28 Jun 2013

Suara Sang Sasterawan



PERTAMA-tamanya, izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri kita, serta pucuk pimpinan kerajaan atas amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh suara demokrasi rakyat untuk berada di Putrajaya sekali lagi.

Majoriti rakyat pengundi telah bersuara dengan jelas, dan izinkan saya sebagai suara seorang rakyat, mengucapkan sepatah dua kata pada malam yang bertuah ini.

Saya sangat berterima kasih kepada setiap orang yang memungkinkan saya berada di tengah-tengah hadirin yang dimuliakan. Kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), saya terhutang budi. Bukan sahaja kerana jerih perihnya mempersiapkan segala urusan majlis ini, tetapi selama 22 tahun, DBP menjadi tempat menampung cita-cita dan tulisan saya sejak menjadi mahasiswa pada tahun 60-an.

Malahan di Balai Budaya DBP itulah tempat diadakan majlis konvokesyen untuk kami menerima ijazah pada tahun 1963 sebelum Universiti Malaya memiliki dewan yang selesa.

Rasanya inilah kesempatan yang terbaik untuk mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah institusi bahasa dan persuratan yang sebenarnya sangat unik.

DBP ialah hasil perjuangan perintis-perintis kemerdekaan untuk membebaskan bahasa dan kebudayaan, dan membangunkan jiwa serta fikiran bangsa melalui bahasa Melayu. Maka, DBP telah ditubuhkan lebih awal, iaitu setahun sebelum negara merdeka. Justeru, badan yang diamanahkan ini perlu dijaga sebaik-baiknya.

Sama seperti cuaca alam iklim khatulistiwa dengan musim tengkujuh dan musim keringnya, kehidupan dan perjalanan bahasa dan persuratan kebangsaan kita tidaklah tanpa angin ributnya.


Lebih empat ratus tahun bahasa Melayu terpinggir miskin, bersama-sama dengan nasib masyarakat penuturnya pada zaman penjajahan. Namun begitu, ia terus degil bertahan walaupun terbiar melarat.

Bahasa Melayu sejak dahulukala sangat akrab dengan masyarakat, tradisi, agama dan ekosistemnya seperti yang tercermin dalam peribahasa, pantun, syair, hikayat dan kitab-kitabnya. Demikianlah juga kebudayaan Melayu tidak terpisah daripada kekayaan alam, agama Islam dan juga rentetan perjalanan sejarah masyarakat pribumi sejak ribuan tahun dahulu.

Apabila merdeka, negara kita memikul beban yang ditinggalkan oleh penjajah, bukan sahaja kemelaratan ekonomi, tetapi juga kemunduran dalam semua bidang kehidupan rakyat, termasuk bahasa dan budaya.

Kemerdekaan politik dan pembangunan ekonomi pula, tanpa kesedaran sejarah, tanpa kesegaran budaya, agama dan kemajuan bahasanya, bukan sahaja tempang pada pandangan, cacat dalam pertimbangan, cela pada jati dirinya, malahan menunjukkan kelalaian yang mengaibkan bagi sebuah bangsa yang merdeka.

Bahasa dan kebudayaanlah yang membezakan tamadun sesuatu bangsa dengan tamadun bangsa lain. Kemerdekaan negara itu menjadi bermakna bukan sahaja kerana tertegaknya keadilan politik, ekonomi dan sosial, tetapi juga keadilan kebudayaan, terutama yang berkaitan tradisi, nilai-nilai unggul dan tasawur atau pandangan dunia manusianya.

Apabila menyebut tentang kebudayaan dan tradisi, kita sering melihat ke belakang. Apabila bercakap tentang kemodenan dan transformasi, kita cenderung melihat ke depan.

Janganlah berasa bersalah kalau istilah tradisi dan kebudayaan itu membawa konotasi yang konservatif atau berpaling ke belakang kerana kenyataan hidup manusia sebenarnya tidak pernah terputus sama sekali daripada sejarah dan masa silamnya. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, manusia tetap hidup dalam kenyataan kejiwaan: yakni dalam satu kesinambungan masa silam, kini, dan masa depannya.

Apabila berbicara tentang kebudayaan di negara ini, tidaklah diertikan dengan hanya unsur-unsur kebudayaan estetik seperti tarian, nyanyian, filem dan sastera yang menghiburkan sahaja, tetapi merangkumi etos dan gaya hidup yang berlandaskan nilai-nilai murni, keinsafan sejarah tanah air, dan tentu sekali bersandarkan ciri-ciri penting Melayu-Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada awal tahun 1957.

Dokumen Perlembagaan yang diangkat daripada persefahaman yang dipanggil kontrak sosial antara tokoh pejuang kemerdekaan, memberikan kebebasan kepada semua kaum dan keturunan mengamalkan kepercayaan, budaya, bahasa dan aspirasinya dalam kehidupan kaum masing-masing.

Semangat dan tafsiran daripada kalimat yang tersusun dalam Perlembagaan Persekutuan telah memandu kehidupan bernegara pelbagai kaum dan memungkinkan Malaysia menjadi stabil, makmur dan aman kecuali peristiwa hitam pada tahun 1969. Peristiwa ini memberikan banyak pengajaran moral dan kebudayaan, khususnya kekuasaan dan keadilan.

Pada awal tahun 70-an, selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, telah diadakan Kongres Kebudayaan untuk membincangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bertujuan mewujudkan visi kebudayaan bersama pada peringkat negara. Tetapi keutamaan pembangunan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat demi keadilan sosial menyebabkan soal keadilan kebudayaan itu terbiar mencari jalannya sendiri. Pada hari ini masih menjadi tanda tanya: “Ke manakah arah kebudayaan bangsa kita?"

Perlembagaan Persekutuan yang teksnya tertulis hitam putih itu, bukan sahaja asas bagi menulis pelbagai undang-undang baharu untuk memberikan hak-hak dan juga sempadannya kepada pelbagai kaum, tetapi juga harus menjadi landasan bagi mempengaruhi arah perkembangan kebudayaan negara.

Semangat dan roh perlembagaan itu harus menjadi inspirasi serta panduan bagi sebarang perancangan kebudayaan, dan amalan hidup pada peringkat nasional, terutama pada perlakuan rasmi seperti yang tergambar pada majlis malam ini.

Perkara ini bukanlah persoalan yang mudah dilaksanakan, tetapi harus diterjemahkan oleh pemimpin politik dan kerajaan dalam agenda besar nasional. Kemajuan ekonomi dan teknologi amat penting untuk pertumbuhan pendapatan, tetapi pembangunan kebudayaan juga penting untuk melahirkan jenis watak manusia yang menyumbang kepada produktiviti dan kestabilan negara. Ekonomi dan kebudayaan itu pada hakikatnya saling menunjangi.

Membangunkan manusia yang berbudaya, beragama, pandai berkomunikasi, penyayang, inovatif, dan berorientasikan masyarakat sangat penting untuk mengimbangi sifat-sifat individualistik, kebendaan dan kerakusan yang didatangkan oleh kemodenan pada hari ini.

Hampir saban minggu kita mendengar perbuatan jenayah dan tidak bermoral (meragut di jalanan, ketagihan dadah, pelacuran, rompakan mesin pengeluaran wang automatik dan pembunuhan yang dilakukan secara belak-belakan).

Pelanggaran tatasusila ini dalam simpulan bahasa Melayu dipanggil sebagai “kacang hantu". Dalam masyarakat yang maju, bangsa kita juga menghasilkan manusia yang dipanggil “kacang lupakan kulit", yakni rakyat kelas mewah yang tidak peduli tentang nasib bahasa kebangsaan dan kebudayaan setelah meraih kejayaan.

Apakah sebabnya terjadi semua ini? Antara lain sebabnya ialah kemajuan kebendaan, teknologi serta kekotaan yang telah memecut jauh ke depan meninggalkan pembangunan sosial dari segi rohani, sikap mental, moral dan etika. Ramai yang tidak takut berdosa. Mereka hanya takut kalau tertangkap bersalah sahaja. Hati nurani dan kesedaran sosial semakin menipis dan terancam.

Ada yang berpendapat bahawa rosaknya sesuatu bangsa itu adalah kerana rosak manusianya; dan rosaknya manusia itu adalah kerana rosak moral dan etikanya, meskipun telah terbangun sistem birokrasi dan keselamatan yang canggih di sekelilingnya. Syukur Alhamdulillah, bangsa kita masih belum rosak teruk.

Sebelum mengundurkan diri, izinkan saya membuat rayuan agar dalam gagasan transformasi dan strategi pembangunan negara, akan diperbanyak ikhtiar dan usaha berkesan bagi menjadikan rakyat kita bangga akan tradisi dan warisannya seraya menjadi manusia yang bijaksana menghadapi cabaran moden.

Diharapkan dengan semangat yang masih baharu dan segar-bugar di Putrajaya, akan bangkit satu era baharu dalam perkembangan kebudayaan dan tamadun bangsa kita.

Justeru, tepatlah pada waktunya dengan semangat “reconciliation" yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini, isu kebudayaan sangat penting diperhalusi, bukan sahaja untuk permuafakatan dan muhibah rakyat pada hari ini, tetapi untuk membangunkan tamadun Malaysia seraya memelihara jati diri bangsa.

Barangkali sebagai langkah awal, kerajaan boleh mewujudkan sebuah badan kehormat (pemikir, pemimpin, ilmuwan, pakar dan cendekiawan). Badan ini boleh dirujuk bagi membantu kerajaan dalam menangani pelbagai masalah Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan pelaksanaannya.

Akhir kata, saya memohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung jari atas apa-apa jua keterlanjuran kata; dan saya sudahi dengan sebuah puisi sebagai tanda terima kasih tak terhingga:

C I N T A

Bagaimanakah alam hendak kulukis,
Kalau bulan menyembunyikan diri;
Tetapi pada malam yang terang benderang,
Dengan limpahan cahaya senyuman,
Yang lebih gemilang daripada seribu bulan,
Masih sahaja tak dapat kugambarkan,
Rasa syukur, cinta dan terima kasih.
Kerana Dia yang Maha Suci dan Penyayang,
"Ya Tuhan, berikanlah sebesar-besar cinta dan kasih sayang,
Kepada sekalian yang pada malam ini datang bertandang".

(Ucapan Penerimaan Anugerah Sasterawan Negara  oleh Datuk Baharuddin Zainal.

Sumber : Utusan Malaysia


Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Hon D Litt) kepada Datuk Baharuddin Zainal pada 20 Mac 2010.


Baha Zain terima ijazah kehormat daripada Universiti Sains Malaysia

DUNIA sastera tanah air menerima penghormatan sekali lagi apabila penerima Anugerah Penulisan Sea 1980, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Hon D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM), pada 20 Mac lalu.
Sasterawan tersohor itu menerima pengiktirafan tertinggi pada peringkat Asia Tenggara daripada Kerajaan Thailand menerusi Anugerah Penulisan Sea pada 1980, tidak menduga sama sekali beliau akan diberi penghormatan sedemikian daripada universiti terbabit.


“Sebagai seorang yang diundang untuk menjalani sebahagian daripada upacara bermakna ini, saya kira ini adalah suatu takdir yang tak pernah terbayang boleh berlaku di dalam perjalanan hidup saya. Saya sangat bersyukur (Alhamdulillah) dan gembira,” katanya ketika berucap pada majlis di Fakulti Kejuruteraan USM, Kampus Minden, baru-baru ini.

Upacara berkenaan berlangsung pada Konvokesyen Ke-41 USM yang turut dihadiri Pro Canselor USM, Tan Sri Razali Ismail, Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Prof Datuk Abu Talib Ahmad.

Beliau tersentuh menerima pengiktirafan daripada USM memandangkan ia adalah institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang penting di negara ini, selain walaupun istilah sains terserlah pada namanya tetapi di universiti itu hadir juga pengkaji dan pengkritik sastera berwibawa, baik dalam bidang sastera Melayu klasik mahupun moden.

“USM juga menempatkan dua tokoh persuratan yang menerima pengiktirafan tertinggi bangsa dan juga tokoh akademik terkenal iaitu Prof Emeritus Shahnon Ahmad (novelis) dan Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh (penyair) yang diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN), memperkukuh citra serta kewibawaan USM.
“Oleh hal yang demikian, tentulah cukup bermakna menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada universiti puncak ini. Oleh kerana itulah juga saya berasa sedikit ngeri untuk berucap sepanjang tujuh minit, bagi memenuhi waktu yang diperuntukkan, di hadapan ramai cerdik pandai daripada pelbagai disiplin ilmu.

“Beberapa kali saya memikirkan draf ucapan kerana tidak pasti apa yang pantas untuk diucapkan di depan khalayak. Akhirnya saya mengambil pendirian untuk setia kepada diri sebagai penyair agar ucapan saya lebih autentik dan jujur.

“Kesejatian dan kejujuran itu, namun boleh menjadi sebagai barang kuno, artifak dan usang pada zaman pembangunan industri dan globalisasi ini, tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan lain kecuali mengemukakan fikiran yang polos lagi dekat dengan hati,” katanya.

Sebelum ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memberi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan SN, Allahyarham (Dr) Arena Wati atau nama sebenarnya, Muhammad Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan Andi Buyung, menerimanya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baha Zain mengakui dalam genre puisi, beliau menimba pengetahuan daripada alam pengalaman di tengah-tengah kehidupan yang nyata dan tidak melalui proses menyelidik dengan metode teratur, menganalisis sumber secara saintifik dan mentafsir secara rasional lagi objektif.

“Dalam keadaan seperti itu tentulah penulis seperti saya ada banyak kekurangan apabila mengemukakan pandangan. Meskipun sangat percaya pada hikmah ilmu dan darjat yang tinggi diberikan oleh Tuhan kepada orang berilmu, tetapi tidak semua penyair atau seniman ditakdirkan untuk berpeluang bekerja dalam penyelidikan ilmu,” katanya.

Sebagai penyair, beliau selalu insaf bahawa dari segi ilmu beliau selalu berada seperti apa yang terungkap dalam sebuah pantun Melayu yang berbunyi: Berburu ke padang datar,/ Dapat rusa belang kaki;/ Berguru kepalang ajar,/Bagai bunga kembang tak jadi.

“Dengan keinsafan dan sedar diri itu, penyair dan seniman selalu mendapatkan bantuan fikiran ilmuwan untuk mematangkan fikirannya. Penulis kreatif jarang bekerja secara terancang. Dia digerakkan oleh rangsangan tertentu yang menggugah atau menusuk emosinya; menulis secara intuitif dan sangat subjektif sifatnya.

“Dalam waktu yang sama dia boleh menjadi sangat taksub, tekal dan tak berganjak daripada kepercayaannya meskipun berhadapan dengan risiko oleh kerana runtunan emosinya. Jadi dari satu segi dia boleh dianggap tidak bijaksana kerana bersikap tidak pragmatik sewaktu mengucapkan kebebasan hati nurani.

“Bagaimana pun perasaan dan emosi itu adalah dimensi yang tak terpisahkan daripada kewujudan insan. Tidak ada satu sistem sosial yang sempurna sehingga boleh memuaskan hati setiap individu berperasaan dan berfikiran. Dalam demokrasi pun suara majoriti (walaupun dengan kelebihan satu suara) menjadi keputusan yang sah,” katanya.

Lalu, dengan fikiran saintifik dan rasional, bertolak daripada doktrin bahawa setiap sesuatu peristiwa ada sebab musababnya, boleh diselidiki dan diperjelaskan, sehingga timbul kepercayaan bahawa apa jua masalah sosial dan kehidupan manusia boleh diatasi dengan menerapkan fikiran yang logikal dan rasional.

Maka itu, dalam keputusan politik dan ekonomi, kepentingan diberikan terhadap idea, konsep dan fikiran, manakala faktor perasaan, kemanusiaan, emosi, keindahan, kemesraan alam dan nilai rohaniah sering diremehkan sehingga apa yang terjadi pada hari ini, pemimpin kita terpaksa berpatah balik untuk mendengarkan degup jantung dan gerak getar sanubari manusia dengan berkata: “rakyat didahulukan”.

“Saya tidaklah bertujuan meraikan aspek perasaan lebih utama daripada pemikiran. Sebagai manusia, kita berfikir dan berperasaan, berjiran tetangga dan bernegara kerana kita manusia individu dan manusia sosial. Baik dia sasterawan atau pakar sains, masing-masing ada kebebasan dalaman dan intelektual dalam usaha mencari kebenaran. Ini sahaja tidaklah cukup. Baik dia seniman atau ahli sains, dia perlu iltizam dan tanggungjawab sosial.

“Ini pun belumlah memadai kalau kebebasan dan tanggungjawab sosial itu hanya tunduk pada perasaan atau akal, tetapi tidak tunduk pada moral dan etika yang bernaung di bawah kepercayaan Kebenaran yang Hakiki, iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

“Inilah nilai unggul pandangan kehidupan atau tasawur yang boleh menemukan golongan seniman dengan golongan saintis untuk bersama-sama duduk membangunkan kehidupan. Nilai agama inilah juga yang membuat orang berani dan yakin diri berhadapan dengan krisis. Krisis itu bukan sahaja menguji keberanian, tetapi turut menguji keimanan dan menunjukkan watak seseorang seniman atau ilmuwan,” katanya.

Baha Zain dalam ucapannya menyuarakan kebingungan rakyat dengan slogan yang sering didengungkan dan sering berubah; ketika waktu baru merdeka seniman diajak mengisi dasar kebudayaan kebangsaan, disuruh percaya bahawa penulis perlu terus mencipta kerana ia menyemarakkan bahasa serta dapat membentuk jati diri bangsa, tetapi akhir-akhir ini, ia seolah-olah menjadi mimpi lama.

“Kesepakatan antara dua kekuatan, iaitu kekuasaan politik dan kekuasaan ekonomi korporat, biasanya menentukan arah masa depan negara. Pembangunan boleh memakan diri jika pembangunan akal budi kebudayaan, kemanusiaan, moral dan etika, hanya menjadi embel-embelan kepada pembangunan ekonomi, sains dan teknologi. Dalam senario seperti ini, di manakah duduknya golongan ilmuwan dan seniman? Apakah mereka akan berfungsi sebagai pengkritik yang membina atau hanya menjadi pemberi justifikasi bagi setiap keputusan nasional yang besar?,” soalnya.

Baha Zain berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga 1984, sebelum melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah untuk menceburi dunia perniagaan dan giat berkarya ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) serta mempunyai beberapa antologi puisi, manakala empat kumpulan puisinya, Perempuan dan Bayang-bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam dan Tiga Catatan Perjalanan.

Baha Zain yang terkenal dengan puisinya, Menangguh Kebenaran, mengakhiri ucapannya dengan puisi, Kembalikan Mimpi Itu yang boleh ditafsirkan sebagai suara hati perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, meskipun tidak sepatah perkataan terbabit dilontarkan, tetapi ia pasti memandangkan kelantangannya bersuara akhir-akhir ini.

Ketuklah pintuku,
Meskipun malam sepi dan tenteram,
Dan aku nyenyak lena di ranjang.

Kembalikanlah sebuah mimpi,
Yang telah beratus tahun tenggelam,
Dipukul gelombang.

Dengarlah suara yang terpendam,
Dari sanubari yang dalam,
Suara sejarah yang tertindas,
Luka dan lemas.

Ketuklah pintu,
Kembalikanlah mimpi itu,
Jangan orang terbangun nanar
di tengah malam,
Dengan belati tajam di tangan.

Ini sekuntum mawar,
Sebagai ganti,
Meraikan malam penentuan,
Hidup atau mati.

Puisi Kembalikan Mimpi Itu
Karya Baha Zain 

Sumber : Berita Harian



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena