11 Aug 2015

warisan kebangsaan 2015




Iktiraf 112 Warisan Kebangsaan 2015
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad



Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengisytiharkan 112 butiran sebagai Warisan Kebangsaan, hari ini.

Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Auditorium Jabatan Muzium Negara, di sini.

Butiran warisan itu meliputi sembilan tapak warisan termasuk bangunan masjid, 98 objek iaitu objek ketara dan tidak ketara seperti syiling lama dan Pantun Melayu serta lima tokoh orang hidup..

Menurut Mohamed Nazri, pengisytiharan itu adalah pengiktirafan tertinggi negara terhadap tapak dan objek yang diangkat sebagai Warisan Kebangsaan termasuk orang hidup yang penting dalam pensejarahan negara.

Selaras pelaksanaan Seksyen 67 Akta Warisan Kebangsaan 2005 ia memberi peruntukan kepada menteri untuk mengisytiharkan status berkenaan.

"Pewartaan mana-mana tapak warisan bukan bermakna (kerajaan) ambil milikan.Yang diwartakan warisan kekal dalam milikan pemunya malah masih boleh dipindah milik dan sebagainya sertatidak menjejaskan nilai komersialnya," katanya dalam ucapan perasmian.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Ong Hong Peng dan Pesuruhjaya Warisan Kebangsaan, Dr Zainah Ibrahim.

Mohamed Nazri berkata, sehubungan itu penjagaan dan pemuliharaan tapak warisan amat penting kerana ia tidak dapat diganti.

"Pemuliharaan tapak warisan secara kreatif dapat menjana pendapatan pemiliknya melalui pelancongan," katanya.

Beliau turut menandatangani surat watikah senarai Warisan Kebangsaan dan perletakkan plak di bangunan Muzium Negara.

Orang ramai boleh menyaksikan pameran butiran Warisan Kebangsaan ini yang diadakan mulai hari ini hingga hujung bulan ini.

Sejak Jabatan Warisan Negara ditubuhkan pada 2006 sebanyak 496 butiran sudah diangkat sebagai warisan kebangsaan kini.


metro


Baju kurung cekak musang antara 112 warisan kebangsaan
11 Ogos 2015

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengisytiharkan 112 warisan kebangsaan tambahan yang terdiri daripada sembilan tapak, 98 objek warisan serta lima tokoh hidup.

Antara warisan kebangsaan berkenaan ialah Kota Johor Lama, Johor; Baju kurung cekak musang, baju kurung teluk belanga, busana Cik Siti Wan Kembang, pistol buluh, lastik, tarian Jikey, adat perkahwinan Melayu, nasi minyak dan kuih kelupis.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, perisytiharan itu merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap tapak, objek dan tokoh yang masih hidup sebagai satu warisan kebangsaan.

Katanya, kelima-lima tokoh yang diisytiharkan sebagai warisan kebangsaan ialah pemain muzik sape, Mathew Ngau Jau; Maznah Anak Unyan (anyaman kraftangan Orang Asli), Romli Mahamud (Awang Batil), Datuk Md. Aripin Said (lagu-lagu rakyat) dan Saad Taib untuk penggiat Mek Mulung.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan sesekali melupakan jasa dan sumbangan tokoh-tokoh warisan tersebut.

“Teruslah menyumbang untuk negara dan usaha sebegini dapat memelihara warisan negara,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan 2015 di Muzium Negara di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

utusan




Marilah datang beramai-ramai ke Pameran Warisan Kebangsaan yang akan diadakan mulai 11 - 31 Ogos 2015 di Muzium Negara. Lebih 100 butiran warisan yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan akan dipamerkan bersempena dengan Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan 2015. Jangan lepaskan peluang ini dan marilah sama-sama kita memelihara dan memulihara warisan Negara.
"Patah Tak Tumbuh Hilang Tak Berganti"





1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena