Mendamba Cinta Begitu Besar


Cintamu Begitu Besar

 Prolog
sehelai surat cintamu  yang tak pernah kubaca
 di dalamnya
kautulis tentang besarnya cintamu



Menatap kaca buram. Begitu saya temukan nasib yang tertebar pada
dunia sastera. Ia semakin mengundur dan larut dalam  gantungan
dunia moden dan upaya abad baru seperti internet, media sosial dan rempuhan
pengaruh teknologi dan kemodenan. 

Sastera sedikit terbiar dan terjarak
dari haluan khalayak. Alam yang pernah penuh warna dan segar
pada kelopak jiwa khalayak dan pembaca, menjadi mengecil dan buram 
persis kaca buram.

Sepatutnya perkembangan dunia sastera harus berganding dan berupaya melonjak bersama
denyut abad baru. Pembaharuan yang dimiliki manusia dari corak komunikasi dan
interaksi seharusnya tidak meninggalkan debu yang menghakis wajah sastera.

Sastera harus berlari dan kuat merempuh alam jauh.
Berbicara tentang kemanusiaan, keilmuan, dan keindahan
sehebat zaman tulis baca dan percetakan.

Sastera harus dimartabat berlari dengan langkah sama
dalam membugar kemajuan dan kemakmuran negara
Manusia mendekati buku-buku untuk meneroka ilmu
dan biarlah buku sastera dan ilmu sastera berupaya 
merebut hati dan cinta pembaca. 


Sastera sudah diupaya untuk lahir sebagai pencetus inspirasi, pembugar budaya,
ranting-ranting nilai yang membungakan ketertiban sahsiah, menzahirkan cinta bangsa
akan negara dan nusanya, merebut gelung kasih sayang sebagai inti jiwa manusia,
atau membuka lampu bahasa biar penutur dan pembicara, penulis dan tukang aksara
dapat menggembur tanah indah bahasa agar terpancar roh bahasa yang segar
dan memanjang kelastariannya. Komsas telah mengisi masa anak-anak di bilik darjah, 
mereka temui pelbagai adunan sastera dari pantun ke alam drama dan novel.
Ia menjadi pancang untuk merebutkan kembali cinta dan kasih sayang terhadap
sastera dan  bahasa. 

Ada ketikanya, tak semua semanis harap dan gula mimpi. Sastera masih hanya
menjadi lorong-lorong yang dilalui tetapi tak diingati. Tak tertemu tapak indah dan
lakar bianglala yang dapat meraih cinta dan  rindu. Laluan yang bingit dengan pesona
baru dan kelazatan duni baru tidak selamanya memikat sastera.
Persis cinta yang tak tertemukan hati dan jalan-jalan yang tak tertemu ujungnya
Cinta sastera semakin buram dan sirna. Menjadi malap kandil yang semakin mengecil
dihembus bayu dingin malam. Cinta bahasa tak berkembang segar.

Surat-surat harapan menjadi cair di tangan. Tidak pula dipersalahkan apa yang diajar
di bilik darjah tetapi sastera tidak mendekat dan menjamah halus sukma.
Sastera terpandang sebagai pulau kejauhan yang tidak memberi apa-apa kalau tiba ke sana.
Gelora dan kepayahan berdayung dan berkayuh tidak dapat menarik ingin.
Sastera ada kalanya di lihat susah dan menyulitkan. Ia tidak mampu menjamah hati
apa lagi menunaskan bibit cinta.  Tatap sastera menjadi tatap aneh dan menakutkan.
Ramai yang  tidak dapat memahami apa yang tersimpan di sebalik bening mata sastera.

Ada ketika ia tak terhidang sebagai lauk yang lazat dan membuka pintu selera.
Ada masanya sastera diterima pelajar persis buku sejarah yang diperlu mengingat 
fakta dan butiran peristiwa. Sastera sampai ke hati pelajar sebagai bekas-bekas
luka yang menyakitkan. Ada kalanya menakutkan dengan segala kata dan aksara
yang aneh : metafora, personifikasi dan bagai  lagi.
Malah ada yang lebih sinis bertanya parabola itu apakah bahasa sastera?

Dari ladang subur kita menuai hasil yang banyak. Dari sungai mengalir kita dapat meminum
jernih air. Dari hutan dan belantara mengitar bukit kita dapat merasa hawa sejuk. 
Dari bancuhan ilmu yang kukuh dan sabar padi sastera harus ditanam dan dituai.
Pernahkah kita bertanya, sesudah sekian lama anak-anak dibendung dengan sastera
apakah mereka dapat mencipta serangkap pantun cinta untuk kekasih?
Kekasih itu barangkali ibu, ayah, teman-teman atau hatinya.
Kalau jawabnya tidak di manakah silap dan uzurnya bancuhan sastera?
Sastera masih terdendang dengan lagu yang seindah irama
Pantun hanya diungkap dengan kata dan ciri tetapi pantun gagal dimanfaat
secara batin ke dalam jiwa pelajar. Tanamkan benih pantun sedalam-dalam
di lubuk hati mereka. Mereka tahu bahasa, tahu makna, dan tahu melafaz dan menukilkan
pantun. Mereka dapat temui kelazatan yang indah dalam riak bahasa dan alur sastera.
Mereka bisa hasilkan rangkap pantun menerjah jiwa dan menyuluh perasaan mereka.
Di situ cinta akan berlabuh dan membugar rasa
Didiklah batin sastera ke dalam jiwa anak-anak
Bugarkanlah semangat dan lestarikanlah sastera sebagaimana sungai yang
tak pernah henti mengalir
Resepi dan ragam yang tertera dan tertulis dalam biara hati pelajar akan
melabuhkan cinta dan rindu sastera.

