Memori Tanjung Pagar



Tanjong Pagar warisan terakhir Tanah Melayu

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
30 Mei 2010


SELEPAS Julai 2011 suasana malam di stesen keretapi Tanjong Pagar akan sepi.

MEMINDAHKAN stesen kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tanjong Pagar ke Woodlands di Singapura bukanlah seperti memindahkan kerusi dan meja. Stesen Tanjong Pagar mempunyai sentimen, nostalgia dan lambang hubungan sejarah antara Malaysia dan Singapura.

Mulai Julai 2011 stesen Tanjong Pagar tidak beroperasi lagi. Perjalanan keretapi dari negara ini akan berakhir di Woodlands yang jaraknya lebih kurang 30 minit perjalanan dengan keretapi ke Tanjong Pagar. Perbincangan dan kata putus antara pemimpin negara ini dan Singapura telah dibuat baru-baru ini.

Banyak yang tersirat daripada yang tersurat, antaranya akan berakhirlah tinggalan Tanah Melayu di bumi Temasik itu. Banyak menganggap pemindahan ini sebagai "menang-menang" tetapi yang penting, selepas ini hubungan kedua-dua negara lebih akrab sekalipun tiada lagi warisan Tanah Melayu di Singapura.

Isu pemindahan stesen Tanjong Pagar ini bukan baru. Misalnya tahun 1998 tercetus ketegangan antara kedua-dua negara kerana Singapura mahu memindahkan stesen itu ke Woodlands. Bagaimanapun Malaysia berjaya menghalangnya kerana ia melibatkan banyak perkara maruah negara.

Sebenarnya stesen Tanjong Pagar ada signifikan dalam hubungan rakyat dengan rakyat di kedua-dua negara. Ini kerana perjalanan menyeberangi Selat Tebrau adalah penuh simbolik lagi nostalgik.

Ia adalah ikatan satu zaman di mana kedua-dua negara itu asalnya satu tetapi kemudian berpecah dua. Semua ini diikat apabila ada sepasang landasan melunjur membelah Singapura dari utara hingga ke selatan. Stesen yang mempunyai senibina di Tanjong Pagar itu melampaui sebuah stesen keretapi.

Walaupun kini bangunan stesen Tanjong Pagar dikelilingi bangunan pencakar langit dengan senibina moden, ia tetap membawa identiti Tanah Melayu. Misalnya mural pada kedua-dua dinding yang tinggi pada ruang menunggu menggambarkan sosioekonomi di Tanah Melayu ketika itu. Lakaran aktiviti perlombongan timah, sawah padi, penanaman getah dan juga tongkang China yang sedang berlabuh mengingatkan asal usul Singapura yang berada dalam Tanah Melayu suatu waktu dulu.

Stesen kereta api Tanjong Pagar adalah mercu tanda sejarah sebuah negara bernama Tanah Melayu. Ketika Singapura menjadi nadi negara ini stesen ini melengkapkan "kewujudan" Tanah Melayu dengan adanya pusat perfileman Melayu di Jalan Ampas, Universiti Malaya (di Singapura) dan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodlands.

Kini Universiti Malaya berpindah ke Kuala Lumpur, pusat perfileman juga ke Kuala Lumpur. Ini termasuk juga sebuah organisasi persuratkhabaran Melayu, Utusan Melayu yang berpindah ke Kuala Lumpur pada 1958. Maka stesen Tanjong Pagar menjadi warisan negara yang terakhir "berpindah" menghampiri Selat Tebrau. Tapak stesen yang berkeluasan 32 hektar milik KTMB akan dibangunkan oleh syarikat kedua-dua negara.

Selepas Julai 2011, Tanjong Pagar akan menjadi wajah yang lain. Ini kerana dalam perancangan kedua-dua negara, akan dibina sistem transit pantas yang menghubungkan Woodlands dengan Johor Bahru. Pengangkutan menggunakan kereta api pada masa akan datang akan berakhir di Johor Bahru.

Pada 1998, kerajaan membuat keputusan untuk kekal di Tanjong Pagar walaupun didesak oleh Singapura berpindah ke Woodlands. Tetapi kini pemindahan atau "penghapusan" Tanjong Pagar dilihat sebagai mencabut duri dalam daging yang sering menyakitkan Malaysia.

Berdekad-dekad

Secara positifnya, memindahkan stesen keretapi dari Tanjong Pagar menyelesaikan banyak isu yang tertunggak sejak berdekad-dekad dulu. Selepas laluan keretapi negara ini berakhir di Johor Bahru, tidak ada apa-apa lagi yang menghubungkan negara ini dengan Singapura. Tanjong Pagar yang terletak di Keppel Road dibina pada 1932 dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.

Stesen Tanjong Pagar ini dibina untuk menggantikan stesen kereta api Tank Road yang dibina tahun 1903 dan merupakan terminal keretapi pertama di Singapura. Keunikan Tanjong Pagar adalah hentian terakhir jaringan pengangkutan keretapi di hujung benua Asia. Walaupun berada di tengah-tengah negara lain, stesen Tanjong Pagar adalah pintu masuk ke negara ini bagi mereka yang memilih menggunakan perkhidmatan kereta api.

Stesen ini juga menjadi kelangsungan pada sejarah awal perkhidmatan kereta api ke Singapura. Ia bermula apabila Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar menerima permintaan British untuk membina laluan kereta api dan pembinaannya dirasmikan pada 1909. Apabila berakhirnya riwayat Tanjong Pagar sebagai sebuah stesen, ini bermakna Tanjong Pagar juga menjadi penutup perkhidmatan kereta api di Singapura.

Pembukaan Tambak Johor pada 28 Jun 1924 menjadi pemangkin kepada perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Singapura dengan negara ini. Stesen penuh sejarah ini menjadi suatu yang sering mengusik "keamanan dan persefahaman" Malaysia dan Singapura. Akhirnya terusir juga sebuah stesen kereta api milik Malaysia yang membelah republik itu. Semoga Singapura tidak memadamkan sejarah stesen Tanjong Pagar seperti terpadamnya sejarah Temasik.

utusanonlne

Memori sebuah stesen bersejarah

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
rencana@kosmo.com.my



SUASANA dan pemandangan di sekitar stesen Keretapi Tanjong Pagar pada pagi itu agak luar biasa. Lazimnya, sebaik penumpang kereta api dari Kuala Lumpur yang bertolak pada waktu malam sebelumnya tiba di stesen tersebut, kawasan itu tenang seketika selepas orang ramai menuju ke destinasi masing-masing.

Namun, pada pagi itu hampir kebanyakan meja makan di kedua-dua buah restoran di stesen tersebut dipenuhi pelanggan yang menikmati sarapan pagi sambil berbual kosong bersama teman-teman.

Bahkan, stesen berusia 79 tahun yang menghubungkan dua buah negara jiran Malaysia dengan Singapura itu dibanjiri oleh pihak media, orang ramai dan para pelancong yang mahu mengabadikan setiap inci sudut yang ada di stesen tersebut.

Baik pelancong mahupun penduduk tempatan Kota Singa, mereka tidak lekang dengan kamera masing-masing. Senario itu menggambarkan seolah-olah stesen Tanjong Pagar akan ‘meninggalkan’ mereka.

Kesayuan wajah stesen itu dapat dirasai apabila kedai yang menjual cenderamata di pintu masuk negara itu juga kelihatan kosong.

Ketika membuat tinjauan di stesen tersebut dua minggu lalu, penulis dapat menyelami kesedihan yang dirasai oleh rakyat kedua-dua negara apabila tren terakhir meninggalkan stesen Keretapi Tanjong Pagar malam ini pukul 10.30. Stesen Keretapi Tanjong Pagar bakal dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) mulai esok.

Keputusan memindahkan stesen Tanjung Pagar itu dicapai pada pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, di Hotel Shangri-La Hotel pada Mei 2010.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte. Ltd.

Selain tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands tiga bidang tanah tambahan di Bukit Timah yang kesemuanya berjumlah 271 hektar dan membabitkan landasan sepanjang 20 hingga 30 kilometer (km) akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan.

Antara individu yang paling terkesan dengan penutupan stesen ini adalah Ketua Stesen Tanjong Pagar, Mohd. Ayoub Embong, 49. Sudah enam tahun Mohd. Ayoub berkhidmat di stesen yang dulunya dipanggil Stesen Keretapi Keppel Road.


MOHD. AYOUB mengimbas kad pekerjanya sebelum dia meninggalkan stesen penuh nostalgia ini buat selama-lamanya.

Lelaki berkaca mata yang berdiri di tingkat tiga bangunan stesen tersebut sambil melemparkan pandangan ke arah kaunter tiket berkata :

“Selepas 80 tahun, bangunan ini tak berpenghuni lagi. Stesen ini adalah kebanggaan Malaysia di Singapura. Kami telah sebati dengan aura negara ini di Kota Singa.

Emosi terpancar

“Kita rasa rugi tapi mungkin ada keuntungannya, ada yang boleh terima (keputusan) tapi ada juga yang tak dapat terima, saya sendiri tak dapat menelah perasaan saya pada hari-hari terakhir nanti.”

Beliau termangu di kala diajak bercerita tentang memori berkhidmat di sebuah stesen yang penuh sejarah. Emosinya jelas terpancar pada wajah dan suaranya.

“Dalam tempoh enam bulan ini orang yang datang mahu membeli tiket bertali arus. Jika selama ini, ada yang tak ada hati nak naik kereta api, tapi pada hari-hari terakhir, mereka mahukan pengalaman menaiki kereta api,” ujar Mohd. Ayoub dengan lontaran wajah penuh kesyahduan.

Petugas kaunter juga lelah melayani barisan pelanggan yang beratur panjang sejak pukul 8 pagi setiap hari tanpa henti.

Hubungan keluarga

Ketika melewati lot kedai makanan dalam bangunan stesen, kami terdengar suara tangisan seorang wanita ketika diwawancara krew televisyen.

“Dengar tak, ada orang menangis tadi?,” kata seorang peniaga, Noraini Said Paiman, 53. Dia yang terkenal dengan menu signaturnya soto baseball memberitahu, Stesen Tanjong Pagar sangat erat dengan keluarganya.

“Sejak kecil, ayah bawa saya ke sini hinggalah saya sendiri buka kedai sejak lapan tahun lalu dan beroperasi selama 24 jam,” katanya.

Kerancakan perbualan tergendala tatkala diajukan pertanyaan tentang hala tujunya selepas ini. “Memang dah dapat tempat tapi rentaknya tidak sama seperti di sini,” ujarnya.

Sambil membancuh teh tarik, Rosnah Mamat, 45, berkata, dia seperti tidak percaya deruan bunyi semboyan kereta api Tanjong Pagar akan berakhir.

“Bayangkan kedai M.Hasan dah berusia 40 tahun, staf sudah bagaikan keluarga, pelanggan dah macam kawan,” ujarnya yang menghidangkan masakan Melayu seperti soto, lontong, tauhu bakar, laksa Singapura dan nasi lemak.

Akui wanita ini, sehingga kini kedainya masih belum bertemu dengan lokasi baharu. Dakwanya, notis yang diberikan kepada peniaga terlalu singkat.

MOHD. AYOUB mengakui kesedihannya sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana Stesen Keretapi Tanjong Pagar ibarat rumah kedua baginya.

Pengusaha Habib Railway Book Store, Seenishahul Hamid, 36, lebih terkesan. Sudah 75 tahun perniagaannya bertapak di pintu masuk stesen. Dia adalah generasi ketiga yang mengurus kedai itu.

“Saya ingatkan tak jadi (pindah) dan berita ini ternyata mengejutkan kami semua, sedih tak terkata,” ujarnya yang bakal berpindah ke WTCP.

Secara keseluruhan terdapat lebih 10 buah lot kedai yang menghidangkan masakan Melayu dan mamak.

“Di sinilah tempat kami melepak dan makan makanan Melayu, lepas ni, mungkin kita boleh lihat bangunan ini dari celah-celah pagar saja,” kata seorang rakyat Singapura dikenali sebagai Pak Ya, 50-an kepada penulis.

Selama sembilan tahun, kerani kaunter Stesen Tanjong Pagar, Norhaiza Hadis, 37, menunggu pelanggan untuk membeli tiket.

Bagaimanapun, atmosfera itu berubah selepas pengumuman penutupan operasi kereta api di stesen ini.

“Kami dihujani panggilan telefon dan setiap masa kaunter dipenuhi orang ramai, purata jualan sehari mencecah 20,000 tiket,” kata Norhaiza yang sudah sedekad bertugas di stesen Tanjong Pagar.

Rakan setugas, Wan Adli Wan Sulaiman, 27, sependapat dengan Norhaiza.

“Orang marah-marah pasal tiket satu perkara normal, kami tetap melayan mereka dengan baik,” katanya.

Bangunan tiga tingkat yang mendapat sentuhan pengarca tersohor Itali, Angelino Vanette sememangnya sarat dengan penataan seni yang memukau.

Bidikan lensa kamera banyak terarah kepada empat arca figura manusia setinggi 22 meter, menara jam dan lukisan mural yang gah dalam bangunan.

“Kita berharap janji untuk menjadikan bangunan ini sebagai warisan kebangsaan ditunaikan,” kata seorang jurufoto amatur, Rahmat Raslan, 39.

Hari terakhir di stesen itu cukup merengsakan perasaan. Seakan enggan berpisah dengan stesen yang penuh nostalgia itu kepada rakyat kedua-dua negara, seboleh-bolehnya penulis berharap berdenyut waktu terhenti seketika.

Kereta api merajuk

Bagaikan memahami apa yang terbuku di hati, kereta api Senandung Sutera yang sepatutnya berlepas tepat pukul 10.30 malam itu tertangguh selama dua jam.


STESEN Tanjong Pagar menjadi kelangsungan pada sejarah awal perkhidmatan kereta api di kota Singa ini.

“Sudah tiga hari berturut-turut kereta api buat perangai, mungkin dia pun merajuk macam kita,” kata pemandu pada malam itu yang mahu dikenali sebagai Khairi bertungkus-lumus membaiki enjin yang meragam. Khabarnya, sejak 22 Julai lalu stesen tersebut sudah mulai sunyi sepi selepas masing-masing diarahkan berpindah.

Bahkan, pemandangan pelanggan setia dan penumpang kereta api menjamu selera sambil bergelak ketawa bersama teman-teman melepas lelah selepas waktu kerja di restoran-restoran di tanah Malaysia itu kini tinggal memori. Ketika kereta api terakhir yang membawa penulis dan penumpang dari Tanjong Pagar meninggalkan stesen terasa sebak yang menggamit hati.

Penulis masih berdiri di tangga kereta api sehingga wajah stesen lenyap daripada pandangan. Selepas Pulau Batu Putih, pelabuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodlands dan Istana Kampung Gelam di tengah bandar Singapura yang pesat, kita kehilangan Tanjong Pagar. Seperti harapan rakyat negara ini semoga Singapura tidak memadamkan sejarah stesen Tanjong Pagar seperti terpadamnya sejarah Temasik.

kosmo


Legasi Tanjong Pagar
 Oleh Fairuz Zaidan
17 Julai 2010


PEMANDANGAN Stesen KTM Tanjong Pagar pada 1950.
Bekas stesen KTM pengikat hubungan, sumber rezeki lebih 8 dekad

SUASANA cukup luar biasa menyelimuti Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Tanjong Pagar, jam 8.20 pagi itu pada 28 Jun lalu. Hari-hari terakhir Jun itu turut mengiringi detik-detik akhir kompleks berusia 80 tahun itu. Dan seakan mengerti nilai sentimental stesen itu, menyaksikan kehadiran sebegitu ramai manusia memenuhi segenap pelusuk ruangnya.
Bagi penulis sendiri, biarpun keletihan menempuh perjalanan lapan jam menaiki tren Senandung Sutera, perasaan itu ditenggelamkan rasa nostalgia yang lebih ketara dizahirkan di stesen paling selatan KTM itu. Tidak seperti hari-hari sebelumnya, plot pagi di Stesen KTM Tanjong Pagar pagi itu lebih mengundang emosi serta reaksi berbeza orang ramai yang akur perjalanan stesen itu bakal menemui titik noktahnya.


Stesen itu bukan sekadar bangunan kaku dengan barisan penumpang datang dan pergi, sebaliknya ibarat tugu yang sejak lapan dekad lalu merakam dan menjadi sebahagian detik bersejarah dunia hitam putih kepada kemilau warna pembangunan pesat dinikmati Singapura serta jambatan penghubung negara itu dengan Malaysia. Malah kedudukannya yang membelah republik itu sudah cukup menggambarkan keunikannya. Bak usia seorang warga emas yang menunggu sisa hidup terakhirnya, tempoh perkhidmatan panjang stesen kereta api yang mendapat sentuhan neo-classical dan art-deco itu selayaknya memberi kesan emosi khususnya kepada individu yang merasai impak jalinan pengangkutan menghubungkan negara jiran itu.

Biarpun mengantuk, mata penulis menjadi segar menyoroti perasaan mereka di situ. Di segenap ruang stesen dirasmikan oleh Sir Cecil Clementi itu, tidak sunyi kelompok manusia yang tidak henti-henti merakamkan gambar bukti sejarah kenangan peribadi. Satu lagi kelompok berlegar di ruang menunggu dan perkarangan pintu masuk utama Stesen KTM Tanjong Pagar manakala di satu sudut lain, ramai pengunjung memenuhi meja bulat di medan selera untuk menikmati menu hidangan masakan Melayu sebagai hidangan sajian utama.


Sayu rasanya melihatkan di sebelah medan selera ini, ‘tergantung’ nota kecil bersaiz A4 yang merakam setinggi penghargaan kepada pelanggan setia pemilik restoran memandangkan tiada lagi perniagaan boleh diteruskan selepas tanggal 1 Julai.

