melonjakkan pertiwi di bumi asing

Rakyat Malaysia berjaya di mana-mana
Mustapa Mohamed
20 Dis 2015


Datuk Seri Mustapa Mohamed

RAKYAT Malaysia berada di seluruh penjuru dunia. Ada yang berniaga, ada yang melabur, ada yang bekerja dengan kerajaan asing, syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara atau syarikat multinasional.

Kita harus bangga dengan kejayaan rakyat Malaysia di luar negara. Ada yang berasal dari Malaysia telah menjadi ahli politik yang berjaya di negara asing. Ada yang menjadi penasihat kepada kerajaan asing. Ada yang berjaya sebagai usahawan.

Di Kenya terdapat 70 rakyat Malaysia yang berjaya dalam beberapa sektor. Ada yang melabur dan ada yang terlibat dalam bidang perkilangan dan perindustrian. Beberapa rakyat Malaysia adalah profesional yang berkhidmat dengan dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpejabat di Nairobi. Mereka mendapat pendidikan universiti di Malaysia atau universiti luar negara seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Datuk Mustapa bersama profesional Malaysia di Doha
 
Seorang usahawan Malaysia terlibat dalam industri teh. Beliau dan rakan-rakan mengusahakan tanaman teh seluas 320 hektar. Ada seorang rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warganegara Kenya menjadi usahawan dengan membuka café di sana. Seramai 11 profesional Malaysia bertugas di agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Projek Alam Sekitar (United Nations Environment Programme) dan UN-Habitat (United Nations Human Settlements Programme). Ada seorang bertugas di sebuah syarikat perhubungan awam multinasional yang terkemuka.

Apa yang menariknya tentang rakyat Malaysia ini, di mana jua mereka berada tetap dipandang tinggi. Mereka pakar dan cemerlang dalam bidang masing-masing. Kejayaan mereka melonjakkan jenama Malaysia di luar negara.

Sebuah syarikat Malaysia membina 20 kilometer jalan raya di dua wilayah di Kenya. Berdasarkan kejayaannya, syarikat ini yang menggunakan teknologi Malaysia untuk memantapkan tanah liat, telah diberi kontrak bagi membina 100 kilometer lagi jalan luar bandar di sebuah wilayah di Kenya.

Kita juga harus berbangga bahawa universiti-universiti kita berjaya menarik pelajar-pelajar asing. Seorang pegawai kanan bank multinasional yang bertanggungjawab kepada wilayah Afrika Timur mendapat ijazah pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan ijazah lanjutan di Universiti Malaya. Mereka ini membantu menaikkan imej Malaysia di luar negara.

Sesungguhnya kita bukan lagi jaguh kampung. Rakyat Malaysia bertaraf global. Ada syarikat kita yang bertaraf global. Ini telah mendatangkan faedah kepada negara dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan, malah dalam bidang ekonomi secara keseluruhannya.

Sesungguhnya, kita tidak wajar memperlekeh syarikat dan rakyat Malaysia. Kalau dulu kita dijajah kerana kurang ilmu, tetapi pada hari ini kita harus berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia dan syarikat kita di luar negara. Ini adalah satu kemajuan yang harus kita tingkatkan lagi supaya menjadi pemain global.

Untuk menjadi pemain global, kita harus ada keberanian dan sanggup mengambil risiko. Kita perlu melihat dunia untuk mencari peluang ekonomi. Ya, banyak rezeki dapat diperoleh di negara kita tetapi realitinya banyak lagi peluang yang dapat diperoleh di luar negara.

Seorang rakyat Malaysia yang belajar di universiti tempatan sekarang bekerja dengan sebuah syarikat multinasional Amerika Syarikat yang terlibat dalam sektor minyak dan gas. Sebelum bertugas di Kenya, beliau pernah bekerja di Houstoun, Nigeria dan empat buah negara lagi.

Kita juga harus menguasai bahasa Inggeris untuk menerokai pasaran antarabangsa. Semua mereka ini tidak akan berjaya di luar negara tanpa penguasaan bahasa Inggeris yang mantap.

Negara kita kecil, tetapi sumbangan kita kepada dunia cukup besar. Sesungguhnya, Malaysia Boleh!


* Datuk Seri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri WTO ke-10 di Nairobi, Kenya.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

sinar harian

Comments

Post a Comment