Bukan Pertemuan Sia-Sia



Tradisi atau kebiasaan membaca menjadi faktor penting dalam proses memahami karya sastera. Tidak ada jalan pintas untuk memahami karya sastera selain daripada membaca karya berkenaan. Tugas ini penting kerana pembacaan akan menemukan kita ruang dan masa untuk mendekati karya berkenaan. Permasalahan besar dalam membina tradisi membaca adalah keterpisahan budaya ini dengan masyarakat kita. Budaya membaca merupakan budaya yang belum begitu melekat dalam kalangan masyarakat. Apa lagi pengaruh dunia audio visual lebih mengasyikkan masyarakat kepada video dan televisyen. Ia bukan sekadar memberi sarana hiburan tetapi keasyikan, keseronokan dan kegembiraan. Sebenarnya unsur keseronokan, kegembiraan, keasyikan dan hiburan itu sendiri tertanam dalam setiap karya sastera. Apa yang memisahkan khalayak dengan karya sastera lebih kepada kurangnya penerimaan khayalak terhadap karya berkaitan. Kurang penerimaaan ini mungkin berkait dengan kurang pendedahan kepada karya-karya tersebut, informasi yang terpisah dengan khalayak, karya sastera dianggap sesuai untuk bacaan pelajar atau mahasiswa di sekolah atau universiti, dan kesedaran membaca yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.

Kejayaan sastera adalah ia harus memiliki khayalaknya. Khalayak harus hadir sebagai mereka yang seringkali membaca dan menikmati karya sastera. Pengenalan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM dan STPM merupakan antara kaedah untuk melahirkan impak masyarakat terhadap karya sastera. Jika tradisi membaca yang dipupuk dari sekolah rendah, menengah dan universiti ini dapat menjadi budaya ia akan membina gelombang baru dalam dunia sastera tanahair. Tapi persoalan besar yang dihadapi adalah apakah pelajar yang telah meninggalkan persekolahan membawa bersama tradisi bacaan ini ke dalam lingkungan kehidupan mereka? Atau tradisi membaca karya sastera belum bertunas mekar dalam jangka masa persekolahan pelajar dan tidak banyak kesedaran membaca berakar dari alam tersebut?

Sebagai pelajar yang berhadapan dengan KOMSAS atau Kesusasteraan Melayu, kita berhadapan dengan tugas untuk meneliti karya sastera. Perkara pertama yang harus ditanggapi pelajar adalah jangan kita menganggap bahawa sesudah kita mengenal huruf dan menguasai bacaan, dapat membina rangkaian ayat atau kalimat yang lazim kita gunakan sama ada dalam penulisan atau percakapan sebagai alat komunikasi, kita merasakan bahawa kita sudah memilik keterampilan membaca. Keterampilan membaca sebenarnya masih boleh diperkayakan dan ditingkatkan ke tahap lebih tinggi untuk menjadikan kita benar-benar orang yang berkemahiran dalam berbahasa. Sekadar kita dapat membina rangkaian ayat dan kalimat hanya untuk komunikasi hanya membolehkan kita memahami apa yang diperkatakan dalam percakapan atau penulisan. Kita masih belum dapat menyelami dunia bahasa dan makna yang lebih mendalam yang terkandung di dalamnya keindahan bahasa, kehebatan kalimat, ketinggian makna dan seni berbahasa yang unggul. Jalan terbaik ke arah memahirkan diri dalam aspek keunggulan berbahasa ini adalah melalui karya sastera itu sendiri. Ia bukan bahan mudah yang harus dianggap tidak berguna dan memberi manfaat kepada kita.

Sebaliknya karya sastera memberi indentifikasi tersendiri dalam laluan kita memahami kedalaman dan keindahan bahasa. Lihat sahaja masyarakat manapun yang unggul bahasanya akan terselit dalam keunggulan itu karya-karya sastera yang hebat dan bermutu. Berhadapan dengan karya sastera kita berkomunikasi dengan sebuah karya yang memiliki keindahan bahasa, kekayaan kalimat, serta kemahiran berbahasa yang begitu indah. Dalam karya sastera ia terhidang hasil dari keupayaan dan kepintaran pengarang mengolah bahasa yang terindah dan terbaik. Apakah perkara ini akan merugikan kita? Sebaliknya kita mula dapat mengenal langgam bahasa dan galur kata yang selama ini belum pernah kita dengar atau baca melalui karya sastera. Kita mula menemui kalimat-kalimat indah yang bukan sahaja segar dari aspek sebutan dan nada, tetapi begitu tinggi maksud dan pengertian di dalamnya. Semua ini tidak kita temui dalam komunikasi sehari-hari, atau dalam akhbar yang kita baca atau dalam tutur yang kita ungkap. Semua ini akan menambahkan khazanah bahasa kita kerana kita berkesempatan berhadapan dengan ukiran bahasa yang begitu indah dan mengasyikkan dalam karya sastera. Penemuan inilah yang harus menjadi fokus kepada pembaca apabila berhadapan dengan karya sastera. Pelajar harus menyedari bahawa semakin banyak bahan sastera yang dibaca semakin mantap keterampilan berbahasa yang mereka miliki. Apalagi apabila pelajar sendiri berupaya pula menghasilkan ungkapan kalimat yang seindah dibaca tadi dalam karangan atau penulisan. Inilah hasil utama yang diharapkan tersedia dari bahan sastera.

Pelajar di Malaysia bertuah kerana bahan-bahan sastera sudah tersedia terhidang ketika mereka melangkah ke alam persekolahan. Mereka tidak perlu lagi tercari-cari apakah bahan sastera terbaik yang perlu dibaca untuk memperkaya kosa kata dan meningkatkan himpunan kalimat yang mereka fahami. Baca saja semua karya sastera yang terhidang pelajar sudah dapat menikmati karya sastera pilihan yang sememangnya memiliki segala keistimewaan dari aspek bahasa, isi dan maknanya.

Kaedah meningkatkan minat membaca adalah melalui motif bacaan. Motif muncul sebagai motivasi dalam meningkatkan minat membaca. Motif merupakan strategi-strategi yang digunakan untuk mendorong seseorang menyukai kegiatan membaca. Dalam usaha membina motivasi membaca ini pelajar harus menetapkan motif membaca terutama bahan karya sastera. Motif ini akan menjadi pemangkin atau penentu matlamat dalam kegiatan bacaan pelajar. Ia akan menguatkan tujuan dan mengukuhkan tindakan untuk melaksanakan tujuan membaca. Motif penting yang dapat dibangkitkan dalam usaha membaca pelajar adalah keinginan untuk meneroka dunia bahasa yang indah dan segar. Pelajar ingin membaca bagaimana sesuatu kalimat dan bahasa itu digunakan dalam rangkuman bahasa yang begitu menarik, indah dan memberi kepuasan membaca. Pelajar merasa tertarik untuk mengumpul sebanyak mungkin kosa kata atau kalimat yang dianggap begitu indah, sedap didengar serta penuh makna. Motif seterusnya adalah keinginan untuk melihat bagaimana bahasa Melayu dianggap sebuah bahasa yang indah. Pelajar mencari buktinya dari segala bahan bacaan dan menemui lenggok dan penggunaan bahasa dalam pelbagai genre sastera.


Keupayaan pelajar membina motif bacaan ini akan dapat membantu menggerakkan semangat dan motivasi untuk membaca. Jangan melihat aspek negatif bacaan seperti tidak memahami bahasa yang digunakan, kata-kata yang sukar dan janggal didengar atau dibaca, tidak berminat dan tidak timbul rasa ingin tahu terhadap penggunaan bahasa dalam karya sastera. Kesemua ini akan mematikan langkah untuk membaca. Binalah motif terbaik dalam diri pelajar dan mulakan dengan bacaan karya sastera yang paling diminati sama ada novel, cerpen, drama, sajak, pantun, seloka, gurindam dan sebagainya. Ada kalangan pelajar yang membuat catatan terhadap kosa kata atau kalimat yang menarik perhatian mereka sebagai bahan rujukan. Ini merupakan satu teknik bacaan yang akan membina motif dan motivasi membaca yang tinggi. Perlu timbul pula rasa keinginan pelajar untuk mengetahui apakah maksud dan makna di sebalik ungkapan atau kalimat yang digunakan dengan merujuk kepada kamus. Bina motif ingin tahu secara berangkai seperti apa maksud kata-kata ini, mengapa penulis menulis begini, bagaiamana penulis dapat menyusun bahasa seindah ini? Kesemua ini dapat membantu pelajar ke arah minat membaca.

Mulakan sekarang untuk melihat bahawa pelajar sebenarnya bertuah kerana berkesempatan membaca karya sastera di alam persekolahan. Yakinilah bahawa pertemuan dengan karya sastera bukan pertemuan sia-sia. Ia akan memberi bekas di sanubari.

Comments

  1. Bagus ya. Saya sangat berminat pada sastera dalam berbahasa. Tidak kira bahasa melayu atau bahasa2 lain.

    ReplyDelete

Post a Comment