Dialog Sastera : Singapura Dilanggar Todak

Dialog Sastera : Singapura Dilanggar Todak

dialog sastera



Dalam Sulalatus Salatin, episod Singapura Dilanggar Todak digambarkan melalui seorang yang mahir ilmu agama bernama Tuan Jana Khatib telah berkunjung ke Singapura. Tuan Jana Khatib berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan raja. Di situ, Tuan Jana Khatib telah menilik atau merenung pohon pinang sehingga pohon itu terbelah dua dan kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh keatas Tuan Jana Khatib kerana menganggap Tuan Jana Khatib sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri. Beberapa lama kemudian, Singapura menerima bencana besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa rakyat terus melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Akhirnya berkat cadangan pintar seorang budak, serangan todak telah berakhir. Tetapi budak tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja. Mereka merasa bimbang kebijaksanaan Hang Nadim akan menggugat raja apabila dia besar kelak.

Soalan : Apakah signifikannnya episod Singapura dilanggar todak dalam Sulalatus Salatin?

Jawapan : Episod Singapura dilanggar todak merupakan antara episod awal dalam perkembangan penulisan Sulalatus Salatin. Episod ini berlaku jauh lebih awal dari penemuan Melaka. Jadi, episod Singapura dilanggr todak berada dalam episod pengenalan terutama dalam pengisahan perkembangan kerajaan Melayu Melaka. Episod ini mempunyai signifikan terhadap beberapa episod awal dalam Sulalatus Salatin terutama apa yang berkait dengan daulat, derhaka, kesetiaan, dan kecintaan terhadap tanahair.

Episod ini menjadi pengukuh kepada segenap pernyataan yang berlaku lebih awal. Ia merupakan satu penanda penting dalam Sulalatus Salatin terutama sekali apa yang berkaitan dengan daulat, derhaka, kesetiaan, dan cinta negara. Episod ini ingin memunculkan peringatan atau pedoman kepada rakyat dan raja. Segenap yang telah menjadi waad atau perjanjian antara rakyat dan raja mestilah dipegang erat tanpa mengira apa situasi yang berlaku. Waad yang berlaku antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana benar-benar menemui ujiannya dalam episod ini.

Pertama, apabila Tuan Jana Khatib menggunakan kebolehannya menyebabkan pinang terbelah dua. Paduka Seri Maharaja menafsirkan apa yang dilakukan oleh Tuan Jana Khatib sebagai suatu keaiban dan penghinaan terhadap baginda kerana pada masa perbuatan itu berlaku permaisuri baginda berada di tingkap istana. Lanatara itu tanpa usul periksa, dengan amukan amarah dalam jiwanya baginda telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Tuan Jana Khatib. Tuan Jana Khatib dibawa ke hujung negeri untuk dibunuh iaitu di tempat orang membuat bikang. Darahnya menitis dan badannya ghaib serta merta. Tukang membuat bikang menutup darah Tuan Jana Khatib dan perempuan itu menjadi kaya raya hasil dari bikangnya. Manakala bikang yang menutup darah Tuan Jana Khatib menjadi batu. Disebutkan juga bahawa badan Tuan Jana Khatib ditemui di Langkawi sebagaimana pantun ini :
Telur itik dari Singgora,
Pandan terdandar di batang tuli
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di lengkawi.

Yang penting adalah pembunuhan Tuan Jana Khatib disusuli beberapa kejadian aneh. Badannya lenyap dan bikang menjadi batu. Perempuan pembuat bikang menjadi kaya. Peristiwa ini kalau dirujuk semula sama sebagaimana berlaku ketika ladang huma kepunyaan Wan Empuk dan Wan Malini bertukar rupa. Padi menjadi emas, daun menjadi perak, batang padi menjadi tembaga suasa, dan tanah di sekitarnya menjadi warna emas. Ia berlaku akibat ketibaan tiga orang putera Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama tiba di Bukit Siguntang. Ketibaan tiga putera dan diikuti dengan waad yang berlaku. Keanehan kejadian sebenarnya memberi satu simbol atau petanda kepada impak perisitiwa itu kepada masyarakat dan negara.

Soalan : Apa kaitan impak darah Tuan Jana Khatib yang titik di Singapura sedang badan terlantar di Langkawi?

Jawapan : Penulisan Sulalatus Salatin adalah bertujuan untuk iktibar dan pedoman kepada anak cucu yang kemudian. Atau dengan lebih mudah kepada bangsa Melayu dan keturunan Melayu yang terkemudian dari episod penceritaan yang termuat dalam Sulalatus Salatin. Keanehan ini mungkin bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat akan impak peristiwa yang berlaku. Jika ladang Wan Empuk dan Wan Malini yang bercahaya membawa kepada terjadinya waad, maka kematian Tuan Jana Khatib adalah implikasi kepada waad itu. Suatu kesilapan atau perlanggaran yang disengajakan akan memberi kesan besar kepada rakyat dan negara. Kegaiban badan Tuan Jana Khatib adalah untuk memberi kesan kebesaran dan ketinggian golongan agama dan orang berilmu. Golongan ini penting untuk masyarakat dan negara. Pembunuhan Tuan Jana Khatib adalah kematian ilmu dan kebijaksanaan. Yang hilang dari bumi Singapura adalah kebijaksanaan, ilmu dan kemuliaan agama. Yang tinggal hanya titik darah yang akhirnya memberi kesan buruk kepada Singapura. Ia sebenarnya peringatan kepada masyarakat. Segenap yang telah dipersetujui bersama seperti waad harus dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.

Kelalaian akan memusnahkan. Ini adalah mesej penting dalam episod ini. Paduka Seri Maharaja hanya melihat secara lapis dasar tentang kebiadaban Tuan Jana Khatib. Tidak pula melihat secara mendalam terhadap waad yang telah lama tertera antara rakyat dan raja. Signifikannya di sini adalah kebijaksanaan dalam membuat tindakan. Generasi berilmu harus dihormati bukan dengan mudah dipinggirkan atau dinafikan kebolehan mereka. Raja tidak langsung dinasihati dan akhirnya berlaku pembunuhan yang merugikan rakyat dan negara.

Impak kepada rakyat pula adalah untuk sentiasa merendah dan mentaati raja. Setinggi mana pun ilmu jika dilakukan pada jalan silap akan memberi mudarat kepada rakyat dan negara. Kemahiran dan kebolehan Tuan Jana Khatib yang digunakan pada tindakan yang tidak sepatutnya berlaku. Ilmu untuk membawa masyarakat mendekati agama dan memartabatkan Islam bukan menjadikan kekeliruan dan konflik dalam masyarakat. Golongan berilmu harus bertindak bijaksana dengan itu akan lahir impak yang lebih positif dan terarah kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat. Ia sebenarnya satu gejala dari perlanggaran waadat. Apa yang diperlukan dari rakyat adalah ketaatan dan kesetiaan dalam pelbagai dimensi seperti tidak menunjuk-nunjuk kebolehan selain untuk kebaktian terhadap negara, tidak menyalahgunakan ilmu yang memudaratkan masyarakat, dan kepatuhan serta setia akan pemerintah.

Hubungan rakyat dan raja harus harmoni. Tidak harus berlaku ada yang melanggar atau membelakangkan waad. Pada garis halusnya raja melihat Tuan Jana Khatib berbuat derhaka terhadap baginda. Maka perintah bunuh dikeluarkan tanpa sebarang usul periksa. Sekali lagi kita diperingatkan dengan tindakan dan kebijaksanaan. Kejadian itu seperti memberitahu bertindak sederahana jangan ekstrim. Raja yang ekstrim terus menganggap Tuan Jana Khatib derhaka. Tuan Jana Khatib ekstrim menunjukkan kebolehan semata-mata membuang batang pinang yang menganggu pandangan. Kesederhanaan, keprihatinan, dan kebijaksanaan boleh mengelak insiden yang memberi kesan buruk kepada sesiapa sahaja. Ekstrim amalan yang boleh merosakkan masyarakat dan negara. Inilah peringatan dari kejadian ini.


Soalan : Tuan ada menyebut tentang penanda dan impak dalam Sulalatus Salatin. Jika dilihat pada episod Singapura dilanggar todak ia berlaku selepas dari kejadian pembunuhan Tuan Jana Khatib?

Jawapan : Serangan todak adalah impak kepada kezaliman yang berlaku. Masyarakat menerima kesan langsung daripada kejadian kematian Tuan Jana Khatib. Singapura menjadi huru hara dan rakyat dalam keadaan panik. Serangan itu membunuh ramai rakyat Singapura. Langkah pertahanan dibuat dengan begitu tergesa-gesa dan tanpa perancangan. Rakyat diminta berkubukan betis, serangan todak tidak juga berkurangan.

Inilah implikasi besar kepada Singapura. Keamanan yang selama ini dikecapi berakhir dari serangan bukan negara lain atau musuh bersenjata tetapi serangan todak. Rakyat terpaksa membayar harga yang mahal hanya kerana kesilapan melanggar waad yang telah tertanda dalam hubungan raja dan rakyat. Ia adalah peringatan atau penanda bahawa kezaliman, kesilapan, kelalaian, dan kebodohan boleh membawa kehancuran kemakmuran negara.

Sepatutnya peristiwa kejadian kematian Tuan Jana Khatib menjadi iktibar untuk rakyat dan pemerintah bertindak lebih bijaksana. Sekali lagi digambarkan dalam episod ini kesilapan berlaku. Kemunculan seorang budak memberi nasihat untuk berkubukan batang pisang diguna pakai oleh Paduka Seri Maharaja. Rakyat dikerah menebang batang pisang dan diletakkan di tepi pantai. Serangan todak dapat dihentikan dan Singapura kembali aman.

Keamanan yang terhasil akhirnya membawa kesan baru terutama kepada budak yang memberi idea tadi. Pembesar yang penuh dendam, dengki dan iri hati menghasut raja bahawa budak pintar ini akan melawan baginda pada satu ketika kelak. Paduka Seri Maharaja sekali lagi merasakan akan berlaku derhaka dan baginda tanpa berfikir panjang menyuruh budak itu dibunuh.

Episod Singapura dilanggar todak sebenarnya mengulangi peristiwa terdahulu. Jika Tuan Jana Khatib menggunakan ilmu dan kelebihan tanpa sebarang tujuan dibunuh raja maka budak yang bijaksana akal fikirnya memberi nasihat untuk menyelamatkan rakyat dan negara turut dibunuh kerana dibimbangi akan menderhaka atau membawa keburukan kepada raja. Jelas kejadian membunuh budak pintar adalah kezaliman dan kesilapan yang secara sengaja dibuat. Pemerintah tidak lagi berpegang kepada waad sebaliknya bertindak zalim membunuh. Pembesar kalaupun memberi nasihat dan pandangan tetapi merupakan nasihat yang merugikan dan berbaur dendam kesumat. Inilah aspek politik dan kenegaraan yang disarikan dalam Sulalatus Salatin. Pemerintah berpegang pada keadilan. Pembesar berpaksi kepada kesetiaan dan amanah. Rakyat bergantung kepada taat setia dan tidak derhaka. Unsur-unsur kepentingan diri melampau kepentingan negara akan memusnahkan tunas dan akar kemakmuran. Sama ada ia berlaku pada raja atau pembesar sekalipun rakyat. Kepentingan diri boleh merosakkan kemakmuran dan membawa kepada kemudaratan.

Budak pintar yang terjelma dalam kejadian tersebut sekali lagi melambangkan ilmu, kebijaksanaan dan kepintaran. Tuan Jana Khatib digambarkan sebagai orang yang tinggi ilmu agama manakala budak pintar adalah implikasi terhadap kebijaksanaan dalam membuat keputusan dalam pentadbiran atau pengurusan. Ia berlandaskan konsep setiap rakyat mempunyai hak untuk mempertahankan negaranya. Tidak kira golongan muda atau tua yang penting adalah memberi bakti kepada negaranya. Kebijaksanaan tidak mengukur status usia. Kepentingan golongan muda dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kemajuan negara dijelaskan dengan kehadiran watak budak pintar. Generasi muda harus bertindak ke arah mendaulatkan negara bukan merosakkan. Inilah yang dilakukan oleh budak itu. Kehilangan budak pintar bermakna kehilangan masa depan buat masyarakat dan negara.

Soalan : Apakah yang dapat disimpulkan dari episod yang dibincangkan ini?

Jawapan : Episod awal Sulalatus Salatin adalah sebagai gambaran kesan sebab akibat jika berlaku perlanggaran kepada apa yang diterima sebagai taat setia, daulat, dan derhaka. Ia adalah peringatan agar semua pihak harus berpegang kepada prinsip yang diterima bersama secara mutlak. Tidak ada pihak yang harus melanggar prinsip kerana kesannya begitu besar untuk ditanggung oleh masyarakat dan negara.

Keilmuan dan kepintaran menjadi aset kepada kemajuan negara. Mereka yang berilmu dan pintar akan dapat memberi sumbangan berguna untuk memajukan negara. Yang penting ilmu dan kepintaran digunakan pada jalan yang betul dan bermanfaat. Golongan ini amat penting dalam memacu makmur, kedaulatan, dan kesejahteraan negara.

Generasi muda adalah pemimpin masa depan. Mereka perlu diasuh dan dididik untuk menjadi orang yang dapat memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara. Jika golongan ini diabaikan negara akan kerugian dan memberi kesan buruk dari sudut sosial, politik, dan sebagainya.

Setiap orang harus berupaya memberi yang terbaik untuk negaranya.

Soalan : Terima kasih tuan

Jawapan : Terima kasih kembali

Comments