28 Mar 2013

Watak dan Perwatakan Dalam Cereka



WATAK DAN PERWATAKAN DALAM CEREKA
Oleh: Abu Naim Kassan & Zulkifli Salim

WATAK merupakan teras dalam sesebuah cereka. Sebab itulah dalam keseluruhan cereka selalunya wataklah yang memainkan peranannya untuk menghidupkan cerita dan peristiwa yang berlaku sepanjang kisah atau cerita yang hendak disampaikan oleh pengarang. Daripada peranannya itulah menimbulkan berbagai-bagai peristiwa, kisah dan sebagainya yang akhirnya terjalinlah sebuah cereka yang menarik, dan daripada watak itu jugalah timbulnya perwatakan, iaitu ciri penting kepada watak tersebut.

Menurut Lutfi Abas dan Awang Sariyan (1988), watak ialah tokoh dalam cerita. Kamaruddin Hj. Husin (1988) pula, watak itu ialah orang iaitu manusia atau bukan manusia (dengan sifat-sifat manusia) yang mengambil bahagian dalam sesebuah cereka. Selalunya, watak-watak ini diciptakan untuk mendukung peranan atau diberi fungsi untuk mendukung idea pokok, dan mengembangkan idea berkenaan hingga berjaya mencapai matlamatnya.

S.Othman Kelantan (1985), menghuraikan watak itu sebagai satu gambaran tentang pelaku yang memegang peranan dalam novel (cereka), sama ada watak itu manusia atau binatang. Gambaran watak yang dimaksudkan oleh S.Othman Kelantan ini ialah gambaran tentang bentuk tubuhnya, besar kecilnya, tinggi rendahnya, hitam putihnya, gemuk atau kurus dan segala sesuatu tentang sifat peribadinya. Sekiranya watak itu manusia, maka sifat-sifat tentang manusia itu dijelaskan secara terperinci. Gambaran tentang watak ini akan menjelaskan kesesuaian peranannya dalam keseluruhan cereka ini.

Menurutnya lagi, watak ialah unsur yang sangat penting dalam struktur novel (cereka), kerana watak itulah yang berperanan dalam semua keadaan. Dari watak inilah terjalinnya semua peristiwa dan munculnya sebab-akibat yang memungkinkan terjadinya plot cereka itu.

Aristotle pernah menyebutkan tentang watak ini begini character is means the personalities of the story. Character gives up qualities, but it is in action. What we do that we are happy or reverse. All Human happiness and misery take the form of Action. (S.Othman Kelantan, 1987:23)

Marjorie Boulton (1975) pula mengatakan bahawa pelukisan watak dalam sesebuah novel (cereka) itu haruslah menyerupai manusia realistik, iaitu mereka mengalami segala masalah, mempunyai pendidikan tertentu, mengalami soal-soal kehidupan, bersifat rendah diri dengan keadaan sopan-santun dan kecerdasan atau kekebalan seperti kebanyakan manusia realiti .

Dr.Teuku Iskandar (1970) pula menyatakan bahawa watak itu ialah keadaan jiwa seseorang yang mempengaruhi tingkahlakunya termasuk fikirannya, budi pekerti, sifat, tabiat dan lain-lain. Menurutnya lagi watak itu adalah seorang tokoh di dalam cerita atau cereka itu. Perwatakan pula ialah perihal watak itu.
Pendapat Kassim Ahmad (1964) tentang watak dan perwatakan ialah seperti berikut: “Penulis-penulis novel sekarang menggunakan berbagai-bagai teknik untuk menimbulkan watak-watak mereka. Mereka membuat gambaran-gambaran yang selengkap-lengkapnya tentang keadaan seseorang seperti rupanya, pakaiannya,budi bahasanya dan tabiat-tabiatnya dan juga tentang perangainya yang lain. Mereka membuatnya bercakap, berlagak,berfikir dan merasai sesuatu dengan cara yang tertentu. Mereka juga menjelaskan rupa wataknya dengan membuat watak-watak lain memperkatakan tentang diri watak itu.

Begitulah juga dengan menjelaskan tentang cita-citanya, kebolehannya dan pelbagai perkara lagi tentangnya. Penjelasan-penjelasan ini dibuat melalui pendedahan perasaan watak-watak lain terhadapnya dan juga melalui pendapat mereka tentang watak itu.”

Arnold Bennett pula berkata, the foundation of good fiction is character creating and nothing else. (Hashim Awang, 1984:54)

Definisi yang diberikan oleh Ismail Ahmad (1974) pula ialah watak itu merupakan orang-orang yang mengambil bahagian dalam cerita atau novel itu. Antara watak-watak itu tentunya ada watak agama dan watak-watak lainnya. Watak-watak itu melakukan tindakan melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku.

Perwatakan pula katanya, ialah cara pengarang mendedahkan wataknya itu. Ini bererti bagaimana pengarang melukiskan watak dan memperkenalkannnya. Perwatakan ini merupakan teknik pelukisan watak.
Shahnon Ahmad (1979) pula berpendapat, dalam fiksyen ada manusia yang memainkan peranan. Manusia-manusia ini dicipta bagi memperkenalkan diri dan diberi fungsi untuk mendukung idea pokok, lalu mengembangkan idea tersebut sehingga dapat mencapai matlamat pengarang. Manusia-manusia inilah yang dipanggil watak.

Perwatakan pula merupakan satu cara bagaimana pengarang mencipta dan menyusun serta memperlakukan apa sahaja ke atas watak-watak ciptaannya itu. Perwatakan dalam sesebuah cereka itu merupakan pengerak yang melancarkan perjalanan cerita di dalam cereka tersebut. Kegagalan pengarang menghidupkan watak-watak akan mencacatkan plot cereka tersebut. William H.Hudson menggambarkan peranan watak dan perwatakan dalam cereka ini seperti berikut: We now see why the cerekas which hold the highest places in literature are in nearly all cases cerekas of character and not cerekas of plot. (Hashim Awang, 1984:55)
Peranan dan kedudukan watak dan perwatakan dalam sesebuah cereka adalah penting, kerana tanpa watak, gerakan plot dan idea tidak akan dapat ditonjolkan. Wataklah yang menghidup, mengerak, dan mengembangkan cerita dalam sesebuah cereka. Perlukisan watak dan perwatakan ini mempunyai konsep dan prinsipnya yang tersendiri. Walaupun dalam sesebuah karya itu terdapat ramai watak tetapi masing-masing mempunyai sifatnya yang tersendiri yang berlainan di antara satu watak dengan satu watak yang lain.

Daripada kenyataan-kenyataan di atas dapatlah dikatakan bahawa watak itu adalah personaliti atau individu-individu yang memainkan peranan penting dalam sesebuah cereka itu. Mereka ini boleh berfikir sendiri, terpelajar atau mungkin tidak terpelajar, mengalami masalah hidup, mempunyai keyakinan diri, mempunyai perasaan kasih sayang atau sebaliknya, beriman atau sebaliknya dan mempunyai sikap tersendiri yang positif dan negatif untuk menjalani seluruh kehidupan di dalam cereka itu seperti mana kehidupan di luar cereka.

Dalam sesebuah cereka atau cereka, watak-watak adalah digambarkan sama sahaja dengan kehidupan manusia sehari-hari yang sering terlibat dalam pelbagai pertentangan dan berada di dalam pelbagai keadaan. Namun demikian pengarang perlu menyakinkan pembaca bahawa segala tindak tanduknya perlulah munasabah sama seperti manusia biasa.

Keyakinan pembaca terhadap watak-watak ini bergantung kepada pengarang itu sendiri, iaitu bagaimana pengarang itu menampilkan mereka dalam sesebuah cereka itu. Dan cara penampilan watak oleh seseorang pengarang itu pula berbeza-beza. Walau bagaimanapun, kebanyakan cara penampilan itu adalah dalam lingkungan berikut: iaitu cara deskriptif, secara tidak langsung, secara langsung dan gabungan kesemua teknik tersebut.

Cara deskriptif adalah dengan melukiskan watak itu satu persatu bermula dari sifat, sikap, kemahuan dan tindakan. Cara begini biasanya tidak menarik, kerana watak-watak itu diwujudkan seperti robot atau patung. Watak-watak seperti ini selalunya tidak ada kebebasan dalam mencorakkan struktur binaan sesebuah cereka itu.

Cara yang kedua, setengah pengarang menampilkan watak-watak melalui cara tidak langsung iaitu peranan atau sifat dan sikap watak utama itu dilukiskan melalui watak-watak sampingan, yang diperkenalkan sedikit demi sedikit dalam sesebuah cereka itu. Watak-watak sampingan atau watak-watak penting ini berdialog sesama mereka tentang watak utama, dan dari dialog-dialog atau tingkah laku itu, kehadiran watak utama menjadi semakin jelas.
Penampilan cara yang berikutnya ialah secara langsung iaitu pengarang menonjolkan watak-watak itu kepada pembaca melalui pemikiran watak itu sendiri. Watak-watak itu mungkin sedang berfikir atau mengingatkan tentang sesuatu dan hasil dari pemikirannya itu seluruh watak dan perwatakan watak itu menjadi semakin jelas dan dapat dikenal oleh pembaca.

Penampilan watak-watak secara langsung ini juga adalah merupakan satu usaha untuk menghidupkan watak-watak itu dengan peranannya seperti manusia biasa dalam cereka. Watak ini bernafas, bergerak bebas, boleh memberi pendapat dan pandangan, berperasaan dan sebagainya. Watak-watak sebegini rupa lebih realistik, menyakinkan dan boleh dipercayai oleh pembaca. Pembaca akan lebih tertarik dengan watak-watak begini kerana mereka dapat menyaksikan sendiri watak-watak itu beraksi dari segi tingkah laku mahupun dari segi kekuatan mentalnya.

Cara penampilan begini lebih menampakkan kesan dan memperlihatkan kebebasan yang diberikan oleh pengarang kepada watak-wataknya itu. Melalui pemikiran dan aksi watak itu sendiri, segala peristiwa, kejadian masa lalu dan masa kini akan dapat dilihat secara bebas. Penampilan begini seolah-olah watak itu sedang berbicara dengan pembaca itu sendiri dan ini lebih berkesan daripada pengarang menyampaikan gambaran watak itu secara deskriptif dan secara tidak langsung.

Watak-watak yang terdapat dalam cereka dapat dibahagikan kepada beberapa golongan atau kategori. Foster, Wellek dan Warren membahagikan watak ini kepada dua jenis, iaitu watak bulat dan watak pipih. Maksud watak bulat kata mereka ialah watak yang dinamik yang menjalani peranan secara kompleks, baik dan jahat di dalam cereka itu. Sedangkan watak pipih pula adalah watak yang hanya berperanan sebelah pihak sahaja tanpa menjalani seluruh kehidupan (S.Othman Kelantan, 1987).

Di kalangan watak itu ada yang berperanan amat penting yang disebut sebagai watak utama atau watak penting. Ada pula watak yang berperanan kurang penting yang disebut sebagai watak sampingan. Katanya lagi, ada watak yang seolah-olah tidak berperanan langsung kecuali kerana ada hubungan yang tertentu sahaja, dan watak jenis ini disebut sebagai watak-watak sipi sahaja.

Peranan watak dalam cereka ini dijelaskan sebagai mempunyai kebolehan, berpendidikan, mempunyai hobi tertentu, mempunyai sifat-sifat fizikal dan mental, ada nafsu dan kemahuan serta bercita-cita, mempunyai perasaan cinta dan kasih sayang, benci, berdendam dan sebagainya lagi. Ciri-ciri di atas itu disebut sebagai perwatakan kepada watak yang diceritakan di dalam cereka itu. Peranan mereka yang menyerupai sifat-sifat manusia yang realistik itulah yang akan menentukan sama ada watak-watak itu termasuk ke dalam jenis watak bulat atau pipih seperti yang dimaksudkan oleh Forster, Wellek dan Warren tadi.

Bagi S. Othman (1985), watak bulat ialah watak yang berperanan seperti manusia realiti, iaitu mengalami kejatuhan, kebaikan, keuntungan dan kerugian, kebahagiaan dan mungkin kekecewaan. Kehidupannya kompleks dan mesti berusaha untuk mendapatkan kemuliaan. Manakala watak pipih pula ialah perlukisan dari satu sudut sahaja, iaitu kalau watak itu anak raja, dia akan mengalami kebahagiaan selamanya. Begitulah juga kalau watak itu orang jahat, maka dia akan menjadi jahat sampai bila-bila.
Menurut Kamaruddin Hj.Husin(1988), watak dalam cereka terbahagi kepada lima kategori seperti berikut:
1. Watak bulat: Watak bulat dibangunkan secara keseluruhan. Dia digambarkan tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik. Berbagai-bagai kemungkinan sifat manusia diberikan kepadanya. Oleh itu segala tindakannya tidak dapat diramalkan atau diagak oleh pembaca. Sifatnya kerap berubah dan kadangkala pembaca mungkin terperanjat atau terpegun dengan tindakan-tindakannya yang tidak disangka-sangka.
2. Watak pipih : Watak pipih ialah watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhan tetapi diperkenalkan oleh sesuatu aspek keperibadian oleh pengarang. Kalau seseorang itu diberikan peranan jahat, maka kita hanya akan berhadapan dengan tindak tanduknya yang jahat sahaja di sepanjang cerita ini. Pembaca tidak merasa hairan dengan tindak tanduknya kerana pembaca telah dapat menjangkakan apa yang akan dilakukan berdasarkan peribadinya yang jahat itu. Biasanya watak-watak sampingan atau watak-watak pembantu dalam cereka boleh dianggap sebagai watak pipih.
3. Watak dinamis: watak dinamis ialah watak yang penuh bertenaga dan mereka ini biasanya sentiasa mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita. Watak dinamis ialah watak bulat.
4. Watak statis: watak ini ialah watak yang beku dan biasanya watak ini tidak mengalami sebarang perubahan mengikut arus perkembangan cerita. Watak statis boleh dianggap sebagai watak pipih.
5. Watak kodi: watak kodi ialah watak kaku yang berfungsi sebagai intermezo dalam cerita ini. Biasanya watak sedemikian digunakan oleh pengarang untuk menyalurkan pendapat atau pandangannya. Dalam cereka-cereka lama, dakwat, kalam, kertas yang diberi peranan seperti manusia dianggap sebagai watak kodi.

Oleh sebab dalam sesebuah cereka itu terdapat ramai watak yang berperanan dan juga tergolong dalam pelbagai kategori watak, maka perlulah kita mengetahui bagaimana untuk mengesan golongan watak-watak itu. Antaranya adalag dengan cara mengesannya
i. melalui perlukisan secara langsung yang dilakukan oleh pengarang,
ii. melalui tindak-tanduk atau aksi watak itu sendiri,
iii. melalui pendapat dan pandangan serta tindakan orang lain terhadapnya,
iv. melalui percakapan atau perlakuannya,\
v. melalui apa yang watak itu rasa dan apa yang dia alami, dan
vi.melalui tabiat, dan perangai semula jadinya.

Kesimpulannya maksud watak dan perwatakan dalam sesebuah novel atau cereka itu ialah menggambarkan “manusia” dalam sesebuah cereka, yang mempunyai nafas, kemahuan, cita-cita, sikap hidup dan tingkah laku tersendiri, kepercayaan dan ideologi, perjuangan atau menyerah kepada nasib. Watak-watak ini ditampilkan oleh pengarang dalam pelbagai cara seperti yang diterangkan di atas tadi, untuk memberi kehidupan kepada mereka.

Cara yang paling berkesan ialah bagaimana mereka itu diberi kebebasan tersendiri tanpa kelihatan campur tangan pengarangnya. Selalunya penampilan cara ini ialah melalui gerak batin atau aksi dalaman dengan cara pengamatan dalaman pengarang yang menyorot ke dalam batin watak-watak tersebut. Apa yang jelas ialah bahawa semua watak itu ialah gambaran sifat realiti masyarakat yang diterapkan kedalam cereka itu melalui latar tertentu. Gambaran ini juga berhubung rapat dengan idea yang dijadikan tema yang mahu ditonjolkan oleh pengarang.

Penampilan watak-watak dalam pelbagai cara dalam latar dan situasi yang tertentu ini, maka akan terjalinlah bentuk-bentuk plot yang tertentu, penerangan tema, penonjolan stail, dan pelbagai lagi secara tersendiri, dan kesemuanya ini amat erat hubungannya dengan unsur-unsur lain dalam cereka itu. Melalui gambaran dan penampilan itulah watak-watak ini dikaji, dinilai, dianalisis, dan sebagainya untuk menentukan sama ada berjaya atau tidaknya; memberi kepuasan atau sebaliknya kepada pembaca dan pengkaji cereka khususnya.

3 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena