teh talua

Teh talua minuman popular Ranah Minang



Teh Talua yang enak boleh didapati di kedai Mak Etek, Jalan Raya Padang – Indarung, Cengkeh, Kota Padang, Sumatera Barat.

Kedua-dua tangan Uwid tidak henti-henti mengacau kuning telur dalam gelas.

Dia bertungkus-lumus menyiapkan pesanan para pengunjung kedai yang semakin bertambah menjelang malam.

Dengan menggunakan kedua-dua tangan, dia mengacau kuning telur tersebut didalam enam gelas yang tersusun rapi di atas dulang khas.

“Teh talua sagaleh Mak Etek (teh telur segelas Mak Etek),” ucap seorang pengunjung yang baru masuk ke kedai memesan minuman tersebut.

Pelanggan yang ingin menikmati teh talua sering singgah ke kedai Mak Etek terletak di Jalan Raya Padang-Indarung, Cengkeh, Kota Padang, Sumatera Barat.

Warung yang dibuka setiap hari itu menyajikan sehingga 300 gelas teh talua sehari dan bilangan tersebut bertambah pada hujung minggu.

Teh talua akan dihidangkan di dalam gelas yang dilapik piring kecil. Bagi golongan lelaki di Ranah Minang, teh telur atau lebih terkenal disebut teh talua bukanlah minuman yang asing.

Bahkan ia merupakan salah satu hidangan kegemaran ketika singgah ke kedai makan.

Jika di Itali terkenal dengan minuman capucino, maka di Ranah Minang pula popular dengan teh talua yang tidak kurang sedapnya dan mempunyai banyak khasiat.

Teh talua perlu dikacau selama 15 minit hingga campuran kuning telur dan gula mula sebati dan membentuk adunan pekat berwarna putih coklat.

Ketika membuat minuman istimewa tersebut, Uwid mengira jumlah pusingan mengacau sehingga 300 kali agar tahap kepekatan campuran kuning telur dan gula itu sebati sehingga membentuk krim berbuih.

“Teh talua perlu dikacau 300 kali atau selama 15 minit supaya ia sebati, semakin lama dikacau semakin kental dan lebih enak,” katanya.

Adunan yang telah sebati itu tidak akan tumpah walaupun gelasnya diterbalikkan kerana campuran air tersebut telah melekat pada dinding gelas.

Seperti namanya, teh talua diperbuat daripada kuning telur ayam yang dicampur gula pasir.

Pengacau khas


SEORANG penjual memasukkan teh kepada minuman selepas ia dikacau selama 15 minit.

Sesetengah orang mengaduk teh talua menggunakan mesin khas, namun Uwid tetap memilih menggunakan pengacau khas yang diperbuat daripada besi dan mempunyai kayu di hujungnya.

Jika menggunakan mesin, mereka hanya dapat menghasilkan segelas teh talua berbanding menggunakan kaedah tradisional yang boleh menyajikan sehingga enam gelas.

Selesai mengacau, Uwid memasukkan serbuk teh ke dalam gelas besar untuk dicampurkan dengan air panas.

Dalam masa 30 saat, dia menuang teh pekat panas itu ke dalam gelas yang sudah dikacau hingga sebati itu.

Dia turut menambah dua sudu susu pekat manis untuk menambah rasa kepada minuman tersebut yang menjadi kegilaan orang ramai terutama di Sumatera.

Menariknya, teh talua yang dihasilkan menjadi empat lapisan.

Bahagian paling bawah dalam gelas berwarna putih itu merupakan susu pekat manis, lapisan kedua pula teh pekat berwarna coklat tua dan lapisan ketiga merupakan teh pekat berwarna coklat muda manakala lapisan paling atas adalah buih-buih. Bagaimanapun, bukan semua orang mampu menghasilkan teh talua menjadi empat lapisan kerana lazimnya ia mempunyai tiga lapisan.

Bagi pelanggan yang belum pernah merasainya mungkin beranggapan minuman ini sedikit hanyir.

Bagaimanapun selepas mencubanya, rasa teh pekat dicampur telur menerbitkan rasa sensasi seperti menikmati minuman coklat kelas pertama.

Apa yang pasti, kebimbangan rasa hanyir tersebut akan hilang sejurus tegukan pertama.

Teh telur sangat enak diminum ketika panas-panas.

Pada bahagian atas minuman tersebut, buih-buih putih itu mempunyai rasa kesat dan manis, di tengahnya pula rasa teh pekat manakala bahagian bawah terdapat endapan gula.

Bagi menghasilkan teh talua, hanya telur ayam dan itik saja digunakan.

Menurut seorang pelanggan yang berasal dari Kota Marapak yang dikenali sebagai Joni, dia datang ke warung tersebut untuk menghirup teh talua walaupun jarak rumahnya dari warung sejauh 10 kilometer.

“Rasanya teh talua di warung tersebut sangat berbeza berbanding tempat lain. Ia tidak terlalu manis dan tidak terlalu pahit, kena dengan cita rasa saya,” katanya.

Harga teh talua juga murah dan berpatutan. Ia dijual pada harga Rp9,000 (RM2.80) segelas.

Dengan rasanya yang enak, harga yang berpatutan serta berkhasiat, teh talua boleh menjadi minuman yang terkenal di dunia sama seperti capucino dari Itali.

kosmo

Comments