Bagi menambah kesayuan, menyusuri laluan keluar pejalan kaki, tiga pekerja kontraktor mula menanggalkan kepingan papan tanda sebuah kedai buku dan majalah. Pemiliknya yang berwajah suram, sekadar duduk memerhatikannya. Seharian mencatatkan babak demi babak di Stesen KTM Tanjong Pagar, terserlah beberapa adegan yang jelas mengocak rasa sedih, pilu, kecewa dan hampa.
Ini termasuk seorang kakitangan KTMB yang berkampung hampir 30 tahun lamanya di stesen terakhir itu. Menurut kata Mohd Yapar Ali, 53, tempoh perkhidmatan panjang yang dilaluinya tidak sama dengan kesudahan keputusan yang mana dia perlu berpindah ke Kempas, Johor Bahru bagi meneruskan kesinambungan tuntutan tugas.

Dia dan stesen itu membesar bersama, kemudian merintis pengalaman serta melalui episod perubahan dalam hidup daripada zaman bujang, berkahwin dan kini memiliki empat cahaya mata di mana dua daripadanya lahir di kota Singapura.

“Kalau hendak diceritakan tentang Tanjong Pagar ini sendiri, memang tidak habis cerita yang dapat dikongsikan bersama. Melihat perubahan-perubahan yang berlaku sepanjang saya mula menjejakkan kaki di sini pada 1980 dulu, memang rasa sedih juga hendak meninggalkan nostalgia yang dilalui bersama.


“Daripada kawasan hutan di sekeliling stesen KTM ini, kini bangunan menukar pemandangan dulu dan suasana juga sudah cukup berbeza berbanding dulu,” kata beliau yang berkhidmat di bahagian Elektrikal Lokomotif.

Riak sugul turut sarat di wajah Peria Seenil Mohd Kassim, 68, yang juga pemilik kedai buku dan majalah, Habib Railway Bookstore, yang juga perlu berpisah dengan stesen itu. Sewaktu ditemui, dia tidak tahu nasib kedai buku dimiliki keluarganya lebih lebih tujuh dekad itu dan hanya diarahkan mengosongkan premis perniagaannya.

“Apa yang saya harapkan, walaupun terpaksa berpindah sekali pun biarlah ada tempat baru untuk Habib Railway Bookstore. Dengan adanya lokasi baru yang dijanjikan, senanglah sikit untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya yang berasal dari Tamilnadu, India.

Reaksi penutupan Stesen KTM Tanjong Pagar turut dikongsi warga Singapura, Rafi Latiff, 45, yang menetap di Tempinis. Beliau yang jarang-jarang ke lokasi itu mengambil kesempatan terakhir untuk merakamkan kenangan bersama keluarganya.

“Walaupun tidak pernah menggunakan perkhidmatan kereta api dari Tanjong Pagar sebelum ini, selepas ini mungkin saya terpanggil untuk menaiki kereta api walaupun bukan dari Tanjong Pagar lagi. Rasa sayang pula apabila sudah melangkah ke sini. Biarlah tapak stesen ini dikekalkan bangunan bersejarah,” katanya.

Tatkala penulis berkira-kira waktu tersisa menunggu tren terakhir sebelum melangkah pulang ke Kuala Lumpur pada malam sama, kelibat pengunjung masih lagi tidak surut-surut. Terlintas di fikiran, apakah irama yang bakal kedengaran selepas tiada lagi bunyi bingit roda kereta api menyusuri landasan itu. Tiada lagi suara harapan dicetuskan penumpang yang tiba atau pun rasa sedih ditinggalkan penumpang yang bertolak dari stesen itu. Tepat jam 10.30 malam, secara perlahan tren KTM Intercity Senandung Sutera bergerak meninggalkan Stesen KTM Tanjong Pagar. Selamat tinggal nostalgia!

INFO: Tanjong Pagar

Stesen Kereta Api Tanjong Pagar yang juga dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road mula dibuka pada 3 Mei 1932 yang dirasmikan oleh Sir Cecil Clementi.

Bersebelahannya, itu, Bukit Timah sebenarnya dibuka lebih awal iaitu pada 1903.

Istimewanya mengenai stesen kereta api paling selatan itu, seni bina muka hadapan bangunan bersejarah itu menampilkan ciri-ciri Neo-Classical dan Art-Deco.

Di depan pintu masuk stesen kereta api ini juga tertera huruf besar ‘FMSR’ yang membawa maksud Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Malah, empat patung arca marmar putih yang dihasilkan oleh pengukir Itali, Rudolfo Nolli, mewakili yang empat tonggak ekonomi Tanah Melayu dan Singapura itu pertanian, perdagangan, pengangkutan dan industri yang menjadi tulang belakang ekonomi negara satu ketika dulu.

Ciri lain seni bina stesen kereta api itu yang dianggap menarik termasuklah bumbung 'barrel-vault' setinggi 72 kaki di atas balai menunggu serta lukisan mural yang menampilkan pemandangan dari Malaya.

Di dewan awam utama, dinding panel terhias mural besar yang menggambarkan latar belakang Tanah Melayu iaitu menanam padi, menoreh getah, aktiviti perkapalan, pengangkutan kereta lembu dan perlombongan bijih timah.

Pada zaman dulu, perjalanan menerusi pengangkutan kereta api dikaitkan dengan kemewahan tetapi atas faktor semasa, perkhidmatan kereta api sudah menjadi sebahagian keperluan pengangkutan sehingga hari ini.

Sejarah awal perkhidmatan kereta api di Singapura bermula selepas pembinaan Tambak Johor-Singapura yang bermula pada 1919 dan ia dibuka kepada kereta api barang pada 17 September 1923 sebelum dibuka untuk perkhidmatan kereta api penumpang mulai 1 Oktober 1923.

Perkhidmatan KTM Intrecity mengendalikan perjalanan sebanyak enam kali sehari antara Singapura dan Kuala Lumpur. Ia turut mengendalikan perkhidmatan lain dari Singapura ke bahagian lain Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Pahang, dan timur laut.

KTM mengendalikan perkhidmatan ulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura untuk memberi manfaat kepada mereka yang bekerja di republik itu. Sehingga 30 Jun 2011, penumpang ke Singapura berhenti di Woodlands (bagi prosedur Imigresen oleh Imigresen Singapura dan pendaratan penumpang dalam perjalanan dari Malaysia) dan Tanjong Pagar (berlepas dan pendaratan). Mulai 1 Julai lalu, kereta api hanya berhenti di Woodlands.

beritaharian


Sejarah Stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan terus kekal
18 Mei 2011
 
SINGAPURA: Stesen Keretapi Tanjung Pagar, yang juga dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road, mempunyai nilai yang sungguh berharga dari segi sejarah dan sentimen bukan sahaja kepada Singapura malahan jirannya Malaysia.

Apapun berkuatkuasa 1 Julai, 2011, perkhidmatan kereta api ke stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan, dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengakhiri perkhidmatan kereta api ke republik itu di Woodlands Train Checkpoint (WTCP).
Stesen Tanjung Pagar yang dibuka pada 1932 dan stesen Bukit Timah yang dibuka pada 1903 dijangka menyaksikan peranan baru tetapi struktur dan warisannya akan terus dikekalkan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Md Hussin Nayan berkata, langkah mewartakan kedua-dua stesen itu sebagai tapak warisan adalah antara Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) yang dicapai pada 1990.

Beliau memberitahu Bernama Stesen Tanjung Pagar khasnya mempunyai nilai sentimental bagi rakyat Malaysia selain melambangkan hubungan sosial dan budaya antara kedua-dua belah tambak.

Md Hussin berkata, persiapan bagi perkhidmatan KTMB berakhir di WTCP sedang berjalan lancar dan mengikut jadual.

Memandangkan kepada nilai sejarah kedua-dua stesen itu dan langkah untuk melindungi peninggalan fizikal warisan sejarah, kerajaan Singapura baru-baru ini mengumumkan komitmen untuk memulihara kedua-dua stesen itu.
Lembaga Pemuliharaan Monumen (PMB) mewartakan Stesen Keretapi Tanjung Pagar sebagai monumen negara, sementara Lembaga Pembangunan Bandar (URA) mewartakan Stesen Keretapi Bukit Timah Railway sebagai bangunan terpelihara.

Pada 24 Mei, 2010, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan bersama mengumumkan bahawa khidmat KTMB akan berakhir di WTCP dan bukan lagi di Tanjung Pagar berkuatkuasa 1 Julai, 2011.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa struktur Stesen Keretapi Tanjung Pagar dan Stesen Keretapi Bukit Timah di Blackmore akan dikekalkan kerana nilai sejarahnya.

Stesen Tanjung Pagar khasnya, dianggap sebagai tanda tempat yang jelas kerana bentuk senibina muka hadapannya yang menampilkan ciri-ciri Neo-Classical dan Art-Decoe.

Ciri senibina lain yang dianggap menarik di stesen ini ialah bumbung "barrel-vault" setinggi 21.9 meter di atas balai menunggu serta lukisan mural yang menampilkan pemandangan dari Malaya.

Pada zaman di mana perjalanan dengan kereta api dikaitkan dengan kemewahan, stesen ini menampilkan keanggunan dan kemewahan.

Pengarah PMB, Jean Wee berkata, stesen ini akan terus kekal sebagai tanda tempat walaupun selepas ia mengambil peranan baru yang akan tetap melambangkan ciri dan kekuatan hubungan antara kedua-dua negara di kedua-dua belah tambak.

Dengan Stesen Keretapi Tanjung Pagar diwartakan sebagai struktur warisan, bilangan monumen negara di Singapura berjumlah 64.

Stesen Keretapi Bukit Timah berhampiran King Albert Park adalah antara stesen kecil yang dibina untuk menghubungkan kawasan luar bandar Singapura.

Bangunan ringkas diperbuat daripada batu-bata ini bersama dewan menunggu terbuka ini dilihat sebagai satu lagi tanda tempat yang menarik.

Bangunan satu tingkat ini mengikut gaya tradisional yang lazim boleh ditemui di stesen bandar-bandar kecil di United Kingdom dan Malaya pada 1930-an.

Pengarah Kumpulan (Khidmat Pemuliharaan & Pembangunan) di URA, Ler Seng Ann berkata, bangunan serta struktur berkaitan dengan perkhidmatan kereta api di Singapura mewakili memori sosial kolektif Singapura.

"Program pemuliharaan URA diwujudkan untuk mengekalkan warisan binaan kita.

"Di bawah program yang memenangi anugerah ini, kami berjaya mengekalkan Clifford Pier dan bekas lapangan terbang Kallang yang menjadi gerbang keluar-masuk Singapura semasa zaman kegemilangannya.

"Dan apabila struktur-struktur utama perjalanan kereta api dipulihara, maka secara tersendiri lengkaplah warisan sejarah pengangkutan Singapura. - BERNAMA

beritaharian


Kesan Perjanjian Tanah KTM Di Singapura
A Kadir Jasin

PADA 20 September lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian pertukaran tanah membabitkan tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd’s di republik itu.

Ia dimeterai oleh Perdana Menteri Malaysia, Mohd Najib Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di kota singa.

Kedua-dua pemuka menguar-uarkan (bukan war-war) perjanjian itu sebagai kejayaan besar dan pembaikan ke atas “Point of Agreement (POA)” yang menjadi asas rundingan antara dua negara.

Saya tidak mahu berselisih faham, menyangkal atau menyangkal laporan dan ulasan media massa yang menghebahkan perjanjian itu sebagai “win-win” (menang-menang).

Saya sekadar ingin berkongsi maklumat dan interpretasi peribadi saya untuk kita dalami, fahami dan bahaskan. Berikut adalah antara inti pati, ciri dan implikasi perjanjian berkenaan:-

1. Dulu tanah KTM di Singapura adalah milik penuh dan mutlak Malaysia, walaupun kegunaannya terhad kepada operasi kereta api dan kekal hak Malaysia selagi operasi kereta api berjalan;

2. Sekarang tiga keping tanah KTM telah ditukarkan dengan sembilan keping tanah lain dan operasi kereta api akhirnya akan ditamatkan;

3. Menurut kenyataan bersama Mohd Najib-Lee Hsien Loong yang saya baca dari laman web kerajaan Singapura, bidang-bidang tanah gantian serta deskripsinya adalah seperti berikut:-

(A) Empat bidang tanah di Marina South dikenali sebagai TS30-361T, TS30-362A, TS30-363K dan TS30-364N serta dua bidang di Ophir-Rochor dicamkan sebagai TS13-1115N dan TS13- 1116X sebagai ganti kepada tiga keping tanah KTM di bawah Point of Agreement (POA) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah yang dikenali sebagai Lot 76-2 Mk 16, Lot 249pt Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16);

(B) Empat keping tanah di Marina South itu terletak di tengah-tengah gugusan (cluster) kewangan dan perniagaan bagi Marina Bay manakala dua di Ophir-Rochor terletak di kawasan bersejarah Kampong Glam (Kampong Glam Historic District) yang berupa koridor baru pembangunan yang sedang dimajukan sebagai sambungan kepada Daerah Perdagangan Pusat (Central Business District); dan

(C) (Sembilan) Keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor (itu) akan diamanahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dibangunkan secara usaha sama apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengosongkan Stesen Tanjong Pagar. Stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke tempat pemeriksaan kereta api Woodlands (“WTCP”) menjelang 1 Julai 2011 bilamana Malaysia akan memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantinnya (“CIQ”) di WTCP.

4. Tanah gantian itu akan dimajukan oleh syarikat usaha sama Malaysia-Singapura M-S Private Limited yang dimiliki 60 peratus oleh syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan firma pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings.

5. Kalau dulu tanah KTMB dimiliki penuh dan mutlak Malaysia, kini tanah gantian kepada tanah KTMB itu dikongsi dengan Singapura melalui M-L Pte Ltd di mana Temasek memegang 40 peratus saham. Dalam bahasa yang mudah, Singapura dapat “percuma” 40 peratus daripada aset gantian itu.

6. Walaupun isu tanah KTMB ini dikatakan selesai, tetapi isu-isu tertangguh yang lain seperti pembekuan simpanan rakyat Malaysia dalam CPF, Perjanjian Bekalan Air serta penentangan Singapura terhadap projek Jabatan Bengkok masih berterusan.

7. Malaysia dan Singapura gagal bersetuju mengenai cukai pembangunan (development charges) yang dikenakan oleh kerajaan Singapura ke atas tanah gantian itu sehingga memaksa perbalahan itu dirujukkan kepada Mahkamah Timbang Tara Tetap (Permanent Court of Arbitration – PCA) di The Hague, Balanda.

8. Kenyataan bersama Mohd Najib-Hsien Loong mengenai hal itu berbunyi: “Both countries have different views relating to the development charges payable on the three parcels of POA land in Tanjong Pagar, Kranji and Woodlands. Both Leaders have agreed to settle this issue amicably through arbitration under the auspices of the Permanent Court of Arbitration. They have further agreed to accept the arbitration award as final and binding.”

[Kedua-dua negara mempunyai pandangan yang berbeza mengenai cukai pembangunan ke atas tiga keping tanah POA di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands. Kedua-dua pemimpin bersetuju menyelesaikan isu ini secara aman melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap. Mereka seterusnya bersetuju menerima keputusan timbang tara itu sebagai muktamad dan terikat.]

9. Sengaja diingatkan yang kali terakhir Malaysia dan Singapura membawa perbezaan mereka ke muka pengadilan antarabangsa, ia berakhir dengan Malaysia kehilangan pemilikan ke atas Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.

10. Melalui kolum “Other Thots” dalam majalah Malaysian Business keluaran 16-31 Julai lalu, saya telah memberi amaran kepada perunding Malaysia agar berhati-hati mengenai kemungkinan pemerintah Singapure mengenakan cukai pembangunan atau premium tanah yang melangit.

Saya memetik sumber-sumber yang arif mengenai POA sebagai berkata kerajaan Singapura mungkin mengenakan cukai pembangunan sekitar S$1.5 bilion (kira-kira RM3.05 bilion) selain premium tanah. Saya tidak tahu sama ada premium dikenakan atau tidak.

Tetapi sumber-sumber yang sama kini mengatakan cukai pembangunan mungkin mencecah S$2 bilion (RM4.6 bilion).

11. Andainya anggaran ini tepat dan keputusan PCA memihak kepada Singapura, maka Khazanah terpaksa menyeluk poket untuk mengeluarkan S$1.2 bilion (RM2.76 bilion) dan jumlah ini akan mengalir dari Malaysia ke Singapura.

12. Temasek perlu membayar S$800 juta tetapi tidak ada pengaliran keluar modal. Ia sekadar pemindahan dana dari poket Temasek ka poket perbendaharaan Singapura.

13. Seperkara lagi yang perlu penjelasan ialah taraf pemilikan tanah gantian itu -- adakah ia pegangan kekal atau pajakan 99 tahun? Tanah KTMB di Singapura adalah pegangan tetap selagi operasi kereta api berjalan.

14. Kalau saya faham kenyataan Mohd Najib dan Pengarah Urusan Khazanah, Azman Mokhtar, projek itu tetap dilaksanakan tidak kira kita kalah atau menanang dalam timbang tara oleh PCA. Malah kata mereka, projek ini akan dimulakan tanpa menunggu keputusan PCA. Jadi timbang tara oleh PCA adalah “akademik” atau sekadar melepas batuk di tangga.

15. Dalam konteks ini kita wajib meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada Mohd Najib dan Azman. Azman memberi jaminan bahawa projek ini “masih berdaya maju dan menguntungkan” walaupun cukai pembangunannya tinggi.

16. Kita tidak mahu Mohd Najib mengisytiharkan perjanjian ini sebagai menang-menang dan dia berjaya di mana Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu gagal, tetapi akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

17. Akhir sekali kita tidak mahu pelaburan Khazanah di Singapura menjadi seperti pelaburan Sime Darby di Qatar yang menghasilkan kerugian hampir RM1 bilion.

18. Berhati-hatilah, Singapura bukan sebarang jiran. Fahamilah istilah “kiasu” dan impaknya kepada “psyche” (cara berfikir) negara Singapura.

the scribe


Comments