Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa
Oleh Dr Siti Hawa Salleh

Naskah Hikayat Merong Mahawangsa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendahuluan

Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), yang menerangkan asal usul raja-raja Kedah berdasarkan mitos dan lagenda, menjadi ahli genre sastera sejarah tradisional Melayu. Hampir setiap kerajaan Melayu zaman silam mempunyai hasil sastera sejarahnya sendiri yang menerangkan asal usul raja-rajanya, asal usul negeri, perkembangan sejarahnya dari awal hingga ke akhir berdasarkan konsep sejarah yang dipegang oleh masyarakat Melayu tradisional. Hasil sastera sejarah itu dipegang oleh kerajaan berkenaan sebagai suatu dokumen yang sah bagi mengabsahan hak dan kuasa raja ke atas negerinya.
Oleh yang demikian, dalam perbendaharaan kesusasteraan Melayu tradisional, terdapatlah berbagai-bagai hasil sejarah, daripada yang paling terkenal kepada karya yang jarang-jarang diketahui, malah oleh orang Melayu sendiri. Bersama-sama dengan HMM dalam keluarga sastera sejarah ini terdapatlah Hikayat Raja Pasai, Hikayat Acheh, Hikayat Palembang, Sejarah Raja-Raja Riau, Hikayat Bangkahulu, Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Johor, Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Pahang, Hikayat Patani, Misa Melayu, Asal Usul Raja Sambas, Hikayat Banjar, Hikayat Kotawaringin, Salsilah Kutai, Hikayat Siak dan berbagai-bagai lagi.

Dalam sejarah perkembangan negeri-negeri di Nusantara, pengabsahan kuasa raja menjadi isu yang dipersoalkan dan disanhsikan apabila muncul orang Barat. Persolan itu sama ada ditimbulkan oleh kuasa Barat sendiri mahupun oleh negeri-negeri lain yang menjadi jiran. Ini adalah sebahagian daripada taktik Barat memecahkan negeri-negeri Melayu daripada bersekutu menentang kemaraannya.
Jelas dari sudut penciptaannya, salah satu dari sebab mengapa HMM dikarang ialah untuk digunakan sebagai dokumen pengabsahan kuasa raja Kedah ke atas negerinya dan kawasan-kawasan jajahannya. Hikayat ini juga berguna dalam menepis dakwaan Siam bahawa raja Kedah tidak berhak menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun 1786. Oleh itu, seperti hasil-hasil sastera sejarah Melayu tradisional yang lain, HMM adalah penggemblengan unsur-unsur realiti dan mitos yang digunakan untuk menegakkan kedaulatan raja-raja Kedah dan keturunannya.

Pertarungan - Filem Hikayat  Merong Mahawansa

Ringkasan Cerita Hikayat Merong Mahawangsa

Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepaga Sultan Muzaffar Syah.

Poster Hikayat Merong Mahawangsa

Beberapa unsur Pensejarahan Melayu Tradisional Dalam Hikayat Merong Mahawangsa

Pengarang karya sastera sejarah tradisional menggunakan berbagai-bagai unsur mitos dan lagenda untuk dijadikan sebagai bukti subjektif dalam penulisannya. Bila hikayat itu menceritakan tentang sesuatu yang lebih dekat dengan zaman kini, barulah bukti objektif seperti unsur realiti dan sejarah sebenar dipakai.
Dalam HMM kita bertemu dengan berbagai-bagai unsur mitos yang berasal daripada pengaruh Hindu dan juga setempat. Pengaruh-pengaruh yang berbeza juga dipertentangkan supaya ternampak yang satu lebih mengatasi yang lain. Burung geroda, binatang mitis hindu kenderaan Visynu dipertentangkan dengan kuasa Allah menerusi Nabi Allah Sulaiman. Unsur mitos Hindu dan animisme seperti gajah sakti, anak raja yang ditemui dalam buluh betung dan dalam sungai, mitos asal usul tempat dan lain-lain semuanya dikemukakan dengan cara yang teratur dan bertujuan memberikan asal usul raja Kedah gambaran yang agung dan gemilang.

Cerita-cerita di sekitar Raja Bersiung adalah contoh penggemblengan unsur mitos Hindu dan unsur perlambangan untuk memberikan asal usul raja-raja Kedah suatu pewarnaan keagungan dan kehebatan.
Penggemblengan unsur realiti dan mitos tergambar dalam gaya pengarang menceritakan bagaimana terjalinnya perhubungan antara Kedah dengan Siam. Dengan cara yang menarik, pengarang tidak menafikan bahawa Siam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari Kedah dan mengaku Kedah menghantar bunga mas dan perak kepada Siam. Tetapi pujangga istana Kedah menjelaskan peristiwa-peristiwa ini berlaku dengan pendekatannya yang tersendiri tanpa menjejaskan kedaulatan negeri Kedah.

Telah dijelaskan dari awal bahawa perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam adalah berasaskan ikatan kekeluargaan antara adinda bongsu dengan kekanda sulung. Dengan mudah dapat diterima mengapa permaisuri Raja Bersiong dan menteri keempat meminta bantuan dari Siam bila menghadapi masalah mencari orang yang sesuai untuk dijadikan raja, menggantikan Raja Bersiong.
Pengarang tidak mengatakan Raja Siam terus membantu tetapi Raja Siam berunding dengan ahli nujum dan meminta pihak ketiga, iaitu gajah sakti, untuk menyelesaikan masalah itu. Dengan menggunakan unsur-unsur yang wujud dalam sistem kepercayaan masyarakat, pengarang menyatakan tugasnya sebagai pujangga istana yang bertanggungjawab.

Keunggulan HMM makin terserlah dalam pengisahan kedatangan Islam ke negeri Kedah dan proses penyesuaian dari amalan menyembah berhala kepada bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.Walaupun ia menceritakan peristiwa yang sama yang disebut dalam banyak karya sastera, pujangga istana Kedah menceritakannya dengan gaya yang berbeza.

Kesimpulan

HMM yang dikarang dengan berdasarkan konsep penulisan sejarah Melayu tradisional, menjalankan peranannya sebagai sebuah penulisan sejarah. Ia bukanlah dikarang semata-mata berdasarkan khayalan dan dongengan; malah banyak rahsia budaya dan nilai hidup zaman dulu tersirat dalam himpunan perlambangan, mitos dan lagenda.

Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.

Manuskrip Hikayat Merong Mahawangsa


CATATAN HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

 Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai
melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.

Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat sezaman.
Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.

Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa.

SUMBER LAIN HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Banyak artikel menarik berkaitan dengan kupasan dan sudut pandang berkaitan dengan Hikayat Merong Mahawangsa. Kupasan ini  amat menarik untuk dibaca dan dijadikan renungan bersama :

1. Manuskrip Hikayat Merong Mahawangsa

2. Mengapa Hikayat Merong Mahwangsa Asal Perlu Didedahkan?

3. Manuskrip Asal Hikayat Merong Mahawangsa
    Bab 1
    Bab 2
    Bab 3
    Bab 4
    Bab 5
    Bab 6 
    Bab 7
    Bab 8
    Bab 9
    Bab 10
    Bab 11
    Bab 12
    Bab 13
    Bab 14

4. Bangsa  Rakshasa - Bangsa Mala

5. HMM : Senajata Dakwah Difitnah Penjajah  (Siri 1 dan Siri 2)

FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

KRU Studio telah menerbitkan Hikayat Merong Mahawangsa sebagai filem blokbuster. Epik Hikayat Merong Mahawangsa telah diterjemahkan ke layar perak. Yang penting ialah elemen-elemen kenegaraan, cinta negara dan maruah bangsa masih tertanam di dalam filem ini


Trailer Hikayat Merong Mahawangsa


Banyak lagi kerahsiaan Hikayat Merong Mahawangsa yang barangkali belum terungkai.

Comments

  1. ika dah tengok cerita ni,,,tapi ika x nak tengok masa dorang perang tu..:( seram gila...

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih ika
      apa yang saya bincangkan adalah hikayat asalnya
      filem yang ika tonton tu Hikayat Merong Mahawangsa
      berbeza dengan hikayat sebenarnya

      tapi apapun ia masih ada ramuan hikayat lama itu

      terus ke mari singgah ya

      Delete
  2. boleh tak huraikan tentang apa yg dikekalkan,apa yg ditambah dan apa yg dibuang dalam filem hmm terbitan kru studio?saya mencari 3 perkara ini sebagai bahan untuk lengkapkan tugasan kursus yg sy ambil di peringkat degree dlm bidang sastera bandingan.terima kasih

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. tambahan # : apa yg dikekalkan,apa yg ditambah dan apa yg dibuang dalam filem HMM terbitan KRU STUDIO jika dibandingkan dengan karya asal HMM

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tidak membuat kajian mendalam terhadap HMM The Movie berbanding karya asasl HMM.
      Apa yang ketara adalah pertarungan dalam HMM diubah sedikit kepada menentang garuda kepada lanun versi HMM The Movie.
      tq

      Delete
    2. terima kasih atas penerangannya.. :)

      Delete

Post a Comment