Sastera kelazatannya adalah didik dan hibur. Di dalam bahasa ada kemanisan pengajaran dan 
iktibar yang dapat menunaskan segar jiwa manis laku. Sastera memberitahu manusia 
tentang kerencaman dan ragam manusia. Didikan dan asuhan sastera adalah untuk menjadikan hati mudah mengerti. Jiwa menjadi amat halus 
dan dapat menangkap segenap yang berkisar di sekitar mereka. 
Mereka tahu bagaimana cinta dan alur jiwanya kerana terdidik dalam 
novel atau puisi cinta yang segar. 
Mereka memahami bagaimana untuk menghormati dan dihormati
kerana perasaan mereka sering diasuh oleh puisi kasih sayang atau novel cinta yang meruntun kalbu. Mereka memahami kesedihan, ketawa dan menangis. 
Mereka dapat salurkan emosi dengan tertib dan benar. 
Tapi mereka tidak lebur dalam garis kepedihan sebaliknya bisa membimbing hati untuk mengerti bahawa segalanya ketentuan Ilahi. 

Kalau mereka luka, tidak terlalu dalam hirisnya
Kalau mereka jatuh, tidak terlalu ngilu sakitnya
Begitu perasaan  dan emosi menjadi dewasa dalam kawalan diri mereka.
Mereka belajar dari derita dan luka yang tertebar dalam novel atau puisi 
Bermakna kematangan emosi bisa diraih hanya dari pergaulan mereka dengan sastera.
Akrab dan saling mencintai.

Kelazatan sastera pada warna-warna hibur yang bergemerlapan. 
Mereka terhibur dengan indah bahasa dan manis kata. 
Mereka terhibur dengan jenaka dan humor dalam cerita. 
Mereka terhibur dengan imaginasi yang terbangun dari puisi, cerpen atau novel. 
Untuk membuatkan nilai hibur ini melekat kuat inspirasinya harus terzahir dari kreativiti guru. 
Ia menjadi pendorong dan pendokong
kepada kebolehan dan keinginan muridnya. 
Ia menjadi embun sejuk yang memberi tenang
agar tidak takut atau bimbang dengan sastera sebaliknya 
sering bercerita dan memberi yakin
sastera adalah keindahan yang bisa tercuit di pintu kalbu.

Bergendang dan menyanyilah bersama seloka dan gurindam. 
Bermadah dan bernyanyilah bersama pantun dan puisi. 
Menangislah bersama rentap jiwa dalam sajak-sajak derita atau cerpen 
yang menggores rasa. 
Kerana menangis dalam situasi begini akan mematangkan emosi dan fikir. 
Ketawalah dalam  jenaka agar mereka juga memahami makna ketawa. 
Senyumlah dalam girang biar mereka mengerti makna senyuman atau ketawa.
Biarkan sastera menari di depan mereka untuk menjadikan murid 
mulai memahami emosi mereka sendiri.
Mereka semakin sedar untuk apa menangis atau memberi hormat
Untuk apa marah dan bermasam wajah
Hiburan di dalam sastera mengasuh jiwa mendidik rasa.
Begitu besar cinta yang terbawa dalam biara sastera
sebagai rintis pedoman sebagai ukir peringatan
buat manusia.

Bacalah dalam mana-mana sejarah besar bangsa dunia.
Akan terpeta tentang pengaruh sastera menjadi sulur
pembaharuan, ketajaman fikir, dan kejiwaan manusia.
Sastera begitu dekat dalam bahasa begitu mengiringi
kemajuan dan perkembangan bahasa mereka.
Ufuk-ufuk sastera diraih ke dalam sisi bahasa
bertujuan anak bangsa mengerti dan memahami
serta menyanjung
ini bahasa kita ini sastera kita
 
Saya mulakan secara sederhana Mimbar Kata
Khusus saya ungkapkan tentang sastera dan alamnya
Meskipun getir untuk meletak ia di persada
saya mencuba sedaya mampu biarlah  ia menemui khalayaknya.
Tiada lain yang diharap, dalam denyut modenisasi sastera masih mendapat sisinya.
Kalaulah ia dapat dibaca dan ditatap oleh mereka yang sering hadir dan singgah
setidaknya mereka tahu bahawa inilah sastera.

Pasti akan ada yang masih rindu dan berharap
pada pancaran warna sastera.
Akan ada cinta dan kasih sayang pada sastera
Barangkali sastera juga dapat menerjah arus pembaruan ini
Sekiranya blog ini tak mampu menembusnya
bukan salah ilmu sastera itu
Silapnya saya tak berdaya membawa ia jauh berlari.

Epilog
Kerana sayapun amat kerdil
untuk mendamba cinta begitu besar 

Ikhlas Mimbar Kata

Comments

Post a Comment