21 Dec 2015

ubi gadung

Ayam penentu kadar racun ubi gadung


DIKELILINGI duri pada batang dan hidup menjalar liar pada pokok serta tanah di dalam belukar, ubi gadung bukan tumbuhan melata yang biasa.

Ini kerana, ia terkenal kerana racun yang terkandung dalam umbinya. Begitupun, jika diproses dengan betul, ubi gadung boleh dimakan dan rasanya lemak manis.

Dipercayai berasal dari India, ubi gadung sinonim dengan masyarakat di Pantai Timur khususnya pada musim tengkujuh selain turut terkenal di Kedah dan Kepulauan Borneo.

Jika diimbau pada tiga atau empat dekad ke belakang, acara memproses ubi gadung bagaikan satu pesta dan dilakukan secara berjemaah.

Turut dikenali sebagai dioscorea daemona secara saintifiknya, Rahimah Musa, 60, menceritakan momen malar segar menikmati gadung yang terkenal dengan jolokan ubi beracun.

Kongsi wanita itu, ketika zaman remajanya, sanak saudara dan jiran terdekat akan beramai-ramai mengupas kulit gadung untuk dibersihkan.

“Selepas digali oleh golongan lelaki, kami akan berkumpul di satu tempat, membersihkan dan memotong gadung secara bergotong-royong sambil bercerita.

“Ubi yang siap dipotong akan direndam dalam air garam semalaman atau lebih sebelum direndam dalam air biasa selama empat hingga enam hari bergantung kepada tahap kandungan racun yang terdapat di dalam ubi itu,” jelasnya.

Wanita kelahiran Tumpat, Kelantan itu memberitahu, orang dahulu merendam ubi gadung di dalam sungai.

Cerita ibu kepada lapan orang anak itu lagi, ubi gadung direndam di dalam sungai kerana air lebih banyak dan memudahkan kerja selain sistem perpaipan yang teruk pada waktu dahulu.

Katanya, air sungai yang mengalir juga sebenarnya lebih memudahkan proses peneutralan racun yang terdapat dalam ubi gadung.

“Lagi deras air sungai, makin bagus. Namun, ubi gadung yang diletak di dalam raga atau bungkusan daripada guni (yang boleh dimasuki air) perlu diubah kedudukannya setiap hari untuk memastikan ia sekata,” jelasnya.

Dia memberitahu, ubi gadung juga boleh mengeluarkan bau busuk jika tidak selalu diusik kerana racun atau pati yang keluar tersekat di satu kedudukan.

Popular

Ubi itu juga diproses pada musim tengkujuh kerana kuantiti air sungai dan bendang lebih banyak disebabkan hujan yang memudahkan aktiviti rendaman.

“Ubi gadung menjadi makanan paling popular ketika musim tengkujuh. Ia akan dimakan bersama kelapa parut atau dikukus dengan pulut.


TIDAK ramai anak muda tahu dan didedahkan dengan cara penyediaan ubi gadung.

“Selain faktor kuantiti air, pada musim hujan biasanya menyebabkan pokok akan menjadi layu. Jadi, ubi gadung yang sudah banyak umbinya akan diproses terus,” terangnya.

Rahimah memberitahu, racun ubi gadung akan diuji dengan memberi sedikit potongan gadung kepada ayam.

“Jika ayam tidak menyentuh atau memakan ubi gadung itu, ia bermakna masih terdapat racun dan perlu direndam lagi. Jika tidak, ia boleh dimasak,” ceritanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lata Rek, Kuala Krai baru-baru ini.

Jenis ubi gadung

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu merupakan universiti yang rancak melakukan kajian tentang ubi gadung untuk dikomersialkan.

Terdapat dua jenis ubi gadung yang biasa ditemui di kawasan Pantai Timur iaitu gadung pulut dan beras. Gadung pulut berwarna agak kekuningan dan dikatakan rasanya lebih lemak berbanding gadung beras yang berwarna putih.

Turut berpengalaman memproses ubi gadung, Ibrahim Omar, 63, memberitahu, sudah tidak ramai individu yang mahir memproses gadung kerana prosedurnya yang rumit.

Kongsi bapa kepada enam anak itu, ubi yang diambil perlu dibersihkan dengan membuang bahagian kulit yang tidak diperlukan.

“Kuantiti garam yang dimasukkan dalam air rendaman juga perlu bersesuaian. Tidak boleh terkurang atau terlebih.

“Jika terkurang garam, ia boleh berbau busuk manakala jika terlebih bahan itu, kepingan umbi yang dipotong boleh menjadi hancur dan tidak enak dimakan,” ceritanya memberitahu cara untuk mengetahui sama ada garam sudah mencukupi dengan menyentuh kepingan gadung tersebut.

Menurut Ibrahim, jika kepingan yang disentuh terasa lembut, ia bermakna garam itu sudah cukup. Sempat menitipkan pesanan dan petua, anak jati Pasir Mas itu menjelaskan, gadung yang direndam di dalam air tidak boleh diusik atau disentuh menggunakan alat lain kecuali tangan.

Menyifatkan gadung sebagai tumbuhan unik kerana tata cara penyediaannya yang berbeza berbanding keledek biasa, penduduk kampung yang menanam tumbuhan berduri itu juga tidak perlu khuatir tanaman tersebut diusik babi hutan.


Masyarakat dahulu bergotong-royong ketika memproses ubi gadung di dalam sungai.

Tempoh matang

“Biasanya, babi hutan gemar merosakkan tanaman keledek yang ditanam. Petani perlu memagar kawasan tanaman dengan rapi.

“Gadung tidak perlukan penjagaan sebegitu, mungkin binatang itu juga tahu ia berbisa,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Berkongsi cara penanaman gadung, Ibrahim menerangkan, umbi gadung perlu ditanam di dalam satu lubang yang ditimbus bersama sampah sarap seperti daun kering dan sabut kelapa.

Gadung juga lebih cepat bercambah dan membiak umbinya jika ditanam di kawasan tanah peroi atau gembur.

Berbicara tentang tempoh matang gadung, Ibrahim menjelaskan, lazimnya gadung mempunyai isi yang banyak selepas dua tahun.

“Makin lama dibiarkan di dalam tanah, semakin banyak umbi yang bercambah. Begitupun, jika terlalu lama dibiarkan, umbi tersebut akan memburuk.

“Bagaimanapun, umbi buruk tersebut akan berganti dengan yang baharu,” ceritanya memberitahu harga pasaran ubi gadung yang diproses antara RM3 hingga RM5 sekilogram.

Sementara itu, Thahirah Ismail, 31, yang pernah merasa keunikan rasa gadung sejak kanak-kanak itu menyifatkan bahawa hidangan tersebut sangat lazat dan berbeza dengan keledek biasa.

“Rasanya lemak dan manis asli. Teksturnya lembut dan seakan-akan ubi kentang. Namun tidak terlalu gebu dan agak liat.

“Bagi mereka yang belum mencuba makanan ini, jangan lepaskan peluang untuk merasa jika berpeluang.

“Rugi sekiranya tidak dicuba,” ulasnya yang gemar memakan gadung bersama pulut.

kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena