21 Oct 2013

Rejab F.I.

Menyelak pemikiran Rejab F.I
Oleh Hassan Baseri Budiman


SEBENARNYA bukan ramai penulis kreatif tanah air, yang pemikiran mereka di dalam karya berpeluang diselak oleh para pengkaji sastera. Beberapa hal yang barangkali boleh menjadi penghalang kepada usaha ini mungkin datangnya daripada kekurangan badan sastera yang sanggup menjadi penganjur dan penaja kepada majlis untuk memperkatakan pemikiran penulis-penulis kita ini.

Tambahan pula penulis kreatif tanah air kini sudah semakin bertambah bilangannya dari masa ke masa, maka tentunya kekangan besar yang harus dihadapi oleh badan sastera yang kalaupun mahu menganjurkan sebarang perbincangan atau seminar pemikiran penulis, harus pula berhati-hati memilih tokoh-tokoh yang terhebat dalam kalangan mereka ini.

Justeru, tidak harus ada penulis yang akan berasa kecil hati kalau hasil buah fikiran mereka di dalam karya tidak pernah pun dibicarakan oleh mana-mana pengkaji dan pengkritik sastera. Alasannya mudah sahaja, berkemungkinan dalam karya-karya kita itu tidak pernah ada pun pemikiran besar di dalamnya yang perlu diseminarkan, atau kita bukannya termasuk dalam golongan penulis mahakarya.

Dalam hal ini, Rejab F.I. mungkin sahaja termasuk dalam golongan penulis yang cukup bertuah, kerana pada 25 September yang lalu buah fikiran beliau di dalam karya, telah pun berjaya diselak oleh tujuh orang pengkritik sastera tanah air bagi diketengahkan untuk diserlahkan kepada masyarakat pembaca.

Majlis anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis yang berlangsung sehari suntuk di Dewan Seminar Pulai 1 IPG Perlis itu, telah dirasmikan oleh Pengerusi DBP Datuk Dr Md. Salleh Yaapar.


Prof. Datuk Rahman Shaari dalam ucaptamanya telah membongkar kembali sejarah penglibatan Rejab F.I. dalam dunia sastera melalui kertas kerja bertajuk Rejab F.I. Mengharungi Sastera. Enam kertas kerja lain yang turut dibentangkan dalam seminar tersebut termasuklah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali (UPSI), Prof. Madya Dr. Rahimah Abdul Hamid (USM), A Rahim Abdullah (ASWARA), Sharif Shaari, Hasan Baseri Budiman (2PNP) dan Roslan Chin (IPG Perlis).

Kesemua kertas kerja ini telah cuba menyelongkar pelbagai sudut pemikiran Rejab F.I yang terdapat di dalam karya-karya beliau. Rata-rata pembentang menyakini bahawa Rejab F.I. memang punya pemikiran besar dalam membantu membina karakter masyarakat melalui karya-karyanya.

Benarlah seperti yang dijelaskan oleh Md. Salleh Yaapar dalam ucapan perasmiannya, bahawa Rejab F.I. memiliki mata yang cukup tajam ketika berbicara tentang masyarakat di dalam karyanya.

Beliau bukan sahaja berbakat menghasilkan cerpen, novel dan sajak malah berkebolehan menulis skrip drama televisyen yang semuanya digubah dengan bersumberkan kehidupan masyarakat sekelilingnya. Yang menariknya ialah kemampuan beliau dalam menggarap suatu bentuk penulisan sehingga mampu meruntun jiwa pembacanya.

Rahman Shaari pula dalam ucaptamanya telah menonjolkan kehebatan Rejab F.I. ini bukan sekadar terhadap kemampuan beliau melontarkan buah fikirannya kepada masyarakat, tetapi juga kemampuan penulis tersohor Perlis ini dalam membina imejnya sebagai penulis.

Menurut Rahman Shaari, orang akan mudah mengingati Rejab F.I. kerana orang mudah menemui karya-karyanya yang terlalu banyak di dalam pasaran.

Bukan senang untuk mengingati orang, kalau jarang-jarang kita menemui penandanya. Namun Rejab F.I. sudah berjaya melakukannya apabila beliau menghasilkan beratus buah karya untuk menjadi penanda kewujudannya sebagai pengkarya yang boleh dikongsi bersama dengan khalayak pembacanya.

Novel 106 buah

Antologi cerpen 20 buah

Kumpulan puisi 3 buah

Kumpulan drama 1 buah

Cerpen 184 buah

Puisi 321 buah

Rencana 294 buah

Drama radio 20 buah

Drama TV 15 buah

Drama pentas 4 buah

Ada suatu hal lagi yang menarik dalam menyelongkar pemikiran Rejab F.I. ini, iaitu tentang keterikatan dunia keguruannya di dalam karya.

Di dalam kertas kerja Melihat Percikan Pemikiran Guru Dalam Karya-karya Rejab F.I. keterserlahan Rejab F.I. sebagai seorang penulis yang masih terikat dengan dunia perguruan, jelas ditonjolkan apabila hampir keseluruhan gambaran penceritaan penulis ini dalam sembilan puluh peratus karya-karyanya, dikisarkan kepada alam pendidikan.

Sebenarnya bukan ramai guru seperti Rejab F.I. ini yang mampu melaksanakan tugas sebagai guru karyawan. Hal ini kerana kebanyakan guru hanya mampu membimbing murid agar dapat menemukan berbagai potensi yang dimilikinya, sehingga dengan pencapaian itu ia dapat tumbuh dan berkembang sebagai individu yang mandiri dan produktif, tetapi tidak ramai pula guru yang mampu membimbing masyarakat di luar sekolah untuk menjadi seperti itu.

Bertuahnya Rejab F.I kerana beliau adalah antara individu yang unik. Maksudnya, beliau adalah guru di dalam kelas dan beliau juga adalah guru kepada masyarakat di luar kelas. Tuhan bukan sekadar menganugerahkan sifat mendidik kepada Rejab F.I. sehingga boleh menjamin beliau menjadi seorang guru yang baik, tetapi juga menganugerahkan bakat menulis yang cukup besar untuk menjadi penyebar senario di sekolah kepada masyarakat di luar.

Rejab F.I. juga sebenarnya seorang penyair tanah air yang turut disegani. Kemampuannya membina puisi bukan sekadar pada tema dan persoalannya sahaja, tetapi pada gaya bahasa yang digunakannya juga. Dalam kertas kerja berjudul Bahasa Retorik Rejab F.I. Dalam Menganyam Mimpi keterserlahan ini dapat dilihat apabila kekuatan penyampaian puisi-puisi Rejab F.I. diserlahkan melalui retorik pemerian dan retorik naratif yang banyak terdapat dalam puisi-puisinya itu.

Hal yang hampir sama juga dibangkitkan dalam kertas kerja berjudul Naratologi Dalam Deklarasi Belantara Karya Rejab F.I. apabila pemikiran Rejab F.I. di dalam karya ini turut dilihat melalui perspektif naratologi naratif yang boleh membuktikan bahawa Rejab F.I. sebenarnya seorang sasterawan yang cukup teliti dan prihatin dalam memuaskan hati para pembaca yang pernah mentelaah karya-karyanya.

Kita seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Rejab F.I. yang telah membantu melaksanakan tugasnya bukan sahaja sebagai guru tetapi juga sebagai karyawan yang turut memberikan percikan suara guru di dalam karya. Kita juga harus sedar, suara Rejab F.I. ini lahir di cerah-celah puluhan ribu suara guru lainnya yang pernah memberikan nilai-nilai yang yang cukup bermakna kepada bangsa dan negara. Semoga selepas pemikiran Azizi Haji Abdullah (2010), A. Rahmad (2012) dan Rejab F.I. (2013) ini diselongkar, akan ada seorang lagi penulis bermakna di utara ini yang fikirannya perlu diselongkar pula.

Utusan Malaysia Online

Anak gembala jadi sasterawan
Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN



REJAB Ismail atau nama pena Rejab F.I antara segelintir sasterawan dekad 1960-an yang terus konsisten, prolifik dan pemikirannya teranjak selari dengan zaman. Sebenarnya tidak banyak sasterawan yang menang mengharungi zaman dan mendepani perubahan pola pemikiran dengan generasi semasa. Lalu banyak yang mengambil langkah memperlahankan langkah atau mengundurkan diri dari gelanggang sastera.

Malah ukuran kesenimanan seseorang bukanlah berapa tingginya gelombang yang melambung dia di puncak, tetapi berapa panjangkah usia kesenimanannya. Dalam konteks ini Rejab yang kini berusia 72 tahun terus menulis sejak berusia 19 tahun. Bermakna sepanjang 50 tahun Rejab tidak pernah berhenti menulis dalam kesibukan kerjayanya sebagai pendidik di banyak sekolah di Perlis.

Buku ini adalah memoir Rejab, seorang budak kampung yang menggembala lembu, bersawah dan membesar bersama nyamuk dan agas, menggapai cita-cita menjadi sasterawan. Hingga kini, ketika saya singgah di rumah agamnya di pinggir bandar Kangar, Perlis, Rejab masih menulis. Beliau boleh berhenti daripada kerjaya yang sebati dengannya sebagai pendidik tetapi tidak boleh meninggalkan pena dan kertas. Hidupnya penuh dengan aksara, kata dan frasa.

Rejab sangat terhutang budi kepada akhbar mingguan Utusan Zaman (bertulisan jawi), majalah Mastika dari bertulisan jawi hingga rumi yang menjadi pentas awal memperagakan karya-karya berupa cerpen dan puisi. Beliau adalah antara sejumlah besar sasterawan yang mula bertapak menerusi Utusan Zaman dan Mastika kemudian Mingguan Malaysia.

Daripada memoir ini, kejayaan Rejab sebagai sasterawan kelihatan dibentuk oleh kesedaran untuk mengubah taraf hidup dan pemikiran masyarakat. Seorang guru tahun awal 1960-an adalah pemikir bagi dalam kalangan masyarakat yang rata-rata tidak menguasai ilmu baca dan tulis yang tinggi. Rejab adalah pemikir dan pemerhati sosial zamannya, malah mempunyai kesedaran untuk mengubah kepada keadaan yang lebih baik. Beliau menggunakan kuasa sastera.

Pengalaman hidup sebagai budak kampung yang daif mencelikkan Rejab sebagai agen perubahan. Boleh dikatakan hampir semua karya berbentuk novel, cerpen dan puisi dicetuskan daripada milieu sosial yang melingkari hidupnya sejak kanak-kanak. Karya-karya Rejab bukan sahaja mahu memajukan masyarakat supaya berfikir di luar kotak, malah menekankan kerukunan sosial dan moral yang sedikit demi sedikit terhakis oleh amukan modenisasi di pendalaman.

Rejab sangat prihatin terhadap kerukunan sosial, tata susila dan kemajuan yang diperjuangkan tentunya bukanlah fizikal semata-mata. Kemajuan dari sudut manusiawi menjadi agenda utama Rejab dalam karya-karyanya.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pendidik, Rejab mempunyai masa untuk menulis novel, cerpen dan puisi. Yang menariknya setiap karya yang ditulis mempunyai cerita benar yang dijadikan ilham bagi membuahkan karya tersebut. Rejab berjaya memindahkan fakta menjadi fiksi ke dalam karya tetapi memperkatakan isu sebenar yang dilaluinya ketika karya itu dihasilkan. Selepas menelaah memoir ini jelaslah bahawa Rejab hadir dalam setiap karyanya.

Daripada memoir ini juga kita dapat melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh Rejab sejak setengah abad lalu. Hingga kini, beliau antara sasterawan yang lantang mengkritik pihak tertentu yang terlalu berlembut dan tidak berani mengangkat kedudukan bahasa Melayu.

Kerana prinsip memperjuangkan bahasa Melayu ini jugalah Rejab mengkritik keras Tan Sri Ismail Hussein ketika memimpin Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang dianggap bertolak ansur dalam isu bahasa Melayu. Rejab seorang yang tidak "malu alah" untuk berkata sesuatu yang benar sekalipun kepada orang yang sangat dihormati.

Rejab mencatatkan rekod kecemerlangan tersendiri apabila berjaya memimpin Persatuan Penulis Perlis (3P) selama 32 tahun mulai 1971 hingga 2003. Apa lagi kalau bukan kemampuan yang membolehkan beliau memimpin sebegitu lama dan menggerakkan 3P sebagai persatuan sastera dan budaya terpenting di wilayah utara.

Di bawah kepimpinan Rejab, 3P menjadi persatuan penting dalam usaha melestarikan seni dan budaya tradisi negeri Perlis. Banyak tokoh seni dan budaya diberi penghargaan sebagai Tokoh Budaya, antaranya tokoh penglipurlara Mahmud Wahid (Awang Batil) dan Ismail Hassan (Tok Selampit).

Kesan pertama apabila menyusuri memoir ini ialah membawa kita kembali pada milieu masyarakat tahun 1950-an hingga 1970-an di kawasan pendalaman di negeri Perlis. Membawa kita merasakan dengan jiwa tentang alam dan manusia di satu sudut negeri yang terasing dari limpahan pembangunan pada dekad berkenaan.

Kepada generasi masa kini, memoir ini boleh dijadikan rujukan untuk melihat dan memahami sosiobudaya masa lampau, khususnya di sekitar alam yang melingkari kehidupan Rejab. Walaupun Rejab menceritakan kisah hidupnya tetapi beliau secara tanpa sedar menggambarkan keadaan sosial waktu itu.


Zaman itu telah jauh berlalu, negeri Perlis kini telah membangun sama seperti negeri lain di negara ini. Kesan kedaifan seperti yang dilalui oleh Rejab sudah tidak ada lagi. Untuk menjiwainya perlulah menelaah memoir Rejab.

Secara umumnya ini boleh dianggap memoir seorang sasterawan dan juga memoir seorang pendidik. Memoir ini terbahagi kepada dua; kedua-dua bidang yang digauli oleh pengarang diberi penekanan yang seimbang. Kepada pendidik generasi sekarang, memoir ini sangat berguna untuk menghayati kesukaran pendidik terdahulu mendepani kesukaran bagi memajukan anak bangsa.

Dekad 1960-an adalah dekad yang mencabar, kemiskinan dan kemunduran berada di mana-mana. Kepentingan ilmu bukan menjadi keutamaan kepada masyarakat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di situlah peranan pendidik untuk membuka jendela fikir masyarakat bahawa hanya ilmu sahaja yang boleh mengeluarkan generasi selepas mereka dari belenggu kemiskinan. Dan Rejab melakukan tugas ini dengan sebaiknya

Utusan Malaysia Online


BIODATA REJAB BIN ISMAIL (REJAB F.I.)



LATAR BELAKANG

1. Dilahirkan di Kampung Bongkok, Padang Lati, Perlis, pada 12 September 1941, ketika menyarak peperangan dunia kedua.

2. Umur: 66 tahun.

3. Anak seorang petani.

4. Kini sebagai Pesara Guru dan penulis sepenuh masa, menumpukan kegiatan kepada budaya dan masyarakat.

KELUARGA

1. Ibu: Yah binti Saman (meninggal 1947)

2. Ayah: Ismail bin Salleh (meninggal 1979, ketika berusia 73 tahun)

3. Adik-beradik: Abdullah (abang sulung, meninggal), Aishah (kakak), Othman (abang), saya, Rohani (adik) dan Mat Zainol (adik).

4. Berumah tangga /berkahwin 1964:
Isteri: Fatimah binti Taha (1944)
Anak-anak: Ronifira (1965), Rustam Affendi (1974), Rizal Irwandi (1975)
Cucu: Nadia Farahna Fira (1979), Kamal Ridzuan Rashid (1980).

5. Tempat tinggal sekarang: Km.3, Kampung Tanjong Gorah, Repoh,
01000 Kangar, Perlis. Telefon: 04-9768855. Bimbit: 019-4544855.

PENDIDIKAN

1. Belajar di Sekolah Melayu Santan sehingga Darjah V (1950), Sekolah Melayu Paya Darjah VI (1954), Sekolah Melayu Kangar (Lelaki) Darjah VII (1955) - dalam masa penjajahan Inggeris.
2. Belajar sendiri: Lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1961, Sijil Pelajaran Persekutuan (SPP = SPM) 1962, Sijil Tinggi Pelajaran (STP= STPM) 1975 - setelah kemerdekaan.

3. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) - Mahasiswa Luar Kampus - Lulus Sarjanan Muda Kesusasteraan Dengan Kepujian (B.A. Hons.) 1980 - ketika menjadi guru.

PEKERJAAN

1. Lepas sekolah Melayu (1955), sementara mendapat kerja, menjual buah ciku di pasar-pasar sehari (nat).

2. Berniaga telur ayam di kampung-kampung - lahir novel: 'Di Mana Ada Kemahuan'.

3. Dilantik sebagai Guru Pelatih pada tahun 1956.

4. Dilantik sebagai Guru Besar sekolah rendah pada tahun 1970 -1979.

5. Mengajar di sekolah menengah dan sebagai Guru Penolong kanan pada tahun 1982 hingga 1991.

6. Bersara pilihan sendiri sebagai pendidik 1991 (ketika berusia 50 tahun) - ingin menumpukan perhatian kepada penulisan..

7. Dilantik sebagai editor penerbitan Rhythm Sdn Berhad, Pulau Pinang mulai 1996 hingga 2001.

8. Dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka 2005, (mulai 1 Januari 2005 hingga 31 Disember 2005).

9. Menjadi penulis sepenuh masa hingga sekarang.


KEGIATAN PENULISAN

1. Mula menulis pada tahun 1960.

2. Menulis semua genre sastera: Novel (dewasa, remaja, kanak-kanak); cerpen, puisi, drama (radio, pentas, televisyen), cerita rakyat, esei/makalah/rencana.

3. Hasil-hasil penulisan:

3.1. Jumlah buku yang telah diterbitkan: 132 judul.

3.2. Novel (dewasa, remaja dan kanak-kanak) berjumlah 103 judul. Novel 'Noktah Sebuah Perhentian' pernah dijadikan teks sastera tambahan Tingkatan 5. Novel 'Dosa Telah Berampun' (novel remaja) dan 'Pertaruhan Wang Emas' (cerita rakyat/klasik) dijadikan teks sastera tambahan Tingkatan 3.3. 20 judul antologi cerpen.

3.4. 3 judul antologi puisi.

3.5. Sebuah antologi drama.

3.6. 5 judul buku-buku umum.

3.7. Teks Penerbitan CD "Intisari Kesenian Tradisional Negeri Perlis Malaysia."

3.8. Karya eceran yang telah diterbitkan dalam akhbar,majalah, radio dan televisyen tempatan:

3.8.1. 185 judul cerpen

3.8.2. 396 judul puisi

3.8.3. 345 judul rencana/esei

3.8.4. 20 judul drama radio

3.8.5. 15 judul drama televisyen

3.8.6. 4 judul drama pentas.

Drama televisyen 'Titian Rapuh' (RTM ) di antara 10 drama terbaik 1982, 'Gelora Impian' (Tv3) di
antara 10 drama terbaik 1994.

3.9. Terjemahan: Puisi dan cerpen diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Russia dan China. Cerita kanak-kanak diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan China.

3.10. Cerpen dipilih sebagai teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia (SPM): Cerpen 'Sebuah Kampung di Daerah Pendalaman'(1970), 'Suatu Subuh Yang Bening' (1980) dan 'Me-
mori Kehidupan' (1989).

3.11. Puisi dipilih sebagai teks sastera Sijil Pelajaran Malaysia:

'Antara Dua Jurang' (1971), 'Peladang' (1971) dan 'Lagu Anak Di Permatang' (1971).

3.12. Tiga judul puisi dipilih memenangi pertandingan lagu puisi 1998, 1999, 2000

3.13. Ceramah: Sering memberi ceramah penulisan cerpen, puisi, cerita rakyat, drama radio dan televisyen kepada penulis-penulis baru dan ceramah/bengkel Kaedah Penerbitan Majalah Sekolah kepada guru-guru (melalui persatuan-persatuan penulis Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara).

3.14. Hakim: Sering dijemput menjadi hakim sayembara deklama- Puisi Hari Kebangsaan, dan sekolah-sekolah. Hakim pertandingan pidato, perbahasan dan kuiz dan hakim Citra Majalah Sekolah Menengah Wilayah Utara (DBP/WU 2005).

3.15. Deklamasi puisi: Sering dijemput mendeklamasi puisi di sekolah-sekolah, maktab dan universiti.

SUMBANGAN KERTAS KERJA DAN IDEA


1. Menyumbang kertas kerja dalam 'Seminar Tarian Canggung',mengkaji dan memperkenalkan tarian identiti negeri Perlis, anjuran bersama Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan Persatuan Penulis Perlis (3P) pada tahun 1974.

2. Dilantik sebagai AJK Penerbitan Buku Cenderamata Sempena Perayaan 25 Tahun Kemerdekaan Malaysia, peringkat negeriPerlis, pada tahun 1980.

3. Menjadi AJK Bengkel Tradisi Lisan, anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 1981.

4. AJK Persembahan Hiburan Rakyat, sempena ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis dari tahun 1982 sehingga tahun1985.

5. AJK Pesta Buku Peringkat Negeri Perlis dari tahun 1982 hingga 1991.

6. AJK Misi Kebudayaan Thailand sempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis pada tahu 1982.

7. Membentang kertas kerja majlis Ceramah Penulisan Cerpen Kanak-kanak, kepada guru-guru sekolah rendah Perlis dalam tahun 1985.

8. AJK 'Pameran Melalui Teladan' anjuran kerajaan negeri Perlis pada tahun 1984.

9. AJK 'Pertandingan Hadrah dan Gendang Tarinai' anjuran kerajaan negeri Perlis pada tahun 1974, 1976 dan 1990.

10. AJK 'Penganjur Pesta Budaya Negeri Perlis' pada 20 Disember 1994.

11. Membentang kertas kerja 'Proses Penulisan Puisi' dalam majlis Temu Puisi III, di MATIC, Kuala Lumpur, anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada 11 Disember
1993.

12. Membentang kertas kerja 'Proses Penulisan Cerita Rakyat' di Parit Buntar, Perak pada tahun 1994.

13. AJK Siri Pengkisahan Sejarah peringkat negeri Perlis, anjuran Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan kerjasama Arkib Negara Cawangan Alor Setar, pada tahun 1994.

14. AJK Pengelola Kem Sosio Budaya, peringkat negeri Perlis pada tahun 1994.

15. AJK 'Malam Deklamasi Puisi BPR' cawangan Perlis, pada tahun 1994.

16. AJK Penerbitan Album Di Raja Perlis, sempena sambutan Perayaan Jubli Emas DYMM Tuanku Raja Perlis, pada tahun 1995.

17. AJK Persembahan Rakyat, sempena Perayaan Jubli Emas DYMM Tuanku Raja Perlis pada tahun 1995.

18. Menulis bahan-bahan lawatan ke Beijing - Xinjiang, China untuk GAPENA pada 1 hingga 10 Ogos 1995.

19. Pengerusi Dialog Utara III (Pertemuan Penulis Malaysia - Utara Sumatera) di Perlis, anjuran Persatuan Penulis Perlis (3P), GAPENA dan Kerajaan Negeri Perlis pada tahun 1986.

20. Pengerusi Jawatankuasa sambutan 'Minggu Sastera' peringkat negeri Perlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Perlis (3P) pada 22 Oktober 1995.

21. AJK Pembangunan Pelancongan Negeri Perlis, anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Perlis pada tahun 1994.

22. AJK Tahun Melawat Malaysia, anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis pada tahun 1994.

23. Pengerusi AJK Persembahan Kesenian dan Permainan Tradisional sempena Minggu Budaya negeri Perlis pada tahun 1996.

24. Hakim 'Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan' peringkat negeri Perlis mulai tahun 1990 hingga 2000.

25. Pengerusi hakim 'Sayembara Deklamasi Puisi Hari Alam Sekitar' sekolah-sekolah menengah Perlis Jun 2000.

26. AJK Bulan Bahasa dan Sastera Negara, peringkat negeri Perlis, mulai 1999 hingga 2001.

27. AJK Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan peringkat kebangsaan, tahun 2000 dan 2001.

28. Informan Rakaman Lagu-lagu Rakyat Perlis, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 24 hingga 28 Julai 2000.

29. Pengerusi Hakim 'Festival Kesenian Perlis 2000, anjuran Pemuda UMNO Negeri Perlis, kategori muzik Tarinai dan Hadrah, pada 8 dan 9 Julai 2000.

30. Pengerusi Perkampungan Penulis GAPENA -3P - DBP, di Bukit Ayer Resort, pada 30 Jun hingga 2 Julai 2000.

31. Hakim Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah antara sekolah-sekolah menengah negeri Perlis, pada 30 September 2000.

32. Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan dan Penyelidikan Majlis Kebudayaan Negeri Perlis 2000/2001.

33. Ceramah dan Perasmian Kelab Sastera Sekolah Menengah Agama Al-Islahiah, Bohor Mali, Perlis pada 14 Februari 2001.

34. Deklamasi puisi, sempena Malam Aprisiasi dan Majlis Jasamu Dikenang, Jabatan Kastam Negeri Perlis, pada 29 Jun 2001.

35. Hakim Pertandingan Puisi dan Lagu, sekolah-sekolah menengah negeri Perlis, pada 15 Ogos 2001.

36. Dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, sebagai Tokoh Penyair, sesi "Mengenal Tokoh", untuk program Penghayatan Budaya dan Sastera dalam Program Latihan Khidmat
Negara, pada 14 Februari 2005, di Kem Tasik Meranti, Perlis.

37. Penceramah Bengkel "Kaedah Penerbitan Majalah Sekolah", pada 29 September 2005, di Pusat Sumber Pendidikan, Pulau Pinang, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Utara bersama Pusat
Sumber Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

KEGIATAN KEMASYARAKATAN

1. Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P) selama 23 tahun - (semenjak 1977 hingga 2004).

1.1. Membimbing dan melahirkan sekian banyak penulis-penulis Perlis seperti Nurhalim Ismail, Nur S.Bidin Beseri, Nasir Ali, Nordin Saad, Saleha Ahmad, Nilamsuri, Basariah BakarBibi Baharom dan Siti Zubaidah Haris.

1.2. Berjuang memartabatkan Bahasa Melayu - memorandum "Sepuluh Faktor Mengapa Bahasa Melayu Patut Martabatlan - dikirimkan kepada Perdana Menteri dan pejuang bahasa Melayu seluruh Malaysia.

1.3. Berusaha memelihara dan memperkembangkan kesenian tradisional negeri Perlis seperti Awang Batil, Selampit, Hadrah, Beduan, Alu Bunyi, Berendoi dan Gendang Perlis.
1.4. Memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh negeri Perlis yang banyak berjasa dengan nama 'Tokoh Budaya 3P' (sudah 22 orang - pada setiap tahun mesyuarat agung 3P).

1.5. Sekian banyak penyelidikan sejarah yang terdapat di negeri Perlis seperti ketokohan Tok Arau, Kota Indera Kayangan, Kampung Bunga Emas, Kampung Wang Kelian dan Makam
Tok Perlis.

2. Naib Yang Di Pertua Satu Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (MKN) semenjak 1995 hingga 2004.

2.1. Melalui MKN sekian banyak kesenian tradisional Perlis dipopularkan iaitu secara mengelolakan Pesta Perlis dan
Pertandingan Kesenian Tradisional Rakyat Perlis pada
tahun 1994, 1995 dan 1996.

2.2. Memasang papan tanda: Perlis Indera Kayangan - PADAMU NEGERI, TEMPAT KAMI BERBAKTI, di Sanglang, Jelempok, Kuala Perlis, Padang Besar dan Pauh - sebagai
seruan rakyat negeri Perlis berbakti kepada negeri ini (melalui MKNPs).

2.3. Memasang papan tanda untuk memasyarakatkan puisi di tempat tempat pelancongan dalam negeri Perlis, seperti di Tasik Melati, Gua Kelam, Hutan Lipur Bukit Air, Sungai Batu Pahat dan Kuala Perlis (melalui 3P).

2.4. Memasang papan tanda dahwah untuk memasyarakatkan puisi di Komplek Agama Islam Kangar, puisi "Bekalan Ke Jalan Pulang" dan di Masjid Negeri, Arau, puisi "Takwa"
(Bersendirian).

2.5. Memasang papan tanda puisi Melayu tradisional: Pantun, syair dan gurindam untuk memasyarakatkan puisi di Taman Budaya serta Di Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar (bersendirian).

2.6. Memasang papan tanda sejarah 'Bakti dan Jasa Tok Arau', di Kampung Kebun, Arau, Perlis (bersendirian).

2.7. Mengelolakan Pesta Pantun dan bengkel 'Penghayatan dan Penulisan Pantun', di Kuala Sungai Kurung Tengar, Perlis, Pada 22 hingga 24 Disember 2004 (kerjasama MKNPs).

3. Ahli Jawatankuasa Kerja GAPENA semenjak 2000 hingga 2004.

3.1. Selaku Ketua Biro Kebajikan

3.2 Berusaha menerbitkan Lampiran Kereatif Warta GAPENA

3.3. Berusaha menerbitkan antologi puisi 'Sumpah Setia Bahasa' dan "Daik Bonda Tanah Melayu.

4. Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, mulai tahun 1995 hingga 2000.

4.1. Pengerusi penerbitan Jurnal Warisan Indera Kayangan, 1998 hingga kini.

4.2. Ahli Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Perlis.

4.3. Pengerusi Penubuhan Bilik Bacaan di kampung-kampung dalam negeri Perlis.

5. Persiden KKGMB Perlis 1985 - 1987

6. AJK Syarikat Pegawai Kerajaan Negeri Perlis 1985 - 1990

7. AJK UMNO Cawangan Repoh, Perlis 1982 - 1995

7.1. Pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Repoh, Perlis.

7.2. Pernah dipilih sebagai Perwakilan ke Persidangan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

8. AJK Lembaga Mesjid Repoh, Perlis 1980 - 1999

8.1. Menubuhkan Bilik Bacaan di mesjid tersebut.

9. AJK Persatuan Sejarah Negeri Perlis 1994 hingga 2000.

10. AJK Koleksi Muzium Negeri Perlis.

11. AJK Kecil Penamaan Jalan, Kawasan Perumahan dan Tempat Awam, Majlis Perbandaran Kangar 1999 hingga kini.

12. Ketua Satu Persatuan Kebajikan Am Kampung Tanjung Gorah/Repoh, Perlis 1970 hingga kini (2005 selama 35 tahun).

12.1. Memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat tentang kebajikan iaitu menubuh tabung Khairat Kematian dan Alatan pinggan-mangkuk untuk kenduri-kendara.

13. Naib Pengerusi Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS) 2004 hingga kini.

13.1. Menyediakan kertas KESEPAKATAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU untuk tiga buah persatuan Melayu iaitu Pulau Pinang (PEMENANG), negeri Kedah (PEMIKAD) dan
negeri Perlis (PEMANIS).

14. Naib Penerusi Persatuan Penggiat Kesenian Negeri Perlis (PESENI) 2004 hingga kini.

MINAT DAN KECENDERUNGAN

1. Lanskap rumahtangga

1.1. Memenangi hadiah kedua 1997 peringkat negeri Perlis.
1.2. Memenangi hadiah pertama 1998 peringkat negeri Perlis.

1.3. Memenangi hadiah kedua 1998 peringkat kebangsaan.

2. Berkebun dan dusun.

3. Mencungkil dan memulihara kesenian tradisional negeri Perlis seperti: Tarian Canggung dan Cinta Sayang, Hadrah, Gendang Tarinai, Awang Batil, Selampit, Alu Bunyi, Berendoi, Gendang Perlis dan Beduan.

3.1. Aktiviti dijalankan melalui Persatuan Penulis Perlis (3P) dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan dan Kesenian serta Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (MKNPs).

3.2. Dilantik sebagai Penyelidik, menghasilkan buku KOLEKSI KESENIAN TRADISIONAL NEGERI PERLIS, oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis.

ANUGERAH

1. Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 1974 daripada DYMM Tuanku Rajai Perlis.

2. Pingat Jasa Baik (Pengakap) 1975 daripada Pesuruhjaya Pengakap Negara (Malaysia).

3 Pingat Ahli Mahkota Perlis (AMP) 1987 daripada DYMM Tuanku Raja Perlis.

4. Pingat Setia Mahkota Perlis (SMP) 2003 daripada DYMM Tuanku Raja Perlis.

5. Tokoh Penulis Perlis 2001 daripada Persatuan Penulis Perlis (3P).

6. Pingat Jasa Cemerlang (PJC) 2005 daripada Yayasan Tuanku Syed Putera, Perlis.

7. Penggiat Seni Negeri Perlis (Kesenian Tradisional) 2002, oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis.

HADIAH SASTERA


1. Hadiah Sastera Nasional 1971 - tiga buah puisi

2. Hadiah Sastera Nasional 1972 - sebuah puisi

3. Hadiah Sastera Esso - GAPENA 1985 - sebuah cerpen

4. Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank (puisi/cerpen) 1994, 1995, 1996, 1997, 1999.

KEGIATAN PENULISAN KINI

1. Dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka mulai
1 Januari 2005 hingga 31 Disember 2005. Menulis : Memoir Rejab F.I. "Seribu Riak Di Pantai Usia"

2. Dilantik sebagai ahli panel oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sebagai penulis untuk projek "Sastera Rakyat Malaysia",mulai Januari 2005.

3. Penerbitan antologi cerpen dan puisi.

4. Bekerjasama dengan "Pusat Dokumentasi Melayu DBP" perolehan koleksi tentang penulisan.

5. Menghasilkan karya cerpen, puisi, drama televisuen, esei kesenian, kebudayaan dan pelancongan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena