zapin

Peruntuk RM2j setahun 
pelihara tarian zapin
MOHAMAD FAIZAL HASHIM
28 Julai 2015 



ZULKURNAIN KAMISAN menandatangani plak bagi merasmikan Program Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin di AEON Tebrau City, Johor Bahru, baru-baru ini. UTUSAN/MOHD. HAZROL ZAINAL

JOHOR BAHRU 27 Julai – Tarian zapin yang cukup sinonim dengan negeri ini sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan negeri bagi memastikan seni tersebut terus kekal untuk tatapan generasi muda hingga kini.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta setahun bagi program pembangunan tarian zapin untuk memperkasakan seni yang menjadi identiti negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, peruntukan tersebut meliputi program latihan secara berterusan dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor serta persatuan lain yang berkaitan bagi memastikan warisan negara itu terus terpelihara.

“Seni zapin cukup terkenal di seluruh negara dan Johor merupakan negeri yang memberikan penekanan terhadap kesenian itu. Malah, kita mempunyai seramai 250 guru di negeri ini yang terlibat dalam program pembangunan zapin melibatkan 50 buah sekolah rendah dan menengah.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus berusaha bagi memastikan kesenian yang wujud sejak lebih 20 tahun lalu ini kekal dipelihara bagi memastikan generasi akan datang dapat mempelajari sesuatu tentang seni warisan tersebut,” katanya selepas merasmikan Siri Jelajah Merdeka Aeon Akar Kita Zapin 2015 Peringkat Zon Selatan di Aeon Mall Tebrau City, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi merangkap Pengarah Projek Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2015/2016, Noraniza Idris.

Mengulas tentang siri jelajah berkenaan, Zulkurnain berkata, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran program yang mengetengahkan keistimewaan tarian zapin ke seluruh negara.

“Siri jelajah ini bermula dari Taiping dan Seri Manjung, Perak dan diikuti di Rawang, Selangor sebelum dianjurkan di sini. Program ini perlu diteruskan kerana memberi impak yang cukup besar kepada masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu, Noraniza berkata, penganjuran siri jelajah yang diadakan sejak Mei lalu mendapat reaksi positif dari segi penyertaan dan sambutan penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut.

“Kita memilih tarian zapin kerana seni ini sangat meluas dengan setiap negeri mempunyai kesenian tersendiri selain ingin mendekati jiwa generasi muda dengan langkah tari yang pantas dan agresif.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan penyertaan 20,000 peserta mengambil bahagian dalam siri jelajah ini yang berakhir pada 31 Ogos ini,” katanya.

utusan online


Yayasan Warisan Johor kenal pasti 15 jenis zapin

9 Mac 2013

TANGKAK — Johor melalui Yayasan Warisan Johor dalam kajiannya selama 15 tahun mengenal pasti 15 jenis tarian zapin untuk dikembangkan sebagai usaha menyemarakkan kegiatan seni budaya di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata bagi mencapai hasrat tersebut yayasan mengambil pendekatan melatih guru tarian zapin bagi melahirkan kumpulan tarian zapin berkualiti tinggi.

"Melalui pendekatan ini, kita telah berjaya melahirkan kumpulan tarian zapin yang mempunyai kualiti tersendiri,” katanya ketika merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya “Sentuhan Rakyat” di Kompleks Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati di sini hari ini.

Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri akan menjadi tempang jika tumpuan hanya diberikan kepada usaha membangun ekonomi atau yang berbentuk kebendaaan semata-mata.

Abdul Ghani berkata selain Zapin Johor juga berjaya menyemarakkan kumpulan ghazal dan lagu keroncong yang disiarkan melalui siaran radio Best 104 setiap hari.

"Kita mengharapkan agar penekanan akan terus diberikan dalam pembangunan bidang kesenian dan kebudayaan sebagai jati diri masyarakat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Serom turut bersama masyarakat setempat bergotong-royong mengecat balai raya kampung tersebut. — BERNAMA

kosmo online



Pertandingan zapin Pontian meriah
01 Mei 2015 12:07 AM


Mukim Sungai Pinggan muncul johan kategori jabatan kerajaan pertandingan zapin peringkat daerah Pontian yang diadakan di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim, di Pontian, Johor, baru-baru ini. utusan/Muhammad Zikri

PONTIAN 30 April – Pertandingan zapin anjuran Yayasan Warisan Jo­hor (YWJ) yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hujung minggu lalu, mendapat sam­butan hangat yang menyaksikan penyertaan 25 kumpulan tarian di daerah ini.

Pegawai Daerah Pontian, Ka­ma­ruddin Abdullah berkata, penganjuran acara itu dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Majlis Kebudayaan Daerah itu berjaya menarik perhatian kumpulan yang mewakili mukim, jabatan kerajaan malah peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Masyarakat juga berperanan memelihara dan menjaga warisan seni budaya termasuk tarian zapin dan pertandingan ini direalisasikan dengan tujuan mencungkil bakat baharu serta kumpulan zapin yang mampu diketengahkan ke peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Pontian tidak ketinggalan de­ngan dua tarian zapin yang dikenali ramai iaitu zapin Parit Mastar dan zapin Seri Bunian, seperti mana popularnya zapin Pekajang, Tenglu dan Koris,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Zaid Abd. Rahman. Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Seni Budaya YWJ, Syarifah Noorfaiza Syed Rusli dan Yang DiPertua Majlis Daerah Pontian, Suhairi Hashim.

Pertandingan menyaksikan Hos­pital Pontian mewakili daerah untuk ke peringkat negeri selepas menjuarai kategori Jabatan Kerajaan manakala Mukim Sungai Pinggan diumumkan sebagai juara ka­tegori Mukim.

Kategori Sekolah Menengah dimenangi Maktab Rendah Sains Mara Pontian manakala kategori Sekolah Rendah diungguli Sekolah Kebangsaan Serkat sementara ka­tegori Terbuka menjadi milik Kumpulan Sri Warna.

Menurut Kamaruddin, tradisi zapin wajib dipelihara menerusi latihan dan asuhan di peringkat sekolah rendah lagi selain sokongan jurulatih dan penggiat zapin.

“Dengan cara ini sahaja, tarian zapin yang menjadi ikon kepada Johor terus subur dan mempunyai tenaga pelapis untuk mempertahankan khazanah ini sepanjang zaman,” katanya.

utusanonline


Wadah menyebarkan Islam
Oleh IZYAN LIYANA MOHD.DARIF



SETIAP malam selesai pak imam membaca doa, para jemaah lelaki tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya mereka meluangkan masa bersantai

seketika di perkarangan halaman masjid. Usai pak imam yang mengetuai solat sebentar duduk di suatu sudut sambil memegang gambus sesetengah jemaah lelaki mula mengambil tempat di hadapan.

Pak imam mula memetik gambus dan berqasidah dengan seni kata yang menyelitkan unsur-unsur keagamaan, budi pekerti dan puji-pujian kepada Tuhan, sementara golongan lelaki yang berdiri tadi bergerak mengikut alunan muzik.

"Inilah fenomena tarian zapin pada kurun ke-14 yang lalu. Ia kerap dimainkan selesai solat Isyak dan merupakan antara agenda hiburan yang popular bagi mengisi waktu malam yang terluang. Dahulu orang tak kata menari zapin, tetapi main zapin.

"Selain itu aktiviti main zapin ini langsung tidak melibatkan golongan wanita kerana tarian ini berasal daripada tradisi kesenian masyarakat Arab dari Yaman. Seperti yang kita tahu di sesetengah negara di Asia Barat wanita tidak mempunyai kebebasan seperti orang lelaki," jelas Pensyarah Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd. Seth Hamzah mengenai pengaruh zapin yang mula meluas di Tanah Melayu menerusi kedatangan mubaligh dan saudagar Arab.


SASHA turut berbangga apabila tarian zapin turut popular di kalangan kaum bukan Melayu.

Secara am, zapin bermaksud pergerakan dan langkah kaki dengan posisi kaki tertutup serta merendahkan kaki sedikit. Kebanyakan posisi badan akan bergerak bak ombak.

Bagi posisi tangan pula si penari mengamalkan gerak tari yang bermotifkan pekerjaan yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Antaranya motif mendayung, memetik bunga atau tangan kanan mahu pun kiri berada di bahu.

Di Johor, zapin atau dalam bahasa Arab al-zalfin atau zafana terdapat dalam dua bentuk zapin yang mempraktikkan gerak tari tersendiri. Ia ialah zapin Melayu dan zapin Arab.

"Sebelum ini mudah saja untuk menentukan antara tarian zapin Melayu atau zapin Arab. Umumnya, tarian zapin Melayu ditarikan oleh orang Melayu manakala orang Arab menari zapin Arab. Tapi kini, kebanyakan masyarakat tempatan sudah beralih dan serius menari zapin Melayu berbanding zapin Arab.

"Zapin Melayu mempamerkan ragam yang lebih lembut berbanding zapin Arab kerana penari zapin Arab menari dengan bukaan, langkah yang lebih luas, tinggi dan gagah," tutur Mohd. Seth bahawa golongan wanita mula terlibat dalam tarian zapin lewat 1960-an.

GERAK tari zapin Melayu lebih lembut berbanding tarian zapin Arab.

Tambah Mohd. Seth, tarian zapin kerap dijadikan wadah menyebarkan Islam menerusi lagu-lagu berunsurkan keagamaan. Tarian itu juga terdiri daripada bermacam-macam jenis. Jenis-jenis zapin itu pula diberi sempena nama kampung atau daerah asal pembentukan zapin.

Ragam tari

Penjelasan Mohd. Seth itu pernah dialami sendiri oleh pengacara program Dansa di TV3 dan ntv7 Sasha Bashir, 29. Sasha berpeluang menemubual pencipta zapin Pulau yang hanya dikenali sebagai Pak Su Man. Memetik pengalaman Sasha dalam bukunya yang berjudul, Dansa: A Dance Journey, zapin jenis zapin Pulau diwujudkan berdasarkan hasil pemerhatian si pencipta itu terhadap gelagat dan gaya hidup penduduk pulau di daerah Mersing, Johor.

"Inilah keistimewaan zapin Melayu kerana tidak pernah lekang menyajikan bermacam-macam jenis tarian zapin yang mempunyai ragam tari yang unik dan menarik. Lazimnya, nama bagi setiap jenis tarian zapin diambil sempena nama kampung mahupun daerah yang menjadi saksi kepada pembentukan sesebuah tarian zapin ," tutur graduan Ijazah (kepujian) Seni Persembahan dari West Australian Academy of Performing Arts.

Bicara Sasha, Pak Su Man mendapat ilham mencipta ragam zapin Pulau menerusi kesopanan tingkah laku manusia secara semula jadi. Salah satunya ialah situasi dua orang yang berjalan dan berselisih di lorong yang sempit. Bagi memudahkan keadaan, salah seorang akan memberi laluan kepada seorang lagi. Tindakan berkenaan telah diterapkan dalam zapin Pulau dan dikenali sebagai ragam serong.

"Tarikan zapin Pulau terletak pada elemen gerak tarinya. Semua penari akan berpasang-pasangan dan berselang-seli bertukar arah.


SIBAI baldu antara aksesori yang menghiasi busana penari zapin.

Corak tariannya lebih kepada motif bunga," ujar Sasha kepada Kosmo! yang gembira apabila tarian zapin mula menular di kalangan orang bukan Melayu.

Sementara itu, pelajar Diploma Tari Aswara, Kimberly Yap Choy Hoong menyifatkan proses pembelajaran tarian zapin satu pengalaman yang menyeronokkan. Jika sebelum ini dia hanya mengenali zapin menerusi tontonan di layar televisyen tetapi kini dia berpeluang mempelajari selok-belok tarian zapin.

"Pada peringkat awal saya mengalami kesukaran untuk menghafal ragam (bunga tari) tarian zapin yang terlalu banyak dan berbeza mengikut jenis zapin. Apatah lagi dalam tempoh berkenaan tubuh badan saya masih kaku dan kekok untuk menari dengan iringan muzik yang didendangkan.


PENARI lelaki memakai baju Melayu dengan potongan leher teluk belanga.

"Jadi, bagi membuktikan kaum Cina juga berkebolehan mendalami tarian tradisional Melayu maka setiap pagi sebelum ke kuliah saya memperuntukkan 30 minit untuk menghafal alunan muzik zapin di dalam hati," terang Kimberly yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Ternyata kaedah yang dipraktikkan itu membuahkan hasil. Dalam tempoh dua minggu saja muzik zapin sudah sebati dengan dirinya. Secara tidak langsung ia memudahkan tugasan Kimberly untuk menari mengikut alunan muzik zapin. Menariknya, kini Kimberly berjaya melunaskan tarian zapin mengikut tempo yang betul walaupun tanpa iringan muzik.

Jelas Kimberly, 19, meskipun tarian zapin sudah bertapak di Malaysia sejak kurun ke-14, namun dia mendapati zapin antara tarian klasik Melayu yang relevan dipersembahkan pada zaman ini. Kombinasi ragam lama dan baru serta suntikan muzik zapin yang lebih segar menjadikan tarian zapin semakin diminati setiap lapisan umur dan masyarakat.

Tambahnya: "Saya kagum acap kali melihat kumpulan penari cilik yang mampu menguasai tarian zapin dengan baik. Kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka membuktikan bahawa tarian tradisional bukanlah sukar untuk dipelajari. Cuma ia perlu disusuli dengan usaha, minat dan sesi latihan yang sistematik.

Busana zapin

Bagi penuntut jurusan Diploma Tari Aswara, Nur Azreen Nizar, 19, tarian zapin kurang menekankan aspek kelembutan pada jari-jemarinya seperti yang diaplikasi pada tarian klasik lain.


GOLONGAN wanita mula aktif menyertai tarian zapin sejak empat dekad lalu.

Terang anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, tarian zapin mengutamakan pergerakan kaki yang lincah seperti orang bersilat.

"Contohnya, tarian zapin Parit Mastar. Zapin jenis ini terletak sepenuhnya pada kuak kaki yang bertindak mengerakkan tubuh badan. Walaupun sentiasa bergerak tetapi kita perlu memastikan kaki tidak bersilang," ujar Azreen mengenai zapin Parit Mastar yang diilhamkan daripada gerak-geri penoreh getah.

Menyentuh tentang busana tarian zapin, koreografer Istana Budaya, Khalid Mohd. Nor, 34, memberitahu sungguhpun zapin mempunyai pengaruh Arab, tetapi dari segi pakaian para penari masih tampil anggun dalam persalinan pakaian tradisional Melayu.

"Bagi penari lelaki mereka lengkap berkain samping dan bersongkok tinggi. Kadangkala bagi menyerlahkan keterampilan sewaktu membuat persembahan songkok mereka akan dihiasi dengan hiasan kerongsang.

"Sementara itu, penari wanita pula kebiasaannya baju kurung dan kain sarung atau kain pelekat yang menjadi pilihan. Tidak kurang juga ada yang memakai selendang di kepala atau bunga disematkan pada sanggul.

kosmo online



Comments

Post a Comment