Zurinah Hassan SN13

Zurinah Hassan diumum Sasterawan Negara ke-13
13 Oktober 2015


PUTRAJAYA - Penulis dan penyair wanita tanah air Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena Haniruz, hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-13.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengumumkannya berkata, tokoh kelahiran Bakar Bata, Kedah itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria antaranya sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.

Pengurniaan anugerah itu akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Penganugerahan itu melayakkan Zurinah menerima wang tunai sebanyak RM60,000, Warkah Penghormatan Negara dan tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskhah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke sekolah,
perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Zurinah juga layak menerima kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk mencipta karya sastera, menerbitkan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Mula dikenali dengan sajak "Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 65, mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan puisi "Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour", 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Antara kejayaan peribadi beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara Asean (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana sejak 1971 hingga 2003.

Sebelum ini, sasterawan ulung Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenal dengan nama pena Baha Zain dipilih sebagai Sasterawan Negara ke-12. - Bernama

sinar harian

Biografi Dr Zurinbah Hassan


Datuk Dr. Zurinah Hassan (13 Jun 1949) merupakan salah seorang penyair dan tokoh Sasterawan Negara dari Malaysia. Beliau dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah, dan telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel.

Zurinah Hassan pada mulanya mengarang puisi secara sembilan, sebelum memutuskan bagi meletak jawatan untuk memenuhi keinginan berkarya sepenuh masa yang selama ini terganggu akibat beban kerja.

Zurinah Hassan berkarya dan menghayati keindahan alam dalam bentuk tulisan sejak berusia 12 tahun lagi. Zurinah turut cuba mengetengahkan persoalan sejagat dalam tulisannya termasuk puisi mengenai gejala melepak di kalangan remaja pada tahun 1990-an. Zurinah turut menghasilkan sebuah buku Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi, penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zurinah Hassan dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014. Anugerah ini membawa gelaran Datuk.

Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Ppemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu.

Zurinah Hassan mendapat pendidikan formal awal di Sekolah Rendah Melayu Tikam Batu dan Sekolah Inggeris Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah. Beliau meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Convent Sungai Petani dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar Kedah.

Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Pengajiannya dilanjutkan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 2001. Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan memperolehinya pada tahun 2008.

Karya

Keputusan (Sajak)
Sesekali Aku Menjauhkan Diri Dari Puisi.
Tanjung Dawai
Sungai Tiang
Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu
Kuala Lumpur
Pantai Remis
Bas Stand Kelang

Hasil penulisan


Sasterawan negara Usman Awang : DBP, 2006.
Salasilah : kumpulan puisi : DBP, 2005.
Menjelang pemilihan : DBP, 2004.
Memoir Zurinah Hassan : menjejak puisi : UKM, 2003.
Pujangga tidak bernama : DBP, 1994.
Oh, bulan! Oh, bintang! : Longman Malaysia, 1992.
Meneruskan perjalanan : DBP, 1987
Keberangkatan : DBP, 1985.

Pencapaian dan anugerah


Anugerah Tokoh Sasterawan Negara 2015
Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Award) 2004
Hadiah Sastera 1984
Hadiah Kategori Buku
Pujangga Tidak Bernama-Hadiah Sastera Perdana (1994/1995)
Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Buku Perpustakaan Negara (2002/2004)
Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi - Hadiah Sastera Perdana (2002/203)
Hadiah-hadiah untuk karya-karya puisi, cerpen (eceran) Hadiah sastera Perdana
Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri 1984
Hadiah Utama Anugerah Puisi Putera, 1984

Terjemahan ke bahasa Rusia


Zurinah Hassan. Hidup dari jendela kereta api; Perkahwinan – Kata seorang perempuan. Diterjemahkan oleh Marina Eliseeva, Victor Pogadaev, Maria Boldireva. - Sumur di Ladang. Puisi Melayu Tradisional dan Moden. Penyunting B.B. Parnickel. Moscow: Persatuan Nusantara, 1996, hlm. 102-103.
Zurinah Hassan. Kota Melaka; Mencari Ruang; Kuala Lumpur; Menghadap ke pelabuhan. Diterjemahkan oleh Andrei Orlov. – Majalah Sastera Pereplet Rusia, 30 Mac 2004.
Zurinah Hassan. Catatan untuk Suami; Apabila kata-kata menjadi sebuah dosa. - Bertahta Di Atasnya. Puisi Penyair Malaysia dan Indonesia Dalam Terjemahan Victor Pogadaev. Moscow: Klyuch-C, 2009, hlm. 82-83.
Zurinah Hassan. Catatan untuk Suami; Apabila kata-kata menjadi sebuah dosa. Diterjamahkan oleh Victor Pogadaev. – Puisi Perempuan.
Zurinah Hassan. Menghadap Pelabuhan. Antologi dua bahasa. Diterjamahkan oleh Victor Pogadaev. Kuala Lumpur: ITBM, 2013.

wiki


Comments