bagaimana untuk bertahan?

bagaimana untuk bertahan?

bagaimana untuk bertahan
segalanya berat menikam
lukanya tak kelihatan
tapi pedihnya tak terucapkan

beginilah hidup di pinggiran
sendirian mengheret beban
siapa peduli segala yang berdarah di hati
namun  selagi tuhan memberi kekuatan
di situ akan terus bertahan
esok menunggu matahari
cahayanya bersinar terang



Jual serai RM3 sara hidup
Wartawan Sinar Harian
30 Disember 2015


Rohana bersama anak lelakinya hanya mampu bertahan tinggal di rumah yang semakin usang.

PASIR MAS - Hasil jualan serai RM3 seberkas menjadi sumber rezeki kepada seorang ibu tunggal, Rohana Deraman, 50, bagi menyara kehidupannya bersama anak lelaki, Mohamad Hafiz Daniell Abdullah, 7, di Kampung Candan, Chetok, di sini.

Rohana berkata, walaupun jumlah itu sangat kecil, namun hanya itu yang mampu diusahakannya, selain mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM100 sebulan.

Menurutnya, bukan dia tidak mahu mencari pekerjaan lain, tetapi kesihatannya tidak mengizinkan apabila menghidap penyakit kencing manis.

“Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh melakukan kerja berat. Namun demi sesuap nasi, saya usahakan juga menanam serai di sekeliling rumah untuk dijual kepada kedai runcit berhampiran.

“Sekali jual, dapatlah RM3.. duit itu saya kumpul sehingga cukup untuk beli barangan keperluan dapur,” katanya.

Rohana berkata, lebih menyedihkan apabila bantuan JKM sudah beberapa bulan tertunggak, sekali gus menyebabkan mereka dua beranak hanya mampu mengharapkan belas ihsan saudara-mara.

Menurutnya, dia juga terpaksa berdepan dengan masalah rumahnya yang layak digelar pondok dan menunggu hari menyembah bumi.

Katanya lagi, rumah tersebut dibina sejak 1996 dan hanya dilengkapi ruang tamu serta dapur.

“Sejak kematian suami lima tahun lalu, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Bumbung rumah juga bocor. Setiap kali hujan, saya dan anak terpaksa tidur bersila kerana semua ruang dipenuhi air hujan.

“Saya harap sangat jika rumah ini dapat dibaiki atau diganti baru. Sudah beberapa kali saya cuba mendapatkan bantuan, tetapi sampai sekarang tiada sebarang jawapan," katanya.

sinar harian



‘Setin susu hanya tahan tiga hari’
Wartawan Sinar Harian
26 Disember 2015


Seng Lam (berdiri, tengah) menyampaikan sumbangan kepada Rusydi di Felda Lurah Bilut.

BENTONG - Nasib seorang remaja di Felda Lurah Bilut yang kini terlantar akibat kemalangan di Lebuhraya Karak Oktober lalu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Ahmad Rusydi Rabbani Abd Maulod, 19, bukan sahaja terlantar, malah turut tidak dapat berkomunikasi seperti biasa berikutan kemalangan yang menjejaskan otaknya.

Ibunya, Maimun Veerankutty, 52, berkata, kejadian menimpa anak ketiga dari lima beradik itu berlaku ketika Rusydi dalam perjalanan menjemput kakaknya yang belajar di Petaling Jaya.

“Anak saya kini terpaksa guna lampin pakai buang. Dia juga hanya boleh minum susu tepung khas yang dibeli di farmasi.

“Sejak kejadian itu, dia tak dapat lagi bekerja. Sebelum ini dialah yang banyak bantu keluarga terutama sekali empat lagi anak termasuk seorang OKU (orang kurang upaya) yang masih lagi belajar dan bersekolah,” katanya.

Menurut Maimun, suaminya, Abd Maulod Hussin, 58, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dengan pendapatan yang tidak cukup menampung kehidupan mereka sekeluarga termasuk perbelanjaan harian Rusydi.

“Sejak anak saya kemalangan, kos sara hidup kami meningkat tambahan pula anak saya cuma boleh minum susu tepung khas yang dijual pada harga RM71.50 satu tin.

“Satu tin susu hanya bertahan untuk tiga hari dan ini tidak termasuk kos lampin pakai buang dan kos perubatan lain,” katanya.

Sementara itu, nasib Rusydi mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong melalui Ketua MCA Cawangan Lurah Bilut, Yip Seng Lam yang hadir menyampaikan sumbangan berupa lampin pakai buang dan susu tepung khas.

Penyerahan sumbangan terbabit turut disaksikan Pengurus Felda, Roslan Daud, Ketua Umno Cawangan Lurah Bilut, Abdul Halim Latif serta barisan pimpinan penduduk setempat.

Seng Lam berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu meringankan beban Maimun sekeluarga kerana difahamkan sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang bentuk bantuan dari agensi terlibat.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan atau membantu keluarga ini boleh menghubungi Maimun menerusi talian 013-9730987.

sinar harian


Comments