Mengenang Nordin Ahmad




Nordin Ahmad, segar dalam lipatan sejarah...
AKMALIAH RAZAK
29 April 2012


Nordin Ahmad dalam filem Hang Tuah Nordin Ahmad dalam filem Hang Tuah


“Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu”.
Masih ingatkah bait-bait dialog ini? Itulah di antara lontaran dialog klasik, Allahyarham seniman Nordin Ahmad, menerusi filem arahan Allahyarham Salleh Ghani, Seri Mersing.

Penghayatan lakonan dan emosinya dalam setiap filem amat sukar ditandingi. Lihat sahajalah filem Seri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyong dan Gurindam Jiwa, ia membuktikan kehebatan Nordin Ahmad dalam menghayati watak.

Bukan sahaja dalam filem air mata, malah beliau berjaya membuktikan kebolehan dalam watak antagonis menerusi filem, Hang Jebat, Chuchu Datuk Merah dan Raden Mas.

Walaupun namanya tidak sehebat seniman Tan Sri P Ramlee, namun beliau berjaya mengukir sejarah menerusi cara tersendiri.

Tidak hairanlah jika beliau berjaya menempa nama sebagai salah seorang pelakon dan pengarah yang berjaya ketika hayatnya.

Namun, ketika giat mencipta nama sebagai pengarah, Nordin menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar, Singapura pada Jun 1971 kerana menghidap demam kuning.

Allahyarham meninggalkan balu, Salmah Ibrahim (Salmah Hitam) serta tiga cahaya mata, Asmah, Tuah dan Asnor.


Bermula dengan watak picisan

Dilahirkan pada tahun 1932, anak jati kelahiran, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini meninggalkan kampung halamannya untuk bekerja sebagai kerani di pangkalan tentera udara Inggeris di Seletar, Singapura pada akhir tahun 1949.

Pada awal tahun 1951, beliau memohon untuk menjadi pelakon filem di Syarikat Malay Film Productions dan menghadiri uji bakat yang dikendalikan oleh pengarah, S Ramanathan.

Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila gagal kerana tidak berjaya mengungkapkan dialog dengan baik. Pun begitu, dia masih diterima sebagai pelakon tambahan daripada S Ramanathan untuk filem, Juwita.

Watak pertamanya ialah pegawai polis. Dalam filem itu, P Ramlee memegang watak utama di samping Kasma Booty sebagai pasangannya.

Perkenalan di lokasi penggambaran membawa kepada ikatan persahabatan di antara dirinya dan P Ramlee.

Tanpa disangka, pada tahun 1952, beliau dipilih untuk memegang watak penting dalam filem sulung arahan, Mahadi, iaitu Permata di Perlimbahan.

Malangnya, gandingan Nordin bersama Datuk Maria Menado, kurang mendapat sambutan dan peluang untuknya bergelar pelakon utama sudah tiada. Selepas itu, dia hanya dipilih untuk watak pembantu sahaja.


Tumpang tuah P Ramlee

Berkat kesabarannya, P Ramlee membuka peluang Nordin dan memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak utama, Taruna, menerusi filem, Semerah Padi pada tahun 1956.

Sejak itu, namanya mula dikenali ramai dan mendapat pelbagai tawaran lakonan di Cathay Keris menerusi filem, Serangan Orang Minyak, Raden Mas, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Hang Jebat, Seri Mersing dan Chuchu Datuk Merah.

Walaupun sudah lebih 40 tahun pemergiannya, namun nama Nordin Ahmad masih diingati hingga ke hari ini. Malah, kehebatan yang ada pada dirinya amat sukar ditandingi oleh pelakon yang sedia ada.

Semoga rohnya dicucuri rahmat!

sinar harian


Mengenang Artis Lama -- Nordin Ahmad seniman tulen
23 01 2000

Mungkin kita mengenalinya ketika memegang watak Awang dalam filem Sri Mersing ataupun sebagai penderhaka dalam filem Hang Jebat.

Ataupun lakonannya yang mantap dan berkarisma bersama Seniman Agung kita, P. Ramlee dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956.

Ternyata kekuatan lakonannya yang berkarisma dan tulen itu telah meletakkan dia antara barisan pelakon Melayu yang terbilang.

Bagaimanapun, menurut pengumpul matlumat bintang-bintang lama, Mohammad Hashim, bakatnya dalam bidang lakonan adalah berasaskan minatnya yang cukup mendalam.

''Dia mula menjadi bintang filem Malay Film Production (MFP) pada 1951 dan sempat menghabiskan lakonan sebanyak 27 buah filem semuanya di MFP.

''Filem terakhirnya ialah Belantara yang dia menjadi hero dan ditayangkan pada tahun 1957 arahan S. Ramanathan,'' katanya.

Sebaik sahaja tamat kontraknya, beliau menambah, pada 31 Disember 1956, maka Nordin Ahmad mula mengalih pandangannya kepada Keris Film Production (KFP).

Ujarnya, di KFP ini, dia menerima tawaran yang lebih baik dan lumayan berbanding ketika bersama MFP, khususnya pada aspek gaji.

''Dia menerima sebanyak RM400.00 sebulan dan komisen sebanyak RM800.00 bagi setiap sebuah lakonannya termasuk tempat tinggal yang lebih baik dari apa yang diperolehinya sebelum ini.

''Tetapi di penghujung kariernya, gaji tersebut dipotong separuh dan akibatnya dia tersentak lantas meletakkan jawatannya sebagai pelakon dan pengarah,'' tambahnya.

Menurut beliau, Nordin Ahmad yang dilahirkan di Butteworth pada tahun 1932, sebenarnya bukan sekadar terserlah sebagai watak baik tetapi juga sebagai watak jahat.

Ternyata, beliau menambah, di dalam majalah Bintang, Nordin Ahmad pernah disifatkan sebagai 'orang jahat filem' kerana wataknya. Filem tersebut ialah Ibu, Chemburu dan Mahsuri selaku panglima jahat.

''Dia boleh dianggap sebagai orang jahat atau baik filem kerana kedua-dua watak itu dibawa dengan begitu baik sekali.

''Contohnya dalam filem Permata Di Perlimbahan (arahan Hj Mahadi) pada tahun 1952. Pembawaan watak baik oleh Nordin cukup terserlah,'' jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Mohammad, seperti pelakon filem Melayu yang lain ketika itu, semuanya bermula dari bawah dan begitulah juga dengan Nordin sendiri.

Kata beliau, sebelum berlakon di dalam 'Permata Di Perlimbahan tersebut, Nordin belum pernah memegang peranan-peranan utama dalam filem.

Ujarnya, dia hanya sekadar berlakon sama ada sebagai pelakon atau muncul dalam adegan tambahan dalam sesebuah filem sahaja.

Tetapi, jelasnya, Jaafar Wariyo, seorang seniman lama melihat bakat lakonan yang ada pada Nordin dan dia memberikan dorongan dan galakan kepadanya agar berusaha memperbaiki tahap lakonannya.

''Ini kerana menurutnya, di satu hari kelak, Nordin akan mengambil alih peranan seniman yang sudah silih berganti. Ternyata tekaan itu benar.

''Begitu juga dengan pelakon Melayu terkenal ketika itu, Jaffar Shah. Dia sanggup menjadi orang jahat semata-mata untuk memastikan Nordin berpeluang memegang watak hero,'' kata beliau ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Mohammad, Nordin Ahmad meninggal dunia pada bulan Jun 1971 di Singapura kerana demam kuning.

''Kehilangannya bererti berakhirnya hero keagungan filem-filem Cathay Keris yang paling terserlah.

''Lakonan Nordin Ahmad lebih berkesan dan menonjol jika beliau membawa watak purba dari peranan lakonan moden.

''Malah, apa yang lebih terserlah pada dirinya ialah setiap lagu 'nyanyiannya' di dalam filem, ialah suara R. Ismail. Suara latar itu mirip suaranya dan seolah-olah Nordin Ahmad adalah penyanyinya,'' kata beliau.

Dari sudut persekolahan, Nordin hanya belajar setakat darjah VI sekolah Melayu tetapi sekerat jalan. Kemudian dia belajar sendiri termasuk bahasa Inggeris tetapi minatnya terbantut bila pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Ketika pendudukan tentera Jepun, mereka mengerah tenaga muda untuk menegak dan mempertahankan cogan kata peperangan Asia Raya untuk kemakmuran Asia.

Nordin Ahmad tidak terlepas dari kerahan tersebut dan dia terlibat di dalam 'Kaigun Kokisyu' menjadi askar Jepun berpangkalan di Seletar dan inilah sahaja pekerjaannya sehingga Jepun menyerah kalah.

Sewaktu pemerintahan BMA, Nordin tinggal di Basrah Street dan bekerja di berek military Tanglin pada tahun 1946 - 1947. Nordin juga pernah menjalankan pelbagai pekerjaan seperti menjadi telefon operator, penyelenggara stor.

Tetapi akhirnya dia memohon untuk menjadi pelakon filem di Malay Film Production dan diterima. Dengan itu terpenuhlah cita-citanya itu sejak kecil lagi untuk menjadi bintang filem.

utusan online


Biografi Nordin Ahmad
1932-1971

Nordin Ahmad adalah seorang pelakon filem Melayu Malaysia ulung. Beliau dilahirkan di Seberang Perai, Pulau Pinang pada tahun 1932. Lakonan hebat beliau adalah seperti dalam filem Seri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyong dan Gurindam Jiwa. Selain itu beliau juga dikenang dengan lakonan agresif seperti dalam filem Hang Jebat, Cucu Datuk Merah dan Raden Mas.


Penglibatan beliau bermula apabila beliau berkerja sebagai kerani di Singapura pada 1951 dan tidak menyimpan hasrat berlakon sehingga melihat iklan mencari pelakon-pelakon baru di Utusan Melayu. Atas dorongan rakan-rakan beliau menerima jemputan uji bakat bersama Malay Film Productions Ltd. (MFP) tetapi gagal. Pengarah S. Ramanathan yang mengujinya berpendapat Nordin tidak mampu berlakon.

Nordin menerima tawaran berkerja sebagai buruh kasar di studio MFP dengan harapan dapat menjadi pelakon satu hari kelak. Beliau muncul di beberapa filem termasuk Rayuan Sukma dan Juwita sebagai pelakon tambahan tanpa dialog. Pengarah Haji Mahadi mengambil Nordin menjadi perlakon utama filem Permata di Perlimbahan berganding dengan Maria Menado tetapi filem itu tidak laris. Akibatnya Nordin terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Biarpun begitu dia mencekalkan semangat dan tidak berputus asa.

Rakan Nordin, P.Ramlee lah yang melancarkan kerjaya Nordin bila menawarkannya berlakon watak Teruna bertentang Aduka yang dilakonkan oleh P. Ramlee dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956. Kejayaannya sebagai Teruna melonjakkan namanya sebagai seorang bintang filem. Nordin diambil dari studio MFP oleh Cathay-Keris Film Productions dengan tawaran lumayan dan menjadi kesayangan Cathay.

Pengarah-pengarah berlumba-lumba untuk mengambilnya membintangi filem mereka. Disamping jalan cerita yang menarik dan pengarahan yang bagus, Nordin Ahmadlah elemen penting dalam kejayaan filem-filem Cathay Keris seperti filem Hang Jebat arahan Husain Haniff, Cucu Datuk Merah oleh M. Amin dan Seri Mersing oleh Salleh Ghani.
Teruna (Nordin Ahmad) dalam filem Semerah Padi 1956

Nordin sendiri ditawar menjadi pengarah pada 1964 dengan filem pertamanya Wan Perkasa yang tidak bergitu berjaya. Namun begitu peluang mengarah terus diberikan kepadanya melalui filem-filem Kasih Ibu, Naga Tasek Chini, Play Boy, Kekasih, Nafsu Belia, Keranda Berdarah and Lubang Neraka. Nordin mengakui bahawa beliau lebih terserlah sebagai pelakon berbanding pengarah.

Namun yang pasti, setiap kali menyebut nama Nordin Ahmad, peminat akan terus teringat adegan-adegan dan dialog-dialog yang menjadi klasik filem-filem Melayu sepanjang zaman seperti dalam filem Seri Mersing arahan Allahyarham Salleh Ghani dengan dialog berpantun ; "Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu." Dalam filem Gurindam Jiwa (1966) Nordin berganding dengan Latifah Omar mendendangkan lagu Gurindam Jiwa dengan rangkap "Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan".
Kematian

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar, Singapura pada 15 Jun 1971 ketika berusia 39 tahun kerana menghidap demam kuning. Beliau meninggalkan balu, Salmah Ibrahim (Salmah Hitam) serta tiga cahaya mata - Asmah, Tuah dan Asnor.


Penglibatan Dalam Filem

Filem Anakku Sazali (1956)
Filem Abu Hasan Pencuri (1955)
Filem Aladdin (1951)
Filem Arjuna (1954)
Filem Air Mata Duyong(1964)
Filem Bernoda
Filem Belantara
Filem Cemburu
Filem Cucu Datok Merah (1963)
Filem Dang Anum (1962)
Filem Gado Gado (1960)
Filem Gelora Hidup
Filem Gul Bakawali (1963)
Filem Gurindam Jiwa (1965)
Filem Hang Jebat (1961)
Filem Hang Tuah (1956)
Filem Lanchang Kuning (1962)
Filem Laila Majnun(1961)
Filem Panggilan Pulau (1954)
Filem Raden Mas (1959)
Filem Serangan Orang Minyak (1959)
Filem Orang Minyak (1958)
Filem Perjodohan (1954)
Filem Patong Chendana {1965)
Filem Permata Diperlimbahan (1952)
Filem Play Boy (1967)
Filem Siti Zubaidah (1961)
Filem Sri Mersing (1961)
Filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961)
Filem Tun Fatimah (1962)
Filem Tajul Asyikin (1963)
Filem Hutang Darah Dibayar Darah
Filem Noor Islam (1960)
Filem Semerah Padi (1956)
Filem Sial Wanita (1969)
Filem Jahanam (1971)
Filem Mahsuri (1959)
Filem Jula Juli Bintang Tujuh
Filem Yatim Mustapha
Filem Juwita 1951
Filem Putus Harapan
Filem Kipas Hikmat
Filem Panglima Besi (1964)
Filem Srikandi (1969)
Filem Simurai (1968)

wiki



Rintihan Kamaruzaman


Videografi Nordin Ahmad

Comments

  1. antar pelakon filem klasik yang mantap...

    ReplyDelete
  2. sy mmg minat kat Allahyarham Nordin Ahmad sejak dri dulu.. filem2 yg dia pernah lakonkan semua best2...

    ReplyDelete

Post a Comment