27 Jan 2018

Leftenan Adnan


Leftenan Adnan: Sang Wira Bangsa
Moustapha Abbas
January 26, 2018



Kita semua tahu apabila Jepun melancarkan kempen mereka di Asia semasa Perang Dunia Kedua (WWII), kemaraan mereka sukar digugat oleh mana-mana tentera termasuk kuasa besar. Sehinggakan ada beberapa pihak yang berpandangan kemaraan mereka seperti taktik Blitzkrieg yang digunakan pihak Nazi Jerman di Eropah. Namun, Pertempuran Pasir Panjang menjadi saksi kepada jentera perang ini terhalang angkara keberanian sekumpulan askar Melayu di bawah pimpinan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.

Allahyarham dilahirkan di Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915 dari sebuah keluarga Melayu Minangkabau. Beliau merupakan anak sulung dari tiga adik beradik dan adik-adiknya, Ahmad dan Amarullah mengikut jejak langkahnya sebagai tentera. Ahmad terbunuh apabila kapal perang HMS Pelanduk karam selepas diserang pihak Jepun dalam perjalanan ke Australia. Sementara Amarullah pula terselamat dari kancah perang WWII dan kini menetap di Kajang.

Selepas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditubuhkan, Allahyarham merupakan antara orang pertama yang menyertai rejimen tersebut. Beliau menyertai RAMD pada tahun 1933 semasa berusia 18 tahun. Untuk tahun-tahun berikutnya, Allahyarham merupakan askar terbaik dalam unitnya dan mendapat penghormatan sebagai pegawai Melayu pertama apabila mendapat kenaikan pangkat sebagai sarjan pada tahun 1936. Setahun selepas itu, beliau menghadiri sekolah latihan pegawai di Singapura dan menjadi pegawai bertauliah Melayu pertama.

Semasa tempoh itu juga, Allahyarham berkahwin dengan guru sekolah, Sofiah Fakir. Selepas mereka berkahwin, beliau memindahkan keluarganya ke Singapura kerana merasakan Singapura masih selamat dari ancaman tentera Jepun. Namun selepas mendengar berita kemaraan tentera Jepun dari utara dan pantai timur Semenanjung Tanah Melayu semakin menghampiri Singapura, Allahyarham memindahkan keluarganya kembali semula ke Kajang. Salah seorang anak Allahyarham, Mokhtar bercerita, “Saya baru berusia 4 tahun. Saya tak sedar itulah kali terakhir saya akan bertemu dengan ayah saya. Saya dan adik saya bersalaman dengan ayah sebelum dia meninggalkan. Dia hanya berpesan sedikit saja iaitu jaga diri dan jangan nakal. Saya boleh nampak ibu kelihatan sedih. Tetapi dia tidak mengatakan apa-apa.”

Ada sebab mengapa Jepun memfokuskan serangan mereka ke atas Singapura. Singapura merupakan simbol kepada kekuasaan koloni Britain dan jika Singapura jatuh ke tangan Tokyo, ia merupakan satu malapetaka kepada London. Maka atas sebab itulah, London memilih Arthur Percival sebagai pemerintah tentera mereka di Malaya. Selepas dilantik, perasaan Percival bercampur-baur di mana beliau merasakan perlantikannya itu ibarat tidak aktif sebagai pemerintah terntera jika perang tidak meletus di sebelah sini. Namun jika perang benar-benar meletus, maka ini menimbulkan satu dilema bila melihat kekurangan ketara pada tentera yang dimilikinya. Ini ditambah pula dengan kekurangan pengalaman yang dimilikinya kerana buat kali pertama dalam kariernya, Percival diberi peluang mengetuai pasukan tentera.

Selepas Jepun berjaya mendarat di Tanah Melayu dan semakin menghampiri Singapura pada Februari 1942, semua aset yang dimiliki pihak Britain digerakkan untuk mempertahankan Singapura. Ini termasuklah Briged Infantri Pertama Malaya diketuai Leftenan Kolonel Mordaunt Ellington di mana salah satu platun diketuai oleh Allahyarham. Pasukan Allahyarham diberi peranan mempertahankan Bukit Candu dari jatuh ke tangan Jepun. Bukit Candu amat penting kerana pertama, tempat tertinggi menghadap pulau dari sebelah utara dan kedua, di sinilah semua infrastruktur penting ketenteraan Britain termasuk hospital perang, depot senjata dan bekalan.

Pertempuran pertama antara askar Melayu dengan askar Jepun meletus pada pukul 2.00 petang, 13 Februari 1942. Divisyen Ke-18 Jepun menyerang mereka dari sebelah barat daya pantai sepanjang Benteng Pasir Panjang dan Jalan Ayer Rajah dan mendapat sokongan artileri Rejimen Infantri Ke-56. Kompeni B RAMD mempertahankan kawasan tersebut bermati-matian walaupun diasak bertubi-tubi pihak Jepun. Menyedari keperluan untuk berundur, Kompeni B mula berundur ke belakang tetapi sebelum sempat pengunduran tersebut selesai, pihak Jepun berjaya menembusi garisan pertahanan mereka. Dalam pertempuran ini, Kompeni B bertarung dengan bayonet selepas kehabisan peluru. Hanya beberapa anggota kompeni berjaya melarikan diri sementara bakinya ditahan dan dijadikan sebagai tawanan perang (POW). Selepas keadaan menjadi gelap, anggota Kompeni B yang terselamat dan Briged India Ke-44 berundur ke Mount Echo.

Pada 14 Februari, sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina, Jepun melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas garisan pertahanan dikendalikan oleh Briged Pertama pada jam 8.30 pagi. Walaupun teruk diasak, mereka berjaya menahan serangan termasuk pertarungan tanpa senjata yang mengakibatkan kehilangan nyawa pada kedua-dua belah pihak. Selepas jam 4.00 petang, pihak Jepun berjaya menembusi kedudukan mereka dengan bantuan kereta kebal. Sedar kedudukan mereka sudah terjejas, Briged Pertama berundur pada jam 2.30 petang dan Kompeni C yang dipimpin Allahyarham diberi arahan bergerak ke posisi mereka di Bukit Candu. Di sinilah, keberanian anak-anak watan berbangsa Melayu ini terserlah dalam masa-masa sukar.

Berikutan keadaan minyak terbakar dalam tali air yang mengalir dari Depot Normanton, ia memisahkan kompeni Allahyarham dengan Kompeni D. Dan ini juga mengakibatkan kompeni beliau tidak dapat berundur ke selatan. Menyedari situasi genting ini, Allahyarham memberi motivasi kepada anak buahnya agar berjuang habis-habisan bak kata pepatah, biar putih tulang, jangan putih mata. Dan itulah apa yang dilakukan oleh kedua-dua kompeni ini. Malah pegawai pemerintah mereka, Kapten H.R Rix menyatakan akan bersama dengan mereka hingga ke titisan darah terakhir. Pihak Jepun menyerang bertubi-tubi kedudukan mereka dengan bom tangan dan mortar tetapi dua kompeni RAMD ini terus bertahan.

Antara satu insiden yang menunjukkan kewibawaan beliau ialah peristiwa Allahyarham mengesan taktik tentera Jepun menyamar sebagai tentera India. Semuanya cantik dengan uniform dan samaran mereka tetapi mereka lupa mengubah cara kawad mereka dari empat kepada tiga orang. Beliau yang perasan akan anomali tersebut segera mengarahkan kompeni RAMD menembak bertubi-tubi tentera Jepun yang menyamar itu, mengakibatkan ramai terbunuh dan saki-baki yang terselamat melarikan diri. Salah seorang veteran RAMD, Datuk Abbas Manan teringat semasa pertempuran berlaku, Allahyarham memintanya menukar magazin peluru sementara beliau menembak kedudukan tentera Jepun. Kebetulan, pada ketika itu juga, peristiwa tentera Jepun yang menyamar ini berlaku menyebabkan Allahyarham menembak mereka. Selepas mereka melarikan diri, Allahyarham berkata kepada beliau, “Jika saya mati hari ini, saya harap ada orang yang dapat jaga keluarga saya.” Menurut Datuk Abbas, itulah kata-kata terakhir Allahyarham dan itu juga kali terakhir beliau melihatnya hidup.

Menyedari taktik mereka tidak akan berkesan melawan keazaman kompeni RAMD ini, tentera Jepun menggunakan bilangan mereka yang ramai untuk memusnahkan terus tentangan dua kompeni ini. Walaupun berhadapan dengan jumlah tentera yang ramai dan kekurangan bekalan peluru serta bekalan logistik, RAMD terus menjadi duri dalam daging kepada pihak Jepun. Allahyarham sendiri cedera parah tetapi itu tidak menghalang beliau dari terus berlawan dan enggan meninggalkan anak buahnya. Walaupun cedera terkena serpihan mortar dan patah tangan, Allahyarham terus berlawan dengan pistol, pedang dan akhir sekali, dengan tangan beliau sendiri. Tentera Australia yang menyaksikan pertempuran antara tentera Melayu dengan askar Jepun di Reformatory Road mengagumi semangat juang mereka. Leftenan Perrod V. Dean dari Batalion Mesingan Ke-24 menceritakan, “Askar Melayu mula melawan tentera Jepun di Reformatory Road. Mereka menggali parit kecil tetapi tidak mempunyai senjata mencukupi. Mereka melawan kemaraan tentera Jepun dengan raifal mereka. Apabila senjata mereka kehabisan peluru, mereka meletakkan bayonet pada raifal dan memaksa tentera Jepun berundur dari Reformatory Road. Mereka amat berani dan berlawan habis-habisan tetapi bagi setiap seorang askar Melayu, ada 10 hingga 12 tentera Jepun. Jadi, lambat-laun mereka akan kalah juga.”

Selepas tamat kempen mereka di Pasir Panjang, 159 anggota RAMD terbunuh. Mereka terdiri daripada enam pegawai British, tujuh pegawai Melayu dan 146 askar dari pelbagai pangkat serta sebilangan besar anggota cedera. 600 anggota RAMD yang terselamat berkumpul di kawasan Keppel Golf Link dan terpisah dengan pegawai-pegawai British. Kebanyakan mereka ini ditahan dan menjadi POW bersama Batalion Askar India British di kem tahanan Farrer Park. Ada juga yang terselamat dan berjaya melarikan diri termasuk salah seorang anak buah Allahyarham Leftenan Adnan, Allahyarham Koperal Yaakob Bidin. Menurut cerita cucunya, Akhwan Hafis Ahmad Hidzri, 34, Allahyarham Koperal Yaakob diberi amanah oleh beliau untuk menyampaikan rekod Pertempuran Bukit Candu kepada kepimpinan tentera British.

Untuk mengelak ditawan, Allahyarham terpaksa berpura-pura mati. Selepas melihat mereka beredar, Allahyarham Koperal Yaakob bergegas melarikan diri dari Singapura menuju ke kampung halamannya berhampiran Temerloh, Pahang. Sepanjang perjalanan, beliau terpaksa bergantung kepada air sungai dan buah-buahan hutan serta berjalan pada waktu malam untuk mengelak dikesan tentera Jepun. Setibanya beliau di Tebing Tinggi, Sanggang, Temerloh, Allahyarham Koperal Yaakob bergerak ke kem tentera British di Mentakab dan menunaikan amanah yang diberi Allahyarham Leftenan Adnan. Perjalanan tersebut mengambil masa tujuh hari dan tujuh malam.

Allahyarham Koperal Yaakob turut menceritakan apa sebenarnya terjadi pada wira negara itu. Menurut Akhwan Hafiz, apabila pihak Jepun berjaya menemui Allahyarham Leftenan Adnan, Allahyarham dibelasah teruk walaupun beliau pada ketika itu mengalami kecederaan kaki. Beliau kemudian diseret dan kepalanya dan diserkup dengan guni. Berikutan itu, pihak Jepun segera menggantung beliau pada sebatang pokok ceri dan ditikam bertubi-tubi dengan bayonet. Setiap kali Allahyarham ditikam, beliau menjerit takbir Allahuakbar sehinggalah menghembuskan nafas terakhirnya. Menurut versi Jepun pula, Allahyarham dibunuh sebelum digantung pada pokok tersebut. Sementara versi British pula menyatakan mayat Allahyarham digantung secara terbalik pada sebatang pokok selepas menyerah kalah. Bagaimanapun, cara Allahyarham dibunuh tidak dinyatakan secara jelas mengikut versi mereka.

Menurut satu kisah, Jepun yang terlalu berang dengan keberanian Allahyarham Leftenan Adnan mahu membunuh keluarganya pula untuk memuaskan dendam mereka. Atas sebab itu, pihak Kempeitai (polis rahsia Jepun) digerakkan untuk memburu mereka tetapi tidak berjaya. Dan pada akhirnya, hajat mereka tidak tertunai selepas dihalau keluar oleh pihak Bersekutu dari Singapura pada tahun 1945.

Bagi Percival, kejatuhan Singapura ke tangan Jepun merupakan satu detik yang memalukan baginya. Untuk tahun-tahun berikutnya pasca-WWII, ketidakcekapan beliau menjadi punca kepada kejatuhan Singapura. Namun, ada juga yang menyifatkan beban kesalahan ini tidak harus ditanggung oleh Percival seorang. Beban kesalahan ini juga harus ditanggung oleh pentadbiran di London kerana gagal menyokong beliau sepenuhnya termasuk memasuki kawasan neutral Thailand dan hubungan buruknya dengan pegawai-pegawai lain.

Selepas menyerah kalah kepada pihak Jepun walaupun digesa oleh Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill untuk terus melawan, Percival ditahan di Penjara Changi sebelum dipindahkan dari Singapura pada Ogos 1942. Dari situ, beliau dipenjarakan di Formosa (Taiwan) sebelum ditahan di sebuah kem tahanan perang berhampiran Hsian, 160 kilometer timur laut Mukden, Manchuria. Semasa di Manchuria, Percival ditahan bersama beberapa dozen tahanan bertaraf tinggi termasuk Jeneral Tentera Amerika Syarikat, Jonathan Wainwright. Selepas perang hampir berakhir, Pejabat Perkhidmatan Strategik (OSS) menghantar sebuah pasukan untuk membebaskan mereka. Selepas dibebaskan, Percival dan Wainwright menyertai pegawai-pegawai tentera Bersekutu untuk menjadi saksi kepada peristiwa penyerahan kalah Jepun kepada pihak Bersekutu. Selepas itu, kedua-duanya diterbangkan ke Filipina untuk menjadi saksi penyerahan kalah tentera Jepun di sana.

Satu anekdot menarik berhubung penyerahan kalah ini ialah pertukaran peranan Percival dengan bekas penawannya, Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Semasa Singapura jatuh ke tangan Jepun, Yamashita individu bertanggungjawab memastikan Percival menyerah kalah. Kini, giliran beliau pula melakukan perkara sama pada Yamashita. Semasa upacara tersebut, Percival enggan bersalaman dengan jeneral tersebut kerana berang dengan layanan kejam mereka ke atas POW di Singapura. Begitu juga bendera yang digunakan semasa beliau menyerah kalah semasa di Bukit Timah. Di bukit yang sama juga menjadi saksi berkibarnya semula bendera Union Jack selepas Jepun menyerahkan Singapura secara rasmi kembali kepada Lord Louis Mountbatten.

SUMBER

Bennighof, Mike. (2008). Avalanche Press. The Real Tiger of Malaya. http://www.avalanchepress.com/RealTiger.php
Hamzah, Zairul Afiza. (2012). Sinar Harian. Bawa amanat Leftenan Adnan: Misi 7 hari, 7 malam. http://www.sinarharian.com.my/rencana/bawa-amanat-leftenan-adnan-misi-7-hari-7-malam-1.80527
Thompson, Ben. Badass of the Week. http://badassoftheweek.com/adnan.html

the patriots


Hari Ini Dalam Sejarah: 14 Februari 1942, Tarikh Leftenan Adnan Dibunuh Kejam Tentera Jepun
14 Februari 2017 


"Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun".

Begitulah ungkapan oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita, seorang pegawai tentera Jepun yang menganggap Leftenan Adnan sebagai Harimau Malaya ekoran keberaniannya mempertahankan Bukit Candu seorang diri menentang ratusan tentera Jepun pada 1942.

Adnan Saidi, anak kelahiran Kajang, Selangor ini mula menyertai Rejimen Askar Melayu pada 1933, sewaktu usianya 18 tahun.

Menjadi rekrut terbaik, Adnan dilantik sebagai Sarjan selepas tiga tahun menyertai askar Melayu sebelum dinaikan pangkat sebagai Kompeni-Sarjan-Major yang akhirnya membawa askar muda itu kepada jawatan Leftenan sewal usia muda remaja.

Sinonim dengan semangat juang yang dibawanya, gelaran 'Lt Adnan' juga menjadi nama kepada anugerah pelajar dari golongan susah yang menempa kejayaan akademik cemerlang di Singapura.

Anugerah SMEF-Leftenan Adnan itu disediakan Dana Pendidikan Muslim Singapura (SMEF) yang mengambil iktikbar semangat juang askar Melayu itu disamping sikap kepimpinannya yang kuat.

Kisah hidup Adnan turut didokumentasikan menerusi sebuah filem 'Leftenan Adnan' lakonan Hairie Othman dan Umie Aida yang menceritakan liku-liku hidup anak muda pada waktu tersebut menentang penaklukan Jepun.

Hairie Othman melakonkan watak utama didalam filem Leftenan Adnan dibawah arahan Aziz M Osman

Filem teraju Pengarah Aziz M Osman itu, sedikit sebanyak menggambarkan perjuangan Adnan mempertahankan Bukit Candu seorang diri ekoran kesemua rakan seperjuangannya tumpas satu demi satu dibunuh tentera Jepun.

Bukit Candu merupakan benteng akhir pertahanan Askar Melayu mempertahankan Tanah Melayu ditakluki Jepun. Pertempuran hasil dari kesinambungan kepada pertempuran Pasir Panjang itu bermula selepas tentera Jepun mula melancarkan serangan di Selatan Singapura.

Tanggal 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun mula menyerang kubu askar Melayu menggunakan meriam dan bom mortar.

Lt Adnan yang mengetuai blok pertahanan di Pasir Panjang membina benteng di kawasan tinggi dikenali sebagai 'Celah' (Gap) dan strategi berkenaan berjaya memaksa tentera Jepun dibawah seliaan Major Kimura berundur.

Menyedari sukar untuk menguasai Bukit Candu, tentera Jepun pada keesokan harinya (14 Februari) menggunakan taktik perang saraf dengan menyamar sebagai 'Tentera Punjabi' British-Indian Army.

Namun Lt Adnan berjaya mengesan helah tentera Jepun apabila mendapati tentera berkenaan bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya kedudukan bertiga sebaris sepertimana Tentera British.

Dengan kekutan 42 orang hasil gabungan Rejimen Askar Melayu, Rejimen ke-2 Tentera British dan Bridget India ke-44, Lt Adnan membiarkan 'Tentera Punjabi' berkenaan menghampiri garisan pertahanan sebelum melepaskan tembakan dan membunuh kira-kira 20 orang tentera berkenaan.

Sekali-lagi usaha tentera Jepun untuk menakluk Bukit Candu gagal.

Jepun sekali lagi melancarkan serangan 2 jam kemudian namun disebabkan jumlah terlalu ramai, askar pimpinan Lt Adnan tumpas seorang demi seorang. Setiap senjata seperti bom tangan, mesingan, pistol, bayonet malah parang tumpul digunakan askar Melayu mempertahankan tanah air.

Akhirnya kesemua mereka tumpas. Mayat Lt Adnan diikat pada sebatang pokok di pucak Bukit Candu. Badannya ditusuk bayonet tentera Jepun selain lehernya dikelar.

Tentera Jepun mengeluarkan perintah agar mayat Lt Adnan dibiarkan pada pohon berkenaan sebagai amaran kepada sesiapa yang cuba menetang Jepun akan menerima nasib yang sama.

Pemergian Adnan memberi pengajaran kepada kepentingan semangat cintakan negara dan sanggup berkorban apa sahaja demi tanah air tercinta.

Biar putih tulang, jangan putih mata!. Al Fatihah.

Malaysian Digest


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena