16 Jul 2017

bahasa melayu : akar cinta bangsa

Bahasa Melayu akar umbi bangsa pupuk rasa cinta, persaudaraan dan permuafakatan

06 Julai 2017



SUDAH pasti sesiapa rakyat Malaysia apabila berada di luar negara tidak kira bekerja, belajar atau melancong, secara tiba-tiba mendengar bahasa Melayu dipertuturkan lalu dijengah atau melihat sekeliling siapa gerangan itu.

Ada kalanya terlihat dua tiga individu yang rupa-rupanya kaum Cina Indonesia yang begitu petah berbicara walaupun loghat Melayu itu berbaur negara jiran berkenaan.

Itu antara pengalaman penulis sewaktu di Melbourne mahu pun di beberapa negara Eropah. Begitu senang sekali kedengaran kemelayuannya itu.

Terubat rindunya dan semangat jati diri betapa bahasa Melayu itu tidak terpinggir.

Kerana itu, bahasa dilihat keupayaan manusia untuk berhubung antara satu sama lain termasuk dari aspek potensi untuk kita mengerti dan memahami persoalan yang dimaksudkan.

Keadaan yang sama berlaku di negara kita tercinta ini apabila seronok jua memerhati pekerja asing yang mencari rezeki di sini juga turut berbicara bahasa Melayu itu sendiri, termasuk dalam kumpulan mereka.

Yang datangnya dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Filipina dan Syria waima sekali pun sudah mudah berbicara dalam bahasa Melayu walaupun struktur ayat dan pertuturan itu ada yang masih tonggang terbalik.

Tidak mengapa, sebaliknya penulis memuji kesungguhan mereka untuk berbicara, berusaha belajar dan memahami bahasa Melayu.

Mengapa mereka melihat kepentingan untuk berbicara dalam bahasa Melayu itu ?

Kalau kita perhalusi, bahasa Melayu merupakan salah satu akar umbi bangsa dapat mengembalikan sesuatu yang manusia sering hilang, iaitu rasa cinta dan persaudaraan serta nilai permuafakatan kerana tujuan pengukuhan bahasa ialah menciptakan kesatuan dan kebersamaan.

Dalam arus globalisasi, bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa identiti bangsa Melayu dan bahasa Melayu antara bahasa dunia yang mudah dipertuturkan.

Lagi-lagi di Malaysia, bahasa Melayu adalah alat perhubungan antara masyarakat dan seterusnya menjadi penggerak tamadun bangsa kerana bahasa Melayu adalah bahasa lingua-franca sejak dahulu lagi.

Oleh itu, kemajuan, kesanggupan dan kewibawaan bahasa Melayu tidak harus dipertikaikan atau diragui dalam era globalisasi kini.

Sebagai jaminan, bahasa Melayu berada di peringkat istimewa dan tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau kita lihat dari ruh konsep Perlembagaan itu, ia bukan hanya membabitkan apa-apa perkara yang berkenaan dengan urusan kerajaan, rangka demokrasi dan perlindungan akan hak-hak rakyatnya.

Tetapi ianya adalah sebuah dokumen yang mengandungi peruntukan asas tertentu secara tersendiri bagi mencerminkan pertimbangan suasana muhibah, penerimaan yang murni dan kesefahaman antara rakyatnya.

Perkara ini menunjukkan bahawa Perlembagaan itu bukan sekadar satu dokumen undang-undang, tetapi adalah sebuah dokumen yang tidak terpisah dari sejarah, perkembangan dan tradisi sesuatu negara khususnya di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Penulis mengimbau semula bahawa bahasa Melayu adalah salah satu daripada empat unsur tradisi yang terdapat dalam Perlembagaan yang merangkumi pemerintahan beraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Unsur-unsur tradisi ini sesuatu yang telah sedia ada sebelum Perlembagaan itu digubal oleh Suruhanjaya Reid pada tahun 1956.

Suruhanjaya ini hanya memasukkan kembali apa yang telah sedia ada di Tanah Melayu ketika itu.

Unsur tradisi ini pula dianggap sebagai satu kontrak sosial antara orang Melayu dan bukan Melayu sewaktu penggubalan Perlembagaan.

Maka, kontrak sosial ini merujuk kepada persetujuan yang dicapai antara orang Melayu dan bukan Melayu mengenai orang bukan Melayu mendapat kewarganegaraan secara jus soli.

Manakala orang Melayu mendapat Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pengekalan institusi beraja.

Jadi kita sebagai rakyat bertanggungjawab, perlulah rajin menyelak semula buku Perlembagaan itu dan rujuk kepada Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Agak-agaknya berapa ramai rakyat Malaysia tahu soal Perkara 152 (1) selepas 60 tahun kemerdekaan ?

Mari kita amati lagi dalam Perlembagaan itu di mana peruntukan Perkara 150(6A) dengan terang menyatakan bahawa hal-hal yang berhubung dengan bahasa Melayu, walaupun dalam keadaan darurat adalah dilindungi oleh Perlembagaan.

Perkara 150(6A) ini penting kerana secara umumnya perisytiharan darurat mempunyai kesan menggantung sebahagian besar peruntukan-peruntukan Perlembagaan.

Dengan kata lain, ia menyebut pengecualian terhadap bahasa Melayu kepada kuasa darurat yang luas itu, dipetik dalam Abdul Aziz Bari, buku bertajuk Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Kedudukan bahasa Melayu ini semakin jelas dalam Perlembagaan melalui Perkara 10 (4) yang menjadikan bahasa Melayu adalah antara perkara yang sensitif yang dilarang daripada dibahaskan di tempat terbuka atas tujuan keselamatan dan ketenteraman awam.

Kedudukan ini juga begitu kukuh kerana ia tidak dapat dipinda oleh Parlimen jika tidak mendapat sokongan dua pertiga setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja melalui Perkara 159 (5).

Begitu juga dengan kedudukan sebagai bahasa rasmi bagi tujuan kerajaan baik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri dan termasuk apa-apa tujuan untuk sesuatu kuasa awam, hendaklah menggunakan bahasa Melayu kecuali atas beberapa perkara yang dibenarkan oleh undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 4, Akta Bahasa Kebangsaan.

Antara pengecualian tersebut ialah bagi tujuan hubungan diplomatik dan latihan yang dijalankan oleh pakar-pakar asing.

Seterusnya, perkara ini ditambah lagi dengan peruntukan di bawah Perkara 160B yang menjelaskan bahawa jika Perlembagaan diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan.

Jika terdapat percanggahan teks terjemahan dengan teks dalam bahasa Inggeris, maka teks kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris.

Isu terkini membabitkan kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak pegawai perubatan gred UD41 baru-baru ini telah menguji kewibawaan bahasa Melayu itu sendiri.

Ketegasan dan kebijaksanaan Kerajaan menanganinya terutama ketelitian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menyampaikan suara Eksekutif dalam mempertahankan ruh Perlembagaan mempunyai asas-asas yang kukuh.

Keputusan Kabinet tepat dalam memutuskan tiada sebarang kelonggaran berkaitan bahasa Melayu diizinkan untuk sebarang jawatan awam.

Malahan langkah Kabinet turut memutuskan untuk mengekalkan syarat-syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan semua jawatan dalam sektor awam di negara ini amat dialu-alukan.

Sebelum mengakhiri, penulis hendak menceritakan sedikit satu kisah benar dalam sejarah.

Sebelum Perang Dunia Kedua, bahasa Melayu digunakan secara meluas bagi tujuan rasmi seperti mesyuarat, surat-menyurat, perundangan dan kehakiman di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Jabatan Polis, dan sebagainya bagi memudahkan urusan pentadbiran kerana kakitangannya terdiri daripada pelbagai kaum.



Perkara ini diperkuatkan lagi oleh hakikat bahawa bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi apabila Johor menerima Penasihat Inggeris pada tahun 1914.

Sebagai contoh, dalam surat bertarikh 11 Mei 1914, Sultan Ibrahim iaitu Sultan Johor menulis surat kepada Sir Arthur Young, Gabenor Singapura:

“Beta juga perlu meminta penerimaan Yang di Pertuan terhadap prinsip bahawa Bahasa Melayu dan Inggeris harus diterima sebagai bahasa rasmi untuk digunakan di dalam mahkamah keadilan beta dan di dalam semua jabatan kerajaan beta. Berhubungan dengan penulisan bahasa Melayu huruf Jawi perlu diberikan pengiktirafan rasmi”.

Sila rujuk kepada buku mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian Hashim bertajuk Mengenal Perlembagaan Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lagi ironinya, pegawai-pegawai Eropah yang memegang lebih 95 peratus jawatan Kumpulan I perlu mempelajari bahasa Melayu, mengambil ujian Bahasa Melayu dan dikehendaki lulus, barulah boleh ditempatkan di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu.

Keadaan ini menunjukkan bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa perantaraan rasmi walaupun di zaman penjajah Inggeris.

Perkara ini telah diiktiraf oleh Tan Siew Sin dalam Majlis Perundangan Persekutuan, 10 Julai 1957 iaitu:

“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan yang besar terhadap kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan, sebagai contoh, Perlembagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan mengembang bahasa Cina dan Tamil, ataupun bahasa-bahasa lain. Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju. Saya sebutkan kejadian ini untuk menunjukkan kepada mereka di luar bulatan bahawa pemimpin Melayu pada asasnya adalah adil dan berpandangan luas”.

Sekarang bukti sejarah perihal bahasa Melayu diserlahkan dalam ruang artikel ini, maka hormatlah bahasa Melayu ! - www.bacalahmalaysia.com

Nota: Penulis ialah Ketua Penyelidik di Bahagian Media Strategik dan Penyelidikan, MINSTRA dan pengarang digital kanan berita portal BacalahMalaysia.com

utusanonline

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena