Kekal Format Baru


Keputusan laksana format baharu kertas BI UPSR kekal
29 Sept 2015


PELABUHAN KLANG, Selasa – Kementerian Pendidikan akan meneruskan keputusan untuk pecahkan kertas Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada pemahaman dan penulisan mulai tahun depan disebalik gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar menangguhkan pelaksanaannya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata jabatan telah memaklumkan orang ramai sejak 2010 bahawa perubahan akan dilakukan terhadap format kertas peperiksaan Bahasa Inggeris UPSR pada 2016.

“Kita bagi tahu sejak 2010 lagi, perubahan akan berlaku 2016 (untuk format peperiksaan Bahasa Inggeris UPSR),” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘World’s Largest Lesson’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Dr Khair mengulas kenyataan Presiden NUTP Hashim Adnan bahawa keputusan untuk kertas Bahasa Inggeris UPSR bagi pemahaman dan penulisan dipecahkan kepada dua gred bermula tahun depan patut ditangguhkan kerana tempoh sebelum pelaksanaannya hanya setahun dan terlalu singkat bagi pelajar dan guru untuk membuat penyesuaian terhadap sistem baharu itu.

Beliau dilaporkan berkata tempoh yang sesuai adalah dua tahun bagi pelaksanaan format baharu itu. Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datin Nawal Salleh berkata, sebelum ini kertas Bahasa Inggeris (BI) bagi pemahaman dan penulisan digabungkan sebagai satu gred dan hanya kertas Bahasa Melayu (BM) dipecahkan kepada dua gred.

“Langkah untuk mengasingkan gred bagi pemahaman dan penulis kertas BI adalah selaras dengan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” katanya.

Dr Khair berkata peraturan baharu itu tidak akan menjejaskan Indeks Petunjuk Prestasi para guru kerana ia diukur berdasarkan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukannya prestasi pelajar dalam UPSR.

Mengulas program ‘World’s Largest Lesson’ di SK Pelabuhan Klang, Dr Khair berkata inisiatif itu untuk menonjolkan pentingnya penduduk global mengamalkan kehidupan lestari dan berusaha bersama-sama untuk mencapai Matlamat Global.

Inisiatif itu, katanya dilancarkan sebagai sokongan terhadap Matlamat Global bagi Pembangunan Lestari yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pembangunan Lestari di New York pada 25 September.

Pembelajaran yang dikendalikan oleh Dr Khair untuk pelajar SK Pelabuhan Klang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi ‘Frog Connected Classrooms’, membolehkan pelajar di 10,000 sekolah di Malaysia serta kelas di seluruh dunia akses kepada pelajaran itu mengikut waktu sebenar daripada kemudahan dalam talian sekolah masing-masing yang dijayakan menerusi projek 1BestariNet.

Sementara itu, Pengarah Program Yayasan YTL, Datin Kathleen Chew, berkata program ‘World’s Largest Lesson’ dijalankan bersempena dengan pelancaran ‘Frog Classroom’ di SK Pelabuhan Klang, inisiatif Yayasan YTL dengan kerjasama YTL Communications dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu.

“Frog Classroom membolehkan pelajar akses kepada maklumat di luar kawasan kelas seperti penyumberan maklumat daripada internet dan mengikuti webseminar secara dalam talian yang membolehkan mereka belajar daripada pakar-pakar tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya. – Bernama

ismaweb



UPSR guna format baharu tahun depan
Kertas peperiksaan Bahasa Inggeris jadi dua bahagian
MUZDALIFAH MUSTAPHA
29 September 2015



NAWAL SALLEH menunjukkan kenyataan media mengenai format baharu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang melibatkan kertas Bahasa Inggeris untuk pemahaman dan penulisan dipecahkan menjadi dua gred berasingan di Putrajaya, semalam. BERNAMA

PUTRAJAYA 28 Sept. - Mulai tahun depan, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapai­an Sekolah Rendah (UPSR) akan dipecahkan kepada bahagian Pemahaman dan Penulisan yang sekali gus menjadikan mata pelajaran itu mempunyai dua gred berasingan.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datin Nawal Salleh berkata, perkara itu merupakan format baharu bagi peperiksaan UPSR yang diperkenalkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Beliau menjelaskan, ini bermakna pada tahun depan, calon UPSR bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) akan memiliki enam hingga lapan gred dalam keputusan UPSR berban­ding sekarang lima hingga tujuh gred atau bergantung pada jumlah mata pelajaran yang diambil.

Beliau berkata, turut diubah adalah kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sains yang telah dipe­cahkan kepada dua bahagian iaitu kertas satu (objektif) dan kertas dua (subjektif), bagaimanapun gred bagi kertas itu masih kekal satu.

“Sejajar dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksa­naan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), di samping membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Asas Tinggi (KBAT), maka format peperiksaan UPSR 2016 yang baharu dan ditambah baik ini akan digunakan.

“Begitupun, UPSR masih berbentuk ujian bertulis 100 peratus peperiksaan berpusat seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Nawal memberitahu, perubahan format baharu bagi kertas peperiksaan Bahasa Inggeris itu kini menjadikan semua kertas mata pelajaran bahasa di peringkat sekolah rendah mempunyai dua kertas (Pemahaman dan Penulisan) dan gred berasingan.

Katanya, sebelum ini hanya Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil yang memerlukan calon UPSR menduduki dua kertas (Pemahaman dan Penulisan).

Selain itu, beliau berkata, format baharu UPSR telah menambah ujian subjektif bagi kertas Pemahaman untuk semua mata pelajaran bahasa berbanding hanya ujian objektif sebelum ini.

Turut dilakukan pembaharuan, katanya, ialah pada soalan objektif iaitu bahagian aneka pilihan akan dikurangkan sementara bahagian soalan pelbagai bentuk akan ditingkatkan dan ditambah dengan soalan respon terhad (soalan pendek).

“Format baharu itu bertujuan mentaksir pencapaian akademik murid seluruh negara dengan mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, mana-mana pihak yang ingin melihat dan meneliti format serta contoh instrumen UPSR mulai 2016 boleh melayari laman sesawang: www.lp.edu.my mulai Isnin.

utusan online

Comments