pendukung gamelan tradisional Melayu

Pendukung gamelan tradisional Melayu menerima penghormatan
Gamelan

PENGGIAT gamelan tradisional Melayu bersama anugerah yang mereka terima dalam majlis penghormatan buat mereka di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZLAN BAHARUM
Wan Zulkifli Wan Yaacob

KUALA TERENGGANU 30 Okt. -Seramai 17 orang pendukung dan sebuah badan yang membantu mengekal dan menyuburkan seni warisan Terengganu kerana kecintaan mereka, menerima penghormatan negeri dalam Majlis Aspresiasi Lambang Sari Gamelan Tradisional Melayu di sini hari ini.

Tiga daripada mereka, Wan A.Latiff Wan Besar, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Zaharah Abdul Hamid yang menjadi rujukan dalam seni tradisi istana itu sehingga kekal dengan identiti tersendiri dan pengenalan bagi negeri, menerima anugerah Tokoh Gamelan Tradisional Melayu.

Seramai tujuh orang lagi menerima anugerah khas berdasarkan pencapaian dan sumbangan membanggakan dalam memulihara, mencetus idea baharu bagi kelestarian, mendokumentasi sejarah dan koleksi bahan rujukan melalui pelbagai medium.

Mereka terdiri daripada Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Dr.Harun Mat Piah, Che Mat Jusoh, Mohd Yusof Abdullah, Sulong Ismail, Othman Abdullah dan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain yang diwakili anaknya Megat Mohd Syahraini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Program dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu dan Lembaga Muzium negeri.

Anugerah Adiguru Gamelan Tradisional Melayu pula diberikan kepada Ramli Ibrahim, Hamzah Abdul Hamid, Tun Baharum Tun Abdul Razak, Salwani Shamsuddin, Ahmad Zaki Abdullah, Razali Embong dan Muhammad Shahrul Azmi Hassan.

Sementara itu badan kesenian negeri, SUKTRA Terengganu yang di bawah naungan Pejabat Setiausaha Kerajaan menerima Anugerah Khas Institusi Gamelan Tradisional Melayu.

SUKTRA Terengganu masih berfungsi sebagai payung gamelan dengan corak persembahan yang sentiasa memperlihatkan ekspresi seni yang estetik dalam majlis -majlis rasmi dan sebagai duta seni negeri. - UTUSAN ONLINE



CHE MAT JUSOH TERIMA ANUGERAH KHAS GAMELAN TRADISIONAL MELAYU 2018


KUALA TERENGGANU, 30 Oktober 2018 – Adiguru atau Raja Rebab terkemuka, Che Mat Jusoh, 65, hari ini menerima Anugerah Khas Gamelan Tradisional Melayu 2018 oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Majlis ini telah mengiktiraf sumbangan 17 orang tokoh, penggiat serta aktivis gamelan tradisional Melayu yang telah banyak menabur jasa dan sumbangan kepada seni tradisional ini sejak bertahun dahulu.

Menurut Che Mat di laman sosialnya, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Trengganu (UMT) dan Lembaga Muzium Negeri Trengganu di atas apresiasi ini.

Menyingkap mengenai Che Mat, beliau merupakan seorang yang terkenal dalam kalangan peminat permainan tradisional sebagai Che’ Mat Raja Rebab dan telah berjaya membuat perubahan terhadap sistem penjarian Rebab menggunakan note muzik serta mencipta rebab baharu menggunakan kaedah baharu.

Che’ Mat Jusoh memulakan kerjayanya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) pada November 1978 dan kemudiannya dilantik sebagai Jurulatih Kebudayaan pada tahun 1979 sehinggalah bersara pada tahun lalu setelah 37 tahun berjuang sebagai seorang seniman yang mengajar begitu ramai mahasiswa sama ada dalam kuliah rasmi mahu pun sebagai pengajar ko-kurikulum.

Beliau banyak berjasa kepada USM yang amat dekat di hatinya. Beliau banyak membantu bahagian drama teater dan bahagian seni muzik termasuklah kuliah-kuliah yang diajar oleh tokoh seni terkemuka negara Profesor Emeritus Mohamad Ghouse Nasuruddin.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

usm


Comments