15 Mar 2013

Sindir dan Pesan


Seloka

Definisi
Dari segi istilah, seloka berasal daripada perkataan Sanskrit, seloka iaitu sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap satunya mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam kesusasteraan Melayu Tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas dari segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika berangkap tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu jumlah perkataannya dalam sebaris. Seloka juga boleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea (Harun Mat Piah, 1989).

Dari segi bentuk, seloka sama sahaja seperti puisi bebas yang lain seperti gurindam, talibun atau teromba. Walaupun begitu, jika dilihat dari segi isi, puisi ini berbeza antara satu sama lain. Dari segi isi, seloka biasanya mengutarakan isinya secara mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan kadang-kadang mengandungi nada atau perasaan asyik dan khayal.

Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang senada atau mempunyai irama, sehingga kadangkala seloka sama dengan peribahasa berirama.

Dalam hal ini, pengenalan kepada peribahasa berirama ialah nada yang dibawa olehnya. Peribahasa berirama tidak mengandungi nada-nada ejekan atau sindiran yang sinis tetapi seloka mengandungi nada-nada ejekan dan nada-nada sinis; menyindir terhadap sesuatu kelakuan sesetengah anggota masyarakat melalui peribahasa yang disusun secara sejajar untuk menghasilkan irama tersebut. Secara keseluruhannya, seuntai seloka merujuk kepada cerita jenaka yang telah benar-benar dikenali dalam masyarakat seperti cerita Pak Kaduk, cerita Pak Pandir, ceritai Lebai Malang, dan cerita Emak Si Randang Seloka tersebut bertujuan untuk menyindir anggota masyarakat yang berperangai seperti watak-watak tersebut.

Seloka biasanya mengandungi bahasa yang penceritaannya meleret-leret dan lanjut, sindir giatnya selalu tajam dan bias seperti mengejek, menyindir dan menempelak, dan mengandungi perasaan yang hiba dan rawan.

Fungsi
Fungsi seloka amat terbatas, secara umum, seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirkannya iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusuilaan. Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan untuk mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan individu sasaran. Puisi Seloka tidak digunakan secara meluas sebagaimana peribahasa atau teromba. Fungsinya amat bergantung kepada isinya iaitu:

a. Untuk menyindir seseorang
b. Untuk mengejek seseorang
c. Untuk menempelak seseorang
d. Untuk melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia
e. Untuk memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang
f. Sebagai alat kawalan sosial / protes sosial.

Seloka Pak Pandir

Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak lalu
Awak juga berkecundangan

Seloka di atas adalah perihal kelakuan Pak Pandir yang salah pertimbangan dan sering membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan. Pak Pandir berbuat baik tidak pada tempatnya. Dia berbuat baik dengan menjinjing dagang tetapi berlaku kejam dengan perlakuannya “memijak” anak sendiri. Dia telah membunuh kucing iaitu sejenis binatang yang dikaitkan dengan kemanjaan tetapi telah membela tikus iaitu sejenis haiwan yang boleh merosakkan kesihatan dan harta benda. Kerana kebodohan dan kebaikkannya yang melampau itu, Pak Pandir mudah ditipu. Dia mudah percaya kepada orang asing (Mendengar gelagak dagang,Tak sedar bertelanjang) Akibatnya, harta habis, badan tergadai. Pak Pandir juga sering mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Hal ini digambarkan melalui peribahasa Mendengar guruh di langit, Air tempayan dicurahkan. Ternyata dagang yang dijinjingnya adalah penipu yang licik yang berpura-pura baik. Hal ini dijelaskan melalui ungkapan mulut kena suap pisang, Buntut kena cangkuk onak, dan gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagat dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berbunga Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujang tak lalu Awak juga berkecundangan .

Sebahagian besar dari maksud Seloka Pandai Pak Pandir disampaikan melalui peribahasa. Oleh itu ia menunjukkan dengan jelas hubungan yang rapat antara seloka dan peribahasa. Di sini terdapat sekurang-kurangnya empat ungkapan yang merupakan peribahasa yang terkenal.
1. Mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan,
2. Mulut kena suap pisang, buntut kena cangkuk onak,
3. Gunting makan di hujung
4. Gelagak rambutan jantan, orang berbunga dia bebunga, orang berbuah dia haram

Seloka Emak Si Randang

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada kayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Seloka Emak Si Randang menyindir masyarakat yang mudah percaya dengan kebaikan dan sikap orang asing yang tidak diketahui asal-usul mereka. Sesuatu yang dibawakan meskipun sekadar cerita dan khabar angin amat mudah dipercayai dan menjadi ikutan. Kesannya adalah membawa kerugian kepada masyarakat itu sendiri.

Beberapa tindakan masyarakat yang merugikan seperti tidak mementingkan keluarga atau keturunan sendiri, tidak menghargai kebolehan dan kemampuan kaum atau masyarakat, mudah membuat keputusan berdasarkan khabar agin dan cerita-cerita menarik, suka memperkecilkan keupayaan sendiri dan merasa rendah diri, serta melakukan pengorbanan pada jalan yang salah dan merugikan.

Seloka Malang Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.

Persembahan Seloka Malang Pak Kaduk

Seloka Malang Pak Kaduk merupakan sindiran tajam terhadap masyarakat yang bertindak sia-sia dan tidak menggunakan kewarasan fikiran dalam tindakan. Kelemahan membuat keputusan dan tidak menggunakan pertimbangan akal yang waras akan merugikan. Kebodohan disebabkan oleh sikap terburu-buru, tidak rasional, tidak berfikiran terbuka, tidak mempunyai kemahiran dan ilmu, dan bertindak mengikut emosi boleh merugikan diri sendiri dan masyarakat.

Seloka Si Luncai

Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan.....
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilatih,
Ada ternakan tidak dibela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tidak selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada mengkaji,
Ada mata tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan...!
Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.

Seloka Si Luncai juga memperlihatkan kelemahan tindakan masyarakat yang boleh merugikan. Kelemahan yang berlaku seperti tidak menjaga harta dengan sempurna, tidak memberi pendidikan kepada anak-anak, tidak menjaga ternakan, tidak bertani atau melakukan kerja-kerja yang memberikan pendapatan, tidak menggunakan fikiran yang rasional, tidak berani membuat sesuatu perubahan, tidak menggunakan ilmu sebaik-baiknya, tidak belajar, tidak belajar dari kesilapan atau iktibar, dan tidak menggunakan kesempatan dan kebolehan memberi kesan merugikan.

Kesimpulannya, seloka adalah kanvas peringatan untuk masyatakat berfikir dan merenung. Kebanyakan sekola berkaitan dengan sikap, pemikiran, tindakan dan sudut pandang hidup yang perlu diberi perhatian dalam masyarakat. Kesilapan berfikir, bertindak, membuat keputusan dan kejumudan fikiran akan merugikan.

Kita selalu diperingatkan untuk bijak bertindak.


Satu persembahan kreatif penyampaian seloka

Seloka telah disesuaikan dengan perubahan masa disampaikan dalam bentuk lebih kontemporatif


Seloka Budi - Siti Norhaliza


Seloka Cak Kun Cak - TS SM Salim dan  M Nasir



4 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena