11 Jan 2018

ghazal


Memartabat irama ghazal
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Bagai sirih pulang ke gagang. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kemeriahan persembahan ghazal yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 7 dan 8 April lalu.

Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor dan Pejabat Daerah Muar itu adalah program Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) yang mengangkat martabat seni muzik ghazal supaya terus dipelihara dan diminati oleh pelbagai peringkat umur.

Muar sendiri sememangnya popular dengan muzik ghazal dan melahirkan ramai penyanyi nama besar antaranya Ramlah Ram, Norsiah dan Kumpulan Ghazal Sri Saujana Muar. Penganjuran Ghazal@Muar adalah langkah terbaik bagi memastikan genre itu terus dipelihara dan dipulihara kepada generasi masa kini.

Ramlah yang membesar dalam lingkungan muzik ghazal menampilkan kelainan apabila menyanyikan lagu popularnya seperti Diam-Diam Jatuh Cinta, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Air Mata Hati dalam genre ghazal.

Peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya di laman sendiri, bertepuk tangan tanda terhibur dengan nyanyiannya. Bahkan, ada di antara mereka tanpa diminta turut sama menyanyikan lagu itu bersama Ramlah.

Persembahan turut dimantapkan dengan penampilan Mohd Rozaidy Shukry atau Roger Kajol (Dangdut Star), Abdul Rahman Kamaruddin (juara Bintang Asli Johor) dan beberapa artis lain.

Selain persembahan kesenian ghazal, variasi pelbagai jenis makanan, aktiviti seni, pameran dan jualan produk masyarakat setempat turut diadakan sempena program Ghazal@Muar ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah pameran agensi kerajaan persekutuan, negeri dan swasta, karok suka-suka, permainan tradisional, demonstrasi, pelbagai pertandingan rakyat, sudut interaktif seni budaya, jualan, borak teater bersama Tokoh Seni Budaya Negeri Johor, kenduri rakyat dan gotong royong komuniti.

Muar, yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja, turut popular dengan mi bandung, menerima kehadiran ramai pelancong setempat dan luar sepanjang program itu berlangsung.

Sedikit info, ghazal adalah kesenian tradisional masyarakat Melayu yang cukup sinonim dengan Johor. Terdapat banyak maksud ghazal salah satunya dalam bahasa Turki, ghazal diambil daripada perkataan ‘gazel’ yang bermaksud puisi manakala bahasa Arab, ghazal membawa maksud ‘berbicara dengan wanita’ dan perkataan ghazal juga dipanggil ‘gamat’ yang membawa maksud riuh atau muzik rancak.

Antara lagu yang sering dimainkan adalah seperti Sri Mersing, Siti Payung, Patah Hati dan Seri Banang. Alatan muzik yang digunakan adalah seperti peri harmonium, tabela/tabla, violin, gambus, gitar, tamborin dan marakas. Pak Lomak dianggap Bapa Ghazal Melayu Johor kerana usahanya yang menterjemahkan atau menyesuaikan lagu ghazal daripada bahasa Urdu ke bahasa Melayu.

mymetro 



Ghazal sebati dalam diri Pak Saleh
Oleh Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@bh.com.my


MUAR: "Minat dalam seni muzik ghazal terbit sejak saya berusia 11 tahun. Ketika itu, saya hanya mengikuti bapa yang berlatih bersama rakannya, tidak sangka pula ia akhirnya menjadi sebati dalam diri," kata Johari Arshad, 73.

Johari yang lebih mesra dengan panggilan Pak Saleh berkata, bermula dari situ, beliau kemudian mempelajari selok-belok bermain alatan muzik ghazal yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu.

"Pada 1955, saya mengikuti bapa, Allahyarham Arshad Muhammad yang mengetuai sebuah kumpulan ghazal untuk berlatih bersama rakannya, yang kemudian mencambahkan minat untuk belajar dan bermain ghazal sehingga sekarang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Baba di sini.

Johari yang juga pemimpin Kumpulan Ghazal Sri Muar berkata, walaupun masih asing dengan peralatan muzik ghazal seperti gambus, biola, peti harmonium, tabla, gitar, marakas dan tamborin, beliau berusaha mempelajarinya kerana minat yang mendalam.

"Peralatan pertama yang saya belajar ialah peti harmonium. Saya bernasib baik kerana banyak peralatan muzik di rumah.

PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad menunjukkan kemahiran bermain alat muzik peti harmonium yang juga antara alat muzik yang digunakan dalam seni muzik ghazal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Baba, Muar. - Foto NSTP/Badrul Kamal Zakaria

"Apabila orang dah balik, saya sambung main peralatan muzik itu. Walaupun saya belum mahir, disebabkan minat yang mendalam, saya main sahaja bagi memahirkan diri," katanya.

Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab membantunya menceburi bidang ghazal ini ialah abang saudaranya, Allahyarham Abdul Ghani Hashim yang juga seorang penyanyi ghazal terkenal di Muar.

"Beliau banyak memberi tunjuk ajar seperti cara menyanyi dan bermain lagu ghazal. Walaupun diberikan panduan, kita kena perlu berlatih dengan cara mencari sendiri rentak lagu ghazal.

"Sehingga hari ini, saya bermain ghazal dengan mengikuti cara dan gaya pemain ghazal pada zaman dahulu, selain menerapkan identiti sendiri dalam industri muzik ini," katanya.

Beliau berkata, muzik irama ghazal pada era 1950-an sememangnya amat diminati oleh masyarakat Johor kerana ia antara jenis hiburan yang ada pada ketika itu disebabkan siaran radio yang terhad, dan ketiadaan perkhidmatan televisyen.


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad (tengah) bersama kumpulan ghazalnya, Sri Muar ketika mengadakan persembahan pada majlis perkahwinan di Muar. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad mahir menggunakan biola selain turut mempunyai kemahiran bermain enam lagi alat muzik ghazal seperti peti harmonium, tabla, gitar, gambus, marakas dan tamborin. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad

"Muzik ghazal dimainkan secara meluas ketika itu, termasuk di majlis keramaian seperti kenduri kahwin. Walaupun selepas 1960-an muncul irama pop yeh-yeh, namun ghazal terus diminati.

Ditanya mengenai keunikan ghazal, Johari berkata, seni muzik itu boleh dikategorikan sebagai genre muzik yang agak sukar dimainkan kerana ia memerlukan kemahiran yang tinggi.

Katanya, beberapa penggiat muzik itu termasuk orkestra turut menyatakan irama muzik ghazal antara seni yang sukar kerana setiap alat, irama dan nyanyian perlu diadun sebaik mungkin bagi menghasil seni yang boleh menyedapkan halwa telinga pendengarnya.

"Sebab pertama, ia tidak mempunyai nota muzik seperti genre muzik yang lain. Jadi, segala apa jenis lagu perlu dimainkan dengan menggunakan 'kepala' iaitu kena ingat. Kalau muzik lain kita boleh main sebab ada nota, tetapi ghazal ini lain.

"Ghazal tidak terhad dengan satu cara, dan saya bermain dengan cara sendiri tetapi tidak lari dari irama ghazal. Setiap pemain ghazal mempunyai cara masing-masing termasuk penggunaan tujuh alat muzik ghazal. Mereka perlu tahu peranan masing-masing.


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad (tengah) bersama kumpulan ghazalnya, Sri Muar ketika mengadakan persembahan pada majlis perkahwinan di Muar. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad, (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kumpulan ghazal Sri Muar selepas menyertai Pertandingan Ghazal Peringkat Johor 2006 di Johor Bahru. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad

"Dalam ghazal ini mempunyai sembilan pemain termasuk sekurang-kurangnya dua penyanyi. Di sinilah tugas ketua untuk memimpin kumpulannya dalam bermain ghazal dengan memastikan irama, bunyi alat muziknya seimbang, barulah boleh menghasilkan irama ghazal yang sedap didengari," katanya.

Beliau yang turut mahir dalam mengendalikan semua peralatan ghazal berkata, kesemua peralatan muzik itu boleh dimainkan dengan baik sekiranya seseorang itu mempunyai minat dan kesungguhan yang tinggi.

"Macam orang nak belajar main gambus, paling mudah sedikit, dia perlu tahu bermain gitar walaupun hanya asas. Sama juga jika main peralatan lain, perlu mempunyai asas. Paling sukar ialah biola kerana ia perlu mempunyai kemahiran dan pemain juga perlu ada 'cita rasa' sendiri.

"Untuk menjadi pemain ghazal yang baik, pertama sekali dia perlu tahu lagu, menyanyi dan alat muzik ghazal. Kalau mahir semua ini, permainan ghazal itu akan membuatkan orang terasa dan sampai ke dalam hati. Uniknya, alat ghazal ini boleh digunakan untuk muzik moden," katanya.

Johari bagaimanapun turut melahirkan rasa sedihnya apabila seni muzik warisan itu kini seolah-olah tidak diminati oleh generasi muda masa kini.

PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad memegang biola ketika menunggu giliran untuk proses rakaman di RTM Johor Bahru. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad

"Kalau muzik ini tidak dijaga dan diambil berat oleh masyarakat, ia boleh menyebabkan muzik ini pupus. Untuk menghidupkan ghazal ini, kita perlu mempunyai pelapis atau memperluaskannya ke sekolah.

"Sebelum ini juga pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman pernah melakukan usaha untuk menjaga seni warisan ini. Difahamkan, YWJ juga sentiasa komited untuk terus mengambil berat bagi memastikan ia akan dapat terus berkembang," katanya.

Johari berkata, beliau bertuah kerana dua anaknya, Samsul Bahari, 32, dan Muhammad Hisyamuddin, 26 mengikuti jejak langkahnya bermain ghazal dan mereka mahir mengendalikan peralatan muzik tabla dan peti harmonium.

Beliau berharap kedua-dua anaknya serta penggiat seni muzik ghazal akan terus memartabatkan seni muzik itu yang bukan sahaja indah tetapi juga cerminan estetika dan budaya masyarakat Melayu, khususnya di Johor, pada masa depan.

PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Biodata
Nama : Johari Arshad
Nama Panggilan : Pak Saleh
Usia : 73 tahun
Asal : Kundang Ulu, Tangkak
Alamat terkini : N0 .21, Taman Setia Jaya, Kampung Simpang Baba, Muar
Nombor telefon : 012-6129894 / 013-6204702 / 06-9850224
Isteri : Rohani Wagiman
Usia : 60 tahun
Anak : 8 orang
Cucu : 15 orang
Jawatan : Pemimpin Kumpulan Ghazal Sri Muar
Pencapaian : Juara Ghazal Peringkat Kebangsaan (2001, 2003 dan 2006)

INFO

Ghazal ialah seni muzik yang dipercayai berasal dari Parsi dan dipercayai mula dimainkan pada 670 Masihi.

Ghazal biasanya menggunakan bait puisi dalam nyanyian dengan diiringi muzik.

Ghazal popular di Johor, terutama di Muar dan Batu Pahat.


Penyanyi ghazal popular ialah Allahyarham Fadzil Ahmad, Ahmad Jusoh, S Fauziah, Ramlah Ram, Andre Goh, Datuk Sharifah Aini dan Aspalela Abdullah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena