekolah rendah yang baru dan sesuai dengan zamannya? Yang menarik dan membuat pembacanya teruja? Buku bacaan umum yang membuat anak-anak ghariah membaca dalam bahasa kebangsaannya? Buku sekolah menengah dalam semua bidang? Buku umum yang akan menyambung minat pembaca Malaysia? Terjemahan yang lengkap dari ilmu khazanah dan pemikiran dunia? Kerjasama dengan Indonesia dan Brunei dalam hal penulisan buku? Apakah sudah diberikan kursus kepada bakal penulis dan penterjemah?

Apakah Rancangan 10-20 Tahun Bahasa dan Sastera Melayu?

Saya belum mendengar rancangan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia kepada bahasa Melayu - jikalau sudah ada, hebahkan supaya kita tidak lupa dan juga dapat membantu. Mengapa tidak digemblengkan tenaga yang ada bagi memikirkan perancangannya. Saya pernah menawarkan diri memberi pendapat tentang sastera tetapi sehingga kini tidak pernah dipanggil. Mungkin saya hanya sebaik pegawai DBP, tetapi jemputlah yang lebih berpengalaman daripada saya. Yang saya dengar kini, betulkan sekiranya maklumat itu salah - bahawa keutamaan DBP adalah ”menjimatkan wang. Saya kira tugas DBP adalah mengembangkan bahasa dan sastera - terutama dalam keadaan sewaktu bahasa dan sastera sedang mengalami krisis. Pengalaman saya juga tidak begitu menyenangkan dengan institusi ini. Surat tidak berjawab selama sebulan, misalnya apabila saya mengirimkan manuskrip Falsafah Melayu daripada sumber sastera. Surat dijawab setelah pembantu saya menelefon pegawai yang bertanggungjawab dan jawapan itu kasar dan menganggap bahawa kita hanya pengganggunya. Kerja selalu lambat dan dibuat pada saat terakhir. Pegawai yang tidak mendalami bidangnya atau yang sesuai dinaikkan menjadi ketua.

DBP tidak boleh terlibat dalam permainan yang lain daripada profesionalisme. Dari atas hinggalah ke bawah. Tanpa profesionalisme, kita akan hanya menjadi institusi kampung dan stitusi kampung tidak mungkin dapat menangani masalah besar seperti yang kita hadapi sekarang.

Ini peluang kedua untuk kita membuktikan bahasa kita boleh menampung dunia baru dan canggih. Peluang ketiga tidak akan diberikan lagi. Jikalau bahasa Melayu mati atau tidak diteruskan, semua nama kita (pensyarah dan pentadbir dan jangan lupa ahli politik) akan tercatat dalam sejarah sebagai pembunuhnya. Di atas sekali adalah nama Dewan Bahasa dan Kementerian Pelajaran.

Buktikanlah, dengan segera bahawa semua ini adalah mimpi ngeri saya dan ribuan manusia Malaysia. Rancangkanlah sebelum dirancang supaya bahasa Inggeris menjadi bahasa sekolah dan bahasa Melayu sekali lagi dinyahkan ke parit zaman.

Kita tidak ada waktu untuk berlengah atau bergerak dengan rentak peragu, orang yang tidak profesional, yang terlupa akan tugas DBP atau bahasa kita. Kita tidak ada tempat untuk mereka dalam krisis ini. Tempat mereka harus digantikan dengan orang yang berwawasan, berilmu dalam bidang bahasa dan sastera, cekap merancang dan maklum akan tugas besar mereka.

Sumber : semanggol.com

Comments